Wednesday, January 21, 2009

Limau dan limau dan limau dan limau...

Limau…Limau…Limau…di mana-mana pun limau.

Musim Raya Cina sentiasa dinanti-nanti baik kaum Cina mahupun kaum lain. Bukan sahaja cuti rayanya yang agak panjang, tetapi Raya Cina seperti lazimnya akan berpesta limau.

Di pejabat saya, di atas setiap meja staf ada limau. Pemberian Poh Loh (maaf kalau salah eja nama) dari Ultimate Print tempat syarikat kami mencetak majalah. Saban tahun syarikat kami menerima berkotak-kotak limau daripadanya. Terima kasih banyak beri limau ya.

Limau dari kotak itu kemudian kami masukkan ke dalam plastik, dikira sama banyak lalu diagihkan kepada semua staf. Setiap orang dapat seplastik beg limau, macam beli di pasar pula lagaknya. Justeru, ke mana-mana pergi di pejabat kami, baik di bilik bos mahupun di meja-meja staf, semua ada limau. Warna jingga di sana sini. Pendek kata, seluruh pejabat ada bau segar limau (pewangi udara semula jadi) semerbak merata. Setiap bakul sampah juga ada kulit dan pembalut limau.

Apa pun, saya lebih suka menamakan musim ini (untuk saya) dengan nama ‘Musim cirit-birit'. Tahun lalu tak sedar diri makan limau hingga sakit perut kerana berlebihan vitamin C. Vitamin C yang berlebihan di dalam tubuh akan dikumuhkan.

Tahun ini saya lebih berhati-hati makan limau supaya pengalaman tahun lalu tidak berulang.

Kepada rakan-rakan di pejabat, selamat makan limau diucapkan. Kepada anda yang kerap sembelit, barangkali musim Raya Cina ini boleh membantu melegakan ‘suasana’ yang tidak menyeronokkan itu!

Eh...baru teringat, tahun ini limau daripada Mr. Lee tak dapatlah...sejak pindah premis baru, belum nampak kelibat Mr. Lee datang servis penyaman udara...atau adakah khidmatnya tidak diperlukan lagi? Jika betul, kuranglah kuantiti limau yang dapat tahun ini.

Apa pun, kepada rakan-rakan Cina, tahun depan kami amat mengalu-alukan kedatangan ‘limau-limau’ anda. Terima kasih daun keladi, tahun depan berilah lagi!

2 comments:

SMM said...

saya suka buah limau lokam :)

Keri AlHaj said...

huhu... tahun ni tak dpt bahagian limau... nak pun kenalah beli sendiri. katt sini tak berurusan dgn poh loh laaa...