Seusai tugas di Arab Saudi, kami terbang pula ke Mesir pada 1 Ramadhan 1421 untuk meneruskan misi penggambaran Salam Timur Tengah. Transit beberapa jam di Jordan kemudian meneruskan perjalanan ke Kaherah.
Ia merupakan kali kedua saya menjejak kaki di Mesir, kali pertama bersama keluarga pada 1989. Namun pada tahun 2000 kota Kaherah dan bumi Mesir amnya tidak banyak berubah dari segi pembangunan. Barangkali pembagunannya sudah mencapai tahap maksimum dengan penduduk Kaherah sahaja jumlahnya mencapai penduduk Malaysia. Padat dengan manusia dan juga tahap polusi yang agak teruk. Faktor lain yang tidak memungkin Mesir membangun pesat ke arah kemodenan ialah kerana buminya terlalu kaya dengan monumen dan artifak Mesir purba. Sehinggakan sebahagian besar pendapatan Mesir ialah hasil daripada pelancongan. Di sana sini ada sahaja binaan bersejarah sejak zaman Mesir purba lantas menghalang pembangunan di sekitarnya.
Barangkali juga kerana Mesir bumi Anbiya' dan lahir pula ulama-ulama besar seperti Imam Syafi'i dan asy-Syahid Imam Hassan al-Banna, Ramadhan disambut penduduknya penuh pengertian.
Beberapa peristiwa yang meninggalkan bekas di hati saya. Pertama semasa di Iskandariah (Alexandria). Waktu itu krew penggambaran seramai lapan orang (saya, Cikgu Abu, En. Al, En. Li, Wisma, En. Mi, Bai dan Zul) di dalam kenderaan hendak ke rumah seorang pelajar Malaysia di sana. Waktu Maghrib telah masuk. Kami di dalam bas tercari-cari makanan untuk berbuka. Saya teringat Chiclet (gula-gula getah) yang dibeli semasa di Arab Saudi. Alhamdulillah jumlahnya lapan biji, cukup-cukup untuk setiap orang (dua telah dimakan di Jeddah). Maka saya agih-agihkannya kepada rakan-rakan setugas.
Sebaik sahaja turun dari bas, kami menyeberang landasan tram. Di tengah-tengah landasan itu berdiri dalam dingin musim sejuk seorang lelaki, sedang menatang dulang yang berisi tamar. Rupa-rupanya itu jariahnya untuk sesiapa sahaja yang tidak berkesempatan untuk berbuka di rumah masing-masing. Kami mengambilnya seorang satu. Dan saya tidak lupa mendoakan lelaki itu yang sanggup berkorban di dalam cuaca yang sangat sejuk.
Berstatuskan musafir, solat kami jamak takkhirkan. Seterusnya kami melewati sebatang lorong yang dinamakan sempena nama Sayidina Ali r.a. Di lorong sempit yang gelap lagi lecak dan sejuk, terhias dengan seorang imam yang memimpin jemaah tarawih sepanjang dua saf pendek. Allahuakbar...Allahuakbar...indahnya pemandangan itu. Suasana seperti ini mustahil untuk dilihat di tanah air kita. Dalam serba kekurangan, pengabdian kepada Allah tetap diteruskan dek kerana tiada masjid berdekatan. Di Malaysia, masjid-masjid memang gah, tapi rohnya tiada. Jemaah tarawih makin lama makin berkurangan pada penghujung Ramadhan. Tetapi di Mesir, jemaahnya semakin lama semakin bertambah hinggalah pada 10 malam terakhir, umat Islam berduyun-duyun ke masjid untuk merebut pahala berganda.
Di sebuah masjid di Kaherah (lupa di ingatan nama masjidnya), pada 10 malam terakhir, jemaah menjangkau hampir setengah juta (SETENGAH JUTA!) memenuhi setiap genap ruang masjid dan jalan raya di sekitarnya...lebih-lebih lagi apabila Qari tersohor Mesir Syeikh Muhammad Gebril hadir mengimamkan solat.
Tengah hari semalam (22.9.08) mendengar kuliah Us. Sobri di pejabat, maka saya mendapat maklumat tambahan dan saya dapat mengingat kembali beberapa maklumat yang tertinggal i.e berkenaan masjid di mana Syeikh Muhammad Gebril mengimamkan jemaah tarawih. Masjid tersebut ialah MASJID AMRU AL-AS.
Ketika kami mengunjunginya, kerja-kerja ubasuai, pulihara dan pembesaran sedang dalam progres. Menurut Headmaster masjid itu, belanjanya sangat tinggi (saya cuba recall kosnya, tapi tidak berjaya, buku catatan pula entah ke mana).
Menurut Us. Sobri jemaah tarawih di Masjid Amru Al-As pada akhir Ramadan ialah 1 juta. Barangkali sudah meningkat sejak saya ke sana tahun 2000 dulu. Meningkat 1/2 juta dalam tempoh lapan tahun...subhanallah...
Menurut Us. Sobri lagi, apabila Syeikh Gebril membaca surah Abasa dalam tarawih, sampai ada jemaah yang pengsan...bukan kerana kesyahduan bacaannya tetapi kerana penghayatan warga Muslim Mesir yang mendengar kalamullah suci itu. Kita di sini bagaimana? Bila lagi?
Nota tambahan yang baru muncul
diingatan: MASJID AMRU AL-AS ialah masjid tertua di Mesir. Sebaik tiba di Mesir,
perkara pertama yang dilakukan oleh Sahabat Rasul yang bernama Amru al-As ini
ialah membina masjid sebagai pusat pentadbiran.
3 comments:
salam
indahnya pengalaman itu. ohhh saya sudah tidak sabar berangkat ke bumi haramain, dan saya juga sudah tidak sabar berangkat ke bumi anbiya' nanti
salam, kak su, seronok dan banyak dapat ilmu dengan artikel ni. Patut kak su korek semua catatan (termasuk pi myanmar) dah tulis kat blog..hehee
Insya-Allah...
Post a Comment