Tuesday, June 22, 2010

TIGA HARI DUA MALAM

“Lama cuti ni, tiga hari …” komen bos saya sewaktu saya bertanyakannya boleh atau tidak hendak bercuti.

“Nak pergi jauh sikit Encik Wan. Kesian anak, tiap kali cuti sekolah asyik bawa main kat playground kat rumah tu je.”

Bos saya termenung seketika sebelum menjawab, “Mmmm ... bolehlah.”

Memang saya jarang mengambil cuti melainkan apabila perlu. Cuti tahunan tidak pernah habis dan sentiasa berbaki untuk dibawa ke tahun hadapan.

Mengenangkan anak, saya bercuti juga akhirnya. Rata-rata kawan-kawan sekolahnya akan bercerita tentang cuti mereka. Ada yang balik kampung dan ada yang bercuti sana-sini. Maka anak saya akan menuntut untuk balik kampung juga.

Ya, memang anak kita ada hak untuk dibawa bercuti. Hak untuk bersama kita. Lalu cuti tiga hari yang saya mohon, saya manfaatkan sewajarnya—membawa anak ke Melaka dengan ditemani emak dan adik bongsu.

Di Melaka, seorang adik lagi menanti. Kami menginap di rumahnya di Lendu selama tiga hari dua malam.

Petangnya kami ke Kolam Air Panas Gadek. Bagaimanapun anak saya sangat kecewa kerana disangkanya kolam itu yang boleh dia berenang dan terjun di dalamnya. Dia telah lama berangan-angan hendak main air kolam. Apa tidaknya, airnya sangat panas hingga mencecah 56 darjah Celcius. Hanya dapat rendam kaki sahaja, itu pun tidak tahan.

“Ammar nak mandi kolam air sejuk,” katanya. Mulut muncung sedepa.

Memandangkan hari menghampiri senja dan langit pula semakin mendung, kami tidak lama di kolam air panas. Esok kami janjikan program yang lebih menyeronokkan untuknya.

Dalam perjalanan balik kami singgah di masjid baru Alor Gajah dan kampus UiTM Lendu. Adik saya mahu ‘check out’ dari tugasnya. Thumb print sahaja check outnya.

Wah! Besar kampus ini. Meriah kerana kampus ini dijadikan tempat menginap para atlet Sukan Malaysia. Bas mengakut para atlet berderetan.

Teringat saya ketika tinggal di ITM di bandar Melaka selama satu semester dulu. Ketika itu Kampus Lendu ini masih dalam pembinaan. Ketika itu kami ke Kampus Lendu hanya untuk berkawad Kesatria saja. Kelas pengajian semuanya di bandar, manakala kolej pula ditempatkan di Bachang.

Khamis 10 Jun
Kami ke Sungai Melaka di bandar Melaka untuk menaiki river cruise. Suasana masih lengang. Hanya ada sebuah keluarga mendahului kami menunggu untuk menaiki river cruise. Kami pengunjung kedua terawal. Elok sangat, selesa jika tidak ramai orang begini. River cruise beroperasi jam 10 pagi. Memandangkan kami tiba 10 minit awal, terpaksalah menunggu.

“Cepatlah Mak, Ammar nak naik bot ni ...” anak saya sudah gelisah tidak sabar-sabar lagi hendak naik bot. Tangan saya ditarik.

Muncung lagi! Memang suami saya sudah berpesan sebelum berangkat ke Melaka supaya membawanya menaiki bot dan naik Eye on Malaysia (tapi Ferris Wheel ini sudah lama tidak beroperasi).

Sebaik kaki menjejak bot, Ammar tersengih-sengih bagai kerang busuk, terlebih uja barangkali setelah semalam kecewa dengan kolam air panas.

Hanya keluarga kami dan keluarga yang tiba lebih awal itu menaiki bot cruise itu.

