Tuesday, March 31, 2009

MINGGU-MINGGU YANG SANGAT SIBUK


Minggu-minggu terakhir sebelum berlangsungnya PESTA BUKU ANTARABANGSA (17-26 April 2009) di PWTC ini merupakan waktu yang sangat sibuk bagi penerbit dan kilang cetak.

Bagi kami di Galeri Ilmu, keadaannya begitulah. Kesibukan yang melampau! Hinggakan saya tidak begitu pedulikan rakan-rakan di sekeliling melainkan mereka yang terlibat secara langsung dengan proses penerbitan buku.

Menyunting dan membaca pruf buku ... ialah suatu tugas yang berat lebih-lebih lagi pada waktu yang sangat kritikal ini (sudah masuk ICU!) Mata yang sudah sedia rabun ini, rasanya bertambah rabun (company patut sediakan peruntukan untuk tujuan ini – untuk buat pemeriksaan mata dan cermin mata).


Makan minum pun di celah-celah waktu kerja.

Pen merah yang digunakan untuk pembetulan pruf di galei habis dakwatnya. Saya sudah menggantikan yang baru.

Pen merah baru.


Meja editor (khasnya meja saya dan Pak Ya) sudah tiada rupa meja dek timbunan material kerja. Saya pernah terlibat beberapa tahun dalam proses penerbitan majalah, namun stres dan tekanannya tidak sebegini (buat majalah masih ada ruang untuk bernafas tenang walaupun kritikal).

Ahad 29/3 – Saya selesai membaca pruf galei RINDU BAU POHON TIN tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil a.k.a Abu Saif (Saifulislam.com). Saya lakukan dicelah-celah kesibukan menguruskan rumah tangga hinggakan anak sedikit terabai. Anak jadi mangsa kemarahan saya kerana stres. Rumah tangga yang sememangnya sudah lintang-pukang, bertambah lintang-pukang. Sungguh! Kalau boleh saya tidak mahu lagi membawa pulang kerja ke rumah kerana bagi saya di rumah ialah waktu untuk kita habiskan bersama keluarga! Waktu selepas pejabat ialah waktu yang sangat berharga untuk kita habiskan kepada urusan lain. Berdosanya kita kerana merompak waktu yang sewajibnya menjadi hak anak dan rumah tangga!

Saya sambung lagi membaca pruf hingga ke dinihari, hingga sakit otot di leher dan bahu yang saya alami sejak tiga tahun lalu bertambah sakit. Pusing kepala ke kiri dan kanan pura-purakan tidak sakit. Ubat yang sering dibekalkan doktor sudah tidak ada makna! Sudah mangli barangkali.

Semalam (30/3) saya juga baru selesai menyunting satu lagi manuskrip Ustaz Hasrizal AKU TERIMA NIKAHNYA 2 – BERCINTA SAMPAI KE SYURGA. Inilah yang bahan terakhir saya sebelum tiba Pesta Buku.

Meja penuh dengan galei JUARA MUDA (4 buah) & manuskrip AKU TERIMA NIKAHNYA 2

Doa saya moga kesemua buku sempat dicetak untuk Pesta Buku nanti. Saya juga berdoa agar tahun depan proses menerbit buku sudah ada hala tujunya, tidak berulang kesibukan seperti tahun ini. Saya turut bersimpati dengan artis grafik yang terpaksa juga membawa pulang kerja ke rumah untuk disiapkan. Simpati saya kerana mereka semuanya sudah punya keluarga yang mengharapkan perhatian.

Kepada semua penulis, ampun maaf jika masih ada 'error' dalam buku anda yang mungkin terlepas pandang dek kerana waktu yang suntuk! Tidak punya waktu untuk menyemaknya dengan terperinci.

Sesungguhnya warga kerja walau di organisasi mana sekalipun berhak punya waktu untuk bersama sekeluarga setiap hari biarpun fitrah kerja kita memerlukan komitmen yang tinggi!
Komitmen kerja tetap komitmen, namun komitmen kepada keluarga kita tetap nombor satu. Tiada siapa yang berhak merampas haknya melainkan Allah SWT!


Ini ketika sibuk membaca pruf galei SIRI MARI MENEROKA ALAM HAIWAN (10 buah) beberapa bulan dulu.

Tuesday, March 24, 2009

CERITA 'IBU'

NOTA: KISAH SAYA INI SAMA SEKALI TIADA NIAT HENDAK MERENDAH-RENDAHKAN SESIAPA YANG MENGAJAR ANAKNYA MEMANGGIL DIRINYA ‘IBU’, CUMA TERINGATKAN SEBUAH KISAH DULU-DULU SEMASA REMAJA. HARAP TIADA YANG BERKECIL HATI. NO OFFENSE!


