Thursday, February 18, 2010

AIR DAN KERTAS

Baru-baru ini saya menerima satu e-mel daripada adik tentang jumlah air bersih yang digunakan untuk menghasilkan helaian kertas. Wah, sungguh banyak air yang digunakan, sedangkan air merupakan makhluk Tuhan yang tiada tolok bandingannya, amat berharga sekali. Tiada air, bererti seluruh makhluk Tuhan yang lain akan mati.

Setelah membacanya, saya mula menghitung pembaziran kertas selama ini. Lebih-lebih lagi dalam industri penerbitan buku yang majikan saya ceburi. Setiap hari berpuluh (mungkin juga ratusan) keping dan helai kertas digunakan terpaksa dibazirkan.

Untuk kerja-kerja membaca pruf sahaja, galei yang dihasilkan untuk setiap judul buku tidak kurang daripada tiga kali bagi memastikan teks bebas daripada kesalahan. Sebagai penerbit kami semahu-mahunya mencapai kesalahan sifar, mahu bebas daripada typo error.

Perhatikan fakta info ini:

Untuk menghasilkan SEHELAI kertas bersaiz A4, sejumlah 10 liter air bersih digunakan.

Untuk menghasilkan kertas berkualiti tinggi pula memerlukan air yang sangat banyak. Seribu kilogram kertas memerlukan minimum 10 000 gelen air, iaitu kira-kira 38 000 liter.

Katakan berat sehelai kertas A4 ialah 5gm, minimum 200ml air diperlukan.
Bukankah air bersih amat bernilai? Lebih-lebih lagi pada musim kemarau, malah sesetengah negara bekalan air bersih pun tiada untuk diminum, apatah lagi untuk kegunaan lain.
We all know how precious clean water is! Please reduce the usage of paper and save our Earth! Itu pesanannya.
Saya kini, mula menghargai kertas (reduce, recycle, reuse).

Friday, February 12, 2010

'JANDA' DAN 'ANAK YATIM'

Hari ini mesyuarat ‘berdiri’ antara Jabatan Buku dan Jabatan Khidmat Media di bilik Pengarah Seni, Hj. Bad bagi membincangkan koordinasi kerja, En. Abu (artis DTP) telah membangkit isu ‘janda’ dan ‘anak yatim’.

Bagi mereka yang belum pernah mendengarnya agak tercengang-cengang, khasnya yang baru mengenali dunia penerbitan buku.

Ya, istilah-istilah ini memang ada dalam bidang penerbitan. Bagi mereka yang faham, atau mereka yang daripada lulusan Penerbitan atau mereka yang telah lama berkecimpung dalam arena penyuntingan dan perekaan, mereka tidak canggung dengan istilah ini.

Memang banyak istilah pelik-pelik dalam proses penerbitan. Jika disebut ‘bitch’ barangkali mereka yang tidak faham akan menjegilkan mata mendengar istilah kasar ini. Saya sendiri pun telah lupa makna istilah ini dalam konteks penerbitan. Tapi ia memang ada.

Berbalik kepada istilah ‘janda’ dan ‘anak yatim’, istilah ini sebenarnya dalam bahasa Inggeris iaitu ‘widow’ dan ‘orphan’.

'Widow' merujuk kepada barisan akhir perenggan yang muncul sendirian di bahagian atas pada muka surat berikutnya. 'Orphan' pula merujuk kepada barisan pertama perenggan yang muncul sendirian di bahagian bawah muka surat.

Apabila berlaku atau wujud widow dan orphan dalam galei, maka hendaklah diubahsuai lay out halaman itu (mungkin ‘leading’ atau sebagainya).

Apabila pembaca pruf atau penyunting menemui ‘widow’ atau ‘orphan’, maka dia hendaklah menandanya pada teks dan menulis ‘avoid widow’ atau ‘avoid orphan’ pada jidarnya (white space). Ini ialah arahan kepada artis DTP supaya membetulkannya—to prevent ‘isolated single lines’.

Keadaan sama juga diaplikasikan apabila kita membaca pruf artikel majalah—selain ‘avoid widow’ dan ‘avoid orphan’ pada muka surat, ia juga perlu diaplikasikan pada kolum.

Widow’ dan ‘orphan’ menjadi sebahagian daripada kayu ukur atau penanda aras dalam kualiti penerbitan. Widow dan orphan yang terdapat dalam sesebuah buku boleh menjejaskan kredibiliti sesebuah syarikat penerbitan.

Maka, seseorang artis DTP hendaklah mahir dan peka memahami maksud istilah-istilah ini sebagaimana juga pembaca pruf atau penyunting.

Ketika awal-awal penglibatan saya dalam kerja menyunting dan membaca pruf dulu, saya mengguna sepenuhnya simbol dan arahan bacaan pruf, tetapi dek kerana ramai yang tidak memahaminya, maka saya mencipta tanda dan arahan tersendiri (asalkan orang faham) dan tidak terlalu terikat dengan simbol standard yang digunakan oleh penerbit di serata dunia



Simbol-simbol ini jika digunakan dengan betul, biar apa bahasa pun teks, biar bangsa apa pun si pembaca pruf, dihantar galei ke negara mana sekalipun, mereka tetap akan memahaminya—kerana ia standard (walaupun terkadang ada beberapa versi simbol)!

Bagi adik-adik yang masih pening-pening lalat mempelajari simbol-simbol bacaan pruf, jangan bimbang! Anda akan mahir bersama pengalaman!