Friday, February 12, 2010

'JANDA' DAN 'ANAK YATIM'

Hari ini mesyuarat ‘berdiri’ antara Jabatan Buku dan Jabatan Khidmat Media di bilik Pengarah Seni, Hj. Bad bagi membincangkan koordinasi kerja, En. Abu (artis DTP) telah membangkit isu ‘janda’ dan ‘anak yatim’.

Bagi mereka yang belum pernah mendengarnya agak tercengang-cengang, khasnya yang baru mengenali dunia penerbitan buku.

Ya, istilah-istilah ini memang ada dalam bidang penerbitan. Bagi mereka yang faham, atau mereka yang daripada lulusan Penerbitan atau mereka yang telah lama berkecimpung dalam arena penyuntingan dan perekaan, mereka tidak canggung dengan istilah ini.

Memang banyak istilah pelik-pelik dalam proses penerbitan. Jika disebut ‘bitch’ barangkali mereka yang tidak faham akan menjegilkan mata mendengar istilah kasar ini. Saya sendiri pun telah lupa makna istilah ini dalam konteks penerbitan. Tapi ia memang ada.

Berbalik kepada istilah ‘janda’ dan ‘anak yatim’, istilah ini sebenarnya dalam bahasa Inggeris iaitu ‘widow’ dan ‘orphan’.

'Widow' merujuk kepada barisan akhir perenggan yang muncul sendirian di bahagian atas pada muka surat berikutnya. 'Orphan' pula merujuk kepada barisan pertama perenggan yang muncul sendirian di bahagian bawah muka surat.

Apabila berlaku atau wujud widow dan orphan dalam galei, maka hendaklah diubahsuai lay out halaman itu (mungkin ‘leading’ atau sebagainya).

Apabila pembaca pruf atau penyunting menemui ‘widow’ atau ‘orphan’, maka dia hendaklah menandanya pada teks dan menulis ‘avoid widow’ atau ‘avoid orphan’ pada jidarnya (white space). Ini ialah arahan kepada artis DTP supaya membetulkannya—to prevent ‘isolated single lines’.

Keadaan sama juga diaplikasikan apabila kita membaca pruf artikel majalah—selain ‘avoid widow’ dan ‘avoid orphan’ pada muka surat, ia juga perlu diaplikasikan pada kolum.

Widow’ dan ‘orphan’ menjadi sebahagian daripada kayu ukur atau penanda aras dalam kualiti penerbitan. Widow dan orphan yang terdapat dalam sesebuah buku boleh menjejaskan kredibiliti sesebuah syarikat penerbitan.

Maka, seseorang artis DTP hendaklah mahir dan peka memahami maksud istilah-istilah ini sebagaimana juga pembaca pruf atau penyunting.

Ketika awal-awal penglibatan saya dalam kerja menyunting dan membaca pruf dulu, saya mengguna sepenuhnya simbol dan arahan bacaan pruf, tetapi dek kerana ramai yang tidak memahaminya, maka saya mencipta tanda dan arahan tersendiri (asalkan orang faham) dan tidak terlalu terikat dengan simbol standard yang digunakan oleh penerbit di serata dunia



Simbol-simbol ini jika digunakan dengan betul, biar apa bahasa pun teks, biar bangsa apa pun si pembaca pruf, dihantar galei ke negara mana sekalipun, mereka tetap akan memahaminya—kerana ia standard (walaupun terkadang ada beberapa versi simbol)!

Bagi adik-adik yang masih pening-pening lalat mempelajari simbol-simbol bacaan pruf, jangan bimbang! Anda akan mahir bersama pengalaman!

2 comments:

abunyer said...

Cukup berinformasi. Saya - 'otai' ni belajar dengan pengalaman, tidak secara formal. Dah kena komen pedas (daripada Editor DBP dulu) baru nak faham. Simbol dan arahan pruf pun, pakai buat andaian logik sahaja. Sekarang ni, rimas dengan layout culang-caling, tanpa pemantauan sebab adanya DTP... layout sikit-sikit lepas tu cetak! One man show... pengarang, layout, peruf dan cetak adalah orang yang sama... Punggahhh!

SURAIYA PAUZI said...

ABUNYER:
DTP - Desktop publishing. Pensyarah saya dulu pernah usulkan kepada DBP agar mengiktiraf terjemahan istilah ini ke bhs Melayu. Cikgu saya itu mengusulkan agar digunakan istilah 'penerbitan setempat' utk DTP dlm Melayu. Katanya bunyi istilah itu lebih sedap daripada 'penerbitan atas meja' (memang kelakar bunyinya).