Monday, September 29, 2008

TIDAK SEPERTI YANG DIRENCANAKAN...

Aduhai...puasa dah nak pergi...sedih dan pilu. Entahkan bersua lagi. "Ya Allah, panjangkan umurku dan izinkan aku bersua dengan Ramadhan akan datang agar aku berpeluang merebut kemuliaannya sekali lagi, moga berpeluang perbaiki diri lagi...ameen ya rabbal 'alameen."
Kita kini di ambang Syawal. Detik ini, saya muhasabah diri pada kesempatan yang terluang ini. Anak masih lena lagi, semalam demam sedikit barangkali penangan main air di laman rumah semalam. Suami pun baru terlelap, setelah sepanjang malam resah gelisah...barangkali mengenangkan dirinya yang sering dihambat masa dan tugas...
Muhasabah...tahap mana pencapaian diri ini sepanjang Ramadhan ini? Tiada peningkatan rasanya...Allah...saya cukup iri hati dengan mereka yang berpeluang tarawih penuh, membaca Quran hingga khatam sepanjang berlangsung Ramadhan...ya iri hati kerana saya tidak berpeluang melakukannya kerana sering kekalutan...kalut dengan anak, walaupun anak seorang cuma.
Sejak Subuh hingga malam, tiada masa untuk diri saya sendiri. Sebaik celik, kerja dalam rumah dimulakan...seingat saya tiada masa untuk istirahat, tiada waktu untuk melegakan lesu. Lantaran itu, apabila jam 10 mlm saya sudah terkulai. Mata sudah tidak mampu celik. Tapi ditahan-tahan juga kerana anak masih aktif yang kekadang memaksa saya mengikut rentaknya...sudah tiga tahun rutin begini, entah sampai bila dapat bertahan. Bisa-bisa badan kerana kurang rehat dan stres semakin menjadi-jadi.
Pain killer (voltaren, synflex dan mynol) yang selalu diberi doktor dan kerap saya telan tidak memberi apa-apa kesan lagi. Sakit dan sengal tubuh yang sudah bertahun-tahun ditanggung ini amat mengganggu amal ibadah. Ditambah pula kerusi yang diduduki di pejabat yang langsung tiada ciri keselesaan menambahkan lagi sakit belakang dan lenguh sendi, lebih-lebih lagi bahagian lutut kiri yang saya alami sejak awal remaja.
Idilfitri...? Auranya amat berbeza semasa kita masih kecil dan dewasa. Pada usia dewasa, saya lebih menghargai Ramadhan berbanding Syawal...ya kerana kemuliaan dan keistimewaan Ramadhan itu terlalu banyak, cuma saya tidak berpeluang merebutnya. Kata ustaz yang memberi kuliah Ramadhan di pejabat...Allah jadikan Ramadhan sebab hendak beri kita masuk syurga melalui kemuliaan Ramadhan itu. Kita hendaklah merebutnya. Ya Allah... rasanya tidak ada apa yang berjaya saya rebut...berpeluang lagikah?
1 Syawal? Semacam tidak bermakna tahun ini apabila diberitahu tidak balik beraya di KB tahun ini kerana kesibukannya yang melampau, tugas perlu dilangsai. Saya dimaklumkan suami 'tidak balik beraya di KB' pada hari Sabtu 27/9. Maka dia menyarankan saya dan anak menumpang emak dan ayah untuk balik kampung. Justeru terpaksalah nanti saya berhimpitan di dalam kereta ayah yang sudah pasti akan ada 4 orang, ditambah saya dan anak menjadikan 6 orang kesemuanya.
Emak dan ayah akan bertolak balik kampung pada 2 Syawal kerana tidak mahu berebut dan bersesak di jalan raya bersama trafik lain. Itu tidak menjadi masalah pada saya. Apa yang menjadi masalah, ialah tarikh pulang mereka ke KL semula ialah pada hari Selasa 7/10, sedangkan saya tidak mengisi borang cuti kerana tidak bercadang hendak cuti lebih lama, sudah cukup bagi saya dengan cuti yang diberikan syarikat selama seminggu.
Kalaulah saya dimaklumkan suami lebih awal, saya tentu tidak teragak-agak mengisi borang cuti. Aduh, inilah dilema apabila rancangan tidak menjadi seperti yang direncanakan. Apa pun, saya mesti juga balik kampung dek kerana terlalu rindukan nenek yang sudah tua. Satu-satunya nenek yang ada. Juga rindukan kampung halaman. Lalu, terpaksalah saya cuti tanpa mengisi borang dahulu (isi kemudian selepas masuk kerja). Moga tidak dimarahi pihak pentadbiran syarikat dan tidak dimarahi bos jabatan... ampun maaf! Kerana semua ini bukan saya rencanakannya, Allah jua Yang Maha Mengetahui dan Maha Perencana segala-galanya.
MAAF ZAHIR BATIN & SALAM IDILFITRI
KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT!

