Thursday, February 26, 2009

EMOSI GERAM DI PAGI HARI

Minggu lalu, minggu yang benar-benar menguji sabar saya. Awal pagi yang sepatutnya dimulakan dengan keceriaan serta ucapan syukur kepada Allah telah bertukar menjadi pagi yang penuh keluhan emosi geram dan radang.

Waktu pagilah waktu yang penuh kelam-kabut bagi seorang ibu—mengejar masa yang pantas berdetik. Apatah lagi kalau ibu punya anak ramai. Dalam kes saya, anak hanya seorang, tapi sudah cukup membangkitkan emosi marah. Tak terbayangkan para ibu yang ramai anak, bagaimana agaknya anda menyabar diri?

Dua hari berturut-turut anak saya Ammar Hadi buat perangai. Kemudian selang sehari, diulangi perangai yang sama.

Isnin 16 Februari 2009
Kunci kereta sudah ada di tangan. Tunggu untuk masuk ke kereta sahaja.

“Ammar, nak kencing tak?”
“Tak nak.”
“Betul tak nak?”
“Betul.”
“Kalau tak nak, masuk kereta cepat,” arah saya sambil membuka pintu kereta, kemudian ke pintu pagar untuk membukanya. Kemudian kembali ke kereta. Anak saya masih tercegat di muka pintu kereta.

“Mak, Ammar kencing.”
“ALAAAAA… Mak tanya tadi kenapa kata tak nak?” kata saya, naik angin. “Tengok, habis baju sekolah. Mujur tak kencing dalam kereta.”

Panggg…sebiji penampar singgah di betisnya.

“Huaaaaa…waaaa…huaaa…eeee… Mak ni, ‘tasyik’ (sakit) Ammar.” Dia menangis. Air mata meleleh laju. Dia pun ikut jadi geram.

Saya melihat jam di tangan. Aduh! Dah lewat.

Mangga gril dan kunci pintu rumah terpaksa dibuka semula. Saya tergesa-gesa membawanya ke bilik air dan membersihkannya.

Dalam waktu yang semakin lewat, saya ligat mencari baju lain. Ammar membuntuti dari belakang. Saya membelek-belek pakaiannya yang berlonggok di atas sofa yang belum sempat dilipat. Dia cepat-cepat memilih baju sendiri—baju Ultraman berlengan kuning. Seluar juga kuning. Baju yang paling saya menyampah tengok, itulah pakaian kesayangannya. Sebahagian besar gambarnya berposing dengan baju inilah. Hinggakan banyak gambarnya seperti dirakam pada hari dan waktu yang sama.

“Nak ini,” katanya, menyeringai.
“Isk…tak da baju lain ke nak pakai? Tukar lain, dah buruk sangat, bulu-bulu dah ni.” Saya mencari-cari baju lain.
No…no… Mak, don’t,” protesnya…speaking pula. “Ammar nak yang iniiiii...iniii Mak,” kata Ammar sambil mengunjukkan baju kesukaannya.

Mau tak mau saya terpaksa mengikut kehendaknya memandangkan waktu sudah lewat.

Pulang dari kerja, saya terus basuh uniform itu dan terus gosok tanpa menyidainya terlebih dahulu.

Selasa, 17 Februari 2009
“Jom, Ammar…cepat sikit. Kencing dulu sebelum naik kereta. Nanti, kencing lagi dalam uniform. Kencing sekali lagi, Mak pukul macam semalam. Nak?”
“Tak nak.”

Saya menuju ke pintu rumah, membukanya untuk memasukkan barang ke dalam kereta. Aii, sepantas kilat dia meluru keluar rumah.

“Heh, nak gi mana tu? Masuk. Pergi toilet,” saya memberi arahan.
“Dah kencing, Mak…”
“Hah, dah kencing? Bila Ammar gi toilet. Seluar tak bukak pun?”
“Daaah …dah kencing.” Baru saya perasan, air kencing bergenang di lantai.
“Aduhhhhhhhhh …kenapa Ammar buat Mak macam ni?”

Ya Allah, Engkau sabarkanlah aku.