“Ibu, I prayed already,” kata kawan anak saya kepada ibunya yang tiba untuk menjemputnya pulang.
Good boy,” balas Ibu.

Saya menelinga perbualan dua beranak itu, lalu fikiran saya menerawang kepada seorang kawan saya semasa di sekolah menengah. Kawan saya ‘H’ itu terkenal dengan lawak dan otak lateralnya. Selalu berfikir apa yang tidak terfikirkan oleh orang lain.

‘Ibu’, ‘Ummi’, ‘Mak’ dan yang paling popular ‘Mama’ ialah antara bahasa panggilan anak-anak kepada bonda mereka di tadika anak saya.

Setiap kali ada anak-anak di tadika itu memanggil ‘Ibu’ fikiran saya bukan sahaja teringatkan ‘H’ tetapi penerangan ‘H’ itu menyebabkan saya tidak dapat mengelak daripada berfikir seperti ‘H’ juga.

“Korang sok nak ajar anak panggil nkorang apa?” soal H kepada kami bertiga.

“Mama,” jawab W.

“Mama juga,” jawab J.

“Nko Su?” tanya H.

“Hah...aku? Entah belum fikir nak kahwin, belum fikir nak ada anak,” jawab saya.

“Alah, andaikan je,” sampuk J.

“Mmm, Mak lah, macam aku panggil Mak aku. Apsal nko sibuk tanya ni?”

“Eeee...bagus, bagus,” komen H.

Kami saling berpandangan. Mesti ada sesuatu yang difikirkan H berdasarkan air muka nakalnya.

“Apsal nkorang tak da nak ajar anak panggil Ummi? Kan, sedap tu?” tanya H.

“Nko panggil Mak nko Ummi ke?” tanya seseorang (sama ada J atau W yang bertanya saya dah lupa.

“Aku panggil Mak aku Mak lah,” jawab H.

“Habis tu yang ko tanya kitorang apsal?” saya menyoalnya.

“Apsal ko panggil mak nko Mak, tak Mama?” Aik, H menyoal aku balik. Tak dijawab soalan yang kita tanya.


“Dah Mak aku ajar aku panggil dia Mak. Lagipun Mama ni getik sikitlah bunyinya. Ngada-ngada. Sesuai dengan orang bandar. Aku kampung, tak nak sok anak aku berlagak moden. Aku sedar diri aku. Sok kalau umur 50 macam tak sesuai nak panggil mak kita ‘Mama’. Eee, manja sangat bunyinya. Budak kecik oraitlah, nampak comel. Kalau Mak, bila-bila pun sesuai,” jawab saya panjang.

“Wooooi, nko perli kitoranglah nih?” W membalas. Terasa agaknya.

“Okey, okey...jangan gaduh. Tak pa lah Mama pun. Jauh lebih baik dari panggil mak korang ‘ibu’,” kata H.

“Hah...tak paham,” kata kami. Tak pasti apa yang hendak diperkata H.

“Aku kan, kalau orang panggil ibu, entahlah kepala otak aku mulalah nak kaitkan dengan macam-macam benda,” jelas H.

“Contoh?” J bertanya.

“Contoh, ibu jari, ibu pejabat, ibu kaki ...” jawab H. Panjang lebar senarai ‘ibu’nya. Antaranya yang saya ingat:

Ibu tangan
Ibu kunyit
Ibu sawat

“Haa...haa...” kami bertiga ketawa serentak, geli hati mendengar huraian H.

“Heee, teruknya nko ni. Tak baik tau. Kesian orang yang panggil mak dia ‘ibu’,” kata saya.

“Bukan salah aku. Kepala aku ni memang tak bolehlah dengar orang sebut ibu. Mesti fikir benda-benda tu,” tingkah H.

“Yang paling tak best sekali ‘ibu ayam’. Eee, mujur korang takda cita-cita nak ajar anak korang panggil korang ibu,” sambungnya lagi.

Kami bertiga bungkam! Maklum dengan sifat H.

H menyambung hujahnya, “Orang tak sebut, Mama jari, Mama pejabat atau Mak sawat, Mak kunyit. Malah orang tak sebut pun Mama orang, Ummi orang...oh, tapi satu yang tak berapa syok kalau panggil ‘mak’. Aku selalu nak kaitkan dengan ‘Mak Andam’...heee.”

‘Aduh...kawan aku ni, terkena jugak...” bisik saya dalam hati.

“Alah, tak kisahlah panggil Mak pun. Aku dapat ‘Mak Andam’ satu je. Aku pun panggil Mak gak,” jawabnya bila melihat dahi saya berkerut.

