Thursday, June 25, 2009

CUBA SEBUT 'ADOBE'!

Cuba anda sebut "ADOBE" ... ya ... ya ... ADOBE pengeluar software komputer itulah. Yang mana lagi.

Ha, cuba sebut!

Saya ini boleh dikatakan agak jahil tentang dunia pengkomputeran. Hanya tahu menggunakan MSWord, PowerPoint dan mengakses Internet. Jika berlaku sebarang gangguan pada komputer saya, maka saya akan meminta bantuan daripada mereka yang tahu.

Ironiknya, mereka yang arif komputer ini kadang-kadang agak jahil tentang sebutan istilah-istilah berkaitan IT ini, berbanding saya yang amat jahil tentang pengkomputeran, tetapi saya sekurang-kurangnya tahulah juga menyebutnya dengan betul.


Yang paling ketara sekali ialah sebutan ADOBE!

Ooooo…bukan sedikit orang yang salah menyebutnya. Mereka menyebutnya dengan sebutan “A-DOB”!!!



Di mana-mana pun “A-DOB” dan “A-DOB” dan “A-DOB” lagi yang saya dengar. Sama ada disengajakan atau mereka sebenarnya jahil ... benar-benar tidak tahu.

Bila adik ipar saya menyebutnya dengan sebutan betul, dia digelakkan oleh suami dan kakak iparnya. Lalu saya pun menyampuk, “Betullah tu…”

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sebutan betul untuk ‘ADOBE’ ialah “A-DO-BI” bukan “A-DOB”.

Jika dalam Inggeris mungkin sebutannya begini “AH-DOE-BEE” (menyebutnya 'DOE' as in 'DOE' yang bererti rusa betina).

Sila ke Wikipedia untuk maklumat lanjut: http://en.wikipedia.org/wiki/Adobe_Systems

Dalam bahasa Inggeris adobe juga merujuk kepada bata yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan jerami!

Monday, June 22, 2009

"OKEY ..."

“Okey…okey…” ujar seorang rakan sepejabat apabila berbalas bual di talian telefon.
“Okey…key…key…key…” ujar rakan yang lain pula.

Telinga saya sering menangkap cara orang menjawab sesuatu pertanyaan dengan jawapan di atas. ‘Okey’nya itu diulang-ulang beberapa kali menyebabkan saya kekadang tersenyum sendirian kerana geli hati. Pendek kata, semua orang menyebutnya begitu. Malah ada yang menyebutnya melebihi lima kali (Yup…I did count!)

Mengapa mereka menyebutnya berkali-kali pun saya tidak faham. Saya sendiri juga apabila terlupa, turut menyebutnya lebih sekali dan saya sendiri pun tidak sedar sewaktu menyebutnya. Selepas menyebutnya barulah perasan. Dalam waktu saya ingat, saya cuba ‘control’ untuk tidak menyebutnya banyak kali. Paling tidak pun dua kali sahaja.

Saya juga tidak pasti sejak bila penggunaan ‘okey’ atau 'okay' mula popular diguna pakai secara global. Seingat saya, lebih 20 tahun dahulu, masyarakat kita jarang menyebut ‘okey’ dalam perbualan harian. Malah tidak ada langsung dalam penulisan buku mahupun skrip drama. Ketika itu perkataan ‘ya’, ‘baik’ atau ‘tak apa-apa’ lebih standard digunakan.

“Mak okey?”
“Mak okey …”

Demikian dailog sebuah iklan di televisyen dahulu (Petronas, kalau tidak salah saya semasa menjelang hari raya). Watak ibu dimainkan oleh Maria Arshad.

Hah! Dalam iklan pun ‘okey’ juga yang popular!

Saya tabik hormat pada Che Amran (kumpulan Raihan), apabila datang ke pejabat, beliau lebih senang membalas bualan kami di sini dengan “Baiklah” bukannya “Okey” sebagaimana orang lain.

Saya melayari Internet untuk mencari asal usul perkataan ‘okey’ atau ringkasnya 'OK'. Hmmm…ada bermacam versi yang menarik.

Dan ini pula balasan SMS yang sering saya terima apabila saya bertanyakan sesuatu kepada seseorang, iaitu ‘K’ jawapan balas SMSnya. Teman-teman membalasnya dengan hanya satu huruf ‘K’ seketul, bukannya ‘OK’. Bos saya pun begitu juga memilih menggunakan ‘K’ sahaja.

“Ya Allah…” ngomel saya, punyalah pemalas manusia mahu menekan key ‘O’ untuk menjawab SMS dengan ‘OK’ (sekurang-kurangnya). Saya yakin orang Inggeris pun tidak membalas SMS dengan huruf ‘K’ sebagai ‘Okay’!

Saya rasa ‘K’ dalam SMS hanya ada di Malaysia sahaja! Sudahlah ‘OK’ pun memang pendek. Dipendekkan lagi menjadi ‘K’.

OKEY … Sekian kisah ‘Okey’ saya! Okey ke tak okey?