Thursday, September 25, 2008

NASIHAT SS MUFTI PERLIS


HORMATI HARI RAYA

“Adalah menjadi tanggungjawab media kerajaan dan swasta yang dipegang oleh mereka yang muslim untuk menghormati hari raya dengan menyiarkan program-program yang bersesuaian dengan ajaran Islam. Amat malang jika tujuan Hari Raya untuk kita membesarkan Allah dan bergembira dengan disiplin dan peraturan yang ditentukan syarak, tiba-tiba siaran media kita menyiarkan apa yang bertentangan dengan itu.
Islam bukanlah jumud sehingga menghalang umatnya bergembira dan berseronok suka. Namun, bukanlah dengan cara yang jelas dilarang oleh Islam seperti gelagat-gelagat artis dalam media atau filem yang melampaui batasan yang wajar. Tidak wajar disiarkan lakonan atau tarian yang tidak dapat diterima oleh penilaian syarak.
Hari Raya adalah manifestasi daripada ibadah puasa di bulan Ramadan. Jangan media asyik mencemarinya saban tahun. Sepatutnya, jika kerajaan benar-benar ada kesungguhan, banyak yang dapat diselamatkan dalam kehidupan muda-mudi hari ini. Namun, apabila kita cakap lain sementara tindakan kita lain, maka rosaklah generasi kita”.

Dipetik dari :
http://drmaza.com/home/?p=430

Sunday, September 21, 2008

Murtabak oh murtabak

Siapa tak kenal dan tak pernah lihat murtabak ertinya dia memang tak guna. Kalau kena yang sedap, memang kick bila makan lebih-lebih lagi pada bulan puasa sebegini.
Semasa bertugas di Mesir pada bulan puasa, saya teringat dan kempunan betul nak makan murtabak Kayu Ara (di bazar Ramadan kat rumah)...ooo...mmm cuma bayangkan rasanya di dalam kepala sahaja. Rasanya, murtabak Kayu Ara yang sedap setakat ini yang pernah saya cuba.
Ada orang rekomenkan pula murtabak di Bazar Ramadan Sg. Pencala...ada 2,3 tempat yg menjualnya, tp yg dikatakan yg sedap itu ialah yang kena berbaris panjang hingga melingkar queuenya kalau nak beli. Saya pun ikut queue sama.

Murtabak yang sedap ialah yang banyak dagingnya. Ya, memang murtabak Sg. Pencala itu byk daging dan boleh dikategorikan sedap jugalah tapi masih tidak dapat menandingi murtabak Kayu Ara.

Apa yang membezakan kedua-dua murtabak itu?

Pertamanya, murtabak Kayu Ara nipis dan empat segi. Manakala murtabak Sg. Pencala tebal dan bentuknya tidak standard, seakan-akan bulat tp tak bulat, ada juga yang hampir empat segi. Apa pun, bentuk murtabak tidak mempengaruhi rasa.

