Tuesday, January 6, 2009

MASUK TADIKA



CATATAN 8 MUHARAM 1430/5 JANUARI 2009

“Bangun Ammar. Hari ini kena sekolah. Dah besar kenalah masuk tadika,” ujar saya ketika mengejutkannya pagi tadi.
“Ammar tak nak syulah (sekolah). Ammar nak dok umah (rumah)’,” rengeknya sambil menangis dan menahan mengantuk.
Kalau hari-hari biasa ke taska tidak menjadi masalah sangat kerana boleh diangkat waktu dia masih nyenyak. Tetapi apabila masuk tadika, sistemnya berlainan. Pagi-pagi kena berbaris.
Tetapi sebaik sahaja dia celik dan mandi, segalanya mudah. ‘Hmmm, permulaan yang baik,’ bisik saya dalam hati. ‘Tak mengada-ngada macam biasa.’
‘Cipat (cepat) Mak, sejuk…’ katanya sambil mencangkung telanjang bulat di dalam bilik air.
‘Ammar nak baju tomen (Ultraman),’ katanya sebaik selesai dilap. Hmm…petanda tak bagus, nanti dapat uniform susah nak pujuk pakai.

Masalah memilih baju paling sukar apabila anak sudah mula ada citarasa sendiri. Tidak lagi mahu orang tua yang memilih. Kerana itu saya terpaksa membeli dua tiga pasang baju Ultraman atau Spiderman yang sama. Sebelumnya ada dua pasang sahaja menyebabkan saya mengalami masalah hendak membasuhnya. Kekadang diambilnya dari bakul pakaian kotor untuk dipakai, tidak sempat dibasuh. Pada waktu yang lain, baru sahaja dijemur tidak sempat kering sudah mengamuk hendak pakai. Maka terpaksalah disterika hingga kering. Kerap juga saya menjemurnya di dalam kereta; khuatir jika tidak sempat kering apabila balik dari taska (playschool) dan tidak mahu pakai baju lain selain baju kedua-dua superheroes itu.

‘Minta halalkan semuanya ya, anak saya tu cikgu. Maklumlah Ammar ni nakal sikit,’ kata saya pada hari terakhir menjemput anak di taska, sambil menghulurkan cenderahati yang tak seberapa kepada setiap cikgu yang telah menjaga dan mendidik anak saya selama dua tahun.
‘Saya pun sama kak. Minta halal dan maaf sebab selalu juga marah-marah si Ammar,’ kata cikgu yang paling lama menjaga anak saya sejak anak saya berusia setahun setengah.
Tak apa. Biasalah marah mendidik, tak apa,’ balas saya.






TERIMA KASIH CIKGU. SELAMAT TINGGAL TASKA...HALALKAN SEMUA YA!



Ya, minta halal segalanya amat perlu bagi anak kita, mudah-mudahan ilmu yang dipelajarinya itu berkat!

Hari ini bermulalah fasa kedua dalam alam pendidikan anak saya Ammar Hadi setelah graduasi pertama di taska (for toddlers), dan melangkah ke prasekolah (tadika).

Antara taska dan tadika cuma dipisahkan dengan dinding sahaja. Sebelah-menyebelah. Kekadang cikgu tadika datang menjengok ke taska dan suka menyakat anak-anak yang comel di situ. Kekadangnya pula cikgu tadika menggantikan cikgu taska yang bercuti. Jadi anak-anak dari Taska Hasanah yang masuk ke Tadika Hasanah tidak berasa asing. Malah sebelah petangnya, anak-anak taska juga ‘melepak’ di tadika.

Pagi ini, setiba di Tadika Hasanah, cikgu datang menjemput setiap anak yang datang di muka pintu kereta dengan wajah yang manis dan mesra. Yang tidak mahu masuk, diumpan dengan gula-gula, terus tergoda dan lupa bersalam dengan ibu bapa. Dari segi psikologinya bagus, tetapi dari sudut kesihatan, kuranglah baiknya (pagi-pagi makan gula-gula sebelum sarapan). Cuma, sekali itu sahaja, tidak mengapalah atas dasar untuk menarik anak-anak masuk ke kelas.

Aduhai, jika dilihat pada tubuhnya, anak saya kecil saja saiznya berbanding yang lain.

