Thursday, March 4, 2010

AKHIRNYA SEMUA MATI

Saya baru menerima e-mel daripada adik yang 'memforwardkan' karangan. Barangkali ditulis oleh seorang budak sekolah. Memang lucu. Khayalan ceritanya tidak ubah seperti anak saya yang memang kuat berimaginasi. Bezanya, anak saya belum pandai meluahkan ceritanya dalam bentuk penulisan. Cuma pandai menyampainya dalam celoteh yang pelat.

Apa pun saya perturunkan karangan murid itu di sini. Walaupun lucu, saya tetap tabik spring dengan karyanya. Mungkin markah daripada cikgu tidak seberapa, tetapi siapa tahu, dewasa kelak dia boleh menghasilkan karya-karya hebat seperti Dean Koontz atau Stephen King. Mereka ini mempunyai daya imaginasi yang tinggi.

Saya sendiri tidak mampu mencipta karya sedemikian.

Selamat membaca dan terhibur. Anda sendiri bolehlah menilainya.

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip.
Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu. Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya.
Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang. Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung.
Dia menjerit “Adoi!”. Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya.
Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua. Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati.
Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara.
Emak saya tidak puas hati Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu. Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah.
Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter.
Pemandu lori itu menjerit “Adoi..!” dan jatuh ke bumi.
Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris. Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati.
Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat laporan ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati.
Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara. Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.
Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati.
Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati.
Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati. Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.

Monday, March 1, 2010

CERITA MIHUN

Isnin lalu kerana kesilapan Emak yang memesan kuantiti mihun goreng pada seseorang, maka saya dapat menjamu mihun kepada seluruh warga pejabat. Dari pagi hingga petang makan mihun.

Di rumah, Emak mengagih-agihkan lagi mihun itu kepada jiran-jiran sekeliling. Setelah selesai mengagihkannya itu, masih ada lagi bakinya dalam sebekas ‘tupperware’ besar. Yang ini Emak simpan dalam peti sejuk.

“Alhamdulillah, selesai soal sarapan anak-anak pagi ni,” ujar Emak meniru cakap jiran depan rumah ketika Emak menghulur mihun kepadanya.

Cerita tetamu
Sebelah petangnya (menghampiri senja), Ayah menerima tetamu dua beranak (ibu dan anak). Si anak mengadu masalah rumah tangganya -- mengadu suaminya tergila-gilakan seorang selebriti. Selebriti itu lahir daripada sebuah rancangan realiti TV.

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Ayah melainkan memberi air tawar seperti biasa.

Apabila azan Maghrib berkumandang, Ayah mohon diri untuk ke masjid. Tinggallah wanita itu bersama ibunya di rumah sementara menunggu seseorang datang menjemput. Sementara menunggu itu, Emaklah yang melayan mereka.

Tidak lama kemudian, apabila kenderaan mereka sampai, tetamu itu mohon diri sambil menghulurkan duit kepada Emak. Sudah tentu Emak menolak seperti Ayah juga. Ayah tidak pernah meminta apa-apa bayaran apabila orang datang kepadanya meminta bantuan. Apa-apa yang Ayah beri semuanya lillahi taala.

Puas Emak menolak, wanita itu tetap meninggalkan duit itu di tangan Emak sebelum berangkat.

Sebaik kedua-dua wanita itu hilang daripada pandangan mata, Emak memberitahu, “Orang itu beri duit sama nilainya dengan jumlah yang Emak bayar untuk mihun yang banyak tu.” Ya tak ya, pagi tadi Emak sudah keluarkan sejumlah wang untuk bayar kos mihun goreng.

“Tuhan ganti balik apabila kita memberi pada orang,” komen Emak lagi.

Betullah kata orang ‘what you give, you get back’. Itu janji Tuhan. Apabila kita memberi Allah pasti akan ganti balik. Malah, kadang-kadang berlipat kali ganda.

Ayah pula pernah menyebut kita tidak jatuh papa dengan memberi orang makan. Walaupun tidak kaya, insya-Allah makan pakai kita sentiasa cukup. Jangan kedekut untuk beri orang makan.

Bukan sekali dua Emak mendapat pengalaman sebegini. Sebagai isteri kepada seorang ustaz, Emak juga dapat tempiasnya. Anak-anak murid Ayah kerap memberi hadiah. Antaranya kain pelekat. Emak pula akan dapat kain batik sarung. Kerana stok banyak, kain pelekat dan batik sarung ini Emak hadiahkan pula kepada orang lain. Elok sahaja kain-kain itu dihadiahkan kepada orang, tidak lama kemudian, stok kain itu pasti akan berganti, dihadiahkan baru oleh orang lain pula. ‘Top up’ stok kain sentiasa ada tanpa perlu membeli!

Semalam (Ahad) genap seminggu usia mihun yang Emak simpan dalam peti. Semalam Emak keluarkan dari peti untuk makan beramai-ramai bersama anak cucu yang datang bertandang dan bermalam. Banyak sungguh mihun itu sehingga ada lagi bakinya. Adik ipar saya membawa pulang untuk diberi pula kepada abangnya yang berjiran dengannya.

Cerita Mokhtar
Ini pula cerita Mokhtar rakan sepejabat saya. Katanya sudahlah siangnya makan mihun di pejabat, balik rumah, isterinya juga goreng mihun untuk makan malam. Katanya, “Nak pengsan makan mihun. Tapi makan jugalah ...” (sebab tak ada pilihan). Dia membayangkan balik rumah dapat makan nasi ... kesian Mokhtar!

Emak ketawa apabila saya menceritakan kisah Mokhtar.

Menurut si penggoreng mihun itu, kuantiti mihun yang Emak pesan itu menyamai seratus bungkus jika dijual seperti nasi lemak dengan harga seringgit sebungkus!