Thursday, September 17, 2009

TAK LAYAK BUKA PUASA DI MASJID

Semalam Emak memberitahu, rakan kepada jiran kami sepanjang bulan Ramadhan ini dia sekalipun tidak memasak di rumah untuk juadah berbuka puasa. Dia membawa kesemua anak berbuka puasa di masjid.

Kata Emak lagi, rakan jiran kami itu mengamalkan berbuka puasa di masjid bersama keluarga sejak dia kecil lagi. Begitu dia diasuh oleh ayahnya. Sekarang setelah ada anak-anak, dia melakukan perkara yang sama … membawa anak-anak berbuka puasa di masjid.

“Wah, kalau begitu jimatlah dia, tak payah masak di rumah,” komen adik saya.

“Jimat apa bendanya,” ujar Emak “tak betul cara tu.”

Saya tertunggu-tunggu penjelasan Emak seterusnya.

“Orang yang mampu, tak payahlah buka puasa di masjid,” terang Emak. “Buka puasa di masjid ini untuk orang-orang tak mampu, orang miskin, musafir atau orang-orang yang tengah ‘jem’ di jalan raya tak sempat balik ke rumah, singgah di masjid.”

Ada betulnya kata Emak itu.

"Orang bujang yang dok sorang?" tanya adik.

“Haa ... yang tu layak. Nak masak buat apa orang bujang. Elok makan di masjid."

Saya mengangguk. Tidak ekonomik orang bujang masak untuk makan seorang diri.

"Beri peluang orang-orang begitu makan. Kita yang mampu, makanlah di rumah,” cerita Emak.

Memang benar kata Emak. Di luar sana masih ramai yang tidak mampu kerana miskin, masih ramai yang tidak berkesempatan pulang ke rumah untuk berbuka puasa. Jika kita berbuka puasa di masjid, ertinya kita telah mengambil hak orang lain.

Bagi kita yang tinggal berdekatan masjid, setelah berbuka puasa di rumah, barulah ke masjid untuk solat berjemaah dan bermasyarakat! Lainlah jika kita bermukim di kawasan elit yang sekitarnya tiada golongan marhaen. Maka yang ke masjid itu semuanya terdiri daripada mereka yang berada. Namun, jika kita tinggal di kawasan bercampur aduk dengan golongan kurang berkemampuan, berilah peluang kepada mereka untuk menikmati juadah berbuka puasa percuma itu (yang hanya datang sekali setahun!).

Tuesday, September 15, 2009

WARNA-WARNA YANG PUPUS

Berikut ialah warna-warna yang hampir pupus atau sudah pupus dalam kehidupan kita sehari-hari:

MERAH JAMBU
UNGU/BIRU KUNDANG/BUTIR SETAR (dialek Kelantan)
MERAH HATI
JINGGA
FIRUS
EMAS
PERAK

Ini kerana ia sudah tidak popular dan sudah tidak diguna pakai lagi dalam percakapan kita saban hari. Kita lebih suka mengguna warna-warna berikut:

PINK
PURPLE
MAROON
OREN (masih dalam sebutan Melayu saduran Inggeris, tapi jingga tetap hilang)
TURQUOISE (lebih teruk ada orang sebut warna hijau Petronas)
GOLD
SILVER

Entah sejak bila sebutan Melayu kepada warna-warna ini pupus, saya tidak pasti. Seingat saya sekitar awal 80-an dulu, sebutan Melayu masih lagi bertahan. Tetapi kini seakan semakin susah dan susah untuk menyebutnya.

Anak saya sebagai contoh, pada awal dulu suka menyebut dalam dwibahasa kuning/yellow, hijau/green, merah/red … bagaimanapun sejak guru tadikanya memilih warna ungu untuk pakaian sukan, guru sendiri suka menyebutnya ‘purple’ bukan ‘ungu’. Maka anak saya sekarang kesemua warna pun disebutnya ‘purple’.

Saya juga menyalahkan diri sendiri kerana tidak lagi menyebut ‘merah jambu’ kerana lebih mudah menyebut ‘pink’, ‘purple’, ‘gold’, ‘silver’ dan seumpamanya.

Suatu ketika dulu, sewaktu baru pulang dari England saya suka menyebut warna merah hati dengan sebutan ‘burgundy’ (kerana terbiasa dengar orang Inggeris menyebut burgundy) namun orang kita tidak kenal apa itu ‘burgundy’, mereka lebih kenal warna ‘maroon’ walau hakikatnya burgundy dan maroon adalah dalam juzuk warna yang sama. Maka saya terpaksa menyebutnya maroon. Sebutan merah hati langsung tidak melekat di hujung lidah!

Entah mengapa berasa janggal menyebut dalam Melayu. Malah saya percaya guru bahasa Melayu, atau orang sastera malah orang DBP sendiri pun dalam perbualan harian tidak melazimi menyebutnya dalam sebutan Melayu. Cuma dalam penulisan saya masih mempraktikkan sebutan ‘warna Melayu’!

Kasihan sungguh bahasa Melayu! Pupus sudah warna-warna dalam dunia Melayu kerana sudah dijajah warna-warna asing!

Aduh! Aku sendiri pun tidak mendaulatkan bahasa ibunda, jadi bagaimana bahasa kita hendak maju … . Fikir-fikirkan.

(Jika anda tahu warna-warna lain yang telah pupus, bolehlah beritahu saya).

Friday, September 11, 2009

TAZKIRAH LAGI

Kuliah Fardu Ain – 03.09.08 (Us. Abdullah Mahmood) bertempat di surau Galeri Ilmu Sdn Bhd, tahun lalu (patut disebarkan seawalnya, tapi tak sempat ditaip, apa pun ilmu tak basi sampai bila-bila).

--------


Orang berpuasa dan tidak dapat berpuasa dapat pahala sama. Berpuasa kerana perintah Allah, tidak berpuasa pun kerana perintah Allah (e.g perempuan haid). Sama juga dengan solat.

DOA AWAL RAMADAN
Masuk sahaja Ramadan kena berdoa minta Allah pertahankan kita hingga akhir Ramadan …minta Allah panjangkan umur kita agar dapat merebut kemuliaan Ramadan. Jika telah ditakdirkan di luh mahfuz kita mati bulan Ramadan, doa yang kita panjatkan itu boleh mengubah takdir. Doalah minta kita habiskan Ramadan dulu untuk rebut pahala Ramadan.

Kalau kita ditakdir mati pada hujung Ramadan, doakan minta jangan mati hingga jumpa Ramadan akan datang.

Tujuan Allah buat Ramadhan supaya semua manusia masuk syurga.

ARWAH
Arwah-arwah yang di luh mahfuz akan turun ke bumi pada bulan Ramadan. Arwah ini minta pada Allah untuk melihat jasad yang pernah bersamanya, tengok harta-harta yang diwariskan pada keluarga, untuk melihat anak-pinak yang ditinggalkan.

Jenis-jenis jasad dan roh:
Jasad yang mati lalu reput, roh ke luh mahfuz (ini roh orang biasa).
Jasad tidak reput dan roh ke luh mahfuz (orang *hafiz lillah taala).
Jasad reput, roh terawang-awang tidak ke luh mahfuz (orang yang tidak diterima Allah, tidak disemadikan).
Jasad tidak reput, roh terawang-awang (orang yang derhaka pada Allah seperti tukang sihir).
Jasad tidak reput dan roh bebas ke mana-mana (orang mati syahid, seperti orang hidup).

* Orang hafiz ada dua, 1. kerana lillah taala. 2. hafiz bukan kerana lillah taala.

Roh jahat yang terawang-awang boleh masuk ke jasad orang lain. Bahaya bila ada dua roh dalam satu jasad. Tukang sihir—makin derhaka kepada Allah, makin power.

Apabila roh pulang dan lihat jasadnya, dia menangis. Kemudian dia lihat anak-pinak dengan mengharapkan doa dan tahlil daripada anak-anak.

Anak-anak yang terima pusaka kena hadiahkan doa/tahlil kepada arwah yang memberikannya. Kalau tidak buat tahlil untuk ibu bapa, jangan ambil pusakanya. Tahlil itu ialah LAA ILAAHA ILLALLAH.

Panggil anak-anak untuk buat tahlil. Ajar sejak kecil barulah mendarah daging dan jadi amalan. Ajarkan pada anak, “Esok kalau mak ayah mati, buatlah tahlil macam ni. Kalau tidak, ayah akan diseksa. Kalau dapat hadiah daripada anak-anak, akan dikurangkan dosa hingga bebas seksaan. Kalau tak buat, kita akan terseksa.”

