Friday, December 4, 2009

DINGIN SALJU INDIANA


Saya bukan peminat novel Melayu. Saya amat jarang membacanya kerana kebanyakan isu, plot dan temanya tidak menarik perhatian saya. Lagi-lagi temanya cinta, amat membosankan! Yang thrillernya pula, tidaklah se‘thriller’ mana, hambar kerana dapat dikesan elemen thrillernya tiada identiti sendiri. Banyak gaya ditiru daripada novel Inggeris. Apabila ditiru, maka nilai keasliannya menyusut beberapa puluh peratus.

Namun, sejak saya dipindahkan ke Jabatan Buku, Editor Kanan, Encik Zakaria Sungib banyak menyerahkan manuskrip, proposal dan sinopsis karya kreatif (novel) untuk saya menilainya.

Dalam banyak-banyak bahan yang diserahkan itu, ada yang langsung tidak menarik minat saya. Jika ada yang saya ‘mampu tekun’ membacanya, bererti cerita itu bagus. Bukan mudah untuk menarik minat saya!

Inilah berlaku kepada novel ‘DINGIN SALJU INDIANA’ (DSI). Wah! Saya benar-benar terpesona membacanya. Tema, isu dan konflik tidak klisĂ©. Ia menyimpang daripada norma kebanyakan karya kreatif yang diserahkan kepada saya!

Sekalung tahniah kepada penulisnya Puan Nurulsham Saidin yang berjaya menghasilkan sebuah karya kreatif dengan begitu baik. Lebih mengejutkan saya, ini merupakan novel pertama beliau. Saya bagaikan tidak percaya apabila Encik Zakaria memberitahu bahawa DSI adalah hasil seorang ibu beranak tujuh dan merupakan seorang surirumah. Penulisnya belum ada pengalaman menulis novel sebelum ini. Berani saya katakan, DSI sebuah karya yang baik, malah lebih baik berbanding karya-karya novelis yang sudah punya pengalaman.

Apa yang ditulis benar-benar lahir daripada hati. Bukan dipaksa-paksa! Bahasanya mudah. Plotnya cepat. Isu-isu keagamaan yang sensitif pun mampu digarap dengan baik. Bak kata En. Zakaria, kisah DSI umpama kepingan jigsaw puzzle yang bercantum dengan baik akhirnya.

Encik Zakaria menyerahkan DSI kepada saya sebanyak empat kali. Maka empat kalilah saya terpaksa mengulang baca. Walaupun empat kali, saya tidak jemu membacanya berbanding kisah-kisah lain. Pertama kali beliau meminta saya menilai dan memberi ulasan. Kali kedua kami gotong-royong membuat pembetulan kerana ‘deadline’ yang semakin menghimpit. Teksnya dibahagi-bahagikan sesama kami. Kali ketiga Encik Zakaria menyerahkan kepada saya keseluruhan teks untuk diselaraskan penyuntingan. Kali keempat untuk bacaan pruf (ampun maaf kepada penulis sekiranya masih ada ‘typo error’ selepas ini).

Salah satu perkara yang menyebabkan saya sukakan DSI ini kerana latar tempatnya. Mengingatkan pada pengalaman sendiri sewaktu mengikut ayah melanjutkan pengajian di bumi empat musim. Sebagaimana terujanya watak-watak DSI pertama kali melihat dan bermain salji, begitulah juga terujanya saya sewaktu pengalaman pertama melihat bumi Sturry diselimuti salji. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana ayah masuk ke bilik mengejutkan saya dan kakak (yang berkongsi bilik) daripada tidur supaya menjenguk tingkap melihat salji memutih di laman belakang rumah. Lalu kami menyarung pakaian tebal untuk ‘merasai’ salji di luar. Apatah lagi waktu itu usia masih kanak-kanak, seronok tiada tara!

Maka, apabila watak-watak DSI teruja dengan salji. Saya juga turut teruja, seolah-olah saya turut berada di bumi Indiana bermain salji!

Ya memang indah bumi empat musim sebagaimana yang dipaparkan dalam DSI.

Judul asal DSI yang diberi penulis ialah BERPIJAK DI BUMI RAPUH. Kami dapati, judul itu kurang nilai komersial. Maka Pengurus Jabatan Buku, En. Wan Azmin meminta saya memikirkan judul lain.

Saya menyenaraikan hampir 20 judul. Satu daripada judul itu ialah CINTA SEDINGIN SALJU INDIANA. Cinta yang saya maksudkan itu bukan cinta murahan antara teruna dan dara, Adam dan Hawa, tetapi lebih kepada cinta sesama insan (ibu, ayah, teman, sahabat, agama, budaya dan jati diri).

Nampaknya En. Wan tertarik dengan judul CINTA SEDINGIN SALJU INDIANA. Beliau kemudian memendek dan mengemaskannya menjadi DINGIN SAJLU INDIANA. Saya juga lebih menyukai judul yang telah diperkemaskan ini—DSI. Lebih pendek dan mudah disebut.

Saya difahamkan oleh En. Zakaria bahawa bahan cerita DSI ini, 70 peratus daripadanya berdasarkan pengalaman sebenar penulis. Barangkali inilah penyebab utama yang menjadikan DSI hidup dari segi watak dan latarnya.

Saya amat menyarankan kepada adik-adik yang bakal melanjutkan pengajian ke bumi asing, bacalah DSI sebagai pedoman. Banyak tarbiah di dalamnya yang boleh dijadikan sempadan hidup sepanjang jihad anda menuntut ilmu di perantauan—bagaimana kejutan budaya serta bisikan syaitan mampu meranapkan iman seorang Muslim. Justeru, bakal-bakal pelajar pengajian tinggi sangat wajar membaca DSI agar anda tidak tewas di bumi nan rapuh yang bakal anda jejaki!

Saya kategorikan DSI sebagai ‘MUST READ’!


p/s – Malang! Saya tidak berminat menulis novel. Jika tidak, pengalaman memijak beberapa negara orang, bisa saya jadikan latar menarik untuk novel saya.

10 comments:

Mynie said...

Wah, menarik! Saya nak baca! :) Bila dijangka berada di pasaran?
Oklah, lepas ni saya tulis 'Renyai Hujan Cambridge' pula hihihi :)

SURAIYA PAUZI said...

Mynie,
Insya-Allah releasenya Pesta Buku Antarabangsa 2010.

Sgt dialu2kan. Silalah menulisnya ;)

abunyer said...

... saya cukup 'kembang idung' dapat me-layout-nya ... sambil kerja sambil baca. fuhhh bestnya.

mohamadkholid said...

tahniah, saya akan cari nanti... nasib baik tajuk 'cinta' itu dibuang!

Nurulsham Saidin said...

Assalamualaikum, terima kasih atas usaha puan dan kakitangan GISB yang bertungkus lumus menjayakan penerbitan novel ini- Mudah-mudahan usaha ini memberi manafaat kepada ramai orang.
Insya Allah, novel baru akan siap beberapa hari lagi- Harap ada kesempatan untuk menilainya.
Wassalam

SURAIYA PAUZI said...

Nurulsham,
Terima kasih kerana singgah di blog saya dan linkkan entry ini di blog puan. Tahniah sudah ada blog sendiri.
Saya doakan anda akan menjadi penulis yang prolifik satu hari nanti. Insya-Allah.

BLOG NOVELKU said...

Salam, saya adik penulis. Sebenarnya kakak saya ada pengalaman menulis, kami seleluarga dah menulis sejak darjah 3 lagi. Cuma kakak saya ni tidak berpeluang menerbitkan buku yang kami tulis, semua hasil karya kami semasa kecil terbuang begitu sahaja. Alhamdulillah, Allah buka jalan. Buku DSI ini dah lama beliau tulis, namun cubaan untuk menerbit di syarikat lain tidak berjaya. Rupa-rupanya nak jadi rezeki Galeri Ilmu, syukur. Cuma sedikit komen, sy rasa cover lama lebih cantik dari cover baru..he..

SURAIYA PAUZI said...

Salam 'adik penulis'

Cover lama tu terlalu gelap. Kalau diprint tambah gelap lagi. Bila dipamerkan ia tidak menonjol, tenggelam dengan buku2 lain.

b e n said...

alhamdulilah..saya juga dh selesai membaca novel ini..dan memang nyata amat menarik .tahniah kepada penulis atas hasil kerjanya yang saya anggap mampu bersaing dgn penulis2 tersohor yg lain...:)

Anonymous said...

sy dh baca....bez sgt....blainan drpd novel yg pnh sy baca sblm ini...yg kebanyakknny ttg cinta di antara lelaki dan perempuan..hingga kadang2 mmaparkn cnta yg agk kterlaluan sbg org islam....berlainan dgn novel ini yg mmbuktikn wujudny plbagai cinta dlm dunia ini....cnta pd diri sndiri,kluarga,sahabat...saudara seagama,dll...terima kasih kerana mghasilkn dan mnerbitkn novel inj...:-)