Tuesday, November 30, 2010

GRADUAN

Setiap kali melakukan penyuntingan, saya berasa cukup ralat jika berjumpa perkataan 'graduan' disalahgunakan (tidak menepati maksud).
Perhatikan ayat ini:
1. Graduan itu kelihatan gembira hendak menerima ijazah pada hari konvokesyennya.
2. Para graduan sedang berbaris untuk menerima anugerah daripada canselor universiti.
3. Penulis novel itu merupakan graduan UKM.
4. Setelah hampir empat tahun bekerja sebagai pendidik, graduan dari Universiti Malaya itu membuat keputusan untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Ayat no. 1 dan no. 2 adalah betul dari segi maksud.
Ayat no. 3. dan no. 4 adalah salah, dan ayat sebeginilah yang sering ditemui yakni tidak memberi maksud sebagaimana perkataan graduan dalam ayat 1 dan 2.
Apa yang salahnya?
Graduan bererti mahasiswa yang akan menerima ijazahnya pada hari konvokesyennya (bererti ijazah atau sijil belum lagi berada di tangannya walaupun telah lulus dan tamat pengajiannya ... mahasiswa yang sedang bersiap sedia dengan jubah konvokesyen untuk menerima anugerah akademik).
Bahasa Inggeris menyebutnya 'graduand', tetapi kita menganggap graduand/graduan sebagai 'graduate' (siswazah).
Ayat no.3 dan n0.4 sepatutnya menggunakaan perkataan siswazah/lulusan atau pemegang ijazah.
Pensyarah bahasa Melayu saya di universiti sering menekankan kesalahan penggunaan perkataan graduan ini. Katanya bukan orang biasa sahaja yang salah guna dan tak faham erti sebenar perkataan graduan, malah lebih memalukan pensyarah bahasa Melayu sendiri pun tidak tahu menggunakan. Itu katanya. Kata-kata beliau itu terus melekat di ingatan saya hingga hari ini. Benar katanya itu, apabila saya terlibat secara langsung dengan penerbitan buku dan banyak membuat penyuntingan naskhah, masalah ini sering ditemui.
Jika tidak percaya, bukalah Kamus Dewan, kitab rujukan bahasa Melayu di negara kita, atau jika anda seorang yang sangat pemalas mahu menyelak kitab tebal itu dan hanya tahu ber-Internet sahaja ... Googlelah sahaja perkataan 'graduand' di hujung jari anda!

Friday, November 26, 2010

DOA & ANGKAT

CERITA 1

"Esok Mak mati, nanti Ammar doakan Mak tau," beritahu Ammar sebelum tidur malam tadi.

"Alhamdulillah. Bagusnya. Macam tu lah anak soleh. Macam mana doa Ammar tu?"

"Ammar doalah. Bila Mak masuk kubur Ammar doa Mak lompat-lompat keluar dari kubur jadi hantu ... ."

Astaghfirullah. Aduh anakku. Lain yang kita harapkan, lain yang mahu dia doakan.

Ya Allah, jauhkanlah walaupun nadanya itu kedengaran cuma untuk bergurau.


CERITA 2

"Ammar, dah nak sampai rumah ni. Jangan tidur lagi, nanti Mak tak larat nak angkat Ammar masuk rumah. Ammar dah berat," saya menegurnya. Tangan kiri saya menggoncang dia yang sudah hampir terlelap. Sebelah tangan lagi mengawal stereng.

"Ya lah Mak, Ammar belum tidur lagi ..." lemah saja bunyinya.

"Janji jangan tidur lagi ... ."

"Tak palah Mak kalau Ammar tidur pun. Esok bila Ammar besar, Mak dah tua, Ammar pulak angkat Mak ..." bebelnya dengan mata terpejam.

"Betul ke ni? Boleh caya ke?"

"Cayalah ... ."

"Alhamdulillah kalau macam tu."

Tuesday, November 23, 2010

BATERI KERETA PUNYA PASAL

Pagi ini saya kalut hendak menghantar anak dan ke pejabat gara-gara bateri kereta dah mati. Mujur kebetulan suami saya tiba ke rumah dari pejabat jam tujuh pagi. Lalu saya memunggah beg anak dan barang-barang lain dari kereta saya ke kereta suami saya. Pagi ini saya memandu keretanya.

Setelah menghantar anak, saya terus berkejar ke pejabat. Ketika hampir tiba di pejabat, barulah saya teringat ... dalam terkocoh-kocoh itu access card pejabat saya tertinggal di dalam kereta di rumah.

Adus!

Saya tercangak-cangak di depan pintu masuk. Loceng ditekan berkali-kali, malangnya tiada siapa yang mendengar kerana tidak ada sesiapa pun di bawah.

Saya mendail nombor telefon pejabat, dengan harapan adalah orang yang menjawabnya.

Agak lama telefon berdering barulah berjawab. Alhamdulillah. Suara pun dah tahu siapa yang menjawabnya.

"Helo, Kak Aliyah, Suraiya ni,"

"Hah, kenapa?"

"Saya tak boleh masuk, kad tertinggal."

"Okey okey, tak apa, nanti Kak Aliyah turun buka ..."

Seketika saya menunggu di luar pejabat, kelihatan Hajah Aliyah Sijari menekan punat pintu masuk.

"Sorrylah ... kad saya tertinggal, hari ni tukar kereta."

Inilah pro dan kontra menggunakan access card. Juga pro dan kontra memilih masuk pejabat jam lapan pagi. Kalau memilih masuk waktu kerja jam sembilan sebagaimana kebanyakan staf lain, kebarangkalian sudah ada orang ada di dalam pejabat itu lebih cerah, tetapi risikonya jalan raya pasti sesak kalau lambat tiba ke pejabat.

Apa pun, terima kasihlah banyak-banyak kepada Hajah Aliyah yang membukakan pintu masuk. Moga dapat ganjaran pahala banyak sebab memang setiap orang berasa malas hendak turun dari tingkat paling atas kemudian kena naik semula.

Monday, November 22, 2010

EXTRA CHEESE ...

"Helo, Papa ... tolong beli piza." Ammar Hadi menelefon ayahnya di pejabat. Teringin sangat makan piza setelah melihat gambar piza pada risalah promosi Pizza Hut yang disumbatkan ke dalam peti surat.

"Ammar nak piza yang macam ni ..." disuakannya gambar piza itu ke telefon. Disangkanya di hujung talian sana gambar itu boleh dilihat oleh ayahnya.

Malangnya piza tidak dibelikan.

"Papa beli piza tak?" soalnya sewaktu suami pulang ke rumah.

"Papa tak beli," jawab suami saya.

"Alah. Papa tipu Ammar. Mesti Papa beli tapi Papa lupalah tu, tinggal kat ofiskan?" Ammar mengadu nasib kepada saya.

"Papa lupalah tu. Kalau Papa beli mesti Papa buat balik. Kalau tinggal kat ofis, nanti basi. Nanti Papa belilah tu." Saya memujuk.

---

Esoknya, "Nah, duit. Nanti suruh Mak beli piza."

"Yea, yea ..." Ammar melompat. Di tangannya not 50 ringgit.

"Bagi Mak duit tu, nanti hilang pulak," kedengaran suara suami saya di muka pintu berpesan pada Ammar.

"Mak, Papa bagi duit suruh beli piza, sekarang jugak."

"Aik ... Mak tak dengar pun Papa kata beli sekarang."

"Alaaa, bolehlah bolehlah ... " rayunya.

"Boleh beli. Tapi malam nantilah. Sekarang makan nasi dulu. Nasi banyak tu siapa nak makan?"

"Yalah, yalah ... ."

Muncung!

---

Lewat petangnya saya memesan piza melalui telefon.

"Good evening Madam, may I take your order?" kedengaran suara lelaki yang saya tidak dapat pastikan bangsanya. Mungkin India atau Bangladesh, berdasar bunyi telor lidahnya. Pelatnya sangat susah nak faham.

"How long will it take to deliver?"

"Forty-five minutes. Any side order?"

"No side order, but how much do you charge for extra cheese?"

"#%*& pizza"

"Sorry ...!" Saya tidak dapat menangkap apa yang dikatakan lelaki itu melainkan hujungnya 'pizza' saja yang saya faham. Kedengaran seolah-olah tergeliat lidah dia hendak menyebut."

"#%*& pizza!" dia mengulanginya, tapi saya tetap tidak faham.

"I'm sorry, I don't understand what you're saying."

"#%*& pizza."

"You tak boleh cakap Melayu ke?"

"Sorry Madam ..."

'Isk, mamat ni cakap apalah, tak berbutir. Aku tak paham langsung. Ke aku ke yang bodoh, tak faham?' Saya merungut sendirian, menggaru kepala yang tak gatal.

Aduh! Malas saya hendak berurusan lagi.

"Never mind. Forget the extra cheese ..."

Menjelang Maghrib. Piza yang dipesan sampai. Ammar Hadi terkinja-kinja kesukaan. Tapi saya menahannya daripada makan sebelum solat Maghrib ditunaikan terlebih dahulu.

Muncung lagi!

Malamnya saya dan Ammar makan piza. Cuma saya terfikir, mengapa mesti didaulatkan bahasa asing di negara sendiri dalam kebanyakan urusan seperti itu? Jikalaupun bangsa asing perlu diambil bekerja, dia seharusnya mesti tahu bercakap bahasa Melayu yang asas.

Inilah gagasan 1 Malaysia! Malang sungguh negaraku!

