Tuesday, July 7, 2009

LESEN dan DURIAN

Kalau tidak kerana Krill dan K.E mengingatkan pendengar Sinar f.m pagi semalam tentang pembaharuan lesen memandu, memang saya terlupa…terima kasih kepada mereka berdua! Ooo rupa-rupanya lesen saya dah mati.

Maka kira-kira 11.30 pagi tadi saya keluar sekejap dari pejabat (kononnya sekejap) untuk ke Pejabat Pos untuk memperbaharui lesen.

Bila ada urusan sebeginilah, saya amat rindukan premis syarikat yang dahulu. Biarpun susah untuk mendapatkan tempat letak kereta (berbayar pula tu), segala kemudahan ada. Bank-bank yang sering berurusniaga pun cuma selang beberapa pintu dan blok…cuma jalan kaki saja. Untuk makan pun banyak pilihan tempat.

Sejak syarikat berpindah ke premis milik sendiri di Kota Damansara ini, terasa bagai berada di hujung dunia. Untuk ke Pejabat Pos atau bank harus keluar lebih 10 kilometer.

Hari ini saya ke Pejabat Pos Damansara Jaya untuk renew lesen memandu, banyak kali pusing mencari tempat letak kereta, semuanya berlapis-lapis barisan keretanya menghadang kereta lain untuk keluar. Maklumlah nisbah kereta tidak seimbang dengan jumlah petak parkir. Kereta lebih banyak jumlahnya. Jika tidak bersivik, mahu saja saya buat seperti itu, letak kereta di belakang kereta lain. Tapi saya sekali-kali tidak akan lakukannya hingga menyusahkan orang lain.

Saya terpandang kepada seorang lelaki yang sedang bercekak pinggang sambil menekan hon semahunya di tengah panas terik kerana ada kereta lain menghalang keretanya keluar. Mukanya mencuka! Inilah akibatnya parking sesuka hati tanpa mengambil kira perasaan orang lain!

Oleh kerana masa berlalu pantas, saya tidak lagi mahu menghabiskan waktu mencari tempat letak kereta lalu saya ke Pejabat Pos Besar Kelana Jaya…biar jauh sikit tapi di sini sentiasa ada kekosongan tempat letak kereta. Urusannya pun cepat.

“Encik, tadi saya bagi lima puluh ringgit. ‘Belen’nya (belen = balance) mana?” soal saya pada lelaki yang menjaga kaunter nombor tiga.

“Bakinya lapan belas ringgit Kak,” jawabnya.

“Maksud saya, tadi Encik bagi lesen dan resit ni je.” Saya mengangkat resit dan lesen untuk tunjuk kepadanya.

“Eh, saya rasa saya dah bagi tadi. Cuba Akak cek balik dalam purse tu. Kalau tak ada, saya bagi lain…”

“Eh…ya ke, saya tak perasan la,” ujar saya sambil membelek beg duit saya yang tebal itu. Tebal, tapi bukan tebal duit…heee…tebal kerana ada macam-macam resit dan penyata ATM (mudahnya ‘sampah-sarap’).

“Tadi saya ada beri Akak duit lima ringgit yang ada selotape.”

“O…yang ini ke?” soal saya sambil mengunjukkannya not lima ringgit bertampal selotape. Mujur dia ada bukti.

(Dalam hati saya berkata, “Ceh, buat malu aku je…penangan durian kat ‘opis’ tadi la ni … durian pulak disalahkan).

“Aaa betullah tu Kak.”

“Okeylah. Sorrylah ye,” kata saya sambil melihat jam. Alahai dah hampir 1.00 pm. Maka dalam perjalanan balik ke pejabat saya singgah dulu di rumah Emak untuk solat zuhur.

Alaaa, cepatnya masa, saya berbegas balik ke pejabat tanpa sempat makan tengah hari.

Pagi tadi MD kami memang menjamu stafnya dengan durian yang dibawa dari kampung. Waduh, aromanya semerbak ke seluruh pejabat. Tiap kali bau durian, memang saya tidak tahan, maklum sahaja di tempat berhawa dingin, segalanya bertutup!

Saya bukan penggemar durian sejati…tapi saya suka tengok rakan-rakan sepejabat makan durian dengan lahapnya, tanpa segan tanpa silu. Jika ada yang segan tentang hal-hal makan di pejabat ini, ertinya dia ‘belum ahlinya lagi’. Kami di sini sentiasa murah rezeki dengan makanan biarpun gaji tak seberapa…syukur alhamdulillah!

Kecil-kecil dulu saya sukakan isi durian yang mengkal (yang isinya bagai isi dada ayam, tak keras tak lembik, tak tawar tak manis). Hingga sekarang saya suka durian sebegitu yang tiada bau menyengat. Tapi payah mahu cari. Pernah dikutuk kawan, “Tak ada makna makan durian yang macam tu, tak ada nikmat.” Hmmm, lantaklah, cita rasa masing-masing.

Itu saja cerita saya…sekarang sedang menahan lapar!

Pengetahuan am:
Penggemar durian biasanya suka minum kopi.
Bukan penggemar durian kurang gemar minum kopi.


Memang betul, buktinya saya kurang gemar minum kopi…hanya minum bila tiada pilihan lain. Saya lebih suka teh berbanding kopi. Tapi sekarang sedang minum Kopi Radix kerana tiada pilihan minuman segera yang lain (selain kopi) di pantri pejabat! Apa pun air kosong (RX Water) juga yang sedap!

Yang ini khas untuk Ustaz Yeh: Lepas ni, selain kopi, dalam bekas merah tu boleh ke diisi dengan uncang Milo dan teh?

3 comments:

SMM said...

Eh, saya penggemar durian (sangat gemar!) tapi saya tak suka minum kopi. Jadi teori tu tak terpakai untuk saya hehe :)

SURAIYA PAUZI said...

Mynie,
Ia bukan teori, tapi based on penyelidikan saintifik. Tidak semua, tapi majoritinya begitu!

mZm said...

ingatkan mak mertua aku je yang suka makan durian mengkal!

hehe... patutlah ALLAH jadikan jugak durian yang mengkal yek!