Roh ibu bapa yang dapat doa/sedekah daripada anak-anak akan bawa talam penuh hadiah sedekah/doa.

TARAWIH dan RAHMAT
Tarawih, besar pahalanya. Tazkirah di dalamnya lagi besar pahala (tazkirah yang diberi antara senggang solat tarawih).


Terlalu banyak rahmat dalam bulan Ramadhan:
100 rakaat solat sunat x 1000 pahala = (kira sendiri)
1 saat berada dalam majlis ilmu x 30 hari x 1000 pahala = (kira sendiri)

MIMPI
Kalau mimpi jumpa orang telah mati, mimpi itu 100% benar (accurate).
Kalau orang tak pernah jumpa ibu bapa mintalah dengan Allah agar dapat berjumpa dengan mereka.
Baca surah al-Kauthar 1000 kali sebelum tidur dapat jumpa Rasulullah.
Bila jumpa roh putih bersih dan tersenyum, ertinya orang itu dalam keadaan bahagia. Jika sebaliknya, buatlah sesuatu untuk mengurangkan deritanya di sana.

ILMU
Sebarang ilmu yang ada pada kita mesti diperturunkan pada orang lain sebelum kita mati. Kalau tidak, ilmu itu akan jadi ular dan makan jasad kita.

UBAT dan MAKANAN
Ubat jangan makan lebih tiga hari berturut-turut (setiap dua hari). Selang-selangkan.

Makanan pun begitu juga, tak boleh makan lauk yang sama tiga hari berturut-turut.

Allah beri sakit mengikut kemampuan diri seseorang. Misalnya, orang kaya diberi sakit yang memerlukan ubat yang lebih mahal.

Tip daripada Us. Abdullah:
Kolesterol – blend daun rambutan 5-6 helai. Tapis dan campur madu. Minum. Hilang kolesterol.

AZAN
Lagu azan ada lenggoknya mengikut waktu, misalnya lagu azan Zuhur tak sama lagu azan Maghrib.

Wednesday, September 9, 2009

BACA AL-QURAN KENA MENANGIS

Pada bulan Ramadhan, kita lebih produktif membaca al-Quran. Berikut ialah intipati kuliah berkaitan al-Quran yang disampaikan oleh penceramah bebas terkenal Ustaz Abdullah Mahmood, berlangsung di surau Galeri Ilmu Sdn Bhd, Ramadhan tahun lalu (15 September 2008).
-------

* Kadang-kadang rohani kuat jasmani tak kuat.
* Kadang-kadang jasmani kuat rohani tak kuat.

Nabi SAW berpesan: “Hendaklah kamu baca Quran dengan menitis air mata. Kalau kamu tidak boleh menitis air mata, kamu paksa keluarkan air mata.”

Selagi seseorang itu tidak boleh menangis semasa baca Quran, selagi itu dia tidak boleh jinak dengan al-Quran dan Quran tidak boleh jinak dengannya. Biar kita rindu pada Quran dan Quran rindu pada kita. Menangis kena latih.

Kita belajar baca Quran supaya boleh baca Quran. Bila boleh baca Quran, kena hayatinya pula. Jumpa guru untuk mendalami bacaan dengan betul. Bila tajwid dah betul, belajar dengan guru lain untuk menangis pula. Bila boleh menangis, jumpa guru lain untuk fahami maksud Quran. Selepas itu jumpa guru lain lagi untuk jadikan Quran sebagai teman/pelindung. Kemudian jumpa guru seterusnya untuk belajar ayat mana yang boleh menyembuhkan penyakit, menenangkan kita (mendalami mukjizat Quran).

Orang yang tinggal Quran, dia akan berhadapan dengan macam-macam masalah. Jika tidak boleh baca, paling-paling ambil Quran dan tengok.

Quran itu tajam boleh belah tujuh petala langit. Suara orang baca Quran boleh didengar malaikat di langit. Suara baca Quran tidak terbatas. Suara kita akan bergema kerana Quran ada mukjizat.

Kena ajar anak kita cara nak baca Quran dengan mengeluarkan air mata. Ada orang tidak faham Quran, air mata pun boleh keluar juga kerana apabila dia pegang Quran, dia rasa dia kerdil. Pegang Quran menggigil.