Keduanya, murtabak Kayu Ara, bawangnya halus dan tidak terasa bila dimakan, tp murtabak Pencala hirisan bawangnya saiz XL. Saya pantang bawang yang nampak dan rasa seketul-ketul, pasti akan dikorek keluar dan dibuang.

Ketiganya, murtabak Kayu Ara daging bertaburan dan menyeluruh dalam sekeping murtabak (every square inch penuh daging), tapi murtabak Sg. Pencala dagingnya besar tapi tidak rata dalam sekeping murtabak. Ada tempat-tempat yang ter'miss' out, sebab tempat itu diambil oleh hirisan bawang yg saiz XL.

Keempatnya, murtabak Kayu Ara dijual pada setiap Ahad di pasar tani walaupun bukan bulan Ramadan dan setiap hari di bazar Ramadan. Tapi murtabak Sg. Pencala dijual pada bulan Ramadan sahaja.

Apapun, pencecah murtabak Sg. Pencala lebih sedap berbanding pencecah Kayu Ara...tapi saya jarang makan murtabak dengan pencecahnya...lebih enak dimakan begitu saja (sekadar meminjam slogan roti Gardenia).

Kini ada satu lagi port murtabak yang sedap...buatan restoran Al-Safa (juga di Kayu Ara...sorry to say lah), restoran mamak. Memang kick habis. Tapi yang tak syoknya, harganya sekali ganda mahal berbanding harga muratabak yang dijual di gerai-gerai biasa. Satu keping murtabak Al-Safa kita boleh dapat dua keping murtabak dari bazar Ramadan.

Aisey...teringin pulak nak makan murtabak diraja...ada di Kota Bharu saja yg ni...RM12 sekeping tu....dah lama tak pekena.

Satu hal lagi, kepada pembuat murtabak...pencecah bawang + cuka tu, tak leh ke kalau tak diwarnakan merah? Biarkan sahaja putih. Murtabak diraja putih je cecahnya tu, tapi sedap gak. Kekadang ada yang letak perasa ros...yai...tak menarik langsung...tu pasal malas dan jarang nak cecah. Bungkusannya tak buka pun, terus buang...

Tak da plak pix murtabak nak letak dalam entry ni...

Tuesday, September 16, 2008

Puasa di Perantauan 3 - KANTOI PUASA KERANA STRAWBERI

RUMAH pertama kami di England beralamat di 13 Deansway Avenue, di kampung Sturry. Tidak jauh dari rumah kami ada sebuah ladang strawberi yang saujana mata memandang. Barangkali yang menjadi ia saujana mata memandang kerana saya melihatnya dari perspektif penglihatan kanak-kanak. Ya saya masih kecil waktu itu, baru menginjak awal remaja. Lalu apa yang dilihat, semuanya luas, semuanya besar. Tapi rasa-rasanya dan seingat saya, ladang itu memang luas...maklum saja kenangan ini sudah berusia suku abad.

Ketika ayah memberitahu hendak membawa kami mengutip buah strawberi, kami adik-beradik cukup seronok. Waktu itu bulan Ramadan, jatuh pada musim panas. Maka panjanglah tempoh berpuasa dan panjang jugalah tempoh siangnya. Jam 9 malam pun masih terang benderang.

Berderetan batas-batas strawberi di ladang itu. Batasnya diliputi jerami (straw) kerana itu buah ini dinamakan strawberry. Kalau di Cameron Highlands, strawberi ditanam di dalam pasu dan di tutup dengan plastik hitam tanahnya.

Di ladang itu ada sebuah pondok kecil tempat menimbang dan membayar strawberi yang dikutip pengunjung. Di situ juga pengunjung diberi bakul kertas untuk meletakkan strawberi yang dikutip.


Maka dengan membimbit bakul kami mengambil batas strawberi masing-masing. Sebaik melihat strawberi, nafsu mula celik...ceh! "Tahan...tahan..."

Strawberi England tak sama strawberi Cameron Highlands. Strawberi England tak masam macam strawberi Cameron Highlands. Strawberi England sedap dimakan dengan double cream, tak macam strawberi Cameron Higlands yang kena cecah madu sebab masam atau disalut coklat seperti hadiah Datuk K kepada Siti N, Strawberi England besar-besar tak kecil macam strawberi Cameron Highlands.

Eh...tengok sana tu, merahnya strawberi tu, besar pula tu. Mmmm...kecur...tentu manis, tentu nikmatnya tak terkata...ciss, diamlah kau nafsu. Ooo yang ini lagi besar, luar biasa besarnya. Eh kembar rupanya. Padanlah besar.

Ya Allah, sabarkanlah aku....

Makanlah, bukan orang nampak pun...paling-paling Tuhan aje yang nampak. Tuhan maha pengampun...engkau pun kecik lagi, baligh pun belum lagi...tak payah tanggung dosa lagi...

No...no...no...nooooo. I certainly will not eat...you shut up, shut uppp...you stupid nafsu...tapi sedar-sedar mulut saya sudah mengunyah strawberi barangkali sudah dua tiga biji ditelan. Nafsu menang debat monolog...tak guna...TEWAS akhirnya.

Bakul pun dah penuh...ditimbang isinya. Dan ayah belikan sekali double cream di pondok itu. Orang lain tunggu untuk berbuka dengan strawberi. Tapi puasa saya dah lama kantoi.

Cuma yang menyebabkan saya rasa bersalah bukannya sebab sudah berbuka awal dengan strawberi, tapi apa yang masuk ke perut itu tidak ditimbang...strawberi tak halal sebab tidak masuk ke bakul tapi masuk ke perut tanpa pengetahuan empunya ladang.

Moga diampunkan dosa saya itu.

Sunday, September 14, 2008

REVISITED: Puasa di Perantauan 2

Ada tambahan maklumat dalam entri ini (tulisan berwarna hitam):


_______________________

Berpuasa di tempat orang, kita dapat mengutip seribu satu kenangan dan pengalaman yang maha berharga. Teringat pengalaman ketika dalam rangka tugas penggambaran di bumi Anbiya' (Mesir). Suasana Ramadhan mulia disambut penuh meriah dan penuh ibadah, berbanding kita di tanah air yang berpestakan makanan hingga menjadi pembaziran. Manakala 1 Syawal pula menjadi medan untuk berhibur dan makan-makan hingga berlarutan lebih sebulan.

Seusai tugas di Arab Saudi, kami terbang pula ke Mesir pada 1 Ramadhan 1421 untuk meneruskan misi penggambaran Salam Timur Tengah. Transit beberapa jam di Jordan kemudian meneruskan perjalanan ke Kaherah.


Ia merupakan kali kedua saya menjejak kaki di Mesir, kali pertama bersama keluarga pada 1989. Namun pada tahun 2000 kota Kaherah dan bumi Mesir amnya tidak banyak berubah dari segi pembangunan. Barangkali pembagunannya sudah mencapai tahap maksimum dengan penduduk Kaherah sahaja jumlahnya mencapai penduduk Malaysia. Padat dengan manusia dan juga tahap polusi yang agak teruk. Faktor lain yang tidak memungkin Mesir membangun pesat ke arah kemodenan ialah kerana buminya terlalu kaya dengan monumen dan artifak Mesir purba. Sehinggakan sebahagian besar pendapatan Mesir ialah hasil daripada pelancongan. Di sana sini ada sahaja binaan bersejarah sejak zaman Mesir purba lantas menghalang pembangunan di sekitarnya.








Selain tiga piramid besar di Giza yang menjadi kebanggaan Mesir, dikatakan masih terdapat berpuluh-puluh lagi piramid seumpanya yang tenggelam di dasar bumi. Untuk usaha mencarinya dan proses ekskavasi memakan belanja yang bukan sedikit. Malah untuk memulihara artifak yang sedia ada juga menelan belanja yang cukup besar.



Barangkali juga kerana Mesir bumi Anbiya' dan lahir pula ulama-ulama besar seperti Imam Syafi'i dan asy-Syahid Imam Hassan al-Banna, Ramadhan disambut penduduknya penuh pengertian.



Menjelang Ramadhan, di lorong-lorong lampu warna-warni menyerikan suasana dengan mandian cahaya lampu. Kedapatan pula khemah-khemah merah bercorak di kaki-kaki lima bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan. Ia dipasang oleh orang-orang berada untuk menjamu orang-orang miskin dan merempat serta juga para musafir berbuka puasa. Pendek kata, sesiapa yang lewat tiba ke rumah untuk berbuka puasa, tidak perlu risau kerana boleh berbuka puasa percuma di mana-mana. Hiasan menyambut Ramadhan pula digantung di sana-sana. Berwarna-warni, banting dan kain rentang juga tidak ketinggalan.


Di masjid pula AJKnya sibuk mengagih makan kepada orang ramai yang sedia berderetan menunggu.


Di Kaherah, kami menginap sementara di Hotel Hilton yang terletak di tebing Sungai Nil. Alhamdulillah, Hilton menaja penginapan beberapa hari (bilik eksekutif pula tu)...Nahla, wanita muda yang menjawat jawatan PR di situ membawa kami melawat bilik paling mewah di situ, jelasnya "This is Sean Connery's favorite room. Whenever he comes to Cairo...he will stay in this room)...ooooo...kami sekadar melopong! Apa pun, apa yang berbekas di hati ialah untuk sahur, pihak hotel akan menghantar juadah bersahur ke bilik kami.


Beberapa peristiwa yang meninggalkan bekas di hati saya. Pertama semasa di Iskandariah (Alexandria). Waktu itu krew penggambaran seramai lapan orang (saya, Cikgu Abu, En. Al, En. Li, Wisma, En. Mi, Bai dan Zul) di dalam kenderaan hendak ke rumah seorang pelajar Malaysia di sana. Waktu Maghrib telah masuk. Kami di dalam bas tercari-cari makanan untuk berbuka. Saya teringat Chiclet (gula-gula getah) yang dibeli semasa di Arab Saudi. Alhamdulillah jumlahnya lapan biji, cukup-cukup untuk setiap orang (dua telah dimakan di Jeddah). Maka saya agih-agihkannya kepada rakan-rakan setugas.

Sebaik sahaja turun dari bas, kami menyeberang landasan tram. Di tengah-tengah landasan itu berdiri dalam dingin musim sejuk seorang lelaki, sedang menatang dulang yang berisi tamar. Rupa-rupanya itu jariahnya untuk sesiapa sahaja yang tidak berkesempatan untuk berbuka di rumah masing-masing. Kami mengambilnya seorang satu. Dan saya tidak lupa mendoakan lelaki itu yang sanggup berkorban di dalam cuaca yang sangat sejuk.




Berstatuskan musafir, solat kami jamak takkhirkan. Seterusnya kami melewati sebatang lorong yang dinamakan sempena nama Sayidina Ali r.a. Di lorong sempit yang gelap lagi lecak dan sejuk, terhias dengan seorang imam yang memimpin jemaah tarawih sepanjang dua saf pendek. Allahuakbar...Allahuakbar...indahnya pemandangan itu. Suasana seperti ini mustahil untuk dilihat di tanah air kita. Dalam serba kekurangan, pengabdian kepada Allah tetap diteruskan dek kerana tiada masjid berdekatan. Di Malaysia, masjid-masjid memang gah, tapi rohnya tiada. Jemaah tarawih makin lama makin berkurangan pada penghujung Ramadhan. Tetapi di Mesir, jemaahnya semakin lama semakin bertambah hinggalah pada 10 malam terakhir, umat Islam berduyun-duyun ke masjid untuk merebut pahala berganda.

Di sebuah masjid di Kaherah (lupa di ingatan nama masjidnya), pada 10 malam terakhir, jemaah menjangkau hampir setengah juta (SETENGAH JUTA!) memenuhi setiap genap ruang masjid dan jalan raya di sekitarnya...lebih-lebih lagi apabila Qari tersohor Mesir Syeikh Muhammad Gebril hadir mengimamkan solat.


Tengah hari semalam (22.9.08) mendengar kuliah Us. Sobri di pejabat, maka saya mendapat maklumat tambahan dan saya dapat mengingat kembali beberapa maklumat yang tertinggal i.e berkenaan masjid di mana Syeikh Muhammad Gebril mengimamkan jemaah tarawih. Masjid tersebut ialah MASJID AMRU AL-AS.

Ketika kami mengunjunginya, kerja-kerja ubasuai, pulihara dan pembesaran sedang dalam progres. Menurut Headmaster masjid itu, belanjanya sangat tinggi (saya cuba recall kosnya, tapi tidak berjaya, buku catatan pula entah ke mana).

Menurut Us. Sobri jemaah tarawih di Masjid Amru Al-As pada akhir Ramadan ialah 1 juta. Barangkali sudah meningkat sejak saya ke sana tahun 2000 dulu. Meningkat 1/2 juta dalam tempoh lapan tahun...subhanallah...

Menurut Us. Sobri lagi, apabila Syeikh Gebril membaca surah Abasa dalam tarawih, sampai ada jemaah yang pengsan...bukan kerana kesyahduan bacaannya tetapi kerana penghayatan warga Muslim Mesir yang mendengar kalamullah suci itu. Kita di sini bagaimana? Bila lagi?

Nota tambahan yang baru muncul
diingatan: MASJID AMRU AL-AS ialah masjid tertua di Mesir. Sebaik tiba di Mesir,
perkara pertama yang dilakukan oleh Sahabat Rasul yang bernama Amru al-As ini
ialah membina masjid sebagai pusat pentadbiran.


Penduduk Mesir menyambut Ramadhan penuh gembira dan meraikannya dengan penuh kasih. Di tempat-tempat awam, ramai yang mengisi hari mereka dengan membaca Quran, baik di dalam kenderaan awam mahupun di mana-mana. Apabila bersua sesama teman atau sesiapa saja, maka akan kedengaran ucapan, "Ramadhan Kareem." Lalu dijawab pula, "Allahu akram" (Ramadhan mulia...Allah lebih mulia).



Ketika pulang dari Iskandariah, kami singgah di Masjid Sayyidah Zainab untuk solat, waktu itu kami belum lagi menjamah makanan, sekadar berbuka dengan air kotak...rakan saya, Wisma berkata, "Kak, kalau ada roti sikit pun jadilah buat alas perut..." Sewaktu mengangkat takbir untuk solat Maghrib, seorang wanita datang meletakkan bungkusan makanan di sisi kami. Seusai solat kami membuka makanan itu, di dalamnya ialah 'roti berinti kacang'. Maha Suci Allah, mendengar doa musafir kerdil. Wanita tadi ialah sukarelawan masjid...seolah-olah dapat membaca apa yang tersirat di hati. Tidak cukup dengan itu, dihidangnya lagi makanan untuk kami...hingga tidak termakan kerana kekenyangan.



Sungguh, suasana Ramadhan di Mesir penuh roh dan penghayatannya. Alangkah indah jika suasana ini juga berlaku di bumi Malaysia!