Kepada sesiapa di luar sana yang anak memanggilnya ‘ibu’, abaikan apa yang dikatakan kawan saya ini. Cuma fikiran saya pula yang jadi seperti H, dek penangan mendengar celotehnya itu yang satu sikit pun tiada faedahnya, satu sen pun tak guna.

Di mana sekarang agaknya H dan W? J masih berhubungan dengan saya. Moga diberkati Allah hendaknya. Moga persahabatan kita bertaut kembali, insya-Allah.

Wednesday, March 18, 2009

PENAT, LESU & LONGLAI

Penat dan sangat letih (mental dan fizikal). Itulah yang sedang saya alami. Saya percaya rakan-rakan sejawatan di Jabatan Buku pun sama.

Bahang Pesta Buku Antarabangsa yang akan berlangsung pada 17-26 April 2009 di PWTC semakin terasa. Kami sedang giat mengejar jadual penerbitan yang semakin menghimpit.

Lesu ... sebaik tiba di rumah.

Saya semakin longlai apabila bahan yang sedang disemak ‘hilang’ entah ke mana. Itulah yang terjadi pada bahan semakan UNTUKMU WANITA.

Beberapa bab sudah siap saya sunting di pejabat. Kemudian menyambungnya semula di rumah—hanya boleh dilakukan apabila anak sudah tidur pada lewat malam (tanpa gangguan).

Saya bersengkang mata hingga hampir dinihari. Beberapa bab sudah langsai. Hinggalah jeritan anak dari tingkat atas yang terjaga dari tidur menyedarkan saya waktu yang berlalu.

Lantas saya mengemas dan menyimpan lap top, thumbdrive, dan galei UNTUKMU WANITA ke dalam beg sebagai persiapan menyambungnya lagi di pejabat.

Sewaktu bersiap hendak ke pejabat, saya memeriksa untuk memastikan yang ‘everything is in order.’ Tiba-tiba ...

“Eh, ke mana pula thumbdrive aku ni,” hati saya berbisik. “Ya, Allah. Janganlah hilang! Tak larat nak ulang buat kerja yang sama.”

Puas saya mencari di tingkat atas dan bawah, malah dalam bakul berisi pakaian kotor pun saya selongkar semuanya satu per satu. Semalamnya saya pasti dan saya yakin telah memasukkannya ke dalam beg.

“Allah …” Saya menepuk dahi sambil berselawat berkali-kali. Mana tahu berkat selawat akan terjumpa. Pada waktu yang sama terpaksa melayan kerenah anak.

Waktu sudah lewat untuk menghantar anak ke tadika dan untuk saya ke pejabat. Saya berhenti mencari.

Tiba di pejabat, sebaik En. Wan Azmin (bos saya) masuk, terus saya masuk berjumpa dengannya mengadu masalah.

“Saya tak sanggup dah nak ulang edit benda yang sama. Letih sangat, tak larat dah ...” adu saya.

Jalan penyelesaiannya, saya perlu meneruskan baki bahan yang belum disemak. Sambil-sambil itu, mencari thumbdrive yang hilang.

Saya juga SMS suami yang masih ada di rumah, “If u hapn 2c my thumbdrv anywhr, pls keep it somwhr safe. My work’s in it.” SMS saya itu ‘pending’ untuk sekian lama hinggalah terpapar di LCD telefon selular saya: Undelivered! Sabar je ...

Dalam sejarah saya mengedit bahan, rasanya inilah pengalaman yang paling meletihkan kerana bahan yang perlu disunting itu ‘berat’ dan di beberapa tempat kandungannya bernada akademik ditambah pula dengan banyaknya petikan ayat suci dan hadis bersama terjemahan.

Memandangkan waktu yang semakin suntuk, saya hanya ‘menyunting ringan’ ala kadar bahan tersebut. Andai masih ada waktu, dapatlah beri lebih tumpuan. Apa boleh buat, dah tak ada masa!

Hari ini En. Wan menjengah dari belakang saya, “Macam mana Su, okey? Boleh buat?”

Saya menyengih pahit, “Buat apa yang termampu aje …”

“Ada tu kat mana-mana. Balik cari. Kat ruang tamu ke, bawah meja ke ...” ujarnya lagi nak menyedapkan hati.

“Ameen,” jawab saya dalam hati.

Harapnya lepas Pesta Buku nanti saya dibenarkan bercuti beberapa hari untuk menghilangkan lelah kerja. Khuatir juga takut penyakit lama saya yang berkait dengan hati berulang lagi hingga menghidap jaundis! (Jasad manusia perlu direhatkan pada malam hari agar hati dapat menjalankan fungsi dengan baik, menyingkir segala toksin dalam darah) dan tak kuasa untuk habis beribu-ribu ringgit lagi untuk mengubatinya.

