Tuesday, August 6, 2013

SUNYI DAN LENGANG

Sunyi dan lengang! Saya masih bekerja tatkala orang lain sudah pun mula bercuti sejak semalam. Dan esok saya masih bekerja lagi!

Lusa, barulah pulang beraya di negeri kelahiran. Itu pun jika tiketnya betul! Setiap kali bertanyakan suami tarikh dan waktu penerbangan bagi memudahkan saya mengambil cuti dan membuat persiapan balik, tiap kali itulah berubah tarikhnya.

Maka saya mengisi borang cuti mengikut budi bicara sendiri, saya mengambil cuti selepas raya, bukan sebelum raya. Dan yang terakhir sekali apabila bertanyakan suami bila tarikh penerbangan, dia menjawab, "Hari raya pertama." Namun, waktunya tidak pula dimaklumkan bila.

Alahai, jika diberitahu awal, saya akan ambil cuti sehari sebelum raya untuk berkemas. Bagaimanapun, saya masih tidak 'pegang' kata-katanya itu takut berubah lagi tarikhnya!


Sudah lengang!


Yang bersepah ini, sudah tentulah tempat saya!

Monday, August 5, 2013

JAGALAH ANAK ANDA!

Hari ini, banyak pula berita kehilangan kanak-kanak!

Allahu Akbar, saya cukup ralat dengan berita-berita sebegini ... kanak-kanak hilang/diculik di sana sini.

Emak saya selalu berpesan, jika kita ada anak-anak kecil tak usahlah dibawa ke mana-mana semata-mata menuntut kemahuan kita.. Maklum sahaja, kita manusia serba lemah, walaupun tidak cuai menjaganya, kekadang kita terleka secara tidak sengaja. Lebih baik tinggalkan sahaja anak kepada keluarga atau sesiapa sahaja yang boleh dipercayai daripada kita menyesal tak sudah kerana anak tercicir atau hilang.

Sewaktu anak saya masih kecil, saya tidak banyak berjalan ke mana-mana, terutama ke tempat yang ramai manusia seperti di shopping complex. Jika perlu pergi juga, saya pastikan anak ditinggalkan kepada  keluarga untuk menjaganya.

Untuk shopping raya, lakukan seawalnya ketika pusat beli-belah tidak dikerumuni oleh last minute shoppers. Dalam keadaan orang ramai, mudah sahaja anak hilang sekelip mata. Bajet boleh dilakukan setahun awal, tidak perlu tunggu bonus yang selalu majikan beri menjelang raya ketika orang lain juga sibuk keluar bershopping. Hendak seribu daya!

Allahu Akbar, anak adalah kurniaan Allah yang tidak ternilai, tiada galang ganti, tidak boleh diganti dengan wang ringgit mahupun dihimpun setinggi gunung. Jagalah mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Dan juga jangan lupa sentiasa panjatkan doa untuk keselamatan anak. Ajarkan juga kepada anak doa-doa pelindung diri yang mudah dihafal agar sentiasa dalam pengawasan malaikat!

Sesungguhnya banyak doa diajarkan Nabi SAW. Itulah warisan Baginda untuk umat yang dicintainya agar kita semua selamat!