Wednesday, April 8, 2009

KONON-KONONNYA O.T!

SABTU 4 APRIL 2009

Sabtu ialah hari cuti bagi syarikat saya. Namun pada Sabtu lalu (4 April) saya memaksa diri datang bekerja bagi melunaskan tugas. Saya sebenarnya tidak kisah bekerja di hujung minggu. Yang menjadi masalahnya ialah anak. Memang saya berat hati meminta keluarga menolong menjaganya memandangkan anak saya itu jenis yang tidak reti duduk diam. Malas hendak menyusahkan orang lain (khasnya Emak yang sudah berusia) melainkan jika terpaksa.


Kebetulan Emak dan Ayah tiada di rumah pada hari berkenaan. Memang kakak saya menyanggupi menjaganya sekejap, tapi saya cuba dulu membawa anak ke pejabat. Kalau dia mula buat perangai barulah saya akan menghantarnya kepada sesiapa yang sanggup menjaganya.

Berbekalkan mainan lori, laptop dan DVD Ultraman untuk melekakannya , saya ke pejabat.
Kakitangan DTP semua sudah tiba ke pejabat. Nasri rakan sejabatan juga sudah sampai (maklum orang bujang, lelaki pula tu, mobilitinya jauh lebih mudah).

Awal-awalnya anak saya agak malu-malu (konon). Selepas seketika bermain lori mainan dan dipasangkan Ultraman, dia sudah bosan.

“Jom Mak nak balik rumah Atok,” pintanya.
“Tunggulah dulu, kerja Mak belum siap."


“Mak, nak tulis.” Saya memberikan sehelai kertas dan pensel. Leka menulis sekejap. Kemudian bosan lagi. Mula berlari ke sana sini dan kembali menonton Ultraman apabila raksasa dan Ultraman Tiga muncul.

Makanan tengah hari untuk kakitangan bertugas pada hari itu ditaja Jabatan Buku. Saya memesan nasi separuh dan ayam goreng bahagian kepak.

“Itu je ke Kak,” kata Nasri.
“Tu je.”
“Air?”
“Air tak payah. Anak saya tak boleh minum pelik-pelik.”

Tidak lama kemudian Nasri kembali dengan beberapa bungkus makanan tengah hari. Tidak lama kemudian muncul Encik Abu dari DTP memetik suis lampu di meja makan (meja mesyuarat yang telah bertukar statusnya).

“Jom, Ammar makan nasi,” Encik Abu mengajak.

“Ammar nak makan nasi? Atok Abu panggil tu,” saya mengajak anak.
“Sedapnya nasi,” kedengaran lagi suara En. Abu mengusik dari sebelah partition.
“Nak, nak makan nasi,” kata anak saya dan membawa bungkusan nasinya ke belakang.


Terpandangkan Encik Abu, dia berubah fikiran lalu membatalkan hasratnya untuk makan nasi bersama ‘Atok Abu’.” Dia kembali kepada Ultramannya dan bosan lagi!

“Sedapnya nasi ...” ada lagi suara Encik Abu. Tapi tidak diendahkannya.

“Mak nak sayap,” kata anak saya. Sayap ertinya roket kertas (origami).
Saya membuatnya satu. Maka terbanglah roket ke sana sini hingga termasuk ke bawah meja Pak Ya.

Saya meneruskan kerja.

“Sedapnya nasi,” lagi suara Atok Abu. Juga tidak dipedulikannya.

“Mak, dah hilang, Mak.”
“Apa dah hilang?”
“Sayap.” Lalu saya melipatkan kertas lagi menjadi roket dan memerhatikannya kot-kot hilang lagi ‘sayap’ itu.

“Hmm, nak buat kerja macam manalah kalau macam ni gayanya,” bisik hati saya.

“Sedapnya nasi,” suara yang tak serik memujuk!

Ammar terus dengan roketnya hingga selesai En. Abu dan Nasri makan.

“Jom, Mak suap nasi nak. Tak payah makan kat sana, kita makan sini aje (di tempat duduk saya).

“Tak naklah, nak makan sana,” katanya sambil tangannya menunjuk ke arah meja tempat En. Abu makan.
“Jom. Jom Mak,” dia menarik tangan saya ke meja makan. Mentang-mentang meja itu dah tiada sesiapa lagi.

“Nak cos (sos).” Maksudnya sos tomato atau mayonis.
“Sos tak da, kicap ada.”
“Nak cicap.”

video

Mula-mula mahu disuap kemudian mahu makan sendiri.

SEDAPNYA NASI ...


video


Kulit buku JUARA MUDA, akhirnya selesai disemak. Bahan untuk ‘bubble’ kartun I LOVE YOU TOO! dapat jugalah ditaip sambil-sambil melayan anak.

Selesai makan, nak sembahyang Zuhur pula. Waduh. Inilah yang paling seksa. Waktu sembahyang, telekung ditarik, waktu sujud dipanjat. Waktu duduk leher dipaut. Bingkai ayat suci empat ‘Qul’ yang tergantung di dinding surau bergegar hampir jatuh dikerjakannya. Sabar ajelah.

Sembahyang saya yang tidak pernah khusyuk, bertambah tidak khusyuk. Tak cukup dengan itu, dinding surau ditendang dan ditumbuk berdentum-dentum. Kalau dinding konkrit tak mengapalah juga. Ini dinding plywood. Maka saya mempercepatkan solat. Allah terima atau tidak, itu lain cerita. Yang penting kewajipan solat sudah tertunai. Juga mesti pastikan harta benda syarikat tidak rosak dikerjakan.

Kelakuannya itu memberi petanda saya perlu pulang segera. Bahan kerja ‘agak-agak’ ajelah semak. Saya tidak boleh lama di pejabat.

Hujan lebat pula turun.

“MAK NAK BALIK,” jerit Ammar berkali-kali membingitkan telinga.

“Kat rumah dia macam tu ke Kak?” tanya Nasri.
“Mmm, lebih lagi,” jawab saya.


Ini cuma mukadimah perangainya! Di rumah sudah berani terjun lima anak tangga sekali gus yang saya sendiri pun tidak berani melakukannya.

“Okey, jom balik. Hujan dah berhenti.”

Lori, laptop dan bekalan-bekalan lain dikemas. Dan kami dua beranak menuruni tangga dan anak saya sengaja memekik-mekik kuat sepanjang turun anak tangga kerana dia teruja mendengar suara yang bergema kuat di tangga, “MAK NAK BALIK RUMAH ATOKKKKKKKKK!"


"AAAAAAAAAAAAA ... bunyi kuat Mak."

"Syyy ... "
"Syy ..." ada suara lain yang turut menge'syuh' yang saya tidak pasti suara siapa atau ...???


Tiba di rumah Atoknya baru terperasan mouse dan kabel power laptop tertinggal di pejabat.

Alahai! Buat OT lah kononnya!





1 comment:

Mynie said...

hihi.. menarik pengalaman bawa anak ke ofis :)
i can so relate to the solat kurang khusyuk/bergegas sebab anak nangis/tarik2 telekung/takut jatuh katil etc.. maybe anis can do an article on this.. bila ada orang nak tolong tengokkan anak sementara nak solat, alahai nikmatnya. insyaAllah si penolong tu akan dapat pahal juga!