Thursday, January 19, 2012

DIDERA GURU

Ketika menunggu anak pada hari-hari awal permulaan sekolah di tahun satu baru-baru ini, saya duduk dengan penuh kebosanan di kantin. Berjam-jam menunggu tamat waktu belajar. Bahan bacaan yang dibawa pun sudah tidak terbaca kerana cuaca panas. Saya tidak dapat memberi tumpuan pada bacaan.

Maka duduklah saya di kantin dengan mata melilau melihat persekitaran.

Di blok bangunan lama, saya perhatikan murid-murid yang turun naik tangga.

"Allah, kesiannya!" ucap saya. Memang saya amat kasihan melihat mereka ini memikul dan menggalas beg yang maha berat berkilo-kilo naik dan turun tangga! Hinggakan bentuk tubuh mereka menjadi melengkung seperti huruf 'C'. Saya seolah-olah melihat huruf C yang berjalan, bukannya manusia.

Bayangkan mereka terpaksa membawa beg yang amat berat mengandungi buku-buku untuk setahun. Oh, bukan setahun tetapi bertahun-tahun, yakni dari tahun 1 hingga tahun 6.

Anak-anak ini masih lembut lagi tulangnya, ada kemungkinan bebanan sedemikian boleh menjejaskan perkembangan tulang.

Apabila ditanya, buku-buku yang dibawa saban hari itu tidaklah pula digunakan mereka.

"Entah, cikgu suruh bawa, tapi tak guna pun," ujar seorang daripada mereka.

"Cikgu kata, bawa ajelah.Tapi cikgu tak suruh keluarkan pun dari beg," jelas yang lain pula.

Bagi saya, ini adalah suatu penderaan oleh guru terhadap murid-murid. Guru mendera tanpa sedar. Barangkali mereka hanya mengira penderaan itu dalam bentuk pukulan yang menyakitkan sahaja.

Zaman saya dulu pun beg sudah dikira berat, tapi zaman kini, beg sekolah berkali-kali ganda beratnya. Saya tidak fikir kecemerlangan seseorang murid itu bergantung kepada beratnya sesebuah beg dan bergantung kepada buku-buku yang disuruh bawa tapi tidak digunakan. Jadi mengapa harus dibebani murid-murid ini dengan bebanan begitu?

Zaman saya dulu, di dalam kelas ada almari khas untuk menyimpan buku-buku kerja. Ia dikunci cermat. Apabila ada kerja rumah atau hendak menghadapi peperiksaan barulah buku ini dibawa pulang untuk disiapkan dan untuk diulang kaji.

Tidak hairanlah rekaan beg-beg sekolah hari ini mengalami inovasi dan sentiasa berevolusi.

Daripada beg sandang sisi menjadi beg sandang belakang, daripada beg sandang belakang menjadi beg ergonomik untuk tulang belakang, daripada beg ergonomik menjadi beg beroda ala bagasi. Semuanya bagi memberi kemudahan murid-murid sekolah membawa beban yang tidak wajar. Yang mengaut untung adalah pengeluar beg dan penerbit-penerbit buku (buku dibeli tetapi tidak digunakan secara optimum).

Dahulu isu ini pernah kecoh seketika dan diambil perhatian oleh pihak Kementerian Pendidikan. Kini isu ini senyap begitu sahaja.

Malang sungguh!

Wahai para guru sekalian, cubalah kalian berada seketika di tempat murid-murid ini dan pikul beg mereka turun naik tangga selama setahun dan rasakan sendiri!

No comments: