Tuesday, November 18, 2014

BIRU MATA HITAMMU!

Apa nak jadi orang Melayu kita, saya pun tak tahulah. Ghairah sungguh nak bertukar penampilan menjadi bangsa lain. Nak kulit putih cerah, nak rambut perang atau blonde, paling tidak pun coklat. Maka bermacam produk kosmetik, kecantikan dan dandanan diri terjual di pasaran, nasiblah kalau terkena barang tiruan.

Terkini, anak mata pun nak ditukarkan warna - kelabu asap, biru, hijau. Maka mereka gila membeli dan memakai kanta lekap pula. Nak kanta lekap untuk menjadikan anak mata kelihatan besar seperti yang dipakai selebriti Korea pun ada. Penyakit ini amat menular di kalangan orang perempuan!

Yang menakutkan lagi, khabarnya kanta lekap murahan ada dijual kepada murid-murid sekolah. Aduh.

Pelik benar melihat rupa orang kita cuba menjadi bangsa lain, macam tak kena. Kalau dah Melayu totok tu, Melayu totoklah namanya. Hiaslah macam mana sekalipun, memang nampak 'tak sudah'. Rupa asli itu sudah sangat cantik dan sempurna, buat apalah ditokok tambah lagi. Bukan Melayu saja ... asalkan orang Malaysia saja kelihatan aneh apabila bergaya di luar fitrah kejadian. Lainlah kalau ada kecacatan zahir yang mengharuskan diberi rawatan.

Aduhhh! Tak bolehkah bersyukur dengan kesempurnaan tubuh badan yang Allah telah anugerahkan?

Berbalik kepada memakai kanta lekap yang berwarna-warni, ia diharamkan atas sebab tabarruj (berhias menampakkan kecantikan dan merangsang syahwat lelaki - lebih kurang begitu maksudnya), kecuali bagi isteri untuk bercantik-cantik di hadapan suaminya!

Jika mahu merawat rabun - pakailah kanta lekap biasa yang tiada warna!

Bersyukurlah dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada kita. Wallahua'lam.

Untuk penjelasan lanjut tentang hukumnya boleh baca: sini.