Tuesday, September 15, 2009

WARNA-WARNA YANG PUPUS

Berikut ialah warna-warna yang hampir pupus atau sudah pupus dalam kehidupan kita sehari-hari:

MERAH JAMBU
UNGU/BIRU KUNDANG/BUTIR SETAR (dialek Kelantan)
MERAH HATI
JINGGA
FIRUS
EMAS
PERAK

Ini kerana ia sudah tidak popular dan sudah tidak diguna pakai lagi dalam percakapan kita saban hari. Kita lebih suka mengguna warna-warna berikut:

PINK
PURPLE
MAROON
OREN (masih dalam sebutan Melayu saduran Inggeris, tapi jingga tetap hilang)
TURQUOISE (lebih teruk ada orang sebut warna hijau Petronas)
GOLD
SILVER

Entah sejak bila sebutan Melayu kepada warna-warna ini pupus, saya tidak pasti. Seingat saya sekitar awal 80-an dulu, sebutan Melayu masih lagi bertahan. Tetapi kini seakan semakin susah dan susah untuk menyebutnya.

Anak saya sebagai contoh, pada awal dulu suka menyebut dalam dwibahasa kuning/yellow, hijau/green, merah/red … bagaimanapun sejak guru tadikanya memilih warna ungu untuk pakaian sukan, guru sendiri suka menyebutnya ‘purple’ bukan ‘ungu’. Maka anak saya sekarang kesemua warna pun disebutnya ‘purple’.

Saya juga menyalahkan diri sendiri kerana tidak lagi menyebut ‘merah jambu’ kerana lebih mudah menyebut ‘pink’, ‘purple’, ‘gold’, ‘silver’ dan seumpamanya.

Suatu ketika dulu, sewaktu baru pulang dari England saya suka menyebut warna merah hati dengan sebutan ‘burgundy’ (kerana terbiasa dengar orang Inggeris menyebut burgundy) namun orang kita tidak kenal apa itu ‘burgundy’, mereka lebih kenal warna ‘maroon’ walau hakikatnya burgundy dan maroon adalah dalam juzuk warna yang sama. Maka saya terpaksa menyebutnya maroon. Sebutan merah hati langsung tidak melekat di hujung lidah!

Entah mengapa berasa janggal menyebut dalam Melayu. Malah saya percaya guru bahasa Melayu, atau orang sastera malah orang DBP sendiri pun dalam perbualan harian tidak melazimi menyebutnya dalam sebutan Melayu. Cuma dalam penulisan saya masih mempraktikkan sebutan ‘warna Melayu’!

Kasihan sungguh bahasa Melayu! Pupus sudah warna-warna dalam dunia Melayu kerana sudah dijajah warna-warna asing!

Aduh! Aku sendiri pun tidak mendaulatkan bahasa ibunda, jadi bagaimana bahasa kita hendak maju … . Fikir-fikirkan.

(Jika anda tahu warna-warna lain yang telah pupus, bolehlah beritahu saya).

6 comments:

Kamariah Kamarudin said...

ya, malang sekali genarasi kini yang merasa "janggal" menyebut bahasa sendiri. habis semua bahasa melayu tergelincir daripada lidah bukan sekadar warna, bahkan benda-benda lain jua. aduhai. dan saya juga dah jarang benar mendengar orang kita menyebut coklat melainkan "brown", kelabu menjadi "grey", malah hitam pun dah jadi "black". kasihan betul B.Melayu. nampaknya walaupun dah 52tahun merdeka, bahasa sendiri masih dijajah!

Mynie said...

Warna perang? (Teringat pula ayah saya yang amat tidak bersetuju e pepet dan e taling dipupuskan dan digabung jadi satu e sahaja)

SURAIYA PAUZI said...

K,
Macam 'black belt kaler biru' lah tu...

Mynie,
Ha'a, bukan 'perang' je byk org sebut tak betul. Pulau REDANG pun sama, lebih2 lg pembaca berita sendiri sebut tak betul.

abunyer said...

Dialek Kedah pula 'biji remia' (jeghemia) untuk warna UNGU/BIRU KUNDANG/BUTIR SETAR (dialek Kelantan)'

Anonymous said...

Warna kelabu tahi anjing janggal bunyinya jika diterjemah secara harfiah ke bahasa Inggeris.

SURAIYA PAUZI said...

Kelabu taik anjing tu org kelantan je sebut. Teringat pak sedara dulu masa dia kat US, kwn dia nak explain 'kelabu taik anjing' dlm Inggeris dia tak reti. Dia pun sebut "Dog shit grey". Kah kah kah!