Untuk bulan pertama ini, tidaklah perlu memakai uniform dan masih lagi membawa botol susu. “Tak apa, hisap masa nak tidur saja,” terang cikgu.

Saya cukup senang hati dengan khidmat Tadika Hasanah. Berbaloi dengan yurannya. Cikgunya memang mesra kanak-kanak. Ada tiga pakej yang ditawarkan. Ikutkan hati mahu sahaja saya pilih pakej ‘kertas biru’ (separuh hari iaitu kelas tadika sahaja).Tapi di mana pula anak mahu diletakkan pada separuh hari kemudiannya? Mahu tidak mahu saya memilih pakej ‘kertas merah jambu’ yang menawarkan khidmat 7 pagi hingga 6 petang meliputi makan tengah hari, minum petang dan mengaji al-Quran sebelah petangnya. Diskaun RM130 memandangkan anak saya dikategorikan pelajar lama dari taska.

Meletakkan/menghantar anak lima tahun dan ke bawah ke taska atau tadika ada pro dan kontranya berbanding menghantar anak ke pengasuh (babysitter).

Jika di hantar kepada pengasuh, yang baiknya anak mendapat lebih perhatian daripada pengasuh kerana tiada saingan daripada rakan-rakan sebaya. Jika di taska atau tadika cikgu perlu memberi perhatian yang sama rata. Tiada istilah ‘anak emas’ walaupun anak cikgu sendiri di tempat yang sama.

Namun, yang positifnya jika menyerahkan anak ke taska atau tadika bertauliah, anak mendapat didikan yang lebih formal berbanding pengasuh. Malah kita sendiri sebagai ibu atau ayah pun terkadang tidak mampu melakukannya. Apatah lagi pengasuh. Lainlah kalau pengasuh itu tip top akhlaknya dan boleh mengaplikasikan didikan agama dan moral dengan baik kepada anak asuhannya.

Di tadika atau taska, disiplin diajar. Anak belajar berdikari. Anak belajar erti persahabatan dan berkongsi barang dan makan. Sesekali bertengkar dan bertumbuk itu lumrah. Balik rumah sedikit bercalar, benjol dan lebam itu perkara biasa. Dari situ anak sebenarnya belajar erti kehidupan—menjadi manusia yang ‘defensive’, tidak lembik dan manja atau terlalu mengada-ngada.

Yang paling dihargai bagi anak yang dididik di taska/tadika bertauliah ini, mereka sudah boleh menghafal dan melafazkan doa-doa ringkas. Jika kita sendiri yang mengajar, agak lambat dapat ‘tangkap’. Sesungguhnya insan yang bergelar cikgu mempunyai auranya yang tersendiri yang membuatkan anak-anak mahu belajar dengannya.

Pernah sekali kerana terlalu mengantuk dan hampir sahaja terlelap, anak saya mengingatkan dengan bahasa pelatnya, ‘Mak! Belum ‘bismikallah humma ahya wa amuut…’
‘Alamak! Mujur Ammar ingatkan. Mak lupalah. Terima kasih. Ammar jangan lupa baca doa macam Mak tau…’ pesan saya—entah dia faham atau tidak kata-kata saya itu.

Di taska dahulu, anak saya antara yang sukar dikawal dan tak ‘reti’ duduk diam. Namun, dalam keaktifannya itu ada doa-doa yang diajar dihafalnya yang kekadang kita sebagai orang tua lupa berdoa sebagaimana anak kita. Misalnya waktu makan, kita hanya membaca bismillahirrahmanirrahim. Tetapi si anak kecil membaca doa penuh siap dengan terjemahannya. Seperkara lagi, jika di taska, apa jenis baju pun tidak susah cikgu hendak pakaikan—tak perlu yang Ultraman mahupun Spiderman. Kalaulah di rumah, kita yang sakit jiwa berperang dengannya tiap kali hendak pakaikan baju.


Jam 18.06pm hari ini saya tiba di tadika untuk menjemput anak pulang, saya bertanya cikgunya, ‘Ammar macam mana? Boleh ikut?’
‘Dia okey. Seronok sangat main dengan kawan,’ jawab cikgu.
Saya bertanya pula Ammar, ‘Best tak sekolah?’
‘Best. Ammar tak nak syulah situ,’ jawab anak saya sambil mulutnya dimuncungkan ke taska tempat dia dahulunya dididik.

Alhamdulillah, mudah-mudahan rajinlah ke tadika hendaknya.

Apa pun, untuk manifestasi sistem di tadika ini, saya perlu tunggu dan lihat. Hari ini terlalu awal untuk merumuskan apa-apa. Hanya doakan yang terbaik untuknya.

“Ya Allah, engkau peliharalah anakku dan anak-anak yang suci ini dan guru-gurunya yang mulia daripada segala malapetaka. Jadikanlah anak-anak ini hamba-Mu yang bertaqwa. Limpahkanlah mereka dengan rahmat-Mu.”



Begitu doa saya setiap kali dan setiap hari meninggalkan anak di bawah jagaan gurunya.

10 comments:

Kamariah Kamarudin said...

salam
ohhhoo sudah besar si Ammar Hadi; dan begitu panjang perjalanannya lagi. Ini mengingatkan saya pada sikecil saya, Zahra Kamila yang akan memasuki usia 2 tahun tanggal Mac nanti; ya Allah saya kekadang dalam "delima" untuk meneruskan taska yang sedia ada atau menukarkannya ke tadika baharu nanti...

suraiya said...

A'a masih jauh...moga saya dipanjangkan umur untuk melihatnya dewasa.

Kenapa nak ditukar taska Zahra? kalau sudah serasi dengan penjaganya di situ, elok saja diteruskan.

Anonymous said...

salam perkenalan suraiya.
saya cuma nak tanya, semasa Ammar di taska dulu, macam mana penjagaan pengasuh di sana?Yang paling penting, ramai tak budak2 yang di ambil?
saya ada mengahantar anak di taska seksyen 6 juga, tapi ada beberapa perkara yg saya membuatkan bagai nak bertukar taska..terima kasih atas jawapan -anis-

suraiya said...

Salam perkenalan kembali,

Nama siapa ni boleh saya tahu!
I don't know about taska sek.6. Send my son to Tadika Hasanah Taman Tun Dr Ismail.
Ratio antara cikgu dan anak-anak di Taska Hasanah TTDI setakat ini adalah seimbang. Dan cikgunya pun komited, alhamdulillah khasnya Cikgu Sri yg sgt sayangkan kanak-kanak (dlm gambar itu yang bertudung hitam). Jumlah anak2 seramai yang dlm gambar itulah.

chimera said...

cepatnya masa bergerak ya... pejam celik-pejam celik.... dah tadika dah dak Amar... (saya jugak yg dok bujang lagi... heheheh)

suraiya said...

Betullah shukri, deras masa berlari tanpa kita sedar. Tak pa la bujang pun, org laki tak kisah sgt. Kalau pompuan, susah sikit nak kata. Jgn jd bujand lapok atau terlajak sudahlah ye

imihar said...

assalammualaikum... maaf nak bertanya since kemungkinan besar akan menghantar anak ke sana juga.. baby baru 7 bulan. Suasana taska Hasanah OK tak.. ramai ke baby/kanak2 sana..? almaklum since dah ada ibubapa yg pernah menghantar anak ke sana, lega sikit boleh bertanya suasana dekat situ..

tima kasih.

suraiya said...

Salam Imihar,

Saya tidak tahu cawangan Taska Hasanah mana yg puan hendak hantar anak itu. Tadika/Taska Hasanah anak saya di TTDI. Setakat ini saya berpuas hati, belumlah lagi dgr apa2 yg tidak menyenangkan di T.Hasanah TTDI. Cawangan2 lain, wallahualam! Tapi rasanya semua ok kot. T.Hasanah TTDI ini juga tempat Muhammad (hafiz muda) kita yg mengalunkan azan di tv tu dihantar ibu bapanya dulu.

*Bling*A*Chew* said...

Tumpang tanya, Taska Hasanah ni kat mana ya? Saya duduk di TTDI, plan nak hantar anak saya yg dekat2 dgn rumah supaya atuk dia boleh jenguk2 masa saya kat keje. Bulan2 bayar berapa ek?

SURAIYA PAUZI said...

BLING A CHEW,

Tadika Hasanah sangat hampir dengan Masjid Ghufran di Pinggir Taman Tun.

Head for Masjid Ghufran!