Tuesday, April 9, 2013

NASI LEMAK & EMPAT SEKAWAN

Sudah lama anak saya Ammar minta nasi lemak untuk dibuat bekal ke sekolah. Maka semalam pagi-pagi buta saya menyiapkan nasi lemak untuknya.

Nasi lemak + telur goreng separuh masak menjadi kegemarannya. Itulah yang saya bekalkan kepadanya semalam.

Kalau membawa bekal, saya tidak berikan duit kepadanya. Cuma semalam, duit RM3 di dalam poket seluarnya yang telah saya masukkan semasa menyiapkan uniform sekolah pada setiap hujung minggu, lupa dikeluarkan. Maka bekal nasi lemak dan duit RM3 dibawa ke sekolah.

Jam satu, waktu tamat persekolahan. Saya sudah siap menunggu di kantin untuk menjemputnya balik.

"Makan tak nasi lemak yang Ammar bawa?"

"Makan sampai habis. Sedap. Esok boleh bawa lagi tak?"

"Haisy! Hari-hari tak bolehlah. Sekali-sekala tak apa."

"Kawan Ammar kata, mak jual nasi lemak. Ammar kata mana ada, mak kita kerja lain. Betulkan?"

"Betul. Nih, mak nak tanya, betul ke Ammar makan semua, tak share dengan kawan."

"Rasyid tu, dia makan nasi lemak Ammar sebab dia terliur. Tapi Ammar bagi sikit je."

Memang begitulah, mereka suka kongsi-kongsi makanan.

"Nah! Mak simpankan ni," katanya sambil menghulurkan seketul nuget.

"Laaa, dah bawa bekal, kenapa beli makanan lagi? Kan dah tak habis bila dah kenyang. Tu lah, mak pun lupa nak keluarkan duit dari poket Ammar. Lagi dua ringgit mana?"

"Ammar dah bagi Sabri."

"Kenapa bagi Sabri?"

"Sebab dia tolong ajar Ammar Bahasa Arab."

"Laaa tu bukan tolong namanya. Tu minta upah. Kalau betul-betul tolong, orang tak minta duit. Seringgit lagi mana?"

"Sabri tu, dia mintak dua ringgit. Ammar bagi ajelah."

Saya menyeluk poket seluarnya. Kot-kot ada  lagi duit. Memang ada seringgit lagi.

"Ni ada lagi, kata bagi dua ringgit?"

"Itu Zainalazren bagi kat Ammar. Dia kata, 'Kau nak? Ambiklah'."

"Kenapa dia bagi Ammar?"

"Ammar pun tak tau."

Hmmm ... daripada pengamatan saya sejak awal anak saya naik Tahun 1, Zainalazren ini anak orang berada. Bawa duit paling sedikit tiap hari RM5. Beg sekolah pun jenis mahal. Ketika program murid-murid di sekolah, ibu bapanya membekalkan duit RM50 untuk main itu dan ini. Jadi, setakat RM1 ringgit apalah sangat. Dan dia kerap juga belanja kawan-kawan di sekolah.

Ammar Hadi, Zainalazren, Wafiq Raziq dan Rasyid -- empat sahabat baik. Di kalangan mereka, Ammarlah yang paling kecil fizikalnya. Kekadang mereka bergaduh dan bertekak. Esoknya kembali kamceng. Empat sekawan inilah juga sering dimarahi cikgu kerana suka bermain kejar-kejar. Rekod ketika Tahun Satu tahun lalu, anak saya enam kali dialihkan tempat duduk oleh cikgu di dalam kelas kerana tak duduk diam dan sering bersembang dengan sahabat baiknya Raziq. Maka budak berdua ini, dipisahkan tempat duduk.

Apa pun didoakan persahabatan mereka kekal baik hingga hujung hayat. Mudah-mudahan menjadi anak-anak yang soleh, cemerlang dunia dan akhirat dan bertemu kembali di Syurga Firdaus. Amin.

4 comments:

Kamariah Kamarudin said...

Terhibur membaca catatan ini; boleh menjadi sebuah catatan panjang dan dibukukan perihal kerenah anak-anak. Dah besar Ammar rupanya, mengingatkan saya kepada anak sendiri yang bakal masuk Tahun 1 tahun 2014. Allahu Rabbi. Mudah-mudahan anak kita menjadi anak soleh dan solehah, berjaya dunia dan akhirat.

SURAIYA PAUZI said...

Heee ... nanti Dr.K tahulah macam mana kelam-kabutnya mak bapak bila anak sulung naik Tahun 1, berkejaran hantar dan jemput pulang!

Bas & van sekolah, tiada keyakinan untuk benarkan anak yang tak berapa mumaiyiz naik, hendaknya yang jenis lasak.

Yikes! Besar dah Zahra Kamila ...

abunyer said...

Teman kamceng.... kisah ini mengingatkan saya tentang teman kamceng dari kecik net sampai tua... Jelas terbayang wajah-wajah mereka. Kini saya masih lagi tercari-cari, siapa teman kamceng di sini.

SURAIYA PAUZI said...

Teman kamceng memang susah nak cari!