Jika diberi novel-novel Inggeris, saya boleh menghabiskannya dalam masa satu hari satu malam untuk novel setebal seinci. Dua hari untuk novel setebal dua inci yang kekadang saya sengaja lambatkan bacaan kerana takut cepat habis dan tiada stok baru untuk dibaca. (Ini saya lakukan semasa berstatus bujang, selepas kahwin, paling lama lima hari baru habis kerana ada komitmen lain).
Tiada niat walau sebesar kuman pun untuk merendah-rendahkan novel tempatan, atau mengagung-agungkan karya Barat – tidak, tidak sama sekali! Namun, saya belum mendapat ‘ummph’nya pada karya Melayu. Saya juga telah cuba membaca novel-novel popular Melayu yang disyorkan teman-teman, juga tidak berjaya menaikkan ‘ghairah’ saya untuk membacanya!
Antara genre fiksyen kegemaran saya ialah thriller dan suspens. Lalu saya cuba membaca karya Ramlee Awang Murshid. Tetap saya tidak temui kepuasan membacanya. Dua novelnya saya beli sudah hampir setahun, satu pun belum lagi saya mengkhatamnya, terhenti separuh jalan. Barangkali tiada keaslian dari segi idea... terpengaruh dengan penyampaian, gaya penulisan dan idea Sidney Sheldon. Saya sering juga membaca karya Sheldon, maka saya boleh membandingkannya.
Karya Sheldon lebih asli. Misalnya novel Rahsia Perindu karya Ramlee Awang Murshid (2005)(diulang cetak tiga kali) sangat mirip dengan novel karya Sheldon Tell Me Your Dreams (1998) dari segi ideanya. Maka saya dapat meneka rentak dan akhir Rahsia Perindu (baca lompat ke akhir, saya abaikan bahagian tengah...lompat kerana bosan dengan jalan ceritanya). Sedangkan Tell Me Your Dreams, berjaya menimbulkan suspens saya.
Apa pun, penulis yang tetap menjadi favourite saya ialah anak kelahiran Britain, Jeffrey Archer. Karyanya memang ada ‘kelas’ yang tersendiri.Pertama kali saya membaca novel Jeffrey Archer, saya terus jatuh cinta pada karyanya. Terpukau dan terpaku. Menjadi ketagih untuk membacanya. Tidak sabar-sabar menunggu kelahiran karya terbarunya. Sementara menunggu kelahiran itu, saya mengulangi baca karya-karyanya yang terdahulu. Paling cepat lahirnya buah tangan Archer ialah dalam lingkungan dua tahun. Untuk research sahaja, beliau mengambil masa setahun. Barangkali itulah rahsianya. Research yang detail. Dan setahun pula untuk menulisnya.
Sumber imej: http://www.dailymail.co.uk/home/books/article-534029/What-book.html

Sumber imej: http://enzo.drale.com/books/images/18136594.JPG
Pernah dalam kelas sarjana di UM dulu, pensyarah membicarakan karya-karya Archer, alhamdulillah saya dapat menjawab soalan diajukan pensyarah dengan baik kerana terlalu meminati akan karyanya. Rakan-rakan lain seolah-olah tidak pernah dengar tentang author tersohor di seantero dunia ini. Ketika itu kami membincangkan novel Archer berjudul ‘The Fourth Estate’.
Selain Archer dan Sheldon, saya juga meminati novel-novel karya Dean Koontz, Dan Brown dan John Grisham.
Saya berdoa moga akan lahir juga karya-karya hebat tanah air (yang asli dan tidak terpengaruh dengan penulis antarabangsa lain). Pasti saya akan menjadi peminat setianya nanti, insya-Allah!
----------------------
Sedikit info tentang Lord Jeffrey Archer dan karyanya:
- Buta IT (tidak pandai menaip), maka menulis tangan menggunakan pen dan kertas setiap patah perkataan.
- Selain novel, Archer juga menulis cerita pendek dan screen play.
- Sangat berdisiplin dengan waktu apabila menulis.
- Menulis tanpa meletakkan di kepalanya siapa pembaca sasarannya. Apa yang senang padanya, itulah yang ditulisnya baik saga, thriller mahupun cerita pendek.
- Pernah dipenjarakan selama dua tahun kerana didapati bersalah bersumpah bohong dan putar belit.
- Merupakan bekas ahli politik Parti Conservative.
Ikuti wawancara Lord Jeffrey Archer di: http://www.telegraph.co.uk/news/yourview/1580464/Jeffrey-Archer-answers-your-questios.html
p.s: Alangkah bagus andai saya mampu mengkhatam dan menghadam kalamullah Al-Quran yang suci, mukjizat yang agung yang tiada tandingan sebagaimana saya mengkhatam dan menghadam novel J.A!