Nak baca Quran kena bersih dan ada wuduk, baru nur masuk. Sebab itu orang haid tak boleh baca Quran, tak bersih nur tak boleh masuk.

Tak boleh baca Quran dengan cara selain daripada menangis kerana keagungannya melalui air mata. Menangis biar balik modal. Air mata itu duduk dalam lubuk hati yang dalam, bukan di mata.

Menangis itu murni. Lepas menangis ada rasa lega. Hati jadi bersih melalui air mata yang keluar. Selagi air mata tidak keluar, ia akan jadi kesumat di dalam hati. Air mata setitik yang tumpah kerana baca Quran boleh padam api neraka yang menjulang. Sedikit (air mata) itu berkesan daripada perbuatan.
------------

Petua daripada Ustaz Abdullah untuk merawat anak benak dan gagap

KEISTIMEWAAN BURUNG CIAK

Rawatan benak
Ambil otak burung ciak. Goreng dan cecah madu. Beri makan pada anak yang benak. Insya-Allah akan jadi cerdik. Sebab burung ciak cerdik kerana dia pernah berdebat dengan syaitan semasa Nabi Ibrahim AS dibakar. Burung ciak berusaha memadam api dengan membawa air di paruhnya yang kecil. Syaitan berkata usahanya sia-sia kerana air itu tidak mungkin dapat memadamkan api itu. Tapi burung ciak berkata, dia mungkin tidak dapat memadamkan api itu, tetapi dia telah berusaha memadamnya jika ditanya oleh Allah di akhirat kelak (kerana Allah mengambil kira atas niat ikhlas kita).

Rawatan gagap
Bagi anak yang gagap, beri makan betik bekas patuk burung ciak. Insya-Allah boleh atasi budak susah bercakap.

Friday, September 4, 2009

ANTARA AFDHALIAH DAN FADHILAT

Berikut ialah intipati yang saya kutip daripada kuliah Ustaz Zawawi Yusoh yang telah diadakan di surau pejabat kami (Galeri Ilmu) pada 4 Ramadhan 1430 (25 Ogos 2009) yang lalu.

Ustaz menyentuh tentang mindset kebanyakan kita yang lebih mementingkan fadhilat berbanding afdhaliah (syarat) dalam hal peribadatan (lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ini).

Hari ini mindset kita tidak sealiran dengan kehendak agama.


MINDSET RAMADHAN YANG BETUL

Kita sepatutnya sambut Ramadhan dengan afdhaliah, bukannya dengan fadhilat.

Kebanyakan orang Islam tidak faham dalam melayani konsep afdhaliah.

Contoh
Kita mampu layan masa puasa selama 13 jam, tetapi solat yang lima minit pun malas. Padahal bulan puasalah aktiviti ibadah sepatutnya bertambah produktif dan lebih hebat kualitinya.

Kita layan sembahyang sunat dengan sembahyang fardhu tak sama. Kita lebihkan tarawih dan cuai solat fardu (puasa rajin tapi tak tunai solat fardhu. Atau tarawih buat, tapi solat fardhu tak buat).

Contoh
Katakan di masjid sedang diadakan kuliah/tazkirah. Antara mendengar kuliah dan baca Quran, yang afdhalnya (yang perlu diutamakan) ialah mendengar kuliah kerana ia wajib. Baca Quran itu sunat saja.

Contoh
Kita pergi haji dengan mindset untuk dapat haji mabrur. Fadhilat tunai haji ialah kita diampunkan dosa dan apabila pulang daripada mengerjakan haji kita diibaratkan seperti bayi yang baru lahir suci daripada dosa.

Sepatutnya mindset untuk dapat haji mabrur ialah kita kena fikirkan syaratnya. Kemudian melaksanakanya. Maka secara automatik, fadhilat akan dapat juga. Mudahnya, jaga yang afdhal dulu barulah dapat fadhilatnya.

Untuk dapat haji mabrur ertinya menjaga afdhal berikut:
1) Mabrur sebelum haji (duit perbelanjaan itu daripada sumber yang halalkah?).
2) Mabrur semasa menunaikan haji (fikah pelaksaan haji itu betulkah?).
Jika kedua-dua ini dijaga, barulah dapat haji mabrur kerana menjaga afdhalnya sejak awal lagi. Jika semua syarat (afdhal) itu lengkap, akan membawa kepada fadhilatnya.

