Friday, June 18, 2010

TAK ADA NILAI!

Saya kerap merenung diri menilai solat fardu yang ditunaikan. Sejak solat pertama hinggalah kini dah tua ini, saya dapati satu pun tiada nilai. Sebab utamanya:

1. Seingat saya, tidak ada satu pun solat fardu saya yang benar-benar khusyuk!

2. Dulu-dulu, selalu solat hujung waktu.

3. Bacaan dalam solat pun rasa-rasanya tak berapa nak betul.

4. Zaman remaja dulu solat saya secepat kilat.

5. Wuduk saya juga tiada nilaian barangkali.

Itu cuma sebahagian sebab. Kesemuanya berkait rapat dengan hasutan syaitan yang belum berjaya saya tepis.

Saya sering mengeluh, jika beginilah keadaannya, bau syurga pun belum tentu dapat cium. Apatah lagi hendak jejak dan masuk ke dalamnya.

Wahai Suraiya! Tak usah engkau berangan masuk syurga selagi solat fardumu belum sempurna.

Itu solat fardu. Solat sunat tak payah cerita ... .

Macam mana ni? Kan solat itu tiang agama, kunci kepada segala keberkatan?

Aduh ... Ya Allah aku tak nak masuk neraka. Aku nak masuk syurga. Tapi setakat ini aku belum layak. Markah lulus belum tercapai lagi. Takat hidung pun barangkali tak cecah lagi!

Ya Allah Maha Pengasih. Engkau bantulah aku, hamba-Mu yang serba lemah dan hina-dina ini. Pimpin dan bimbinglah aku. Biarlah matiku nanti dalam iman. Amin.

Wednesday, June 2, 2010

SUKATAN PELAJARAN YANG BODOH

Saya diperkenalkan dan mengenali TEORI EVOLUSI DARWIN sewaktu di bangku darjah empat dalam subjek Sejarah.

Saya masih ingat lagi ilustrasinya di dalam buku teks sejarah itu. Gambar monyet yang beransur-ansur menjadi manusia.

Subjek Sejarah diperkenalkan pada murid-murid sekolah rendah ketika dalam darjah empat. Ketika mula-mula belajar bab yang menyentuh asal usul manusia ini, kemusykilan-kemusykilan muncul di benak kepala saya.

Saya membuat kesimpulan sendiri.
Saya rasa diperbodohkan oleh topik ini. Mata hati saya menafikan kejadian manusia itu asalnya daripada monyet! Ini kerana saya acap kali membaca buku cerita nabi-nabi yang ayah saya sendiri tulis. Kisah Nabi Adam AS secara jelas mengisahkan sejarah kejadian manusia. Kita ini anak cucu Adam dan Hawa. Mana mungkin kita berasal daripada monyet, makhluk yang hina. Sedangkan kita ini makhluk mulia ciptaan Allah.

Jika benar manusia berasal daripada monyet, secara logiknya, tentulah monyet sudah pupus dari permukaan bumi ini, kerana mereka semua sudah bertukar menjadi manusia.

Boleh saja teori ini di‘reverse’kan: Manusia menjadi monyet! Di sini ada logiknya (mungkin akibat disumpah atau dilaknat Allah).

Bodoh benar Kementerian Pendidikan Malaysia kerana memasukkan Teori ini menjadi sebahagian sukatan pelajaran sekolah rendah.

Teori Evolusi Manusia rekaan Darwin ini telah menjadi polemik sejak zaman-berzaman. Manusia berakal dan beriman sudah tentu menolaknya. Malah semakin ramai menafikannya dan mula membenarkan penjelasan kejadian manusia seperti yang termaktub di dalam al-Quran.

Allah sendiri mengiktiraf manusia sebagai makhluk ciptaan-Nya yang paling mulia dan mengarahkan sekalian makhluk lain tunduk kepada kita.

Sesungguhnya kita ini ‘insan’ yang tercipta daripada nutfah nasab anak cucu Adam, melalui cinta Adam dan Hawa.
Sumber gambar: Library of Congress