Thursday, September 11, 2008

KESAN ZIKIR TERHADAP OTAK MANUSIA





OTAK hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabk an untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.
Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.
Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan.
Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks. Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.
Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.
(Dipetik daripada email yg diterima)

Sunday, September 7, 2008

Puasa di perantauan 1

Entah mengapa tetiba teringat kisah kira-kira lebih 2 dasawarsa lalu sewaktu menghuni bumi England beberapa tahun. Ketika itu usia saya baru menginjak awal remaja. Teringat kenangan berpuasa di sana.

Emak dan ayah yang ditua-tuakan oleh pelajar-pelajar di sana sering menjadi tumpuan dan tempat merujuk. Kalau nak makan mereka akan cari rumah Ustaz Pauzi dan Kak Nah. Rumah kami terletak di Kent di kampung Sturry dan bandarnya Canterbury. Kent terletak di South-East, England. (info tambahan: Kent: negeri Orlando Bloom gitu!)

Setiap dua minggu ayah akan mengadakan usrah di rumah kami bagi mengisi rohani anak-anak Melayu di sana. Maklum saja, ujian dan duga di perantauan sangat banyak, maka mudah saja iman tergugah. Justeru, pelajar-pelajar yang menetap di London turut turun ke Kent.


Ramailah tetamu datang ke rumah pada hujung minggu setiap dua minggu sekali, baik pelajar dari London mahupun yang tinggal di Whistable dan Canterbury sendiri yang menuntut di University of Kent berkunjung ke rumah untuk sesi usrah/kuliah agama yang ayah sampaikan.
Macam-macam pe'el dan perangai. Yang tak pernah solat pun ada, yang solat sekali-sekala juga ada. Begitu juga pada bulan Ramadan ada yang puasa ada yang tidak.

Ada seorang pelajar yang memberitahu, "Saya, puasa tu puasa ustaz. Tapi cukup 14 jam puasa sama waktu Malaysia, saya bukalah." Selamba saja dia bercerita tanpa segan.

Memang benar, jika Ramadan jatuh pada musim panas, maka Maghribnya lambat masuk berlarutan hingga jam 9 malam. Tapi itu bukan alasan untuk seseorang itu tewas dalam menamatkan puasa hariannya. Saya juga pernah tewas untuk menghabiskannya. Apa pun usia saya yang masih keanak-anakan waktu itu boleh diampunkan lagi...usia yang belum mewajibkan saya menanggung dosa!

Ada pula yang berkata, "Ustaz, kalau puasa jatuh musim summer saya tak puasa. Saya ganti puasa masa winter," juga tanpa silu. Pada musim sejuk, jam 3 petang sudah masuk waktu Maghrib. Perlu puasa hanya beberapa jam sahaja berbanding musim panas yang tempoh puasa menjangkau 18-19 jam. Begitu hukum alam di negara empat musim.

...ajaran dari mana mereka ini pakai? Tidaklah kami tahu dengan pasti...ciptaan sendiri barangkali. Sabar sajalah!

Kepada adik-adik yang bakal menjadi anak rantau atau sedang menjadi anak rantau, teguhkanlah iman. Berdampinglah dengan mereka yang baik amal ibadahnya dan dekatilah alim ulama yang ada di sana. Bertanya pada yang tahu. Jangan gadaikan iman kerana ujian yang sebenarnya tidaklah sehebat mana. Jangan kerana merebut jaya akademik yang menjanjikan segulung ijazah, agama dipinggirkan. Sesungguhnya pengisian rohani dengan hal-hal agama ialah proses berterusan sehingga akhir hayat. Moga selamat dunia dan akhir. Itulah sebenar-benar bekalan hidup ini.

Hari ini pelajar-pelajar yang pernah menjadi teman rapat semasa di sana telah menjawat jawatan besar-besar di tanah air. Didoakan mereka ini sentiasa dalam rahmat Allah dan sering mendapat pentunjuk daripada-Nya.
Wallahua'lam.

Monday, September 1, 2008

Mujur umur masih panjang

Kejadian ini berlaku hari ini beberapa jam lalu. Anak saya di ruang tamu menonton Shrek. Tika itu saya di dapur membasuh periuk nasi dan pinggan kotor yang berbaki. Tiba-tiba anak saya berlari ke dapur dan menerpa saya. Matanya dah terbalik dan dia mencungap seakan-akan hampir putus nyawa. Kelihatan seperti tercekik...

Naluri saya mengatakan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Lantas tangan saya melempar periuk di tangan dan senduk nasi terpelanting ke lantai dapur, bukannya ke singki. Begitu keadaannya apabila kita panik, bertindak di luar jangka dan duga.

Segera saya capai anak dan menunggangnya kepala ke bawah dan kaki ke atas. Luar biasa juga tenaga saya ketika itu...entah dari mana datangnya tenaga itu saya tidak pasti. Biasanya saya tidak terdaya hendak mengangkat dan mendukungnya kerana beratnya telah bertambah.


Beberapa kali menepuk belakang dalam keadaan kepalanya ke bawah...melantun keluar syiling 10 sen dari mulutnya. Serentak itu juga dia muntah...dari mulut dan hidung keluar susu yang baru diteguknya. Segala isi perut keluar. Kasihan sungguh. Lantai dapur melambak dengan susu berbau masam...aduh... tidak terkata betapa paniknya saya.

Syukur nyawanya masih panjang. Tercekik atau tersedak sesuatu di kerongkong boleh menyebabkan maut dalam sekelip mata jika tidak diberi rawatan segera.

Syukur jua kerana anak saya sudah cukup cerdik kerana segera berlari mendapatkan bantuan emaknya.

Juga saya bersyukur kerana pada saat itu saya tidak mandi di bilik air kerana tidak mungkin anak kecil itu berjaya berlari ke atas dan tidak mungkin dia mampu menjerit minta dibantu. Tidak mahu saya bayangkan jika saat itu saya benar-benar di tingkat atas. Tentu sekali tidak sempat dia minta bantuan.

Sukar bagi saya untuk memaafkan manusia yang tidak bertanggungjawab meninggalkan duit syiling ataupun apa-apa objek kecil di sana sini. Berkali-kali berpesan, berkali-kali berleter, berkali-kali mengingatkannya supaya menjadi insan yang berdisiplin...tapi belum menampakkan kesan. Nasihat...to no avail!

Sakit hati kerap singgah apabila berdepan manusia-manusia yang hanya mementingkan diri sendiri, tidak ambil peduli langsung susah payah kita menjaga kekemasan rumah. Memerhatikan sikap dan tingkah laku mereka ini, saya tidak hairan mengapa hidupnya sering terumbang-ambing...selagi tidak mahu mendengar nasihat, selagi tidak ada disiplin hidup, tiada jaya yang akan ditempa. Berjaya akademik mahupun kerjaya tidak bermakna kita berjaya menjadi insan yang baik dan di redhai-Nya.
Apa pun syukur alhamdulillah kerana Ammar Hadi pulih...sesungguhnya saya belum bersedia untuk kehilangannya. Mujur juga saya pernah mempelajari ilmu rawatan kecemasan sewaktu di alam kampus dulu melalui PBSM yang saya sertai. Pasti saya akan menambahkan lagi ilmu tersebut melalui pembacaan.

Kepada para ibu bapa, suka saya seru pelajarilah ilmu rawatan kecemasan kerana kita tidak tahu bila waktunya ia diperlukan. Paling tidak, belajarlah ilmu yang asas.
Moga anakanda AMMAR HADI sentiasa dalam lindungan Allah, panjang umur dan paling penting menjadi hamba Allah yang bertakwa. Moga menjadi manusia yang disenangi ramai dan tidak menyakitkan hati orang lain. Dewasa kelak lengkapkan di dada dengan ilmu agama dan amalkannya. Pimpinlah orang-orang di sekeliling kita ke jalan yang diredhai Allah.