Konsep orang soleh
- Soleh itu ialah pada akhlak, sebagaimana pejuang-pejuang dulu solehnya ialah pada akhlaknya.
- Soleh ialah gelagat hati kita pada Tuhan (akhlak).
- Soleh ialah keterikatan hati dengan Tuhan mengikut dimensi masing-masing.
- Orang soleh sentiasa dalam radar kawalan Allah.

Orang dahulu dunia di tangan, agama di hati. Mereka orang soleh. Sebab itu zaman Sahabat semuanya hebat-hebat. Orang sekarang di tangan tidak ada apa, tetapi di hati dunia yang lebih.

Orang alim dan soleh dahulu, kayanya untuk menyenangkan orang yang memerlukan. Misalnya beri tanah wakaf, bina masjid dan bersedekah. Tetapi orang sekarang kalau kaya pergi haji dan umrah berkali-kali sedangkan yang lebih afdhal ialah wang belanja haji atau umrah itu digunakan untuk orang susah, miskin dan sakit. Itu lebih besar pahalanya daripada pahala haji dan umrah.

Pergi haji dan umrah cukup sekali, kecuali mereka yang kerjanya membawa jemaah haji/umrah ke Tanah Suci. Jika wang berlebihan, afdhalnya digunakan untuk amal jariah bukan untuk dapat fadhilat pergi haji dan umrah berkali-kali.

Fadhilat bukan tidak penting, tetapi syarat (afdhaliah) lebih penting. Sebenarnya fadhilat ialah mindset untuk orang yang baru mula hendak berjinak-jinak kenal Allah. Ia sebagai dorongan untuk dia lebih dekat dengan Allah. Misalnya yang baru hendak belajar sembahyang dan puasa.

Tuesday, September 1, 2009

TIADA YANG LEBIH ENAK ...

Jika diberi pilihan berbuka puasa sama ada di rumah atau di hotel atau di restoran, saya akan memilih untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga, melainkan atas undangan tertentu. Jika ada alasan kukuh untuk tidak menghadirinya, saya syukur amat.

Aaaaa ... tiada yang lebih enak daripada dapat berbuka puasa di rumah biarpun sekadar dengan sebiji tamar dan air sejuk.

Sungguhpun hidangan di hotel dan restoran jauh lebih mewah, cuba tanyakan, banyak mana sangat perut dapat diisi? Dengan segelas air sejuk pun sudah kenyang, di mana lagi nak ditempatkan makanan-makanan itu?

Sebelum ini, semasa di Jabatan Majalah, saya sudah puas menghadiri majlis berbuka puasa yang diadakan untuk media di sana sini hatta di hotel lima bintang sekalipun. Masih, ia tidak dapat menandingi nikmat berbuka bersama keluarga di rumah ... tenang, damai dan santai!

Saya menjadi cuak berbuka puasa di tempat sedemikian kerana tidak selesa hendak solat, terkejar-kejar. Kemudian apabila pulang ke rumah, hendak solat tarawih menjadi sedikit ‘liat’ kerana kepenatan berlebih makan (selalunya ada harapan tidak buat tarawih langsung)!

Jumaat lalu, syarikat kami melalui badan kebajikannya meraikan kakitangan berbuka puasa di Hotel Singgahsana. Saya tidak hadir kerana anak tidak ada siapa menjaganya. Dalam hati, saya amat gembira kerana tidak perlu menghadirinya. Bukan tidak boleh dibawa anak. Tapi bagaimana hendak makan nanti, nak solat pula macam mana dengan anak lasak begitu? Baik tak payah! Khusyuk makan dan solat tidak ada nilai satu sen pun dalam situasi sedemikian.

Hendak ke Hotel Singgasana pun lalu lintas sesak jangan dikenang (massive traffic jam) lantaran orang ramai mahu ke destinasi masing-masing sempena cuti tiga hari (Sabtu-Isnin Merdeka Day). Saya tiba di rumah yang jarak dekat itu pun terpaksa menempuh jujukan kenderaan yang seakan tidak mahu bergerak. Tiba lewat di rumah. Inikan pula hendak ke Singgahsana ... waduh! Lupakanlah!