Monday, November 15, 2010

CERITA KHAYALAN AMMAR HADI

Sebelum tidur, seperti biasa saya akan sembang-sembang dengan anak. Pillow talk kami macam-macam topik.

Semalam paling saya tidak tahan mendengarnya. Hilang mengantuk saya dibuatnya. Akhir-akhir ini cerita khayalannya menjadi-jadi. Kalaulah saya pandai menulis buku cerita kanak-kanak, barangkali setanding dengan J.K. Rowling. Malangnya saya langsung tidak ada bakat menulis buku seperti itu walaupun banyak isi boleh dikembangkan daripada ilham anak saya.

Cerita Ammar malam tadi:

"Abang Ammar nama dia Azman," Ammar memulakan cerita.

"Bila masa pulak Ammar ada abang," saya menyampuk.

"Alaa Mak ni, tipu-tipu je ..." nadanya sedikit marah kerana mengganggu ceritanya.

"Kentut dia hebat sampai keluar kat jalan." Perut saya mula senak menahan gelak. Tapi tahan saja takut kena marah. "Bau busuk sangat tapi orang tahan je."

"Isy, tak da cerita lain ke yang elok sikit."

"Alaa Mak ni, tak pa laaa."

"Papa Azman lagi hebat kentut dia."

"Aik, kalau Azman tu abang Ammar, Papa dia pun papa Ammar jugalah."

"Tak ... ni cerita tipu-tipu je, kan Ammar dah cakap."

"Mmm ye lah. Pastu apa jadi?

"Azman tu hebat. Dia boleh buat drift kereta Mercedes."

"Pastu?"

"Pastu dia boleh jadi monyet, pastu dia boleh jadi kapalterbang pulak. Pelik!"

"Ammar boleh jadi apa?"

"Mana boleh, itu kan cerita tipu-tipu je ... eeee... dah, dah Ammar nak tidur."

Marah betul.

"Hmm ye lah. Jadi anak soleh dah le ye Ammar ... doa tidur tu jangan lupa. Ayat Kursi pun jangan tak baca pulak."

Saya mendengar satu persatu doa tidur dan ayat Kursinya serta beberapa surah pendek lain yang dihafalnya.

"Ammar dah baca ayat Kursi, setan dah lari ke Mak?"

"Hisy, dah baca buat cakap lagi, kena tidur terus, nanti powernya hilang. Ulang balik baca."

"Yalah, yalah ... "

Tuesday, November 9, 2010

MENYAMPAH DENGAN SAMPAH



Kawasan perumahan saya sering didatangi bermacam-macam syarikat menjual produk dan menawarkan pelbagai perkhidmatan. Mereka meninggalkan pamplet, katelog, risalah dan menyelitkan kad perniagaan di celah pintu pagar. Paling banyak yang berkaitan memasang dan membaiki paip.

Masalah ini kekadang membuatkan saya meluat kerana kertas-kertas yang ditinggal itu menyebabkan peti surat penuh dan menjadi sampah. Hampir setiap hari ada saja yang disumbat masuk ke dalam peti surat dan diselit dicelah pagar.

Dalam tempoh tiga hari, jika dikumpulkan penuh plastik sebesar beg plastik Tesco.

Saturday, November 6, 2010

HUJAN LEBAT DI MAJLIS KENDURI


Majlis perkahwinan sahabat lama saya, Saidah Mohamed dan pasangannya Bazari hari ni berlangsung dalam hujan lebat. Pun begitu, kami tidak kisahkan hujan yang mencurah kerana majlis ini menemukan teman baik sepengajian di ITM dulu.

Inilah pertama kali kami lihat pasangan pengantin yang pakaiannya tidak sedondon. Pengantin perempuan bertudung merah jambu-putih dan berbaju maroon gelap, manakala pengantin lelaki berpakaian peach.

"Tangkap muat je," jelas pengantin perempuan apabila diajukan soalan mengapa pakaiannya dan suami tidak sedondon.




Kali terakhir bertemu Norintan Khalid ialah enam tahun dulu di majlis perkahwinan saya. Rossila Abdullah, kali terakhir bertemu adalah di rumahnya di Mantin beberapa bulan dulu. Rosnah Buang juga saya bertemu di rumah Rossila di mana kami dijamu dengan mi kari yang enak. Dan pengantin sendiri kira-kira setahun dulu.

Pun begitu, sembang kami agak terbatas dalam suasana sedemikian. Pengantin perlu melayan tetamu, dan kami yang sudah berkeluarga dan berkerjaya ini perlu segera berangkat pulang bagi memenuhi tuntutan yang tidak dapat dielakkan.





Jika panjang umur dan ada rezeki, barangkali kita boleh rancangkan sesuatu untuk 'reunion' kecil-kecilan yang tidak formal.



Baju lembap - ambil kesempatan main air hujan!

Di bawah ialah foto-foto hasil tangan anakanda Ammar Hadi:

Yang di kanan sipi-sipi masuk sebelah muka saja.


















Dan foto lubang hidung dirinya sendiri seperti ini pasti ada setiap kali kamera di tangannya.

Wednesday, November 3, 2010

ANDAI DAPAT DIKEMBALIKAN WAKTU ITU

Acap kali saya termenung mengenangkan berapa banyak lagi masa yang Tuhan beri untuk saya bernafas di dunia ini.

Acap pula saya terkenang diri ini sebagai seorang anak yang belum banyak menabur bakti kepada Emak dan Ayah. Sebaliknya mereka yang masih berbakti dan memuliakan anak-anak.

Semakin usia menginjak, semakin terasa beban dosa yang dipikul. Sedangkan kematian semakin hampir.

Andai dapat dikembalikan masa lalu, mahu saja saya memaksimumkan kebaktian kepada orang tua. Tapi tentunya mustahil.

Apabila terpandangkan anak-anak muda menghabiskan waktunya dengan kerja yang sia-sia, saya jadi geram.

Merokok.
Melepak.
Merempit.
Mencuri.
Ponteng sekolah.
Menghadap TV dan komputer siang malam.
Dan entah apa-apa lagi.

Seruan saya ... wahai anak muda, pada kesempatan dan kelapangan yang ada berbaktilah kepada orang tuamu semampu yang dapat. Apabila sudah berkerjaya dan berkeluarga, tiada lagi kesempatan seperti itu.

Kini saya merasainya.

Apabila kita sudah berkerjaya dan berkeluarga, komitmen kita teralih kepada tugas di pejabat, suami, anak dan rumah tangga. Tidak mampu lagi menabur bakti kepada orang tua seperti yang dimahukan.

Alangkah rugi dan menyesal kerana sewaktu di takah usia muda tidak berbakti kepada mereka semaksimumnya kerana waktu itulah waktu terbaik, waktu banyak kelapangan untuk melakukannya.

Kini, tidak tiada lagi kelapangan seperti dulu untuk memuliakan mereka.

Ampun maafkan anakanda, Emak, Ayah!

Monday, November 1, 2010

ULAM BAWANG

"Macam mana Kak, doktor cakap apa?" soal cikgu anak saya sehari selepas saya membawa anak memenuhi janji temu di PPUM.

"Okey. Doktor nak pantau jantungnya aje."

"Ammar sakit jantung ke?"

"Bukan jantung, tapi Kawasaki. Penyakit ni mudaratnnya pada jantung." Saya cuba memudahkan penerangan. Nak diterangkan apa itu penyakit Kawasaki, panjang lebar pula jadinya.


"Kalau dia main lasak, tak apa ke?"

"Tak apa." Ammar waktu itu sedang bergayut-gayut di taman permainan tadika. Waktu itu juga, beberapa orang tukang sedang membaiki pagar taman permainan di bawah pokok rambutan itu.

"Makan? Ada pantang?"

"Dia tu pantangnya sebab lelah je. Tapi lelah pun alhamdulillah dah lama tak kena."

Banyak betul soalan cikgu baru ini. Cikgu yang dah lama berkhidmat di situ dah tahu keadaan anak saya. Khasnya Cikgu Seri yang menjaganya sewaktu anak saya berusia setahun. Ketika itu terpaksa saya mengajarnya cara-cara memberi ubat kepada Ammar Hadi.

Bermacam jenis ubat waktu itu termasuk aspirin dan ubat jantung orang dewasa yang rasa pahitnya hanya Tuhan aje yang tahu.

"Ammar jomlah, nak balik ni, nanti jalan jam pula ... " saya meninggikan suara.

"Anak sakit jantung ke?" seorang tukang itu menyapa. Saya baru sahaja hendak melangkah masuk ke kereta.

"Tak ... " alahai, malas pula nak rewind jawapan.

"Kalau sakit jantung, makan bawang merah tiga biji. Buat ulam makan dengan nasi. Insya-Allah dalam empat hari ada perubahan." Lelaki itu berkongsi petua.

"Ooo gitu ke ..."

"Tapi kalau budak ni saya tak tahulah penyakit apa. Kalau betul-betul sakit jantung, insya-Allah boleh cuba.

"Lagi satu, kalau mandi, jangan tengah malam. Lepas Isyak, jangan mandi. Tak bagus untuk kesihatan. Kalau nak mandi juga, mandi air suam. Itu pun tak boleh selalu ... " ujarnya lagi.

"Ye ke ... ." Saya memberi respons, walhal dah lama tahu. Cuma saya suka tengok orang suka apabila petua yang diberi dihargai kita. "Gitu ye ... ye lah, terima kasih."

Saya menghidupkan enjin kereta dan senyum padanya lalu beredar dari situ.