Monday, July 13, 2009

JANGAN LAGA PIPI!



Kira-kira dua minggu sudah saya berpeluang menonton rancangan ‘TANYA USTAZ’ di TV9. Topik pada pagi itu ialah ‘Salam’. Malangnya saya tidak sempat menangkap nama ustaz yang mengendalikan program pada pagi itu.

Saya suka rancangan ini kerana banyak persoalan remeh-temeh yang kita kurang ambil perhatian. Kerana kita tidak mengambil berat soal remeh-temeh ini, maka kita selama-lamanya akan menjadi orang yang jahil.

'TANYA USTAZ', banyak merungkai persoalan peribadatan kita sehari-hari. Kekadang, kita tidak sedar amal ibadat yang kita buat itu sebenarnya salah. Maka wajiblah kita menambah pengetahuan dari semasa ke semasa. Moga suatu hari kita berjaya muncul sebagai orang yang benar-benar soleh.

Topik ‘Salam’ hari itu benar-benar menarik perhatian saya. Penerangan daripada ustaz berkenaan amat jelas. Dalam soal salam ini ada beberapa amalan kita yang saya kira agak menyimpang.


Laga pipi
Saya memang sejak dulu tidak suka bersalam laga pipi seperti yang dilakukan oleh kebanyakan perempuan (kononnya mahu tunjuk mesra). Dulu saya tiada jawapannya mengapa saya tidak suka cara bersalam cara ini. Setelah menonton ‘Tanya Ustaz’ baru saya tahu, cara saya itu sebenarnya betul.

Menurut ustaz, hukumnya makruh bersalam dan melagakan pipi ini (biarpun sesama jantina!). Kata ustaz lagi, bersalam sambil melagakan pipi ini hanya dibolehkan apabila kita bertemu orang yang sekian lama kita tidak berjumpa atau teman yang datang dari jauh. Kalau setakat hari-hari berjumpa (misalnya di tempat kerja), maka ini tidak dibolehkan.

Menurut ustaz itu, cukuplah sekadar berjabat tangan dan memandang wajahnya. Itu sudah memadai sebagai tanda mesra.

Maka kepada sesiapa yang suka sangat bersalam laga pipi ini...hentikanlah! Ingat ye, SALAM JANGAN LAGA PIPI (khasnya pipi saya ... eheh...lebih-lebih lagi dengan bunyi 'mmmuah'...eee getik betullah!)

Tapi ‘pak-pak Arab’ tu macam mana ek? Depa salam laga pipi sesama mereka ... (mazhab lain kot!).

Cium tangan
Tidak mengapa bersalam sambil mencium tangan ibu, ayah, nenek atau datuk kita, atau tok guru dan orang alim kerana mereka berhak dihormati. Yang salahnya hari ini kita mengajar anak-anak mencium tangan selain tangan kita dan mereka yang berhak. Misalnya bersalam dan mencium tangan orang bukan mahram. Asalkan orang itu sama baya mak ayah, maka mereka belasah bersalam dan mencium tangannya. Ini tidak dibenarkan. Harus diingat, yang bukan mahram sampai bila-bila pun kita tidak boleh bersalam dengannya. Anak-anak yang belum baligh dan mumayiz tu, lain ceritalah. Ini yang dah meningkat remaja!

Perlu diingat, cium tangan itu istimewa/eksklusif untuk mak ayah kita sahaja. Jangan samakan taraf mereka dengan orang lain! Mak ayah kita tiada tolok bandingnya.

Anak-anak remaja kita hari ini selamba saja bersalam cium tangan ipar-duai, mak cik, pak cik, sepupu ajnabi.

Bongkok badan
Barangkali ramai yang tidak tahu, bersalam sambil membongkok badan (kononnya tanda hormat) sebenarnya tidak dibolehkan dalam Islam. Misalnya sering kita lihat orang kita bersalam orang-orang kenamaan (pemimpin) sambil membongkok atau menundukkan badan ‘ala Jepun’. Haram hukumnya. Cukup sekadar berjabat tangan.

Salam ala orang Kelantan
Di Kelantan (khasnya di kampung-kampung), orang perempuan biasa bersalam dengan orang lelaki ajnabi. Tetapi mereka bersalam dengan tangan beralas kain tudung. Kata ustaz, itulah yang sebaik-baiknya!

(Ambo pong oghe Klate jugok).

Wallahu a'lam.

No comments: