Tuesday, June 2, 2009

MENGAPA SAYA TIDAK AKTIFKAN YAHOO MESSENGER!

“ENGKAU DAH NAK TIDUR KE? Ke engkau memang dah tidur?” kedengaran suara sahabat di hujung talian telefon selular saya pada suatu malam baru-baru ini. Sudah lama saya tidak mendengar khabar beritanya.
“Belum, tapi mata dah kuyu jugaklah.”
“Weh, Su, engkau celiklah dulu. Jangan tidur lagi.”
“Mmm...apa hal? Ini ada masalahlah ni. Kalau tidak, tak ada engkau nak call aku memalam buta,” jawab saya sedikit menempelak.
“Eheeh, pandai engkau teka. Sorrylah Su, ngacau engkau malam-malam ni.”
“Iyalah. Biasa dah engkau ni. Apa halnya?”
“Biasalah, nak ngadu. Sekolah aku ni..."
“Okey, I’m all ears,” jawab saya yang sejak dulu memang menjadi tempat rakan taulan melepaskan apa yang terbuku di hati.

Hampir setengah jam berlalu. Telinga pun naik panas dek haba dari telefon selular saya.

“Kalau tak reti buat kerja, aku tak lokek berkongsi ilmu, datang berjumpa insya-Allah akan diberi tunjuk ajar,” kata kawan saya itu yang ditikam dari belakang.
“Habis, engkau nak aku jawab apa?” soal saya setelah sahabat saya itu selesai bercerita. Tidak perlulah saya perincikan masalahnya kerana sudah berjanji untuk tidak menceritakan kepada sesiapa.
“Tak dalah, saja nak lepaskan geram aku ni. Dah bagitahu engkau, legalah sikit.”
“Mmm...buat tak tau sudahlah. Jangan kita jadi macam dia orang dahlah.” Itu sahaja yang mampu saya katakan.

Hari ini saya terfikir...manusia di sekeliling saya pun apa kurangnya. Ada yang berprasangka...prejudis! Tidak boleh dikritik hasil kerjanya, dikatakan kita ini ‘mengata belakang-belakang’. Kemudian ada juga yang perasan hasil kerjanya tu bagus sangat macam tak ada orang lain yang boleh ganti ... heh, takjub saya dengan orang yang perasan dia perfect! Juga saya hairan mengapa ada orang pula sibuk jaga tepi kain orang (kain sendiri tak cukup ke?)

Ya, betul sangat apa yang dikatakan kawan saya itu yang merupakan seorang cikgu di sebuah sekolah di selatan tanah air. Dalam proses mengumpul ilmu, kita sendiri yang perlu mencari, bukan ilmu itu datang kepada kita. Saya sendiri pun jika tidak tahu, akan bertanya pada yang tahu. Tapi bagi yang perasan dia pandai, dia sebenarnya bodoh dan dungu kerana perasan kerjanya perfect/sempurna dan tak perlu timba ilmu lagi gamaknya!

“Mmm, aku pun sama. Ada juga manusia macam tu. Perasan dan dengki nombor satu. Kat mana-mana pun akan ada orang hati busuk. Bawa mulut dan cerita hal orang macam-macam. Tapi aku buat tak reti je,” ulas saya.

Bagi saya kalau benar-benar hendak ‘mengata belakang-belakang’ itu: ‘I wouldn’t be so bold talking out loud about it, would I?’ Sama juga berkata secara berdepan atau sebaliknya, akan ada ‘saluran mulut’ AL JAZEERA atau CNN atau BBC yang akan sukarela menyampaikannya, ada CCTV lagi! Hmmm? Beritahu saya, apa jaminan yang anda juga tidak mengata-ngata hal orang?

Ah! Lumrah kritik-mengkritik mutu kerja seseorang. Malah saya sendiri mengutuk hasil kerja saya sendiri jika tidak memuaskan hati dan saya juga tidak terkecuali dikritik dan dikomen belakang-belakang. Namun saya tidak ambil hati dengan perangai orang yang tak matang begitu. Bukan saya tidak tahu (tau...ya saya tahu sangat!) ada orang juga mengata-ngata tentang saya ‘belakang-belakang’ sama ada disampaikan orang atau telinga ini sendiri yang mendengarnya. Bukan sekali dua, tapi acap kali. Saya cuma senyum dalam hati dan membiarkan sahaja. Saya tak kisah dan malas nak ambil peduli. Biarlah, saya tak mahu berprasangka orang ini begini dan orang itu begitu. Tidak pula saya berdendam...dan sentiasa mengingatkan diri sendiri agar tidak terikut-ikut orang bergosip.

Dan sesungguhnya, tanpa saya minta telinga saya ini juga tidak sunyi daripada mendengar orang mengata-ngata hal anda juga! Bukan dari satu mulut, tapi dari banyak mulut yang berlainan. Ada yang amat tidak enak didengar. Namun tidak mahu saya menyampaikan pada orang lain. Biarlah ia mati di situ dengan harapan keadaan tidak menjadi keruh, supaya tiada yang berprasangka. Saya sebenarnya tidak pun mahu mendengar hal orang lain—cuba mengelaknya, namun tempias gelombang bunyi tembus juga ke gegendang telinga. Allah! Sungguh saya tidak mahu. Jika boleh, mahu saja telinga ini disumbat gabus atau kapas.

Bukanlah saya ini tidak mengata-ngata orang, tetapi jika yang berkaitan mutu kerja, kritikan itu tidak dapat dielak. Ya, saya manusia biasa yang punya kelemahan, bukan maksum seperti Nabi...jika saya ‘mengata-ngata’! Namun ‘mengata-ngata’ saya itu berasas dan bukan niat untuk memburukkan siapa-siapa—agar apabila mendengar kritikan itu, lain kali berhati-hatilah dalam melunaskan kerja (peringatan ini juga untuk diri saya). Kritikan saya juga berkaitan kerja, bukan menyerang peribadi individu terbabit.

Dan kerana ini jugalah apabila ada beberapa rakan sepejabat bertanya mengapa saya tidak activatekan Yahoo Messenger (YM) di PC saya di pejabat...jawapan saya kerana ia menjadi saluran maya untuk berghibah a.k.a mengumpat. Majikan berikan saya komputer untuk saya buat kerja yang diamanahkan, bukan untuk saya melayan ghibah di YM. Jika perlu berurusan dengan sesiapa di pejabat, Tuhan berikan saya kaki dan tangan untuk bergerak, paling malas pun guna SMS atau intercom.

Saya tak mahu menyibuk ambil tahu hal orang. Jaga tepi kain orang. Jaga hal peribadi orang. Tak ada faedahnya, malah ia menjadi sebesar-besar dosa kerana ia sebenarnya adalah ghibah yang anda istilahkan sebagai ‘gosip’! Tak ada masa saya hendak melayan ‘nafsu’ untuk mengorek hal peribadi orang...banyak kerja lain yang perlu dilangsaikan daripada bergosip sana sini.

Bukan sekali dua tazkirah diberikan para ustaz yang datang untuk memberi kuliah, tapi mengapa mereka ini tidak ambil pengajaran...entah saya pun tidak faham! Sama ada pekak badak atau hati sudah hitam pekat hingga sudah tiada ruang untuk putih bertakhta. Tak ada makna jika sekadar hadir ke kuliah tetapi tidak serik-serik mengata orang, jaga tepi kain orang!

Maaf! Saya kini tidak lalu dan saya tidak terliur makan daging saudara sendiri! Andai saya cenderung untuk melakukannya, tolong tegur saya segera! Kerana ini juga saya lebih suka dengan dunia saya, malas nak bercampur dengan orang. Barangkali kerana sikap saya ini juga saya disalahtafsir. Bukan saya tidak mahu bergaul ‘mesra’ tapi dek kerana topik bualan lebih menjurus perkara yang sia-sia (lebih-lebih lagi yang menyentuh hal orang), maka lebih baik jangan didekati orang begini.

Jika mahu mengata-ngata (atau lebih tepatnya ‘mengumpat’/ghibah) tentang saya, silakanlah...belakang-belakang, depan-depan atau dari sisi mana sekali pun...suka hatilah, pilihlah tempat mana pun, anytime, atau via YM...saya tak kisah. Saya bisa dijadikan subjek ghibah anda. I don’t mind one bit. Saya alu-alukan kerana pasti pahala anda akan berpindah kepada saya. I’m happy! Yahoo...dapat pahala bonus! Inilah baru ‘Yahoo’ bukannya Yahoo Messenger.

Mahu saya bertanya: SAMPAI BILA MAHU BERGOSIP, BERGHIBAH? SAMPAI MATIKAH?

SUKAKAH ANDA JIKA ORANG MENGATA-NGATA, MENGUTUK-NGUTUK ANDA BELAKANG-BELAKANG? JIKA TIDAK SUKA, KETAHUILAH ORANG YANG MENJADI SUBJEK UMPATAN ANDA ITU JUGA TIDAK SUKA. MAKA HENTIKANLAH!

Jika mahu disenaraikan salah laku orang ini, memang panjang berbanding mangsa yang menjadi umpatannya (yang langsung tidak berasas). Boleh sahaja kalau mahu dilaporkan kesalahannya, tapi syukur diri ini tidak sebusuk hatinya, maka dipendamkan saja!