Perjalanan mengambil masa sejam. Pergi setengah jam dan balik setengah jam. Bukan kanak-kanak sahaja yang seronok menyusuri Sungai Melaka, bah orang dewasa juga, menikmati keindahan pemandangan di sepanjang tebing biarpun air sungainya keruh dan hanyir.

Dalam perjalanan balik, bot-bot dari arah bertentangan sudah sarat dengan orang ramai. Untung kami datang awal. Bot kami lapang dan bebas untuk bergerak. Kepada anda yang hendak menaiki river cruise ini, berpagi-pagianlah!

Dari River Cruise, kami ke Masjid Selat Melaka terapung. Cantik. Tapi sayang, seperti kebanyakan masjid lain di Malaysia ini ... tiada jemaah! Lengang dan sunyi, sekadar menjadi daya tarikan pelancong.

Dari masjid ini kelihatan seorang nelayan di atas perahu yang terolek-olek sedang memasang jaring di lautan. Cantik! Peluang tidak disia-siakan. Gambarnya terus saya rakamkan untuk kegunaan buku kanak-kanak siri Fenomena Alam. Menyelam sambil minum air ... cuti sambil bekerja.

Destinasi seterusnya ke Taman Seribu Bunga. Wah! Sungguh lengang taman ini. Tiada seorang pengunjung pun melainkan kami. Cuma yang ada pun, sekumpulan Cina sedang menjalani sesi fotografi ... pengantin baru barangkali, ataupun rakaman foto untuk fesyen pengantin.

Entah kenapa orang ramai tidak berminat ke taman ini. Cukup indah dan ada beberapa kawasan semerbak lembut bau bunga-bungaan mekar di situ. Apa pun, bagus juga lengang kerana ia nyaman dan selesa. Jauh daripada serabut orang ramai.

Dari Taman Seribu Bunga, kami balik ke rumah. Rehat seketika. Sebelah petang, ke Pantai Pengkalan Balak. Air sudah agak pasang. Ammar terkinja-kinja mahu main air laut. Maklum, sebelumnya tidak dapat mandi kolam air panas.
Jumaat 11 Jun
Waktu untuk kembali ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kilang biskut Julie's. Borong biskut sakan. (Tak jumpa cari pulak gambarnya).

Insya-Allah jika ada rezeki, kunjungan akan datang akan naik Menara Taming Sari pula! Tiga hari, tidak sempat untuk menjelajah ke semua tempat, lebih-lebih lagi Emak tidak terdaya seperti dulu-dulu kerana faktor usia. Itu pun makam-makam bersejarah diketepikan dari senarai lawatan. Tempat begitu tidak mengujakan anak kecil kerana mereka belum faham, tidak cukup interaktif untuk kanak-kanak seusia Ammar!

Kepada bos-bos ... jangan kedekut untuk turunkan tandatangan ke borang cuti staf anda yang jarang bercuti ... sesungguhnya sesekali bercuti (dalam erti kata melancong) amat merehatkan minda, mengurangkan stres dan pasti staf anda akan masuk kerja dengan minda yang lebih segar dan energetik!

Terima kasih Encik Wan ya ... heee heeee ...!



KOLAM AIR PANAS GADEK







MASJID ALOR GAJAH








UiTM, LENDU




RIVER CRUISE
Tak sabar menanti waktu bot beroperasi.
Muncung ... .
Bot tajaan Mamee Mister Potato barangkali!


Yang ini tajaan kopi Aik Cheong kot!






Jambatan-jambatan unik di sepanjang Sungai Melaka.





MASJID TERAPUNG SELAT MELAKA








TAMAN SERIBU BUNGA


PANTAI PENGKALAN BALAK


Barulah ceria dapat mandi air laut!

1 comment:

abunyer said...

Seronoknya... melancong bawa anak yang masih kecil... saya pulak anak-anak tak nak ikut... sebab dah besar-besar, nanti orang ingat melancong dengan kengkawan!