MORALNYA: Copy bahan ke dalam hardrive jika mahu selamat (sebagaimana kelaziman saya buat, tetapi dek kerana mahu segalanya cepat, inilah jadinya).

Friday, March 6, 2009

KITA SEBENARNYA TIDAK CINTAKAN NABI SAW

Nabi Muhammad SAW lahir pada bulan Rabi’ulawwal—bulan yang mulia. Bulan ini
dimuliakan kerana diutuskan Rasulullah SAW.

RABI' ertinya ‘bunga’. Sifatnya
berkembang mekar dan wangi.

Demikian diibaratkan kelahiran Nabi SAW yang
mengembangkan syiar Islam ke serata alam!

Saya agak terkesan mendengar kuliah yang disampaikan Ustaz Lutfi di surau pejabat semalam (5 Mac 2009).

Dalam kuliahnya Ustaz memperkatakan tentang Rasululullah SAW sempena Maulid Baginda yang akan menjelang 12 Rabi’ulawwal ini.

Walaupun dalam lawak, mesej ustaz muda ini tetap tegas iaitu tentang tahap kecintaan kita kepada Rasul akhir zaman ini—hari ini kita lebih cintakan dunia berbanding Rasulullah SAW.

“Tak ada nilainya ijazah kita, jika kita tidak mengkhatam dan mengkaji kitab-kitab tentang Nabi Muhammad SAW, kitab-kitab hadis Baginda ...”ujar Ustaz Lutfi.

Ya, memang benar, ramai di kalangan kita hari ini memiliki ijazah bergulung-gulung, daripada diploma hinggalah Ph.D. Tak usah menunjuk-nunjuk dan berbanggalah dengan beberapa gulungan dan berapa tinggi nilai ijazah itu selagi kita tidak mengkaji kitab-kitab berkenaan Rasulullah SAW. Malah mereka yang tidak memiliki ijazah itu lebih tinggi martabatnya jika dia seorang pengkaji kitab tentang Baginda dan ribuan hadis baginda serta dia mengamalkan pula ajaran Baginda. Itulah yang sebenar-benar cintakan Rasulillah SAW! Itulah inti pati yang saya dapat daripada kuliah Ustaz Lutfi (bagai terkena batang hidung sendiri).

Terasa benar biadapnya diri ini pada pandangan Allah kerana tidak mencintai Nabi agung itu dengan sesungguhnya. Tepatnya, dengan sikap kita itu, kita sebenarnya tidak cintakan Baginda.

Jika kita cintakan sesuatu berbau ‘keduniaan’ kita berusaha keras untuk mendapatnya (pangkat dan material) tapi kita tidak bermati-matian berusaha untuk cintakan Rasul dan Allah, malah barangkali langsung kita tidak berusaha ke arah itu.

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan anda sekalian, sepanjang hayat kita yang masih berbaki ini, marilah kita sama-sama semarakkan selawat ke atas junjungan Baginda SAW yang merupakan sebaik-baik makhluk, agar dengannya kita beroleh syafaatnya di Sana nanti. Wallahu a’lam.

Wednesday, March 4, 2009

AIR-SYO-WO

“Air-syo-wo,” kata anak saya setiap pagi saya memandu untuk menghantarnya ke tadika. “Air-syo-wo,” katanya lagi diiringi dengan gelak. Saya perasan setiap kali dia menyebutnya dia akan ketawa.

“Hah…apa dia, Ammar?” soal saya.

“Air-syo-wo.”

“Alaa, sorrylah. Mak tak faham. Cakap lagi sekali.”

“AIR-SYO-WO.” Makin tinggi nadanya.

“Adulaaa…Mak tak boleh nak fahamlah, Ammar.”

“AIR-SYO-WOOO…eeee Mak niii…” Dia mula meradang.

Ketika saya membelok ke simpang menuju tadikanya. Sekali lagi dia menyebut, “Air-syo-wo,” tangannya menuding ke radio kereta, “ni Mak, air-syo-wo.”

Saya kemudian tergelak kerana baru dapat menangkap maksudnya, “I follow,” tag line Sinar Pagi kendalian tiga DJ popular dan semakin popular dan semakin ramai pengikut yang follow—Krill, KE dan SY.

Kepada mereka bertiga, terima kasih DIUCAPKAN kerana menceriakan suasana pagi pengguna-pengguna jalan raya setiap hari, termasuklah anak saya Ammar Hadi. Memang tak kering gusi!