“Kenapa tak dengar Mak cakap? Kan Mak kata kencing kat toilet,” suara saya mula meninggi. Tangan saya memulas lembut telinganya.

“Mak nak ambik gunting, nak gunting telinga Ammar ni sebab tak dengar Mak cakap.”
“Jangan, don’t. Jangan Mak. Cabut nanti telinga Ammar niii. Darah nanti …don’t…” dia mula menangis.

Saya tidak jadi marah, sebaliknya menahan gelak mendengar rayuannya yang menggelikan hati. Tapi bila bersuara, saya sengaja buat-buat marah.
“Tengok, lewat lagi. Nanti jalan nak gi office Mak jam,” kata saya sambil menariknya ke bilik air.
Belum sempat mengeringkannya, dia meluru ke bakul kain dan mengangkat baju Spiderman. Satu lagi bajunya yang saya cukup menyampah tengok.

“Nak ini …”

Oo, rupa-rupanya semalam dan hari ini dia sengaja tahan kencing supaya dapat kencing dalam uniform sekolah, jadi dapatlah dia tukar pakai baju kesukaannya.

“Eeeeeeeee….geramnyaaa,” kata saya mengetap gigi. “Lewat lagi hari ini.”
Dia pula, “Eeeee…geram Mak niii…tak lewat pong (pun).” Sempat pula dia mencubit pipi saya.
Huh, sudah pandai menjawab!
(Moralnya, jangan ikut cara saya yang tak betul ini, sebab anak akan tiru!)

Balik kerja…seperti semalamnya basuh dan gosok uniform tersebut.

Rabu, 18 Februari 2009
Hari ini, saya sudah lali dengan helah/taktik nakalnya. Jadi, tanpa apa-apa arahan saya menariknya ke bilik air dan menyuruhnya kencing dahulu sebelum masuk kereta.

Hari ini saya menang!

Khamis, 19 Februari 2009
Hari ini, hari pakai baju sukan. Hari bersenam di sekolah.

“MAK … MAK … AMMAR DAH KENCING…” tiba-tiba dia memekik dari bilik air. Bila masa dia masuk ke bilik air pun saya tidak perasan.

‘Bagus, dah retilah tu orang marah,’ bisik saya dalam hati. Senang hati saya, tidak lagi perlu jerit-jerit dan marah-marah.

“Haaa, tunggu situ. Nanti Mak datang basuh. Jangan gerak, jangan keluar” beritahu saya menuju ke bilik air.

“Laaa, kenapa kencing dalam seluar? Kenapa tak buka seluar dulu? Eeeeeee …”

Ada lagi helah rupanya! Takut kena marah kencing di luar, dia kencing dalam bilik air seperti yang disuruh semalam, tapi kencingnya tetap dalam seluar. Peliknya, waktu-waktu lain tak payah disuruh dan dipaksa pun. Sebaliknya waktu pagi yang kritikal pula buat perangai.

“Ammar nak pakai baju Batman blue …” katanya sambil berlari keluar dari bilik air sebaik dibersihkan … saya tidak sempat menahannya. Dia lebih pantas dan culas. Dia berlari naik ke atas, saya mengejar dari belakang.

Sampai di bilik dia sudah membuang bajunya dan bertelanjang bulat sambil membongkar laci pakaian mencari baju Ben 10 putih walaupun dia menyebutnya Batman blue (baginya sebutan Ben 10 ialah Batman). Pakaian berterabur di lantai. Dua tiga kali saya menarik nafas dan beristighfar menahan marah.

No Ammar…tak boleh pakai baju Ben 10. Pakai balik baju tadi. Seluar je ganti lain. Seluar sukan Ammar ada dua,” ujar saya cuba mengawal emosi. “Kalau tak nak pakai, Ammar dok sorang-sorang kat rumah. Nanti tak ada orang nak buat susu. Mak nak gi keja dah. Ammar tak payah ikut. Bye.” Saya mengacah dan berjalan menuju pintu.

“Nak…nak…Ammar nak ‘itot’ (ikut).”
“Kalau nak ikut, cepat pakai seluar…”
“ ‘Spender’ takyah,” katanya.
“ Payah. ‘Spender’ pun kena pakai jugak.”

Saya tidak pernah menyebut underwarenya sebagai ‘spender’. Tapi sejak masuk tadika, dia menyebutnya ‘spender’ kerana cikgu yang memandikannya sebelah petang menyebutnya ‘spender’. Spender pun spenderlah…janji mahu pakai.

Lalu dia menyarung seluarnya (dalam dan luar) tanpa banyak songel lagi.

Barangkali hari ini, kami seri! Tiada siapa menang, tiada siapa kalah!

Jumaat, 20 Februari 2009
Hari ini, hari pakai baju Melayu!

“Ya Allah, berkat mulia hari Jumaat ini, bantulah aku uruskan anak aku hari ini. Jangan Engkau biarkan aku marah-marah padanya…” Itu antara doa saya seusai solat Subuh.

Sebelum mengejutkannya dari tidur, saya berselawat tiga kali dan meniup ke ubun-ubunnya sambil memanjat doa di dalam hati, “Ya Allah, indahkanlah akhlak anakku sebagaimana indahnya akhlak Rasulullah SAW.” Saya teringat pesan Ustaz Abdullah Mahmood tentang ‘power’nya bertawassul dengan selawat Nabi.

“Mak, Ammar nak mandi sendiri,” katanya sebaik mencelik mata dan menghabiskan sebotol susu.

Pagi ini Ammar Hadi bangun tidur, terus ke bilik mandi dan kencing sebelum mandi. Tidak songel apabila menyarung baju Melayu, hadiah pemberian Dr. Kamariah Kamarudin!

Wednesday, February 25, 2009

Hilang dan hujan

Hari ini baru saya terperasan background template blog saya ini hilang. Gamaknya terdelete semasa saya mengemas kini lay out. Tak selera nak tengok. Belum berkesempatan nak cari design lain.

Hari ini juga pagi-pagi lagi hujan lebat. Beberapa tempat di jalan raya yang saya tempuh membabitkan kemalangan. Saya sangkakan saya antara yang lewat tiba di pejabat, tapi rupa-rupanya rakan-rakan lain lebih lewat lagi.

Wednesday, February 18, 2009

PRICELESS vs WORTHLESS

“These are all rare books,” kata saya kepada Fadwa Boustany dalam sesi temubual dengan beliau semasa rangka kerja di Kaherah pada tahun 2000. Saya sebagai wartawan dan penyelidik waktu itu. Kami membuat penggambaran dokumentari Salam Timur Tengah.

Saya terpegun melihat koleksi buku di pejabatnya sambil membelek sofa hitam di ruang tamu pejabatnya. Made in Malaysia tertera pada label di belakang sofanya.

“What are you looking for?” tanya beliau apabila melihat saya meninjau-ninjau sofa itu.

“Oh…I was just looking…your couch, made in Malaysia—my country,” jawab saya.

“Aaaah, yes…quite a lot of furniture in Egypt—imported from Malaysia. They are good.”

Isk…isk…bangga juga saya ketika itu, perabot Malaysia di Mesir! Rupa-rupanya Mesir merupakan satu daripada pengimport terbesar perabot Malaysia—baru saya tahu!

Janjitemu dengan Fadwa telah lama dibuat. Beliau mewarisi syarikat penerbitan Boustany daripada bapanya. Malahan usia syarikat Boustany sudah lebih seratus tahun.

Saya kagum melihat buku-buku antik di pejabatnya.

“We have many more, but we don’t keep them all here. They are at our main store. I’ll take you there.”

Dalam hawa musim sejuk, saya dan jurukamera menaiki kereta Fadwa, manakala krew yang lain mengekori dengan kenderaan lain.

Dalam perjalanan Fadwa bercerita, “They murdered my father.”

“Who?” saya bertanya.

“The government. Officers, police, they are untrustworthy. Corruption here in Egypt is like a disease … ” ujar Fadwa membuka pekung pentadbiran Mesir. Namun, itu bukanlah merupakan fokus subjek penggambaran kami. Off record! Dalam hati saya, ‘Eleh … kat Malaysia pun apa kurangnya!’

