Monday, April 25, 2011

BERDOSA JIKA BOROS DALAM MAJLIS PERKAHWINAN

Saya petik artikel di bawah daripada akhbar HARAKAH, 21-24 JAMADILAWAL 1432/25-28 APRIL 2011.

RIYADH: Anggota Badan Tertinggi Agama Diraja Arab Saudi, Syeikh Abdullah bin Sulaiman al-Muni' berkata pemborosan dalam penyediaan majlis perkahwinan yang tidak berkaitan dengannya seperti persandingan dan seumpamanya adalah berdosa, sama ada dilakukan pihak keluarga mempelai perempuan ataupun lelaki.

Beliau yang juga penasihat agama diraja negara itu menyifatkan pemborosan adalah satu amalan yang amat tidak berkaitan dengan ajaran agama Islam yang sudah menjadi perkara biasa (trend) masyarakat umat Islam hari ini akibat kedangkalan mereka tidak mahu bersolat jemaah serta duduk dalam majlis ilmu.

Tegas beliau lagi, kalau masa lalu majlis perkahwinan dilakukan secara ala kadar dan sederhana bentuknya dengan menjaga adab-adab yang diajarkan oleh agama, akan tetapi kecenderungan hari ini sudah berubah kerana masing-masing mahu bersaing ketika menganjurkan majlis tersebut tanpa mengambil kira lagi soal halal dan haram.

Beliau mewakili segenap anggota badan tertinggi agama diraja menyeru semua para wali agar meletakkan rasa takwa kepada Allah SWT lebih dalam hati mereka, dalam erti kata cemas dan takut bila mana Allah turunkan bala ketika sedang berlangsungnya majlis perkahwinan dengan tidak sempat memohon keampunan daripada-Nya. Sedangkan Nabi telah memberi tunjuk ajar bahawa perkahwinan yang paling diberkati Allah ialah yang paling sederhana.

Begitu juga dengan harga mahal pada mas kahwin yang dianggap sebagai melampau serta wang perbelanjaan yang ditanggung oleh pengantin lelaki atau keluarganya yang kadang-kadang tidak mampu diadakan oleh pihak lelaki, tetapi kerana mahu kahwin juga terpaksalah menanggung beban yang akhirnya boleh memporak-perandakan pasangan yang baru berkahwin. Ia bukan sahaja tidak sesuai dilakukan, malah sebagai salah satu perkara bidaah yang tidak diajar oleh Rasulullah SAW. Begitu juga tindakan ibu bapa perempuan yang meletakkan jumlah mas kahwin yang tinggi boleh menyebabkan ramai anak teruna terpaksa membatalkan hasrat untuk berkahwin kerana tidak mampu untuk menghimpunkan jumlah yang tinggi.

Syeikh Abdullah menempelak sesetengah para bapa yang beria-ia mengadakan majlis yang agak mewah dan boros, sedangkan anak-anak mereka tidak mahu majlis seumpama itu kerana tahu bahawa ia bukanlah majlis yang baik yang diberkati Allah setelah mereka belajar hukum berkenaan ketika belajar di universiti.

Sekali lagi badan agama tersebut mengingatkan para bapa yang mempunyai anak-anak gadis agar tidak meletakkan harga mas kahwin yang tinggi seolah-olah mahu menjual anak masing-masing, malah kehidupan alam rumah tangga anak-anak mereka tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.-Rayiq.com

1 comment:

abglilkv said...

Sedih... wang dihamburkan ke arah pekerjaan sia-sia; membazir dan tak berkat! 10 tahun dulu, ada kenduri kahwin di sebuah kampung, kenduri biasa-biasa saja, tapi saya tengok nasik berlebihan terpaksa dibuang hampir 2 guni!