Monday, August 10, 2009

PETUA HINDAR SELESEMA BABI (H1N1)

Syukur saya panjat kepada Allah taala kerana menganugerahkan saya seorang ustaz sebagai ayah!
Ayah saya memang banyak doa dan zikir untuk amalan harian (cuma kami anak-anak ni kekadang terlupa nak mengamalkannya). Tapi anak-anak murid yang berguru dengannya sering mencari ayah tidak mengira waktu untuk mendapat panduan daripadanya.
Memandangkan wabak Selesema Babi semakin kritikal, maka Sabtu lalu Ayah telah memberi satu lagi bacaan ringkas untuk kami, anak-anaknya.
"Hebahkan pada kawan-kawan," beritahu ayah.
Maka di sini saya perturunkan apa yang telah diamanatkan oleh Ayah.
Bacaannya ringkas sahaja:

"Salaamun qaulanmirrabir rahiim."
(Yaasin: 58)
(Sejahtera! Sebagai ucapan
daripada Tuhan Yang Penyayang)
"Baca setiap hari sebanyak 28 kali. Seelok-eloknya selepas Subuh," kata Ayah.
Selamat beramal dengannya! Mudah-mudahan kita sama-sama terhindar daripada penyakit yang berbahaya ini.

Tuesday, August 4, 2009

PETAKA APAKAH INI?

Beberapa minggu sudah kakak saya dan anaknya dimasukkan ke wad di Hospital Pakar Damansara. Dua beranak ini diserang demam denggi. Kakak saya yang agak teruk kerana dihidapi denggi berdarah.

Maka yang paling sibuk, tentulah Emak, yang belum hilang penat kerana menjaga emaknya yang uzur (nenek kami) di KB. Kasihan Emak!

Begitu juga adik lelaki bongsu yang baru melangsungkan pernikahan beberapa bulan sudah, juga menjadi amat sibuk. Memandangkan dia belum lagi bekerja, maka dialah yang menjadi pemandu Emak dan Ayah ke sana ke mari. Kemudian berkejar pula menghantar dan menjemput isteri pulang bekerja.

Kebetulan isterinya juga sedang mengalami 'alahan pembawa budak' yang amat teruk, maka dia juga dimasukkan ke wad di Hospital Perdana KB, hospital sama dengan nenek, sewaktu mereka menziarahi nenek.

Tidak berakhir di situ ... setelah pulang ke KL, sekali lagi adik ipar saya itu dimasukkan ke wad di Bangi.

Maka adik saya berulang alik Bangi dan PJ, lawat isteri dan menghantar Emak dan Ayah ke Hospital Damansara untuk melawat anak dan cucu yang dijangkiti denggi.

Ahad lalu, adik saya ini pula diserang denggi. Maka dia pula yang dimasukkan ke Hospital Damansara.

Alahai, 'drebar' Emak dan Ayah dah sakit! Emak dan Ayah sudah lama 'pencen' memandu seiring dengan usia yang semakin lanjut. Maka, pada anak lelaki bongsu inilah disandarkan pertolongan untuk memandu kereta membawa mereka ke mana-mana. Malah saya sendiri juga kerap meminta tolong adik saya ini menjemput anak dari tadika jika saya tidak berkesempatan.

Mujur juga abangnya yang di Kajang kebetulan datang ke rumah Emak dan Ayah, maka dialah yang menghantarnya ke hospital.

Lepas seorang, seorang masuk keluar hospital. Petaka apakah ini?

Anehnya, abangnya yang di Kajang itu, entah bagaimana pada hari itu tiba-tiba terasa benar hendak ke rumah Emak Ayah. Pasti! Semua itu sudah tertulis sejak azali. Tuhan telah teliti merencananya. Dihadirkan dalam hatinya 'rasa' yang amat sangat hendak ke rumah Emak Ayah agar dia dapat membawa adiknya ke hospital.


Kepada adik saya NASIF SIDQUEE (atau digelar 'Ayah Tih' oleh anak-anak saudaranya), didoakan cepat sembuh dan sempat ber'konvo' untuk menerima sarjana di Dewan Tunku Canselor nanti. Insya-Allah! Ameen!
Moga Ayah Tih cepat sembuh!