Orang seperti ini nampak saja baik. Depan orang, sopan saja tuturnya. Di belakang, rupa-rupanya tukang sebar macam-macam cerita yang tidak relevan pun dengan dirinya. Api dalam sekam, duri dalam daging, musuh dalam selimut perumpamaan yang tepat untuk orang hipokrit talam dua muka begini. Saya kagum, ‘kuasa’nya yang mampu mempengaruhi orang lain hingga percaya ceritanya (yang entah benar atau tidak).

Emak saya pernah berpesan, kalau bersahabat hati-hati jangan sampai tertipu dengan baiknya. Besok, kalau dah terkena, sakit di hati bagai tertusuk duri.

Pesanan ini untuk diri saya, malah sentiasa berpesan kepada diri sendiri, dan saya juga tujukan kepada anda di luar blog ini...hidup ini terlalu singkat untuk kita bersikap prejudis terhadap orang, terlalu pendek untuk kita habiskan dengan bergosip dan berbicara hal-hal orang yang sedikit pun tidak memberi manfaat kepada diri kita, tiada kena-mengena pun dengan kita dan tentunya kepada agama kita. Apa guna kita sembahyang fardu lima kali sehari, mengaji Quran, berdoa siang malam andai kita suka berbicara tentang hal orang dengan hati yang penuh kesumat serta dengki?

Selagi hayat dikandung badan, hijrahlah diri kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih amanah. Jadikan setiap kali peningkatan usia diri sebagai turning point kita untuk meninggalkan sikap buruk, mudah-mudahan akhir hayat kita dalam redha-Nya. Suburkanlah sifat mahmudah. Benamkan yang mazmumah. Wallahua’lam.

4 comments:

Toko Buku Fatimah az-Zahra said...

Su... panjang betul keluhan/luahan hatinya... akak pun tak termampu nak tulis sepanjang ini. He he..

Hampir di mana-mana perkara ini tak dapat dielakkan. Asal saja ada perempuan berkumpul, adalah 'kenduri makan dagingnya'. Kadang-kadang tak perlu ramai, dua orang sudah memadai...

Di tempat kerja akak dulu pun, inilah salah satu siksaan yang terpaksa dialami. Kadangkala tak sedar kita pun turut berkenduri sama. Bila sedar, menyesal. Badan terasa panas dek dosa.

Perkara ini jugalah yang menyebabkan akak tak sabar-sabar nak berhenti kerja dan bekerja sorang-sorang di rumah macam ni. Huh, lega sungguh! Memang ketinggalan zaman tak tahu cerita orang. Tapi biarlah... perasaan lebih tenang dan tenteram.

Namun di kawasan kejiranan pun lebih kurang demikian juga, tak dapat dielakkan. Sehingga anak lelaki akak merungut mengatakan, orang perempuan ni kalau berkumpul tak ada benda lain nak cakap, asyik mengumpat. Bukannya cakap perlahan-lahan, tapi kuat-kuat pulak tu. Mengumpat pasal kita, macamlah kita ni tak dengar, katanya. Habis semua orang diumpatnya macamlah semua orang ni jahat, dia seorang yang baik, katanya lagi.

Orang, kalau dah terbiasa mengumpat, dia dah tak rasa bersalah lagi dah. Hatinya dah jadi hati batu. Kalau ditegur, boleh jadi melenting dia.

Sabar sabar ajelah..

chuck said...

manusia yg suka mengutuk2 org ni dia sebenarnya kurang dari semua segi, bila org lebih, hati jahatnya mana boleh duk diam...tup2 dpt gelaran tukang cucuk..pandai pengaruhi org plak tu dengan mulut yg manis..barangkali kalau Allah jadikan muka dan mulutnya yg sebenar..Subhanallah, buruknya mesti dia tak sanggup melihatnya..dgn darah, lendir, ulat..itulah manusia...x boleh tgk org lebih...

ASYIQ said...

Salam Suraiya,

Salam kenal...penulis ke? Tgk ofis dok bertimbun ngan novel2...keje ngan syarikat mana?

Eloknya blog ni ada shoutbox utk memudhkan kenalan shout utk adik.

Jgn lupa jenguk blog akak yea...

SURAIYA PAUZI said...

Kak Zu,
Dah lama nak highlightkan benda ni...baru sekarang berpeluang. Memang merimaskan!

Chuck,
How true!

Asyiq,
Salam perkenalan. Memang terfikir juga nak letak shoutbox, cuma takut 'teralit' melayannya hingga kerja tak jalan. Mungkin suatu hari nanti.

Saya editor di Galeri Ilmu Sdn. Bhd.