“Drivers in Cairo are unbelievable. They can’t stop honking their cars, can they?” saya cuba mengalih tajuk perbualan.

“Yes, very busy. If accident happens, they get out of the car and quarrel on street, they don’t care the long traffic jam behind them. You know how many population in Cairo?”

“How many?”

“In Cairo alone, there are twenty-four millions … ”

“Wow! That’s the total population of Malaysia … the whole country,” komen saya!

“So, you can see why Cairo is over crowded. Many poor citizens. Busy traffic. Corruption. Pollution … ”

Saya khusyuk mendengarnya. Sambung Fadwa lagi, “The population should be higher if it wasn't for the earthquake in 1992. Thousands of houses destroyed, hundreds’re dead …”

Ya, banyak yang diceritakan oleh Fadwa tentang hitam putih negaranya. Itu saya akui. Polusi: udara, bunyi, jangan dikenang! Sampah-sarap ada di mana-mana, hatta di atas bumbung apartmen sekalipun menjadi tapak pembuangan. Semuanya berpunca daripada penduduknya yang padat.

Namun, kerana Mesir merupakan bumi anbiya’, maka Allah masih mengekalkan keberkatannya. Makam-makam tempat bersemadinya alim ulama tidak kurang juga para Sahabat dan syuhada seperti Hassan al-Banna menjadikan bumi Mesir kaya dengan sejarah Islam. Kesan-kesan mukjizat para nabi, khasnya Musa a.s., masih dapat dilihat.

Setibanya kami di kedai buku Boustany, sekali lagi saya terpegun. Bukan kerana susun atur buku di raknya tak ubah seperti kita menyimpannya di dalam setor, tetapi terpegun dek kerana kebanyakan buku itu adalah lama, usang dan antik, yang sulit untuk kita peroleh di mana-mana melainkan di sesetengah khutub-khanah. Harganya tidak ternilai!

“Goodness! Where did you get all these books?” soal saya.

“From all over the world…from Europe, from America, from Canada, even from Asia. But I don’t know how to market them. I want to export my books. Perhaps you can help me … ”

“Alamak, Cikgu, macam mana ni? Minta tolong kita pulak. Cikgu jawablah,” kata saya dalam bahasa Melayu kepada CEO kami yang mesra dipanggil Cikgu (Cikgu Abu Hassan ialah director penggambaran dokumentari ini).

Saya meninggalkan Cikgu dengan Fadwa sambil meninjau rak-rak yang sarat dengan buku antik itu.

“They are worthless … ” kata saya, cuba mengalih perhatian dan menyelamatkan Cikgu.

Fadwa terkebil-kebil dan terkedu seketika sebelum menjawab, “Yes … yes … some of them are first editions. They are priceless.” Beliau menekankan perkataan ‘priceless’.

Giliran saya terkebil-kebil dan terkedu. Menyedari ketersasulan saya itu, saya menyengih pahit. “Ooops sorry. Priceless, that’s what I was going to say … ‘priceless’—the word I meant …”

Priceless dan worthless ialah dua perkataan yang berlawanan/bertentangan sama sekali. Satu bermaksud ‘tidak ternilai’ yang satu lagi ‘tidak bernilai’…dua konotasi berbeza!

Aduhai … begitulah manusia, punya kelemahan. Lebih-lebih lagi penguasaan bahasa Inggeris saya yang memang sudah sedia ‘lintang-pukang’ dengan grammar yang sentiasa tunggang terbalik! Ditambah pula stamina yang semakin lemah kerana kepenatan bertugas bermula seawal Subuh sehinggalah terkadang ke satu atau dua pagi setiap hari. Menjadikan bukan fizikal sahaja terkulai, tetapi mental juga lesu dan tidak mampu ‘alert’ sebagaimana lazimnya.

