Friday, September 4, 2009

ANTARA AFDHALIAH DAN FADHILAT

Berikut ialah intipati yang saya kutip daripada kuliah Ustaz Zawawi Yusoh yang telah diadakan di surau pejabat kami (Galeri Ilmu) pada 4 Ramadhan 1430 (25 Ogos 2009) yang lalu.

Ustaz menyentuh tentang mindset kebanyakan kita yang lebih mementingkan fadhilat berbanding afdhaliah (syarat) dalam hal peribadatan (lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ini).

Hari ini mindset kita tidak sealiran dengan kehendak agama.


MINDSET RAMADHAN YANG BETUL

Kita sepatutnya sambut Ramadhan dengan afdhaliah, bukannya dengan fadhilat.

Kebanyakan orang Islam tidak faham dalam melayani konsep afdhaliah.

Contoh
Kita mampu layan masa puasa selama 13 jam, tetapi solat yang lima minit pun malas. Padahal bulan puasalah aktiviti ibadah sepatutnya bertambah produktif dan lebih hebat kualitinya.

Kita layan sembahyang sunat dengan sembahyang fardhu tak sama. Kita lebihkan tarawih dan cuai solat fardu (puasa rajin tapi tak tunai solat fardhu. Atau tarawih buat, tapi solat fardhu tak buat).

Contoh
Katakan di masjid sedang diadakan kuliah/tazkirah. Antara mendengar kuliah dan baca Quran, yang afdhalnya (yang perlu diutamakan) ialah mendengar kuliah kerana ia wajib. Baca Quran itu sunat saja.

Contoh
Kita pergi haji dengan mindset untuk dapat haji mabrur. Fadhilat tunai haji ialah kita diampunkan dosa dan apabila pulang daripada mengerjakan haji kita diibaratkan seperti bayi yang baru lahir suci daripada dosa.

Sepatutnya mindset untuk dapat haji mabrur ialah kita kena fikirkan syaratnya. Kemudian melaksanakanya. Maka secara automatik, fadhilat akan dapat juga. Mudahnya, jaga yang afdhal dulu barulah dapat fadhilatnya.

Untuk dapat haji mabrur ertinya menjaga afdhal berikut:
1) Mabrur sebelum haji (duit perbelanjaan itu daripada sumber yang halalkah?).
2) Mabrur semasa menunaikan haji (fikah pelaksaan haji itu betulkah?).
Jika kedua-dua ini dijaga, barulah dapat haji mabrur kerana menjaga afdhalnya sejak awal lagi. Jika semua syarat (afdhal) itu lengkap, akan membawa kepada fadhilatnya.

Konsep orang soleh
- Soleh itu ialah pada akhlak, sebagaimana pejuang-pejuang dulu solehnya ialah pada akhlaknya.
- Soleh ialah gelagat hati kita pada Tuhan (akhlak).
- Soleh ialah keterikatan hati dengan Tuhan mengikut dimensi masing-masing.
- Orang soleh sentiasa dalam radar kawalan Allah.

Orang dahulu dunia di tangan, agama di hati. Mereka orang soleh. Sebab itu zaman Sahabat semuanya hebat-hebat. Orang sekarang di tangan tidak ada apa, tetapi di hati dunia yang lebih.

Orang alim dan soleh dahulu, kayanya untuk menyenangkan orang yang memerlukan. Misalnya beri tanah wakaf, bina masjid dan bersedekah. Tetapi orang sekarang kalau kaya pergi haji dan umrah berkali-kali sedangkan yang lebih afdhal ialah wang belanja haji atau umrah itu digunakan untuk orang susah, miskin dan sakit. Itu lebih besar pahalanya daripada pahala haji dan umrah.

Pergi haji dan umrah cukup sekali, kecuali mereka yang kerjanya membawa jemaah haji/umrah ke Tanah Suci. Jika wang berlebihan, afdhalnya digunakan untuk amal jariah bukan untuk dapat fadhilat pergi haji dan umrah berkali-kali.

Fadhilat bukan tidak penting, tetapi syarat (afdhaliah) lebih penting. Sebenarnya fadhilat ialah mindset untuk orang yang baru mula hendak berjinak-jinak kenal Allah. Ia sebagai dorongan untuk dia lebih dekat dengan Allah. Misalnya yang baru hendak belajar sembahyang dan puasa.

2 comments:

SMM said...

Terima kasih kerana berkongsi tazkirah yang bermanfaat ni..

Anonymous said...

Ya, sememangnya benar pasal afdaliah Ramadhan semakin hari semakin hilang, tidak sesubur dulu, sewaktu hayat nenek moyang kita masih ada.

Urusan dunia tidak seimbang lagi dengan urusan bekalan akhirat. Hanya kelompok-kelompok di kawasan-kawasan tertentu yang mengejar dalam mengimarakkan Ramadhan.

Segalanya terletak pada hati setiap insan. Jauh atau dekat insan itu dengan Allah tercermin dengan penghayatan ibadahnya. Ketaqwaan seseorang insan di alaf ini kelihatan tidak menyeluruh, terlalu banyak tuntutan dunia.

Kini, terdapat segelintir orang yang kelihatan pada zahirnya beriman, tapi perbuatannya jahil dan mungkar. Sebaliknya orang-orang yang dulunya jahil, tapi kini semakin dekat dengan Allah.

Sayangnya, masih tidak ada kesedaran yang mendalam di kalangan kita yang sememang sedar dan tahu. Celik tapi buta hati, dengar tapi pekak-pekakkan telinga. Kenapa??? kerana takut untuk menegur nanti akan jatuh tersungkur...takut hilang pendapatan lumayan! lumayan!!!

contoh yang jelas, betapa afdalnya dalam bulan Ramadhan diisi dengan persiapan rancangan hiburan sambutan aidilfitri di sana-sini. Rakaman tentu seawal mungkin, apa lagi bulan puasa la...nanti tak ada hiburan raya. Time 2, mana perginye puasa yang dihayati??? Fikirlah sendiri...

Rumusannya rasa takut pada laknat Allah sudah hilang, sebaliknya ramai yang takut pada kuasa manusia yang berupa Jin dan Syaitan. Kalau ada bala seperti tSUNAMI sekejap saja datang rasa sedar dan insaf, kemudian rasa itu hilang ditelan kesukaan, riang ria... di mana-mana, bersama2...jadilah pula amal mungkar, nahi maaruf!!!

Kita sendiri berada di mana sekarang?? Adakah tergolong dalam golongan orang-orang yang amal maaruf nahi mungkar??? atau sebaliknya...

Wassalam