Wednesday, January 28, 2009

BILA HENDAK MENULIS?

Tahun lalu bos saya pernah bertanya adakah saya sudah mula menulis buku…saya geleng dan sengih sumbing.
‘Belum Encik Wan,’ jawab saya.
Ditanya pula teman-teman sejawatan yang lain. Jawapan mereka sama juga dengan jawapan saya. Kami semua menyengih sumbing.

Alasan kami berempat, semuanya sama… ‘Tak ada masa’ ‘Tak sempat’.
‘Kecewa betul dengan kome ni,’ kata bos kami, tapi dia masih boleh senyum. Bos kami baik hati, tetapi pendiriannya tegas. Sering bertanya progres kerja stafnya…kecut juga dibuatnya sebab kerap deadline yang disasar terlanggar tanpa sengaja… sudah cuba untuk mematuhi jadual, tapi apa boleh buat. Terbabas juga.

Dahulu alasan saya, “Memang nak menulis, tapi tak ada komputer.” Nah, sekarang sudah beli notebook. Apa lagi alasannya? Alasan tadilah ‘Tak ada masa’.

Manuskrip-manuskrip yang ada ditangan ini pun tak berapa menang tangan, apalagi hendak menulis buku sendiri.

‘Tulis kat rumah,’ katanya lagi.

Saya telah cuba untuk memulakan penulisan buku di rumah…ya lah, notebook, kan dah ada. Idea sudah ada, bahan rujukan pun boleh kira ‘macam sudah ada’. Tinggal lagi hendak dizahirkan menjadi tulisan. Saya cuba memperuntukkan waktu selepas balik ke rumah selepas kerja dan hujung minggu.

Tidak juga berjaya! Lebih-lebih lagi hujung minggu langsung tiada masa kerana menguruskan keadaan rumah yang ditinggalkan sepanjang hari-hari bekerja!


Saya mendiagnos dan menganalisis masalah saya. Di manakah ‘tidak sempat’ saya itu? Di manakah ‘short’ waktu saya yang Tuhan berikan 24 jam sehari…

Rutin hidup:

- Sampai di rumah paling cepat agak-agak 6.30 petang. Kalau hujan lebat dekat jam 7. Kerap pula menyuruh adik menjemput anak di tadika kerana takut terlambat.
- Uruskan itu dan ini anak, tiba-tiba sudah berkumandang azan Maghrib.
- Capai Quran kekadang satu muka surat tak habis kalau ada gangguan daripada anak.
- Layan dulu anak. Beri makan. Isyak pula masuk. Solat Isyak dahulu.
- Solat pun tidak khusyuk. Kekadang dipanjat anak semasa sujud.
- Ah…dah hampir 9.00 malam.
- Kain yang baru diangkat dari ampaian balik dari kerja tadi belum berlipat. Selesaikan dulu.
- Pakaian kotor pula perlu dicuci. Masuk mesin basuh. Dalam waktu yang sama sediakan makan malam untuk suami juga kalau-kalau dia balik nanti mahu makan.
- Anak layan TV (dalam hati…ya Allah kesian anak aku, Emak hidangkan engkau dengan kartun di TV. Bila lagi hendak beri tarbiyah agama padanya? Padahal waktu usia sebeginilah perlu diasak tubi dengan didikan agama. Jika tidak dibiarkan dia menonton TV, kita pula tidak dapat selesaikan urusan rumah!)
- Dalam sibuk dengan kerja rumah, waktu terus berjalan…10.00, 10.30, 11… kerja dalam rumah tidak pernah usai. Dalam celah-celah menyudahkan kerja, datang lagi sang anak mahukan perhatian…terkadang tanpa saya sedar saya menengking… ‘Waduh, buruknya perangai emak kamu ni Ammar,’ bisik hati saya lagi. Baru saya sedar…kesian anak! Bukankah itu hak dia untuk bersama emaknya? Sudahlah seharian ditinggalkan di bawah asuhan orang lain, balik rumah, belum lagi dapat bermanja dengan Emak, sudah kena marah.
- Kain yang sudah berbasuh, perlu disidai. Esok nak pergi kerja tidak sempat nak menjemur. Walaupun ahli rumah tidak ramai, suami kerap menukar pakaian dalam sehari. Dua tiga pasang dibawa ke pejabat. Bawa pulang yang kotor menimbun setiap hari.
- 11.30 malam, ada ruang waktu sedikit, buka notebook konon mahu mula mengarang walaupun fizikal dah lesu. Baru hendak duduk dan buka fail baru MS Word… ‘Mak jom…jom Mak,’ dia mengajak sambil menuntun tangan saya sama-sama menonton TV atau ajak bermain. Jika menonton TV, dia akan bertanya itu dan ini… ‘Apa tu Mak?’ tanpa noktah, jenuh menjawab. Kalau bermain, diajaknya main ‘lumba-lumba’ atau ‘lawan-lawan’ atau ‘kejar-kejar’.

Papa mana?’soal anak saya tiap kali waktu hendak tidur…waktu menghampiri 12.30 malam…tidurnya lewat menunggu Papa pulang. Paling awal tidur pun 11.00 malam.
‘Papa kerja sayang. Papa kat office.’
‘Nak Papa,’ rengeknya lagi. ‘Papa Ammar mana?’ dia menangis.
‘Papa sibuk. Papa kerja.’
‘Cian Ammar tak ada Papa.’ Tangisnya itu menyebabkan air mata saya merembas bersama air matanya juga. Saya menyapu air matanya dan tangan kecil mulusnya menyeka air mata saya yang jatuh di pipi (bertambah berjurai air mata di pipi saya).

Apalah anak yang sekecil itu faham tentang istilah ‘sibuk kerja’? Sesungguhnya dia lebih memahami istilah rindunya kepada seorang papa.

Tiada dosa anak kecil itu kepada ibu ayahnya, tetapi Emak dan Papa terlalu banyak dosa padanya.

Dosa Emak yang kerap menjerkahnya tanpa sedar kerana terlalu penat, diganggu waktu membuat kerja dalam rumah.
Dosa Papa kerana jarang dapat bertemu anak. Papa yang jarang sekali dapat berjumpa anak. Papa yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan disertasinya. Habis projeknya nanti, harap-harap adalah ruang waktu untuk anak selepas ini.

Sejak lahir, hanya sedikit waktu yang dapat dihabiskan bersama Papa, Papa yang kadang kala kerap meninggalkan anak kerana membuat penyelidikan di Bangkok, kekadang di Amphawa. Kekadang membawa pelajar di kedua-dua tempat itu.

Usia baru hendak melangkah empat tahun, sudah tahu menilai institusi keluarga yang sewajibnya terdiri daripada seorang insan yang bernama EMAK dan seorang PAPA. Pada usia sekecil itu juga sudah mula mengesan kepincangan keluarga.

Justeru, mahu tidak mahu saya mengambil alih tugas kasih sayang dan didikan yang sepatutnya diisi oleh seorang ayah. Terkadang terasa bagaikan ibu tunggal yang benar-benar menguji sabar.
Kerap juga saya menjengah dan bermalam di rumah Emak dan Ayah dengan tujuan anak saya dapat melihat suasana yang lebih Islamik. Yang sentiasa imarah dengan solat berjemaah, pengajian Al-Quran, pengajian ilmu.

Saya teringat kata-kata Ustaz Sobri Abdul Rani dalam satu sesi kuliahnya pada Ramadhan lalu, “Ramai anak hari ini jadi yatim bukan sebab mak bapak dah mati, tetapi yatim kerana ibu bapa sibuk bekerja.”

Ya, kita hari ini terlalu sibuk dengan urusan kerja, urusan dunia yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan dunia apatah lagi akhirat. Alasan kita, “Sibuk sebab mahu cari rezeki bukan untuk orang lain, tapi untuk anak kita juga…” Ah…alasan klisé!

Kita sibuk memikirkan keperluan material keluarga, peningkatan kerjaya kita, tanggungjawab kita kepada masyarakat di sekeliling kita…tetapi bagaimana keperluan rohaniah anak sendiri? Seharusnya keperluan dan tanggungjawab hakiki sebenarnya WAJIB bermula dengan keluarga sendiri, bukan orang lain.

Kemudian saya teringat pula kepada sebuah iklan ringkas tetapi bernas mesejnya yang sering ke udara di radio:

LIHAT JAM ANDA.
PADA WAKTU INI, DI MANA ANAK-ANAK ANDA?
ADAKAH MEREKA DI TEMPAT SEPATUTNYA MEREKA BERADA?
ATAU ANDA SEKADAR TIDAK AMBIL PEDULI?
YANG TAK DIINGINI, BOLEH BERLAKU.
JADILAH IBU BAPA YANG PRIHATIN!

Lebih kurang begitu nada iklan itu.

Sesuai juga iklan itu ditujukan kepada ibu bapa yang sentiasa sibuk:

LIHAT JAM ANDA.
PADA WAKTU INI, DI MANA ANDA BERADA?
ADAKAH ANDA DI TEMPAT SEPATUTNYA ANDA BERADA (BERSAMA ANAK-ANAK)?
ATAU ANDA SEKADAR TIDAK AMBIL PEDULI?
YANG TAK DIINGINI, BOLEH BERLAKU.
JADILAH IBU BAPA YANG PRIHATIN!

Berbalik kepada soal bila saya nak menulis buku…barangkali ada yang bertanya, menulis blog sempat, buku tak sempat pula…macam mana tu?

Jawapan saya: Antara tulisan untuk blog dan buku ialah dua bentuk karya yang berbeza. Ilham yang datang untuk tulisan di blog tidak perlukan penyaringan isi, tidak memerlukan intro yang khusus, tidak perlukan sumber rujukan. Apa yang terilham di minda terus disalurkan ke jari dan secara langsung dizahirkan dalam bentuk tulisan. Atau istilah lainnya, 'tulisan yang syok sendiri'.

Tulisan untuk buku pula, seseorang perlu duduk memikirkan intronya, perlu tapis faktanya, perlu ada sumber rujukannya, kerangka kasarnya juga perlu disediakan. Menuntut sebahagian besar waktu yang ada. Perlukan mood, tidak boleh gelojoh. Perlukan suasana yang hening lagi tenang.

Ada pula yang memberi komen, anak baru seorang pun dah tak ada masa nak menulis.

Jawapan saya: Sebab anak saya seoranglah saya perlu beri sepenuhnya waktu yang ada kepadanya. Anak lain barangkali ada abang, kakak atau adik untuk duduk bermain sama-sama, menonton TV sama…tetapi bagi anak tunggal seperti anak saya, dengan siapa dia mahu ajaknya bermain? Tiada orang lain lagi melainkan emaknya!

Lantas notebook saya ini saya tutup dan simpan di dalam begnya. Terkadang kerap juga anak saya ‘memilikperibadikan’ notebook saya ini. Dan kerap juga saya membiarkan rumah bersepah ibarat tongkang pecah…biarkan kain baju tidak berlipat, biarkan perkakas dapur penuh di singki tidak berbasuh, biarkan permainan anak bersepahan merata rumah…semuanya untuk satu tujuan i.e agar saya punya waktu untuk bersama anak yang seorang cuma!



Biarkan saja bersepah...

6 comments:

SMM said...

i can so relate to this! we try our best, insyaAlah..

SURAIYA PAUZI said...

Mynie:
Ahaaa...kids are demanding!

Anonymous said...

Salam Su. Bagus punya entry. Bukan Su saja macam tu dengan anak, orang lain pun ramai yang begitu. Akhir2 ni akak selalu fikir kadang2akak ni melampau dengan anak2. Padahal mereka tu hamba Allah, dan Allah perhati saja apa yang kita buat pada hamba-Nya itu.
Kalau Su rasa ibu bapa keluar bekerja sibuk cari rezeki, akak kat rumah ni pun sama. Kadang2 masa utk mereka kurang sebab nak siapkan kerja depan komputer. Walhal, tanggungjawab utama kita sebagai ibu untuk mendidik mereka. InsyaAllah kalau kita didik mereka dengan penuh ikhlas, Allah akan mudahkan rezeki anak2 itu sampai kepada kita. Cuma yang kita risau, betulkah kita bekerja bertungkus-lumus ini sebab cari rezeki utk mereka atau...
Sama-samalah kita ikhlaskan diri.

SURAIYA PAUZI said...

ummunajah:
apo nak buek . . .!

Anonymous said...

Salam Kak Su, Blog kak Su ni menginsafkan saya yang macam mengabaikan tugas menjadi seorang anak dan kakak kepada 9 orang adik kerana sibuk kejar impian sendiri.

Ummu

SURAIYA PAUZI said...

Ummu
Itulah kita yang bernama manusia