"Ammar Hadi dah lancar Qiraati 2," lapor cikgu Tadika Hasanah kepada saya petang semalam. Alhamdulillah. Itu kelebihan kalau menghantar anak ke tadika yang menekankan pengajian Islam. Cuma di rumah, kita perlu gilap saja lagi, tidak boleh biarkan begitu sahaja dan membiarkan anak-anak di tangan cikgu semata-mata. Kita juga wajib mainkan peranannya.
Sudah banyak doa, surah lazim dan bacaan lain yang dihafalnya. Malah melebihi hafalan saya sendiri. Cuma Ammar agak pelat sebutannya. Tadika Hasanah menekankan aspek kepimpinan pada anak-anak di situ. Bagi yang lelaki, dilatih menjadi imam. Alhamdulillah.
Cuma yang sedikit menggusarkan apabila cikgu memberitahu, "Matematik dia agak lemah. Kalau ajar dalam bahasa Inggeris dia boleh buat. Mudah faham, bagus. Sebab sekarang ni kita dah tukar balik ke bahasa Melayu. Mengira satu sampai sepuluh dalam Melayu dia tak berapa lancar."
Aduh. Ini semua salah kerajaan dan Kementerian Pendidikan. Dulu sibuk tukar ke bahasa Inggeris. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak ini. Baik dikekalkan sahaja pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu sejak dulu lagi. Tidak payah ke bahasa Inggeris. Negara maju seperti Jepun tidak pernah mengajar subjek itu dalam bahasa Inggeris, tetapi mereka tetap maju jauh ke depan.
Apa pun, saya berharap Ammar dapat menguasai Matematik dalam bahasa Melayu ini selewat-lewatnya akhir tahun ini, kerana tahun hadapan akan melangkah ke tahun satu yang suasana pembelajarannya jauh berbeza. Tidak lagi santai-santai seperti di prasekolah.
Cuma saya masih tercari-cari sekolah yang sesuai. Mungkin ke sekolah intergrasi swasta yang menekankan pendidikan agama di sebelah petangnya--perlu ada kesinambungan daripada ilmu agama yang telah dikutip di tadika.
Kepada ibu bapa yang baru mencongak menghantar anak ke tadika, saya sarankan, pilihlah tadika aliran Islam. Dalam kesibukan kita hari ini, kita tidak mampu mengajar sendiri hal-hal agama, apatah lagi kita sendiri pun tidak berpendidikan agama yang tinggi. Sama seperti kita memilih makanan antara yang halal, haram dan syubhah. Kita mahukan yang halalan toyyiban. Itulah yang terbaik. Lainlah kalau kita mampu dan benar-benar dapat komited mendidik sendiri anak-anak dengan disiplin Islamiah. Saya percaya, tidak ramai dapat melakukannya!
No comments:
Post a Comment