Thursday, November 19, 2009

KELAKAR GILA!

Semalam saya menerima e-mel daripada seorang teman. Saya ketawa terbahak-bahak seorang diri apabila melihat gambar-gambar yang diforwardnya malam tadi ... and I thought my English is bad! You should see these pictures. What do you all think? LOL I bet!

Tuesday, November 17, 2009

MEMBERI NAMA ANAK

Anak saya baru membawa pulang gambar kelasnya dari sekolah. Semuanya segak-segak dan comel-comel kerana masing-masing dipakaikan jubah graduasi tadika. Apa yang mencuri perhatian saya ialah di bawah gambar itu disertakan nama anak-anak yang ada di dalam gambar itu.

Saya meneliti satu persatu nama-nama itu untuk mengetahui nama sebenar rakan-rakan setadika anak saya yang sering disebutnya. Antaranya:

Edin nama sebenarnya MUHAMMAD NUAIM ELDIN.
Akil = AQIL DANISH
Akif = MOHD. AKIF SAFWAN
Dan paling mengejutkan saya nama sahabatnya yang sering disebut-sebut iaitu Mawi, nama sebenarnya ialah MOHD HAFIZAL AMRY.

Dalam banyak-banyak nama itu, nampaknya nama anak saya paling ringkas dan mudah disebut AMMAR HADI.

Memang itu tujuan asal saya sewaktu saya memilih nama anak dahulu. Lama juga saya memikirkan dan memilih nama anak. Antara kriteria penting ketika saya memilih nama itu selain mempunyai makna yang indah ialah, nama anak saya mestilah mudah disebut sama ada oleh anak saya sendiri atau lebih-lebih lagi orang-orang tua (apatah lagi kami orang Pantai Timur, loghatnya kekadang membunuh keindahan nama seseorang).

Terkadang saya kasihan melihat orang tua yang terkial-kial apabila hendak menyebut nama cucu-cicit mereka. Itulah akibat ibu bapa yang syok sendiri apabila memberi nama anak tanpa memikirkan orang-orang yang akan menyebutnya nanti. Apatah lagi trend ibu bapa sekarang mahu nama anaknya ala-ala kebaratan.

Maka saya mengelakkan nama yang mempunyai huruf ‘Q’ kerana nanti lidah orang kita menyebutnya sebagai bunyi ‘K’. Saya juga mengelakkan ‘KH’ kerana pasti orang akan menyebutnya juga sebagai ‘K’. Contoh ‘Khairul’ akan menjadi ‘Kairul’. Selain itu, saya tidak mahu nama yang mempunyai ‘GH’ seperti Ghazali kerana akan disebut orang ‘Gazali’ ataupun di Kelantan bertukar menjadi ‘Jali’.

'F' juga saya harus elakkan kerana akan bertukar menjadi 'P'.

Saya juga tidak mahu menamakan dengan pangkal Muhammad atau Ahmad. Kerana nama yang mulia sempena nama Nabi SAW itu akan dihina orang dengan panggilan ‘Mat’ atau ‘Mamat’.

Saya juga mengelak daripada nama yang bermula dengan ‘Z’ kerana di Pantai Timur khasnya Kelantan akan bertukar menjadi ‘J’. Misalnya ‘Zaki’ menjadi ‘Jaki’. Jika perempuan ‘Zaitun’ menjadi ‘Jeton’. Juga kerana teringat pesan seseorang jangan letak pangkal nama anak dengan ‘Z’ kerana di dalam kelas nanti namanya sentiasa corot diletakkan di akhir senarai menurut susunan abjad.

Selain itu, nama itu mestilah dua suku kata sahaja. Juga supaya mudah disebut.

Waduh! Susah rupanya hendak menamakan nama anak. Jika syok sendiri, apa-apa nama pun boleh. Tetapi saya perlu berfikir panjang agar makna asal nama yang baik-baik kekal baik, tidak berubah makna apabila dipanggil orang.

Maka setelah meneliti buku senarai nama-nama Islam yang mempunyai pengertian yang baik, saya akhirnya jatuh cinta dengan nama AMMAR HADI. Banyak kali saya menguji sebutan itu, bereksperimen dengannya—hendaknya mudah disebut orang-orang tua sekeliling, doa saya. Alhamdulillah, setakat ini tiada yang bermasalah menyebutnya cuma sesekali mak mentua tersasul menyebut AMAL, lama-kelamaan dia lebih selesa memanggil cucunya dengan HADI yang juga mudah disebut.

AMMAR (dua suku kata) – yang kuat iman/pembina
HADI (dua suku kata) – ketua/pemimpin ke jalan yang benar

Friday, November 13, 2009

MY E-MAIL ACCOUNT HAS BEEN BREACHED!

Hari ini saya dapati akaun e-mel ( ... @ majikan ... ) saya semakin lama semakin banyak dipenuhi ‘sampah-sarap’ yang tidak berkenaan daripada orang yang tidak berkenaan. E-mel ini sebenarnya saya gunakan untuk urusan rasmi kerja sahaja dan tidak untuk tujuan lain.

Saya mula naik angin!

Saya sudah sediakan beberapa e-mel lain untuk tujuan ‘merapu’ dan ‘bersampah-sarap’, tetapi masih ada individu-individu yang menyalahgunakan akaun e-mel rasmi kerja saya. Saya pun tidak pasti bagaimana ini boleh berlaku.

