Solat Jumaat kini ditunaikan di masjid baru, tidak lagi di masjid lama. Masjid lama hanya menunaikan solat fardu. Apa pun, masjid lama Raub cukup popular kerana kedudukannya yang strategik -- menjadi favourite kepada para musafir, apalagi bersebelahan masjid ini ada kedai makan. Mudahlah untuk makan-makan dan minum-minum.
Setiap kali tiba hari raya, maka masjid inilah dikunjungi oleh kebanyakan pengguna jalan raya yang menghala ke Kelantan atau sesetengahnya Pahang. Apa yang dikesalkan ialah sikap mereka yang berstatus 'musafir' ini yang tidak pedulikan soal kebersihan.
Sebagai anak Kelantan saya berasa sungguh malu dengan sikap musafir-musafir yang pulang ke kampung menggunakan jalan ini. Tidak kisahlah anda anak jati Kelantan atau sebaliknya. Tong sampah yang disediakan dipenuhkan dengan lampin pakai buang anak hingga melimpah-ruah dan tergolek jatuh ke lantai. Lebih memalukan, terselit juga tuala wanita dicelah-celah timbunan lampin pakai buang bayi.
Inilah yang dinamakan manusia yang tiada kesedaran sivik. Amat tidak wajar lampin atau tuala wanita itu dibuang begitu. Tak terfikirkah akan kesusahan AJK masjid hendak menguruskan benda-benda kotor, jijik dan busuk begitu? Di mana hati perut anda?
Apa salahnya jika lampin pakai buang atau tuala wanita itu dibungkus elok-elok dan dibawa bersama kita. Sampai ke destinasi nanti, buanglah.
Takut kotor kenderaan? Takut kenderaan berbau? Habis...kotorkan masjid, tinggalkan bau busuk di rumah Allah, tidak mengapa? Kalau diletak di but kereta, rasanya tidak akan berlaku keadaan itu.
Yang lebih menyedihkan lagi, dalam ramai-ramai musafir yang transit di masjid ini, hanya segelintir kecil yang sudi memasukkan barang seringgit dua duit ke dalam tabung masjid. Sudahlah menggunakan masjid orang, kedekut pula tu.
Sepanjang minggu para musafir pulang dan balik dari kampung, ertinya seminggu jugalah agaknya AJK masjid menguruskan pembuangan najis-najis ini. Barangkali, Allah mahu memberi mereka ini pahala bonus jika mereka tidak merungut dengan pekerjaan ini. Inilah sebahagian ujian yang Allah datangkan untuk meningkatkan darjat keimanan seseorang hamba Allah.
Bagi para musafir ini, renung-renungkanlah kepayahan orang lain dek kerana sikap kita yang pentingkan diri sendiri. Cuba letakkan diri anda sendiri sebagai AJK masjid Raub ini... sabarkah anda, redhakah anda mengendalikan benda-benda yang menjijikkan ini?
Renung-renungkan...
1 comment:
sikap orang sekarang gitulah... baik lelaki;baik pompuan. kalau lelaki dari plastik kotak rokok hingga ke puting rokok, dibuang sepah-sepah hatta dalam jamban masjid.
lagi satu... manusia kini dah tak sensitif lagi bab tuala wanita ni... sebab iklan kat tv bersepah-sepah mengiklankan benda tu. dah hilang dah rasa malu...
kesian ajk masjid tu... mungkin dia ingat baby sekarang pun dah kena pakai tuala wanita.
Post a Comment