Wednesday, January 30, 2013

SEMALAM TIADA, HARI INI ADA

Seperti biasa setiap pagi, boleh dikatakan hampir setiap hari sayalah orang pertama tiba di pejabat. Maka, sayalah yang bertanggungjawab membuka kunci dan mangga pintu masuk ke Jabatan Buku.

Bagaimanapun, pada pagi ini sejurus tiba dan mahu membuka mangga pintu, "Aik, macam lain aje mangga pintu ni. Bila pula dia orang tukar?" Saya bermonolog. Saya belek dan amati mangga itu, lalu mencuba kunci yang selalu digunakan. "Oh betul, mangga sama ... semalam tak ada, hari ni ada pulak, tak guna betul." Pagi-pagi lagi saya sudah membebel.

Mangga sama tapi fizikalnya sedikit berubah. Yang menjadikan ia nampak lain daripada biasa kerana telah ditampal sticker oleh ah long yang tidak bertanggungjawab.


Segera saya memerhati di dinding dan pintu premis. Tiada sticker yang besar kali ini, cuma sticker kecil yang bertaburan ditampal sana-sani. Saya mengopek satu persatu. Yang dilekatkan di mangga paling payah hendak ditanggalkan kerana sticker ala metallic apabila bertemu mangga logam, gamnya menjadi sebati.

Saya pernah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sikap buruk ah long dalam satu entri dahulu.

Mereka ini tidak akan serik selagi tiada penguatkuasaan undang-undang. Menampal iklan sedemikian hingga menyebabkan premis orang lain kelihatan sangat buruk lagi hodoh, tercalar imej. Ibarat syaitan yang tidak pernah jemu merosakkan umat manusia hingga hari kiamat. Demikian juga ah long, tidak akan jemu memberi pinjaman kepada orang terdesak hingga merosakkan institusi keluarga si penghutang. Tidak cukup dengan itu mangsa dipukul kejam apabila tidak mampu membayar hutang yang dipinjam.

Saya sesungguhnya amat benci sikap ah long yang menampal sticker dan juga mereka yang menyelitkan risalah di pagar rumah serta di wiper kenderaan!



Ini adalah pintu naik ke Jabatan Buku yang telah kami warisi daripada penyewa premis  sebelum ini.

Wednesday, January 2, 2013

ENTAH BILA DAPAT BERJUMPA LAGI?


Sudah sekian lama tidak menulis di blog ini. Inilah entri pembuka tirai 2013. Ketika orang lain semakin meninggalkan blog dan beralih ke laman sosial, saya tidak pula mengikut trend itu. Saya tidak minat laman sosial. Saya lebih suka kepada blog syok sendiri saya ini.

Semalam, tahun 2013 muncul. Sesi baru persekolahan pula akan bermula hari ini (Rabu) bagi kebanyakan negeri. Saya pasti akan kelelahan semula dengan rutin menghantar dan menjemput anak ke dan dari sekolah.



Sepanjang cuti persekolahan yang panjang, saya tidaklah sempat membawa anak bercuti ke tempat yang boleh dikategorikan sebagai 'happening'. Namun sempatlah juga membawanya bercuti ke PD (destinasi terdekat) yang tidak perlu mengambil masa perjalanan yang lama dan jauh. Itu pun sudah dapat membahagiakan bukan sahaja anak malah saya juga.




Walaupun sekadar cuti yang ringkas dan simple, bukan mudah untuk merealisasikannya. Pelbagai halangan berlaku. Seorang daripada rakan baik  terpaksa mengundur diri pada saat akhir kerana terpaksa tergesa-gesa pulang ke kampung lantaran kematian ibunya. Takziah!





Seorang teman lagi, ketika hari kami sepatutnya tiba di tempat percutian, dia berkejaran ke UKM kerana pada hari itu dia perlu memenuhi tuntutan pengajian ... perlu berjumpa penyelia tesis sarjananya.

Sepanjang hari dia di UKM. Apa yang menyedihkannya, dia terpaksa menulis semula tesisnya itu. Namun, teman saya itu, Rossila berusaha juga tiba ke apartmen penginapan. Dia tiba lewat malam bersama tiga orang anak. Masya-Allah, saya kagum dengannya.


Saya menumpang kereta seorang teman baik lagi, Rosnah. Kami tiba lebih awal. Malah, Rosnahlah yang menempah dan mengatur percutian dari awal. Dan teman serumahnyalah Zairina, yang perlu menarik diri saat akhir kerana kematian ibu. Rosnah bagaimanapun serba salah untuk meneruskan percutian ini kerana turut bersedih dengan keadaan Zairina, tetapi diteruskan juga kerana tidak mahu menghampakan orang lain. Saya juga menumpang sedih kerana kami bersahabat baik sejak di alam kampus. Biarpun dari negeri berlainan, di hati kami bagaikan saudara!




Ketika melepaskan anak bermain di kolam renang, kami bertiga duduk bersantai di tepi kolam. Sambil memantau anak, kami bersembang kisah-kisah lama. Oh, sungguh gembira dan seronok momen itu!.
 


Paling mengujakan apabila dapat bermesra dengan alam semula jadi ketika berjalan kaki ke Rumah Api Tanjung Tuan. Jarak dari penginapan anggaran saya lebih kurang satu kilometer. Sungguh mendamaikan minda dan jiwa. Relaksasi yang perlu pada setiap jiwa yang sentiasa dihambat tekanan kerja.


Kali terakhir saya masuk hutan sewaktu jungle trekking di Bukit Kemansah bersama Rosnah mendekati alam dan Orang Asli bertahun dahulu. Bezanya, 'menapak' naik ke Rumah Api Tanjung Tuan ini tidak sesukar jungle trekking kerana di sini laluan tar yang luas disediakan.




Sempat saya menghala kamera ke arah monyet comel, sedang mengintai-intai ke arah pengunjung rumah api.






Dan buat pertama kalinya dalam hidup, saya dapat melihat pokok Meranti Tembaga yang teguh berdiri. Terpana kagum akan ciptaan Allah.









Barangkali laluan ke puncak yang sedikit mendaki, kami mencungap juga untuk sampai. Barangkali juga faktor usia, maklum saja masing-masing sudah masuk '4 series' dan agak kurang bersenam!









Apa pun, waktu sejenak di Rumah Api Tanjung Tuan itu sudah cukup membahagiakan. Pemandangan dari situ cukup indah. Lupa seketika bebanan kerja masing-masing.








 Bagaimanapun, bagi anak-anak, menghayati alam semula jadi tidak ada dalam fikiran mereka. Mereka lebih menyukai aktiviti yang lebih lasak di kolam mandi apartmen. Justeru, sepanjang perjalanan ke rumah api dan perjalanan turun mereka asyik bertanyakan bila boleh mandi kolam lagi.



 Tidak mahu rasanya kami kembali ke rutin kerja esoknya!




Entah bila lagi kami dapat menikmati suasa begini. Duduk bersembang kisah lama, kini dan akan datang. Rezekikan kami Ya Allah! Kami mohon pada-Mu kesihatan yang baik, dan usia yang panjang agar dapat bertemu kembali seperti ini. Insya-Allah. Amin!