Kepada sesiapa yang suka ‘memforward’ e-mel (seperti saya) sila gunakan ‘BCC’ dan bukannya ‘TO’ atau ‘CC’ apabila mahu ‘memforward’ e-mel. Langkah ini boleh mengurangkan spam dan kemarahan orang!

Juga tolong jangan gunakan e-mel rasmi saya di syarikat untuk ‘bersosial’ ... TAGGED, FB dll. TOLONG, TOLONG, TOLONG!

Kerjasama anda sekaliannya amat saya hargai. Terima kasih!

Tuesday, November 10, 2009

SAYA BUKAN 'OKU'

Saya kekadang bengang apabila terpaksa bersusah-payah mencari tempat letak kereta di beberapa lokasi tertentu. Bukan tidak ada petak *parkir ... banyak! Tetapi petak-petak ini telah diisi sama ada oleh motosikal ataupun oleh pengusaha gerai atau restoran yang menempatkan kerusi dan meja makan pelanggan.

Saya memang naik angin setiap kali masalah ini menimpa diri. Berpusing-pusing bawa kereta mencari kekosongan tempat letak kereta. Lebih-lebih lagi ketika cuaca panas terik—memanaskan lagi darah yang sedia panas, penyaman udara pun bagaikan tidak terasa.

Masa lebih banyak dihabiskan untuk mencari parkir berbanding menyelesaikan urusan di situ. Sudahlah kita sentiasa berkejar dengan masa. Eeeee ... geram betul! Petrol kereta pun membazir dek berpusing-pusing mencari petak letak kereta.

Jika anda pemandu motosikal, letaklah di tempatnya, bukan mengambil tempat kenderaan lain. Jika anda pengusaha kedai/gerai makanan berpada-padalah juga!

Teringat saya pada kuliah Ustaz Sabri Abd. Rani sewaktu di pejabat lama dulu. Katanya sewaktu memandu di lebuh raya jika kita menggunakan lorong kecemasan dengan sengaja tanpa sebab kecemasan, dan pada ketika itu ada kenderaan lain dalam kecemasan yang perlu menggunakan lorong itu, maka akibat tindakan kita itu berdosa besarlah kita jika menyusahkan orang itu!

Maka, samalah juga dalam situasi ini, apabila anda menyusahkan orang lain, maka berdosalah anda!

Ayah saya juga pernah mengingatkan, apabila mahu meletakkan kereta, jangan sampai menghalang orang, jangan sampai menyusahkan orang lain dan jangan sekali-kali letak di garisan kuning!

Kini di pejabat baru ini, di Kota Damansara ... di tiap hujung petak-petak parkir, disediakan khas petak parkir untuk kegunaan OKU. Gambar yang tertera atas petak itu jelas menunjukkan ia khas untuk kegunaan OKU. Ini bagi memudahkan golongan ini untuk turun dan naik kenderaan mereka.


I certainly won't park my car here !

Memandang kita jarang berjumpa OKU yang menggunakan petak ini, maka petak parkir ini sentiasa terisi dengan kenderaan orang-orang sempurna pancainderanya. Antara yang sering meletakkan kenderaan mereka tak lain tak bukan rakan-rakan sepejabat saya sendiri, kekadang yang berstatus bos pun sama juga perangainya.

Saya mahu tanya ... sepanjang anda berada dan bekerja di dalam pejabat, bolehkah anda tahu kalau-kalau ada OKU di luar sana? Wah ... hebat macam Tuhanlah kalau anda tahu!

Setiap hari kita menganggap ‘tidak akan ada’ OKU akan menggunakan petak itu, lalu kita dengan selamba meletak kereta kita di situ.

Saya tidak sekali-kali akan meletakkan kereta saya di situ. Saya takut berdosa andai pada waktu meletakkan kereta saya itu benar-benar ada OKU di bawah yang mencari-cari tempat sesuai untuk meletakkan kenderaannya (walaupun OKU itu hanyalah seorang penumpang, bukan pemandu).

Biarlah letak jauh jauh sedikit, saya tidak kisah berjalan selangkah dua.

Saya juga takut kalau-kalau Tuhan benar-benar menjadikan saya seorang OKU.

“Kalau engkau nak sangat letak kereta di situ ... ” kata Tuhan, “ ... nah, kun fayakun ... ” maka, jadilah kita OKU. “Sekarang barulah engkau layak letak kereta di petak itu,” kata-Nya lagi.

Na u’zubillah, minta Allah jauhkan!

Kepada pengusaha restoran pula yang suka meletakkan kerusi/meja di petak letak kereta dan juga di kaki-kaki lima kedai hingga menyusahkan orang hendak lalu lalang ... fikirkan, adakah pendapatan anda dari situ halal dengan cara menyusahkan orang lain? Jangan kerana mahu mencari untung lebih, anda menyusahkan orang lain pula.

Sikap orang kita memang begitu. Biar orang lain susah, asalkan dirinya senang! Orang sedemikian, saya anggap biadab dan tiada budi bahasa!

-----

*parkir (saya tidak suka bunyi perkataan ini, buruk benar bunyinya, tapi saya gunakan juga walaupun menyampah).