Tuesday, November 17, 2009

MEMBERI NAMA ANAK

Anak saya baru membawa pulang gambar kelasnya dari sekolah. Semuanya segak-segak dan comel-comel kerana masing-masing dipakaikan jubah graduasi tadika. Apa yang mencuri perhatian saya ialah di bawah gambar itu disertakan nama anak-anak yang ada di dalam gambar itu.

Saya meneliti satu persatu nama-nama itu untuk mengetahui nama sebenar rakan-rakan setadika anak saya yang sering disebutnya. Antaranya:

Edin nama sebenarnya MUHAMMAD NUAIM ELDIN.
Akil = AQIL DANISH
Akif = MOHD. AKIF SAFWAN
Dan paling mengejutkan saya nama sahabatnya yang sering disebut-sebut iaitu Mawi, nama sebenarnya ialah MOHD HAFIZAL AMRY.

Dalam banyak-banyak nama itu, nampaknya nama anak saya paling ringkas dan mudah disebut AMMAR HADI.

Memang itu tujuan asal saya sewaktu saya memilih nama anak dahulu. Lama juga saya memikirkan dan memilih nama anak. Antara kriteria penting ketika saya memilih nama itu selain mempunyai makna yang indah ialah, nama anak saya mestilah mudah disebut sama ada oleh anak saya sendiri atau lebih-lebih lagi orang-orang tua (apatah lagi kami orang Pantai Timur, loghatnya kekadang membunuh keindahan nama seseorang).

Terkadang saya kasihan melihat orang tua yang terkial-kial apabila hendak menyebut nama cucu-cicit mereka. Itulah akibat ibu bapa yang syok sendiri apabila memberi nama anak tanpa memikirkan orang-orang yang akan menyebutnya nanti. Apatah lagi trend ibu bapa sekarang mahu nama anaknya ala-ala kebaratan.

Maka saya mengelakkan nama yang mempunyai huruf ‘Q’ kerana nanti lidah orang kita menyebutnya sebagai bunyi ‘K’. Saya juga mengelakkan ‘KH’ kerana pasti orang akan menyebutnya juga sebagai ‘K’. Contoh ‘Khairul’ akan menjadi ‘Kairul’. Selain itu, saya tidak mahu nama yang mempunyai ‘GH’ seperti Ghazali kerana akan disebut orang ‘Gazali’ ataupun di Kelantan bertukar menjadi ‘Jali’.

'F' juga saya harus elakkan kerana akan bertukar menjadi 'P'.

Saya juga tidak mahu menamakan dengan pangkal Muhammad atau Ahmad. Kerana nama yang mulia sempena nama Nabi SAW itu akan dihina orang dengan panggilan ‘Mat’ atau ‘Mamat’.

Saya juga mengelak daripada nama yang bermula dengan ‘Z’ kerana di Pantai Timur khasnya Kelantan akan bertukar menjadi ‘J’. Misalnya ‘Zaki’ menjadi ‘Jaki’. Jika perempuan ‘Zaitun’ menjadi ‘Jeton’. Juga kerana teringat pesan seseorang jangan letak pangkal nama anak dengan ‘Z’ kerana di dalam kelas nanti namanya sentiasa corot diletakkan di akhir senarai menurut susunan abjad.

Selain itu, nama itu mestilah dua suku kata sahaja. Juga supaya mudah disebut.

Waduh! Susah rupanya hendak menamakan nama anak. Jika syok sendiri, apa-apa nama pun boleh. Tetapi saya perlu berfikir panjang agar makna asal nama yang baik-baik kekal baik, tidak berubah makna apabila dipanggil orang.

Maka setelah meneliti buku senarai nama-nama Islam yang mempunyai pengertian yang baik, saya akhirnya jatuh cinta dengan nama AMMAR HADI. Banyak kali saya menguji sebutan itu, bereksperimen dengannya—hendaknya mudah disebut orang-orang tua sekeliling, doa saya. Alhamdulillah, setakat ini tiada yang bermasalah menyebutnya cuma sesekali mak mentua tersasul menyebut AMAL, lama-kelamaan dia lebih selesa memanggil cucunya dengan HADI yang juga mudah disebut.

AMMAR (dua suku kata) – yang kuat iman/pembina
HADI (dua suku kata) – ketua/pemimpin ke jalan yang benar

No comments: