Friday, October 31, 2008

MAJLIS IDILFITRI YANG TIDAK 'SEPERTINYA'

Sepanjang Syawal terasa sengkak perut dek penangan jamuan/majlis rumah terbuka yang seakan tiada penghujungnya. Terseksa benar hendak menghabiskan puasa enam.

Bermula dengan majlis Idilfitri anjuran bersama Galeri Ilmu tempat saya bekerja dengan Munsyid, diikuti pula undangan-undangan dari organisasi-organisasi dan individu perseorangan dan kenalan.

Undangan dari organisasi-organisasi tertentu dipenuhi dicelah-celah kesibukan kerja. Manakala di pejabat saya sendiri, saban hari ada sahaja teman-teman sekerja telah bermurah hati menyediakan juadah. Ada juga jamuan mengikut jabatan. Barangkali, kerana 'membalas dendam' apabila Majlis Idilfitri anjuran Galeri Ilmu dan Munsyid tidak seperti diharapkan. Ada yang tidak dapat makan dan kepenatan kerana melayani jumlah tetamu yang di luar jangkaan. Ada yang 'memoncong' mulutnya dan sudah tidak mampu lagi melemparkan senyum. Kasihan!

Apa pun selepas ini, diharapkan majlis idilfitri pada masa-masa hadapan, biarlah kecil sahaja (kita-kita). Alasannya mudah saja iaitu biarlah staf rasa seronok, terasa diraikan, tidak rasa terkilan dan majlis tidak menjadi isu ngomelan keesokan harinya dan beberapa hari berikutnya, sekali gus topik bualan itu mengundang dosa. Sesungguhnya, staf yang mencurahkan tenaga bekerja sepanjang tahun juga berhak untuk diraikan (selama ini sering merai dan melayan tetamu), biarpun pahala meraikan tetamu itu sungguh besar, tetapi jika dibuat dengan separuh hati barangkali kuranglah pahalanya. Rasa seronok diraikan, besar impaknya dari segi psikologi dan juga dalam hasil kerja kemudiannya...wallahu'alam!

Dipaparkan beberapa imej aktiviti persiapan sebelum majlis berkenaan berlangsung... memunggah selonggok pasir lebihan ubah suai premis, menggantikan batang paip yang kerap dicuri manusia yang tiada hati perut, membersihkan kaki lima dll.









Saturday, October 25, 2008

MENDEFINISIKAN 'NIKMAT DUNIA'

Sesekali berkumpul bersama adik-beradik, bermacam topik dibualkan. Satu daripada topik yang menarik yang kerap juga timbul dalam sembang-sembang kami adik-beradik ialah 'nikmat dunia'.

Adik pertama saya selalunya yang banyak mendefinisikan 'nikmat dunia'nya:

1. Apabila menikmati ketupat sotong yang emak masak katanya, "Mmm, nikmat, nikmat..." (ini subjektif kerana isterinya tidak menyukai ketupat sotong...)

2. Apabila kepenatan pulang dari kerja dan dapat baring terlentang di tengah rumah, katanya, "Aahh...nikmatnyaa"

3. Apabila sakit perut dan gesaan ke tandas sangat mendesak...setelah isi perut dapat dikeluarkan, katanya, "Ooooh, nikmat sungguh."

4. Apabila dapat makan lempuk durian hasil air tangan nenek di kampung katanya, "Nikmat..."

Kadang kala emak juga terlibat sama dalam mendefinisikan nikmat dunianya. Nikmat dunia bagi emak ialah apabila kehausan dapat minum air kosong sejuk dari dalam peti.

Dan nikmat dunia bagi saya... apabila dapat tidur, rehat secukupnya tanpa sebarang gangguan...hingga kini masih belum dapat mengecapinya........huwaaaaaaaaaaaaaa...waaaaa....isk!

Ini baru nikmat dunia...nikmat akhirat bagaimana? Tak terbayangkan...

Tuesday, October 21, 2008

AKU DAN HIJAU

Aku teringat kuliah di pejabat yang disampaikan oleh Us.Sobri Abdul Rani pada Ramadhan lalu. Kata Ustaz Sobri, orang yang gemar warna HIJAU, hati dia mulia.

Aku memang suka warna HIJAU, tapi tak taulah hati aku ni mulia ke tak…payah nak nilai diri sendiri sebab aku rasa hati aku taklah mulia mana…banyak yang jahatnya.

Tapi aku memang suka kalerrrrr HIJAU…buktinya:

Pen dan pensel kat opis warna HIJAU.

Bakul sampah aku kat opis warna HIJAU.

Kerusi aku kat opis yang dah tak hidraulik ni pun warna HIJAU.

Tadi aku pilih belon Asuh untuk anak aku pun warna HIJAU juga (masa majlis raya anak aku meronta-ronta nak belon, tapi masa tu dah habis. Dapat yang tembus, lepas tu kecut. Aku nak beli, tapi Suriati kata ambiklah yang lain).

Kabel internet aku kat PC opis ni pun rezeki dapat warna HIJAU.

Gunting aku kat opis yang selalu dipinjam Santi (cleaner opis) untuk gunting sachet kopi 3 in 1 dia pun HIJAU juga. Sesekali gunting HIJAU aku tu melekit dan belengas lagi berminyak diguna Santi wat gunting rencah mi segera dia.

Background monitor PC aku kat opis pun aku buh kaler HIJAU dengan imej Tok Guru Nik Aziz (MB negeri asal aku).

Kalau dah background monitor PC bergambarkan Tok Guru, sah-sahlah parti politik pilihan aku pun logo HIJAU purnama putih.

Buku nota yang aku beli kat kedai Jasema dulu HIJAU juga warnanya, padahal banyak warna lain.

Apa lagi yang HIJAU…?

Kereta aku sekarang warna silver…esok dah buruk, aku rasa nak cat HIJAU gak lah.

Mata aku taklah HIJAU, tapi cermin mata aku dah keluar karat HIJAU.

Semakin usia menginjak senja, aku makin minat HIJAU, yang aku sendiri pun tak tau mengapa…barangkali warnanya sejuk sesuai dengan mata aku yang makin rabun.

Sekian adanya perihal HIJAU dalam hidup aku…mulia tak mulia itu sesuatu yang subjektif bagi aku.
-----------
HIJAU

Bumi yang tiada rimba
Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa
Bumi yang tiada udara
Bagai tiada nyawa
Pasti hilang suatu hari
Tanpa disedari
Bumi…tanpa lautan
Akan kehausan
Pasti lambat-laun hilang
Duniaku yang malang

Dewasa ini kita saling merayakan
Kejayaan yang akhirnya membinasakan
Apalah gunanya kematangan fikiran
Bila di jiwa kita masih lagi muda dan mentah
Kulihat HIJAU

Bumiku yang kian pudar
Siapa yang melihat
Di kala kita tersedar
Mungkinkah terlewat
Korupsi, opresi, obsesi…diri
Polusi, depresi di bumi kini

Oo... anok-anok
Tok leh meghaso mandi laok
Bersaing main ghama-ghama
Ale lo ni tuo umornyo berjuto
Kito usoho jauh ke daghi mala petako

Ozong lo ni koho nipih nanak aghi
Keno make asak hok biso, weh
Pasa maknusio
Seghemo bendo-bendo di dunio
Tok leh tehe
Sapa bilo-bilo

Nyanyian: Zainal Abidin


p.s: Aku baru tukar template baru...pun ada a hint of GREEN sana sini!

Tuesday, October 14, 2008

KELIRU DENGAN 'DATELINE'

Nampaknya masih ramai yang masih keliru erti dan penggunaan perkataan 'dateline'. Mereka yang keliru itu termasuklah rakan-rakan sekerja saya di pejabat malah yang bertitle bos sekalipun.


Di mana-mana organisasi pun kita diberi tarikh untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang diamanahkan. Bos-bos kita siap beri memo yang berjudulkan 'dateline'.


Hmmm....bertahun-tahun bekerja tapi siapa yang sedar bahawa istilah 'dateline' yang digunakan itu sebenarnya salah tempat?


Mereka yang berkelulusan Komunikasi Massa atau Media jika masih tidak tahu membezakan erti 'dateline' wajar disekeh kepalanya barang sesekeh dua. Tetapi bagi mereka yang di luar bidang media, marilah kita sama-sama belajar dan gunakanlah dengan betul istilah itu, apatah lagi bagi anda yang bekerja di sektor media.


Semasa menuntut di ITM (kini UiTM) dalam bidang komunikasi massa, pelajaran pertama yang disentuh oleh pensyarah Kewartawanan saya ialah istilah 'dateline'.


'Siapa yang tahu maksud dateline?' soal En. Jam (kini sudah Prof Madya)


Tak ada siapa yang menjawab kerana kami semua masih jahil...budak baru belajar!


'Orang mass comm kena tahu...' ujarnya lagi.


'Dateline ialah WAKTU dan TEMPAT sesuatu berita itu ditulis...kamu tengok dalam suratkhabar perkataan pertama dalam perenggan pertama...itulah dateline' jelasnya sambil mengangkat akhbar untuk ditunjukkan contoh 'dateline'.



Lihat contoh di bawah (tulisan berwarna merah) itulah 'dateline'.

Minyak turun 10 sen lagi
PUTRAJAYA 24 Sept. – Kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 dikurangkan 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter berkuat kuasa esok...


Jika merujuk kepada waktu atau tarikh akhir yang patut kita siapkan tugasan kita...itu diistilahkan sebagai 'DEADLINE' yang bererti TARIKH AKHIR, TARIKH MATI ataupun TEMPOH AKHIR.


Untuk lebih jelas mari lihat penjelasan maksud DATELINE dan DEADLINE yang termuat di dalam kamus Oxford.



DATELINE (ada dua maksud diberikan oleh Kamus Oxford):



1. imaginary line running from north to south 180 degree from Greenwich, east and west of which the date differs by one day



2. line in a newspaper above an article, etc, that shows the time and place of writing



DEADLINE



point in time by which something must be done



Mulai hari ini sematkan di dalam kepala perkataan DEADLINE... DEADLINE... DEADLINE...jika anda sedang berhempas-pulas menyiapkan tugasan mengejar tempoh akhir yang diamanahkan. Tapi jika anda benar-benar sedang menulis laporan berita untuk disiarkan di akhbar atau berita tv, jangan lupa pula menulis DATELINEnya pada pangkal berita anda itu.



Thursday, October 9, 2008

BERTARAWIH DI BELAKANG MB NIZAR


Sahabat.. Apa ada di negeri mu?
Di negeriku ini tidak banyak yang istimewa. Penduduk Islam sekitar 60% sahaja dari keseluruhan penduduk negeri. Yang beriman pula tidak pasti.. Sekadar bersangka baik, mungkin sekitar 60% juga.
Pekerjaan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Makanan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Minuman orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Pengangkutan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Pakaian orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Rumah dan bangunan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Bahkan gaya hidup seharian orang Islam juga telah banyak berubah mengikut perubahan masa. Orang Islam menguasai bidang pentadbiran, pertahanan, keselamatan, adat-istiadat, persempadanan negeri dan majoriti tanah-tanah negeri. Selebihnya dikongsi bersama-sama. Alhamdulillah, setakat ini perkongsian bersifat mesra dan mudah-mudahan rahmat Allah terus bersama negeri Perak Darul Ridzuan.
Ramadhan ini rahmat Tuhan terasa menyimbah negeri ini. Negeri yang panjang berliku dari puncak Titiwangsa menurun jauh hingga ke delta Sungai Perak di Selat Melaka. Sepanjang usiaku di tanah ini, bermain-main, bergaul mesra dengan alamnya, berseloka dengan rimbun hijaunya, belum lah pernah aku melihat, merasai Ramadhan dinegeriku seindah Ramadhan kali ini. Bukan kerana lampu-pelitanya yang gemerlapan, bukan kerana bubur lambuknya yang tiada tandingan, bukan kerana bingit mercun dan percikan bunga apinya, bukan kerana bazar Ramadhannya yang riuh bersorakan, bukan kerana ketupat lemang seni makanan warisan tradisinya, tetapi kerana budaya baru yang di bawa MB baru tanah ini. Rahmat Tuhan bersama negeri Perak insya Allah..
Sepanjang usia ini, ditanah ini, belumlah pernah aku melihat orang Cina dan India yang belum Islam datang ke halaman masjid bergerombolan, sama-sama menikmati hidangan berbuka puasa dengan ala kadarnya. Apa guna membuang masa di waktu maghrib tumpang berbuka di halaman masjid sedang diri tidak berpuasa? Sekali fikir mungkin itu persoalannya, tetapi bila direnung jauh, inilah resipi baru MB yang baru buat memecah tembok asobiyah. Rahmat Allah untuk tanah ini insya Allah.. Sepanjang usia ini, di daerah ini belumlah pernah aku melihat orang India dan orang China yang belum Islam bergerombolan diluar masjid menantikan orang Islam yang bertarawikh di dalamnya. Apa guna berkumpul diluar masjid di waktu tarawikh, sedang diri tidak bersolat? Itu soalan yang timbul di benak, tetapi mereka menunggu-nunggu MB selesai solat. Untuk mendengar kata-kata hikmatnya. Untuk mendengar tazkirah peringatannya. . Rahmat Allah untuk rakyat negeri ini insya Allah..
Sepanjang usia ini, di tanah tumpah darah ini, inilah acara sulungku bertarawih di belakang Menteri Besar ku sendiri. Untuk sekian lama dan sekian waktu, keindahan peristiwa, kemanisan Ramadhan ini tercatat dan terpalit indah dalam qalbu memori sebuah jiwa yang bernama rakyat. Hindari assobiyah (perkauman )! Tegas sekali suara MB ku malam itu semasa sesi Tazkirah. 'Bukan dikalangan ummatku barang siapa di kalangan kamu yang menyeru kepada assobiyah.' Beliau memetik potongan hadis Nabi dan membacanya dengan lancar.
Kalau ada di kalangan kita yang tindas-menindas di negeri ini kerana dasar perkauman bermakna kita telah menzalimi sebahagian daripada makhluk Allah, ujarnya lagi. Saya takut jika ditanya oleh Allah kenapa kamu menindas sebahagian daripada makhluk Aku kerana kepentingan sebahagian makhluk yang lain, sedangkan semuanya adalah makhluk Aku, tambahnya lagi. Dirikan solat, tegas MB ku lagi. Bulan Ramadhan ini, kata MB ku, ramai di kalangan kita yang begitu gembira menyambut kedatangannya atas pelbagai matlamat. Bulan Ramadhan ini juga kata MB ku, ramai umat Islam yang berlapar dahaga kerana mengerjakan puasa.
Tiba-tiba MB ku bertanya, tahukah hadirin, ada berapa ayat yang memerintahkan berpuasa? Aku pun termangu, ada berapa ayat perintah berpuasa ye? MB ku menjelaskan, sejak lebih 1000 tahun lalu, hanya satu ayat al-Quran yang memerintahkan umat Islam berpuasa, tidak sampai 1% pun daripada isi kandungan al- Quran. Atas ayat yang satu itulah umat Islam berpegang teguh mengerjakan ibadah puasa saban tahun. Hafalkah kita ayat yang satu itu?
Tiba-tiba MB ku bertanya lagi. Ramai yang tersenyum dan tersengih kerana tidak hafal sedang usia sudah menongkat dunia. Rugi kita selama ini kerana tidak hafal ayat yang satu ini, sebut MB ku sambil membacanya dengan lancar. Mudah-mudahan tahun ini hafallah kita ayat ini, sambungnya lagi.
Tiba-tiba MB bertanya lagi. Sidang hadirin sekalian, berapa ayatkah dalam al-Quran yang menyuruh dan mengingatkan kita supaya bersolat? Sekali lagi aku termangu, tak mampu menjawabnya? Sudah 2 kali aku terasa jahil malam ini.. MB ku menjelaskan dengan lembut. Tidak kurang 60 ayat yang memerintahkan dan mengingatkan kita tentang solat, katanya lagi. Tetapi hakikatnya kita melihat dengan mata kepala kita sendiri betapa ramainya umat Islam yang berlapar dahaga di bulan Ramadhan tetapi tidak melatih sendi-sendi badan mendirikan solat, ujarnya lagi. Sebagai Menteri Besar saya menyeru dengan sesunguhnya agar rakyat negeri Perak membudayakan solat dalam kehidupan, katanya lagi. Agenda solat akan menjadi agenda penting kerajaan pimpinan saya, tambahnya lagi.
Ruang masjid penuh sesak. Hampir tiada tempat duduk lagi. Hadirin mendengar dengan khusyuk. Acara sulung dalam kehidupan mungkin, mendengar MB sendiri memberi tazkirah di Ramadhan yang mulia. Ramadhan 1429H yang penuh berkat. 'Saya mohon rakyat negeri Perak menjadi 'cerdik' di bulan Ramadhan yang mulia ini dengan mendekati al-Quran, memahami al-Quran dan menghayati al-Quran didalam kehidupan kita sepanjang hayat,¢ ujarnya lagi dipenghujung tazkirah. Mudah-mudahan tazkirah itu membawa 'islah' kepada sekalian pendengar Islam, membawa dakwah dan hidayah pula kepada gerombolan yang ada di luar sana, demikian doa di dalam hati kecilku. Sekian banyak masjid dinegeri ini yang menjemput MB ku mengimarahkan Ramadhan, bertarawikh bersama-sama dan memberi tazkirah di hujungnya.
Mudah-mudahan suburlah bumi negeri ini dengan Islam, mudah-mudahan turunlah hidayah atas mereka-mereka yang lain. Mudah-mudahan dipersaudarakanlah bangsa yang pelbagai di negeri ini dengan kalimah "La ilahaillallah" , sebagaimana bersaudaranya Aus dan Khazraj, Ansar dan Muhajirin dengan kalimah "La ilahaillallah". Berdoalah sekalian yang muslim, berdoalah sekalian yang mukmin, doa itu senjata mukmin.. Sekali lagi sahabat... Apa ada di negerimu? Noktah terakhir suatu coretan tidak bermakna penutup bicara. Pada malam, bulan dan keindahan, mungkin ada mesej yang tak kesampaian. Pada sahabat semua, selamat mengimarahkan akhir Ramadhan dan selamat meraikan aidilfitri. Sekian buat kali ini.

MUSAFIR YANG TIADA HATI PERUT

Jika pulang ke kampung untuk berhari raya menaiki kenderaan mak ayah, sudah tentu kami akan berhenti di masjid lama di pekan Raub. Kini sudah ada masjid baru di Raub menggantikan masjid lama itu, tetapi duduknya agak 'ke dalam' sedikit, bukannya di tengah-tengah kesibukan pekan tersebut. Suasananya lebih nyaman dan tenang.

Solat Jumaat kini ditunaikan di masjid baru, tidak lagi di masjid lama. Masjid lama hanya menunaikan solat fardu. Apa pun, masjid lama Raub cukup popular kerana kedudukannya yang strategik -- menjadi favourite kepada para musafir, apalagi bersebelahan masjid ini ada kedai makan. Mudahlah untuk makan-makan dan minum-minum.

Setiap kali tiba hari raya, maka masjid inilah dikunjungi oleh kebanyakan pengguna jalan raya yang menghala ke Kelantan atau sesetengahnya Pahang. Apa yang dikesalkan ialah sikap mereka yang berstatus 'musafir' ini yang tidak pedulikan soal kebersihan.

Sebagai anak Kelantan saya berasa sungguh malu dengan sikap musafir-musafir yang pulang ke kampung menggunakan jalan ini. Tidak kisahlah anda anak jati Kelantan atau sebaliknya. Tong sampah yang disediakan dipenuhkan dengan lampin pakai buang anak hingga melimpah-ruah dan tergolek jatuh ke lantai. Lebih memalukan, terselit juga tuala wanita dicelah-celah timbunan lampin pakai buang bayi.




Inilah yang dinamakan manusia yang tiada kesedaran sivik. Amat tidak wajar lampin atau tuala wanita itu dibuang begitu. Tak terfikirkah akan kesusahan AJK masjid hendak menguruskan benda-benda kotor, jijik dan busuk begitu? Di mana hati perut anda?

Apa salahnya jika lampin pakai buang atau tuala wanita itu dibungkus elok-elok dan dibawa bersama kita. Sampai ke destinasi nanti, buanglah.
Takut kotor kenderaan? Takut kenderaan berbau? Habis...kotorkan masjid, tinggalkan bau busuk di rumah Allah, tidak mengapa? Kalau diletak di but kereta, rasanya tidak akan berlaku keadaan itu.




Yang lebih menyedihkan lagi, dalam ramai-ramai musafir yang transit di masjid ini, hanya segelintir kecil yang sudi memasukkan barang seringgit dua duit ke dalam tabung masjid. Sudahlah menggunakan masjid orang, kedekut pula tu.

Sepanjang minggu para musafir pulang dan balik dari kampung, ertinya seminggu jugalah agaknya AJK masjid menguruskan pembuangan najis-najis ini. Barangkali, Allah mahu memberi mereka ini pahala bonus jika mereka tidak merungut dengan pekerjaan ini. Inilah sebahagian ujian yang Allah datangkan untuk meningkatkan darjat keimanan seseorang hamba Allah.

Bagi para musafir ini, renung-renungkanlah kepayahan orang lain dek kerana sikap kita yang pentingkan diri sendiri. Cuba letakkan diri anda sendiri sebagai AJK masjid Raub ini... sabarkah anda, redhakah anda mengendalikan benda-benda yang menjijikkan ini?
Renung-renungkan...