Begitu tabi’inya jika terlibat dalam pembikinan dokumentari…perlu disempurnakan tugas dalam tempoh dan kos yang telah diperuntukkan. Jadual padat perlu diikut dan kekadang kerana ia bersifat tentatif, setiap krew perlu sentiasa bersiap siaga untuk ke mana sahaja dan menemubual sesiapa sahaja. Paling saya tidak gemar jika Cikgu menyuruh interview VIP on the spot tanpa saya bersedia apa-apa! (tidak dicatat dalam jadual dan senarai tugas)… Sabar sajalah…!

Itu kenangan kunjungan kedua saya ke Mesir bersama krew penggambaran, mewakili RTM. Kali pertama pada tahun 1989 bersama keluarga selepas saya tamat STPM—tiga tahun sebelum berlakunya gempa bumi dahsyat di Mesir!

Thursday, February 12, 2009

KE MANA WANG ANDA?

Saya hampir selesai menguruskan penerbitan buku KE MANA WANG ANDA? tulisan Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir. Dalam proses penyuntingannya, ternyata saya banyak mengutip pengetahuan daripada kandungannya. Ternyata juga banyak yang saya tidak tahu dan jahil tentang pengurusan kewangan. Memang selama ini saya sering tertanya-tanya, ke mana hilangnya pendapatan saya yang saya perolehi saban bulan.

Konotasi tulisan beliau ini sangat simple dan bersahaja, namun sangat informatif—itu yang saya amat senangi! Sesuai dan padan dengan penulisnya yang juga merupakan seorang yang sangat simple, tetapi kaya dengan ilmu pengurusan kewangan.

Berurusan dengan Hajah Rohani juga amat mudah. Beliau tidak banyak kerenah, tidak membantah apa yang penerbit usulkan. Andai semua penulis yang ada di dunia ini mudah penerbit berurusan, alangkah mudahnya proses penerbitan, dan alangkah cepatnya dakwah kita sampai kepada masyarakat!

Kembali kepada isi kandungan KE MANA WANG ANDA? . . . buku yang bakal terbit ini wajar dimiliki oleh setiap orang dan seharusnya ada senaskhah dalam setiap keluarga untuk dijadikan rujukan.

Sudah seminggu saya mempraktikkan tip yang diberikan oleh penulis (bawa bekal ke pejabat) … sememangnya menjimatkan. Terbukti kos makan harian yang dikeluarkan sehari-hari amat tinggi. Tetapi kerana bawa bekal, kos makan ini dapat disalurkan kepada hal-hal yang lebih bermanfaat!

Anda banyak hutang?
Anda mahu tambah pendapatan?
Anda mahu bersara cepat tetapi kewangan terjamin?
Anda mahu buat kenduri-kendara?
Anda mahu melabur?
Anda mahu tahu tentang saham amanah dan takaful?
Anda mahu tahu bagaimana rokok menyekat diri anda daripada bergelar jutawan?
Ahaaa . . . pendek kata macam-macam tip berguna boleh anda perolehi dari buku ini.

Oleh itu, nantikan kemunculan KE MANA WANG ANDA? dan jangan lupa dapatkannya senaskhah . . . oh, sesuai juga dijadikan hadiah untuk pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga. Yang sedang menghadapi masalah kewangan juga sangat wajar memilikinya!

Thursday, February 5, 2009

SEGALANYA AKAN 'EXPIRE' . . . !

Melihatkan situasi dunia sekarang membuatkan saya semakin berfikir tentang kematian, tentang kiamat. Betapa sangat-sangat hampirnya kita semua menuju ke situ.

Ya, mutakhir ini semakin nyata akan berlakunya akhir zaman, dan mutakhir ini jugalah saya sering memikirkan kematian.

Takut! Gentar!

Saya sering bertanya diri sendiri, mengapa diri ini masih belum bertaubat! Taubat yang sebenar-benarnya taubat . . . nasuha!

Mahu! Tapi tidak terdorong melakukannya.

Ya, diri ini mahu taubat daripada segala dosa kecil dan besar! Tetapi nafsu belum terdidik untuk ke arah itu. Nafsu masih galak . . . sulit untuk dijinakkan.

Mujahadah! Tidak berapa berjaya . . .

Dosa pada suami . . . tentu ada! Hendak taat 100 peratus, payah benar!

Dosa pada Emak dan Ayah . . . bertimbun. Kedua-dua insan mulia yang telah membesarkan diri ini.

Dosa pada anak dan keluarga . . . banyak sekali!

Aduhai diri!

Teringat secebis lirik nasyid Raihan, “ . . . pagi kuingat, petang kualpa . . .”

Begitulah diri saya.

Alpa dan alpa dan alpa lagi, tak sudah-sudah! Cuma saya bersyukur kerana Tuhan hadirkan dalam diri ini perasaan kurang senang kepada hal-hal ‘lagha’. Semakin diri menginjak tua, semakin saya membenci perkara yang melalaikan (walaupun terkadang ada juga turut ‘ter’lagha, namun tidak sehebat semasa saya remaja dulu). Kini saya semakin malas berbicara yang sia-sia. Namun, peningkatan dari segi ibadah hakiki belum tercapai.

Biarpun kita di ambang kiamat, kita masih leka dengan urusan dunia. Tidak bersiapa siaga mengumpul bekal menuju alam kekal.

Saya memetik sebahagian kuliah mingguan di pejabat yang disampaikan oleh Ustaz Shukri pada 29 Januari 2009 lalu. Beliau menerangkan tentang tanda-tanda kiamat yang semakin menghampiri kita semua.

Jelas Ustaz Shukri, “Ulama-ulama besar termasuk dari al-Azhar mengingatkan bahawa kiamat sangat hampir. Berhati-hatilah apabila muncul pemimpin yang tidak mempedulikan amar maaruf nahi mungkar—pemimpin ini disanjung oleh dunia, maka itu bermakna kiamat hampir berlaku.”

Ulama-ulama besar ini merujuk kepada Presiden Barrack Obama yang disanjung, bukan sahaja oleh masyarakat bukan Islam, tetapi juga umat Islam global menyanjungnya. Mereka mengharapkan Obama membawa titik perubahan kepada dunia. Walhal, dalam sejarah pelantikan Presiden Amerika Syarikat, tidak ada presiden yang tidak direstui Yahudi. Sejak presiden Amerika pertama dan kini, kesemuanya mendapat restu Yahudi. Kesemuanya didalangi Yahudi, semuanya dilobi Yahudi! Jadi, bolehkah diharapkan Obama untuk mengubah nasib Palestin secara khususnya atau Islam secara amnya?

Gambar-gambar ini sudah cukup membuktikan keakraban Obama dengan
Yahudi . . . jadi bagaimana? Adakah Obama memang boneka Yahudi (Israel)?

Kata Ustaz Shukri lagi, “Ulama juga memberitahu bahawa Dajjal dan gerombolannya sedang berusaha untuk keluar dan muncul di atas muka bumi. Maka berhati-hatilah dengan fitnah Dajjal (fitnah akhir zaman).

“Krisis ekonomi yang sedang melanda dunia juga merupakan satu lagi tanda kiamat. Krisis yang tidak pernah dijangka, tidak pernah berlaku seperti sekarang. Lebih teruk daripada sebelumnya.

“Apabila manusia sibuk dengan senjata, orang miskin bertambah ramai, maka kata ulama; kiamat hampir akan tiba.” Demikian jelas Ustaz Shukri.

Justeru, Ustaz berpesan supaya kita kena lebih banyak menghayati al-Quran. Allah beri kesusahan sekarang adalah sebagai persiapan untuk menyahut cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.

Pesanan ini saya tujukan khas untuk diri saya sendiri dan juga saudara-saudari di luar sana. Mari kita teliti dan perhatikan barangan makanan dan minuman yang kita beli, jelas ditulis:

Best before:
Use by:
Expiry date:
Tarikh luput:
Baik sebelum:
Guna sebelum:

Demikian juga diri kita (roh dan jasad) dan Bumi yang kita diami ini ada:

Best before:
Use by:
Expiry date:
Tarikh luput:
Baik sebelum:
Guna sebelum:

Telah jelas maut itu pasti, ajal itu pasti, kiamat itu pasti.

Barangkali tarikh luput kita esok lusa atau petang ini! Segalanya serba mungkin.

Maka sebelum tarikh luput, gunalah diri kita ini sebaiknya sebelum mati. Jasad kita ini best before/baik sebelum tiba waktu sakit/waktu tua. Gunalah diri kita kita waktu sihat ini untuk membuat persiapan menuju ke alam baqa.

Kurangkan gelak ketawa, kurangkan bercakap yang sia-sia. Waktu yang ada semakin suntuk, sudah tidak ada masa untuk main-main. Usia dunia, usia umat Nabi SAW akan capai tarikh luputnya.

Sesungguhnya kita sudah TIADA masa!


“Ya Allah, janganlah Engkau golongkan aku ke dalam orang-orang yang
menangguh-nangguhkan taubat. Bantulah aku, jitukan dan padukan semangatku untuk bertaubat kepada-Mu! Jangan Engkau matikan aku dalam keadaan aku tidak bertaubat. Ameen!”

Tuesday, February 3, 2009

MENGAPA YAHUDI BIJAK?

Saya baru menerima artikel di bawah ini menerusi e-mel yang diforwardkan oleh rakan sepejabat Noraina Norani. Barangkali kita boleh ambil iktibar, mengaplikasikan dan mengadaptasi kaedah-kaedah yang diamalkan orang Yahudi ini kerana selagi tidak bertentangan dengan Islam, kita boleh mengamalkannya. Malah kita sempurnakan lagi kaedah itu dengan kaedah yang disarankan Islam, tentunya akan muncul 'umat Islam' yang benar-benar cemerlang dan gemilang . . .


Mengapa Yahudi Bijak? Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu "Mengapa Yahudi Bijak?".


Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, Engineering, musik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, di mana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya.


Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran? Maka saya pon tergerak membuat tesis untuk Phd saya, di samping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni.


Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin. Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, ugama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain. Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat.


Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau.


Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, "Ya, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga ia menjadi genius apabila dewasa kelak"


Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenoh beliau membuat latihan matematik sehingga beliau melahirkan anak.


Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan kurma bersama susu, dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan.


Menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan. Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yg sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.


Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang ke rumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran d sekolah.


Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak (bodoh atau lembap). Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA.


Para perokok harap ambil perhatian. (Ironinya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah ...... tekalah sendiri..!) Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anakanak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (cod liver oil) .


Di dalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota notanya dapatmeningkatkan lagi IQ kanak-kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak. Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.


Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun ke belakang!!!. Segala pelajaran akan dengan mudah ditangkap oleh anak Yahudi.


Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perkhidmatan negara.


Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) di sini murid-murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di Politeknik dan Universiti. Satu lagi yg di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan.


Di akhir tahun diuniversiti, para penuntut di bidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktik kanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ½ perniagaan di dunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.


Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen di kepala, banyak ugama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat menstimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!


Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yg berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yg bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell comptr, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama di bawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York.


Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar di persatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.


Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa jenerasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan metamatik yg mudah tetapi konsisten disamping mendengar musik klasik.


Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak-kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak-anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yg memerlukan konsetrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.


Merokok menjanjikan jenerasi yg moron (goblok) dan sudah tentu genes bodoh akan mengikut ke jenerasi siperokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, di sini perokok seperti dianaktirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$7 !!! ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!!


Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menkjubkan sekali!!! Dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupun hakikatnya Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!! Anda mungkin muskil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini.


Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, di mana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga kemusium hidung anda akan segera terbau asap rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyakkah universiti terdapat di sana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Di tangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok?


Anda fikirlah sendiri.


Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal ugama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Firaun hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yg ingin saya ketengahkan ialah, mampu kah kita dapat melahirkan generasi yg bijak seperti Yahudi? Jawabanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esay sepanjang 5 muka surat penuh. Esai nya hanyalah mengenai Mengapa saya gemarkan tomato!


Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Hakim Ma'ruf Bin Hj Abdul Kadir
Universiti Massachuset
USA.