Monday, June 22, 2009

"OKEY ..."

“Okey…okey…” ujar seorang rakan sepejabat apabila berbalas bual di talian telefon.
“Okey…key…key…key…” ujar rakan yang lain pula.

Telinga saya sering menangkap cara orang menjawab sesuatu pertanyaan dengan jawapan di atas. ‘Okey’nya itu diulang-ulang beberapa kali menyebabkan saya kekadang tersenyum sendirian kerana geli hati. Pendek kata, semua orang menyebutnya begitu. Malah ada yang menyebutnya melebihi lima kali (Yup…I did count!)

Mengapa mereka menyebutnya berkali-kali pun saya tidak faham. Saya sendiri juga apabila terlupa, turut menyebutnya lebih sekali dan saya sendiri pun tidak sedar sewaktu menyebutnya. Selepas menyebutnya barulah perasan. Dalam waktu saya ingat, saya cuba ‘control’ untuk tidak menyebutnya banyak kali. Paling tidak pun dua kali sahaja.

Saya juga tidak pasti sejak bila penggunaan ‘okey’ atau 'okay' mula popular diguna pakai secara global. Seingat saya, lebih 20 tahun dahulu, masyarakat kita jarang menyebut ‘okey’ dalam perbualan harian. Malah tidak ada langsung dalam penulisan buku mahupun skrip drama. Ketika itu perkataan ‘ya’, ‘baik’ atau ‘tak apa-apa’ lebih standard digunakan.

“Mak okey?”
“Mak okey …”

Demikian dailog sebuah iklan di televisyen dahulu (Petronas, kalau tidak salah saya semasa menjelang hari raya). Watak ibu dimainkan oleh Maria Arshad.

Hah! Dalam iklan pun ‘okey’ juga yang popular!

Saya tabik hormat pada Che Amran (kumpulan Raihan), apabila datang ke pejabat, beliau lebih senang membalas bualan kami di sini dengan “Baiklah” bukannya “Okey” sebagaimana orang lain.

Saya melayari Internet untuk mencari asal usul perkataan ‘okey’ atau ringkasnya 'OK'. Hmmm…ada bermacam versi yang menarik.

Dan ini pula balasan SMS yang sering saya terima apabila saya bertanyakan sesuatu kepada seseorang, iaitu ‘K’ jawapan balas SMSnya. Teman-teman membalasnya dengan hanya satu huruf ‘K’ seketul, bukannya ‘OK’. Bos saya pun begitu juga memilih menggunakan ‘K’ sahaja.

“Ya Allah…” ngomel saya, punyalah pemalas manusia mahu menekan key ‘O’ untuk menjawab SMS dengan ‘OK’ (sekurang-kurangnya). Saya yakin orang Inggeris pun tidak membalas SMS dengan huruf ‘K’ sebagai ‘Okay’!

Saya rasa ‘K’ dalam SMS hanya ada di Malaysia sahaja! Sudahlah ‘OK’ pun memang pendek. Dipendekkan lagi menjadi ‘K’.

OKEY … Sekian kisah ‘Okey’ saya! Okey ke tak okey?

2 comments:

ummumishkah said...

Zaman sekarang semua nak cepat dan short cut jer... :)

Kak Zu said...

OK lah tu, K!