Tuesday, May 15, 2012

EMAK SAYA TAK SUKA 'HARI IBU'

Dalam sibuk kita meraikan Hari Ibu, emak saya adalah antara segelintir ibu yang tidak suka menyambutnya. Jadi dia tidak ambil kisah sangat akan Hari Ibu yang dianggap istimewa bagi kebanyakan wanita yang sudah bergelar ibu dan juga bagi anak-anak yang meraikannya bersama ibu masing-masing.

Bagaimanapun, kami adik-beradik ada juga berkongsi belikan hadiah untuk Emak.

Pernah juga Emak mendapat tokoh 'Ibu Mithali' yang dianjurkan oleh masjid berdekatan rumahnya. Entah siapa yang mencalonkannya. Emak tetap pergi menerima hadiah, tetapi tidaklah teruja mana pun.

Baru-baru ini ketika sebuah stesen TV menyiarkan kisah derita ibu yang terlalu rindukan anak yang sudah sekian lama tidak pulang, Emak sedikit cuak menontonnya.

Memang benar anak tidak boleh sedikit pun menyakitkan hati ibu, tidak boleh derhaka kepada orang tua. Itu tidak dinafikan. Bagaimanapun, Emak saya mempunyai pandangan berbeza.

Kata Emak, "Jangan diungkit kebaikan kita (ibu) menjaga anak-anak. Jangan ungkit susah payah membela dan membesarkan anak. Sebab itu sudah menjadi tanggungjawab, amanah yang wajib dipikul. Tidak mengapa kalau anak tidak menghargainya. Tanggungjawab ibu tidak berkesudahan selagi ada hayat. Adalah menjadi tugas ibu untuk mendoakan, memaafkan dan mengampunkan anak-anak walaupun anak tidak datang meminta maaf. Kalau ada anak yang tidak menjadi seperti yang diharapkan, maafkan sahaja. Jangan ditambah lagi dosa anak kepada kita hanya kerana mereka tidak menghargai kita. Halalkan semua."

Oh! Sungguh mendalam kata-kata Emak walaupun diucapkannya secara bersahaja ketika memberi komen kisah ibu tua yang sedang disiarkan di TV.

Saya memasang telinga, menghargainya dan akan cuba menjadikannya azimat. Yang pasti, saya tidak mampu menjadi sebaik Emak dalam membesarkan anak (malah dalam semua hal rumah tangga). Entah berapa kali sepanjang hidup ini saya menyakitkan hatinya dengan perangai-perangai yang tidak elok khasnya ketika di alam remaja.

Hanya doa dan amalan baik sahaja yang menjadi hadiah terbaik saya untuknya.

1 comment:

Azrin Hardy said...

Assalamualaikum Kak Suraiya..seronok baca corat-coret kehidupan yang dipaparkan dalam blog ni..gaya penulisan pun santai dan tidak membosankan..

Tentu kerja di Galeri Ilmu tu telah banyak menambahkan lagi ilmu penulisan akak..

saya pun seorang Editor Bahasa..tapi masih setahun jagung..baru nak mengenali erti profesionalime dalam kerjaya editor..akak ada alamat email?