Aduhai...puasa dah nak pergi...sedih dan pilu. Entahkan bersua lagi. "Ya Allah, panjangkan umurku dan izinkan aku bersua dengan Ramadhan akan datang agar aku berpeluang merebut kemuliaannya sekali lagi, moga berpeluang perbaiki diri lagi...ameen ya rabbal 'alameen."
Kita kini di ambang Syawal. Detik ini, saya muhasabah diri pada kesempatan yang terluang ini. Anak masih lena lagi, semalam demam sedikit barangkali penangan main air di laman rumah semalam. Suami pun baru terlelap, setelah sepanjang malam resah gelisah...barangkali mengenangkan dirinya yang sering dihambat masa dan tugas...
Muhasabah...tahap mana pencapaian diri ini sepanjang Ramadhan ini? Tiada peningkatan rasanya...Allah...saya cukup iri hati dengan mereka yang berpeluang tarawih penuh, membaca Quran hingga khatam sepanjang berlangsung Ramadhan...ya iri hati kerana saya tidak berpeluang melakukannya kerana sering kekalutan...kalut dengan anak, walaupun anak seorang cuma.
Sejak Subuh hingga malam, tiada masa untuk diri saya sendiri. Sebaik celik, kerja dalam rumah dimulakan...seingat saya tiada masa untuk istirahat, tiada waktu untuk melegakan lesu. Lantaran itu, apabila jam 10 mlm saya sudah terkulai. Mata sudah tidak mampu celik. Tapi ditahan-tahan juga kerana anak masih aktif yang kekadang memaksa saya mengikut rentaknya...sudah tiga tahun rutin begini, entah sampai bila dapat bertahan. Bisa-bisa badan kerana kurang rehat dan stres semakin menjadi-jadi.
Pain killer (voltaren, synflex dan mynol) yang selalu diberi doktor dan kerap saya telan tidak memberi apa-apa kesan lagi. Sakit dan sengal tubuh yang sudah bertahun-tahun ditanggung ini amat mengganggu amal ibadah. Ditambah pula kerusi yang diduduki di pejabat yang langsung tiada ciri keselesaan menambahkan lagi sakit belakang dan lenguh sendi, lebih-lebih lagi bahagian lutut kiri yang saya alami sejak awal remaja.
Idilfitri...? Auranya amat berbeza semasa kita masih kecil dan dewasa. Pada usia dewasa, saya lebih menghargai Ramadhan berbanding Syawal...ya kerana kemuliaan dan keistimewaan Ramadhan itu terlalu banyak, cuma saya tidak berpeluang merebutnya. Kata ustaz yang memberi kuliah Ramadhan di pejabat...Allah jadikan Ramadhan sebab hendak beri kita masuk syurga melalui kemuliaan Ramadhan itu. Kita hendaklah merebutnya. Ya Allah... rasanya tidak ada apa yang berjaya saya rebut...berpeluang lagikah?
1 Syawal? Semacam tidak bermakna tahun ini apabila diberitahu tidak balik beraya di KB tahun ini kerana kesibukannya yang melampau, tugas perlu dilangsai. Saya dimaklumkan suami 'tidak balik beraya di KB' pada hari Sabtu 27/9. Maka dia menyarankan saya dan anak menumpang emak dan ayah untuk balik kampung. Justeru terpaksalah nanti saya berhimpitan di dalam kereta ayah yang sudah pasti akan ada 4 orang, ditambah saya dan anak menjadikan 6 orang kesemuanya.
Emak dan ayah akan bertolak balik kampung pada 2 Syawal kerana tidak mahu berebut dan bersesak di jalan raya bersama trafik lain. Itu tidak menjadi masalah pada saya. Apa yang menjadi masalah, ialah tarikh pulang mereka ke KL semula ialah pada hari Selasa 7/10, sedangkan saya tidak mengisi borang cuti kerana tidak bercadang hendak cuti lebih lama, sudah cukup bagi saya dengan cuti yang diberikan syarikat selama seminggu.
Kalaulah saya dimaklumkan suami lebih awal, saya tentu tidak teragak-agak mengisi borang cuti. Aduh, inilah dilema apabila rancangan tidak menjadi seperti yang direncanakan. Apa pun, saya mesti juga balik kampung dek kerana terlalu rindukan nenek yang sudah tua. Satu-satunya nenek yang ada. Juga rindukan kampung halaman. Lalu, terpaksalah saya cuti tanpa mengisi borang dahulu (isi kemudian selepas masuk kerja). Moga tidak dimarahi pihak pentadbiran syarikat dan tidak dimarahi bos jabatan... ampun maaf! Kerana semua ini bukan saya rencanakannya, Allah jua Yang Maha Mengetahui dan Maha Perencana segala-galanya.
MAAF ZAHIR BATIN & SALAM IDILFITRI
KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT!
No comments:
Post a Comment