Wednesday, January 13, 2010

CARA EMAK

Emak saya mempunyai caranya sendiri untuk memujuk anak cucu makan. Tak lalu makan memang lumrah. Apatah lagi apabila melihat lauk di bawah tudung saji tidak berkenan di hati.

Emak juga menggunakan teknik ini jika dia ketandusan idea memilih menu untuk dimasak. Kekadang saki-baki lauk yang anak cucu dah tak pandang pun dihabiskan cara ini.

Apa yang Emak lakukan ialah mengubah cara ‘persembahan’nya. Emak buat nasi berlauk atau nasi bungkus.

Nasi berlauk ialah sarapan popular di Kelantan, tapi Emak tidak kira waktu: pagi, tengah hari atau malam dia sediakan nasi berlauk asalkan ahli keluarga mahu makan.

Tak payah nak fikir apa-apa, tak payah masak lauk banyak-banyak jenis. Cukup sekadar gulai ikan tongkol masak lemak lengkuas dan sambal. Itu menu nasi berlauk.

Emak membungkusnya rapi dengan surat khabar beralaskan daun pisang yang telah dilayur. Enaknya tak terkata. Apalagi yang dibungkus itu nasi panas, akan menambahkan lagi aroma daun pisang ke dalam nasi. Tentu sekali membangkit selera.

Nasi yang telah dibungkus, Emak susun rapi dalam pinggan besar. Seorang sebungkus mengikut jumlah ahli keluarga.

Yang menambahkan enak bukan sahaja kerana konsep ‘bungkus’ itu, tetapi juga kerana air tangan seorang ibu yang menyediakannya penuh dengan kasih yang tulus. Juga kerana kuantiti nasinya tidak banyak menimbun seperti kebiasaan kita makan nasi hidang. Nasi yang Emak bungkus sekadar cukup menghilangkan rasa lapar. Ini menyebabkan kami terasa hendak tambah lagi (we crave for more). Sebungkus macam tidak cukup. Tetapi apabila minum air, kenyangnya sudah cukup. Perut juga nyaman selesa tidak terlalu sengkak seperti makan nasi hidang.

Jika bukan nasi berlauk, Emak akan buat nasi bungkus. Ini ialah strategi untuk menghabiskan baki lauk yang masih lagi elok tapi sudah tidak berapa nak dipandang, apalagi hendak menyentuhnya. Cuma Emak pastikan lauk goreng yang dah sejuk dan tak laku itu, Emak akan tambahkan kuah gulai. Kuah gulai wajib dalam nasi bungkus atau nasi berlauk kerana kuah inilah yang menjadikannya sedap apabila berganding dengan aroma daun pisang.

Bagi para ibu yang ketandusan idea, bolehlah lakukan cara ini. Semalam pun saya dapat sebungkus nasi berlauk apabila pulang ke rumah Emak semasa tengah hari kerana mengambil kain baju Emak yang tertinggal untuk ditempah dengan Puan Zie.

Emak segara bangun membungkuskan saya nasi berlauk. Saya cukup terharu.

“Kakak tak lalu makan hari ni. Mak buat nasi berlauk. Habis dia makan sebungkus,” jelas Emak. (Kakak - cucu sulung Emak yang memang payah hendak makan).

Seketika kemudian pulang Adik dari sekolah. Adik, cucu kedua Emak itu makan dua bungkus. Adik memang pencinta nasi!

Nasi berlauk Emak itu saya rembat dan bawa pulang ke pejabat kerana waktu yang menghimpit tidak mengizinkan saya makan di rumah Emak.

Itulah seorang wanita yang bernama ‘bonda’. Hatinya ikhlas sepanjang hayat. Hidupnya berlandaskan pada ‘memberi’. Saya meminjam moto Ustaz Hasrizal a.k.a Saifulislam.com ‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’.

Yang nyata, hati saya tidak mampu menjadi seikhlas Emak!

Terima kasih Emak. Ampunkan segala dosa anakanda!

4 comments:

Mrs. Nurulazmi said...

Salam, salam taaruf.
entri ini sangat menarik.
Saya sungguh tertarik dengan cara ini.Akan saya cuba aplikasikan cara ini dalam keluarga saya.
Terima kasih atas perkongsian ilmu ini.

SURAIYA PAUZI said...

Salam Vivi,

Blh cuba. Pernah emak saya main kedai2 dgn cucu tanya nak nasi bungkus yg harga berapa (padahal isinya sama je). Budak2 jd seronok nak makan, kalau makan bentang tikar lg seronok.

Mrs. Nurulazmi said...

Ya, memang seronok kalau bentang tikar masa makan berbanding makan kat meja. Lebih terasa nikmat rezeki makanan serta ikatan silaturrahim antara keluarga semasa menjamu selera sambil duduk di atas tikar. Suasana lagi meriah dan bahagia. :)
Oh ya, boleh saya nak address email? sebab blog saya hanya invited readers sahaja yang boleh baca.

SURAIYA PAUZI said...

Vivi,

suraiyya@hotmail.com