Monday, January 12, 2009

PAHALA MENGUGUT ORANG

Kisah ini daripada adik saya ANIS FAHMY PAUZI yang mahu dikongsi dengan khalayak; diperolehinya semasa dalam lawatan kerja di Yokohama, Jepun mewakili MEF baru-baru ini:

Ini , sembang-sembang kosong saya dengan peserta Indonesia semasa lawatan kerja di Yokohama 6 - 20 Disember 2008, Jepun. Kisah bagaimana dia berjaya berhenti merokok. Mungkin boleh jadikan bahan untuk pengajaran pelawat blog.

Harry Kusbini
9/12/2008

Hari ini merupakan hari ke-3 saya berada di Yokohama bagi melaksanakan amanah yang telah diberi oleh pihak MEF untuk mengikuti kursus dan juga membentangkan kertas kerja berkaitan isu Standard.

Semasa selesai makan malam di dewan makan Yokohama Kenshu Center saya duduk bersembang dengan peserta dari Indonesia Harry Kusbini. Keseluruhan sembang merangkumi pengalaman masing-masing, kerjaya, musafir dan keluarga. Banyak yang dibincangkan.

Walau bagaimanapun satu kisah menarik oleh Harry Kusbini adalah bagaimana beliau berhenti merokok 2 tahun yang lalu.

Semasa bercerita , beliau dengan raut wajah yang amat yakin dan ikhlas menceritakan bahawa beliau berhenti merokok serta-merta, tanpa kaedah berperingkat ataupun sedikit-demi sedikit sebagaimana perokok tegar lain.

Tiada rahsia, tiada pakar kaunseling, tiada masalah kesihatan yang dialaminya yang membuatkan beliau berhenti, tetapi berhenti dengan serta-merta kerana kasih sayang. Bukan kasih sayang kepada kesihatan, tetapi kasih sayang seorang ayah terhadap anak perempuannya.

Beliau mengatakan dia berhenti setelah anak gadisnya mengugut “Kalau papa masih merokok, saya akan jadi perempuan liar dan nakal!!!!!”

Mudah sahaja ugutan anaknya. Kerana ugutan itulah saudara Harry Kusbini yang risau implikasi terus merokok, takut anaknya betul-betul menjadi gadis liar terus berhenti. Bukan esoknya tetapi pada saat dan ketika tamat ayat anaknya mengugut itu. Tanpa berfikir panjang. Hebat.

Dan anaknya juga telah menepati janji hingga kini, menjadi anak yang soleh, berdaya maju dan kini sudah pun menjejakkan kaki ke menara gading di tanah air Jakarta. Harry Kusbini hendak memasukkannya ke Universiti di Malaysia, mahu dihantarnya anak gadis kesayangannya itu ke perantauan, jauh agar anaknya berdikari dan tambah pengalaman. Tetapi anaknya enggan semata-mata kerana hendak berdekatan dengan keluarga.

Begitulah kisah ringkas Harry Kusbini, seorang ayah yang lebih sayangkan anak lebih daripada batang tubuhnya sendiri, berhenti merokok bukan kerana kesihatan, tetapi kasih sayang.

Begitulah pintar si anak , mengugut kerana sayangkan ayah sehingga ayannya berhenti merokok secara "emergency brake".

Barangkali sekiranya ada pahala dalam mengugut orang, ugutan anak Pak Harry Kusbini ini layak mendapat pahala. Sekian Wassalam.

No comments: