Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

Thursday, May 15, 2014

REZEKI SELEPAS SUBUH

Hari terakhir di Langkawi, selepas sarapan di hotel, kami bertiga (saya, adik dan anak) terus keluar meninjau kedai-kedai berdepan dengan hotel penginapan.

Menunggu kedai-kedai sekitar pekan Kuah dibuka.
Suasana masih lengang dan belum ada kedai yang dibuka. Hajat di hati mahu menambah beberapa belian coklat lagi.


Memang hari masih terlalu awal. Kami duduk dan mundar-mandir, malas untuk pulang ke bilik, nanti kena turun semula.

Berjalan sana-sini. Bazar sederet juga belum dibuka. Tidak lama kemudian kami lihat ada satu kedai dari deret ini sedang dibuka.

Satu-satunya gerai yang memulakan perniagaan seawal jam 8.15 pagi. Yang di kiri kanan masih bertutup litup.
Kami sambung menyusuri kaki-kaki lima kedai pula. Bertembung dengan seorang ibu muda sedang mendukung anak dari arah bertentangan. Tergesa-gesa lagaknya, tidaklah kami tahu dia hendak ke mana.

Jam baru sekitar 8.15 pagi.

Kerana masih belum ada kedai lain yang beroperasi, maka langkah kaki, kami aturkan ke kedai kecil bazar yang satu-satunya baru dibuka tadi. Bergantungan pakaian jualannya. Sebaik tiba di kedai itu, kami belek-belek T-shirt yang digantung. Tiada tuan kedai.

T-shirt Muslimah cantik-cantik dan berkualiti pada harga rendah. Sangat berbaloi!
Seketika kemudian, kelihatan tuan kedai berlarian anak kembali ke kedai apabila melihat kami, (pelanggan sudah datang!)


Rupa-rupanya tuan kedai itu wanita muda yang mendukung anak tadi. Tadi dia tergesa-gesa untuk membeli sarapan. Sekarang dia tergesa-gesa pula sambil mendukung anak untuk melayan pelanggan.


Apabila ditanya, harga-harga baju yang dijual, dia menjawab "Sebab pelanggan pertama, awal datang, kita bagi murah-murah sudahlah."

Masya-Allah, harga diturunkan sebegitu rendah! Kualiti baju pula bagus. Tidak dapat harga sebegini untuk t-shirt Muslimah.

Daripada harga yang telah diturunkan, kami bertanya lagi kalau-kalau boleh diturunkan lagi.

Subhanallah. Apa yang dijawab tuan kedai muda ini, "Bolehlah, tak pa, awal pagi kita bagi harga turun."

Kalau diminta lagi, saya yakin dia sanggup memberinya. Tapi sebagai pelanggan, kita juga perlu ada rasa 'minta diskaun pun berpada-padalah'.

Maka beberapa helai t-shirt dirembat untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh kepada anak-anak saudara nanti.

Sifir perniagaan wanita ini mudah saja, dia percaya kepada REZEKI SELEPAS SUBUH. REZEKI AWAL PAGI.

Katanya selepas solat Subuh, dia terus membuka kedai dan memulakan operasi perniagaan.
Rangkaian kedai Haji Ismail paling awal pun mula urusniaga jam 9.30 pagi.

Sementara menunggu kedai dibuka, singgah di kedai kopi untuk hilang dahaga akibat bahang walaupun masih awal pagi. (walhal baru bersarapan di hotel).
Percayalah, rezeki awal pagi memang luas, sebagaimana burung-burung keluar dari sarangnya mencari rezeki pada awal pagi. Paling tidak, rezeki awal pagi, kita dapat menikmati jalan raya yang masih lengang dan parkir kereta yang masih kosong dan masih banyak pilihan.

Bagi wanita ini, rezeki awal paginya adalah kami sebagai pelanggan pertamanya. Allah gerakkan kami untuk ke gerai kecilnya untuk membeli-belah! Dan rezeki juga untuk kami, dapat membeli baju pada harga murah! Allahu Akbar!

Saya doakan wanita muda ini dimurahkan rezeki sepanjang hidupnya kerana berpegang dengan sunnah! Aamin.

Renung-renungkan!





Thursday, February 13, 2014

BERSYUKUR SAAT DIUJI

Pinjam judul buku Prof MKI, Bersyukur Saat Diuji ... .

SARAPAN dikatakan sajian yang paling penting dalam sehari supaya kita bertenaga untuk memulakan aktiviti harian.

Bagaimanapun ada waktunya kita tidak tahu hendak bersarapan apa. Itulah tandanya orang yang tidak mensyukuri nikmat. Daripada sekian banyak pilihan makanan yang Tuhan beri, sampai tidak tahu hendak makan apa. Astaghfirullah! Ampunkan hamba-Mu ini ya Allah.

Kita sentiasa melihat penduduk dunia di negara yang bermusibah --kurus kering tiada makanan. Maka kita akan kata, "Kasihan. Itulah ujian Allah untuk mereka."

Walhal kita tidak sedar, kita di Malaysia ini juga diuji. Kita diuji dengan terlalu banyak nikmat termasuklah nikmat pelbagai jenis makanan melimpah-ruah. Biar harga naik macam mana pun, kita tetap ada makanan untuk dimakan!

Setiap kali menyuap makanan ke mulut, berapa kerapkah kita mengucapkan syukur kepada Maha Pemberi Nikmat? Setidak-tidaknya dengan sepatah ringkas ucapan "alhamdulillah".

Kita makan dan makan hinggalah orang Malaysia tersenarai dalam kalangan negara utama yang mengalami obesiti di rantau ini.

Allahu Akbar!

Tika di Palestin dan Habsyah setiap masa ada kanak-kanak mati kebuluran, tika di Syria difatwakan halal kucing dan anjing untuk ditelan bagi kelangsungan hidup, kita di sini masih belum sedar dan belum mahu mengambil iktibar!

Sedarlah kita sedang diuji dengan kemewahan makanan!

Dari dulu hingga kini, tetap setia dengan roti ini sebab ia benar bagai dikata "Sungguh enak dimakan begitu sahaja."

Cuma kerak roti, namun tetap sedap, nikmat & mewah. Alhamdulillah, terima kasih Allah atas limpah kurnia-Mu. Jadikanlah aku sebagai hamba-Mu yang bersyukur. Aamiin!


Thursday, December 19, 2013

APABILA TIBA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN DIUMUMKAN

Hari ini keputusan PMR 2013 diumumkan. Bagi anak-anak dan ibu bapa yang terlibat. pasti berdebar-debar.

Saya teringat suatu ketika dulu seorang ustaz berpesan, "Kita jangan sibuk dok tanya keputusan periksa anak orang, anak engkau dapat berapa, anak awak dapat berapa ..."

Tapi itulah yang berlaku. Kita sibuk bertanya keputusan peperiksaan anak orang.

Pesan ustaz itu lagi, kalau anak kita dapat keputusan cemerlang, tidak perlulah kita heboh umum sana sini. Umum di laman sosial sana sini.

Kata ustaz ini, keadaan seperti ini jelas diterangkan oleh Imam Ghazali tentang riyak dan aib. Akan timbul riyak. Riyak di hati ibu bapa kerana bangga dengan kecemerlangan anaknya. Seolah-olah anaknyalah yang paling bijak, paling pandai. Malah anak itu sendiri akan jadi riyak dan ujub. Ini juga akan menyebabkan ibu bapa dan anak yang kurang cemerlang keputusannya berasa rendah diri dan malu melihat kejayaan orang lain.

Kita yang tiada anak-anak yang menduduki peperiksaan pula tidak usahlah sibuk bertanya keputusan anak-anak orang lain. Hentikan tabiat ini. Kata ustaz itu, ini juga dijelaskan oleh Imam Ghazali. Takut-takut keputusan anak itu tidak bagus, bukankah ia aib orang yang tak sepatutnya kita ambil tahu. Ibu bapanya juga tentu berasa malu untuk menceritakannya kepada orang lain. Pasti mereka tidak mahu orang tahu.

Bagi saya, ia amat benar sekali. Untuk umumkan kecemerlangan, biarlah ia diserahkan kepada pihak sekolah dan guru-guru yang mengajar sahaja.Mereka lebih berhak. Jika anak kita dapat keputusan cemerlang, panjatkan kesyukuran kepada Allah. Tidak perlu heboh dan umum sana sini. Raikan bersama ahli keluarga terdekat saja.

Teringat kepada seorang jiran, jiran-jiran sekeliling dan kawan-kawannya tidak tahu anak-anaknya semua cemerlang dalam peperiksaan. Mereka diamkan saja tidak bangga sana sini. Orang cuma mengetahuinya daripada pihak sekolah.

Renung-renungkan!

Tuesday, October 1, 2013

UNTUK RENUNGAN BERSAMA: MENGHASILKAN KARYA BERKUALITI



Di Galeri Ilmu, kami menerima banyak manuskrip dan proposal dalam tiga kategori utama iaitu pengetahuan Islam (agama), motivasi dan kreatif. Editor perolehan motivasi kadangkala menerima juga penulisan karya umum/panduan (setakat ini buku resipi).

Baik kategori motivasi mahupun kreatif, penulisan hendaklah berasaskan ajaran Islam. Ertinya, bukan sahaja teks yang perlu diteliti, tetapi juga ilustrasi atau foto yang dimuatkan mestilah patuh syariat (shariah compliant) khasnya dari segi penjagaan aurat. Malah dari segi pegangan akidah pula, tulisan hendaklah berpegang kepada Ahlusunnah wal Jamaah. Penerbit seperti Galeri Ilmu tiada kompromi dalam hal ini.

Bagaimanapun, kebanyakan proposal ataupun manuskrip yang telah lengkap ditulis, akan ditolak oleh editor kerana tulisannya bersifat ‘syok sendiri’. Hambar, pengisian yang tidak mantap, penguasaan bahasa yang lemah dan nilai tarbiah yang lemah.

Meminjam moto penulis skrip mantan majistret, Zabidi Mohamed, ‘Show, don’t tell’. Inilah yang lompong dalam kebanyakan manuskrip yang kami terima. Kebanyakannya ‘berleter’, ‘bercakap, bercakap dan bercakap’ tanpa ada unsur ‘mengajak’ serta tanpa ‘ditunjukkan’ caranya untuk seseorang mengamalkan ajaran yang baik.

Suka saya pesan dan nasihat di sini, jika anda mahu menghantar manuskrip motivasi, pastikan ia padat dengan TIP/PANDUAN dan disulami CERITA/KISAH teladan yang berkaitan. Juga elok dimuatkan kisah study case. Inilah yang mudah dicerna pembaca. Untuk menarik perhatian pembaca, tiga perenggan pertama mestilah ‘catchy’ dan tidak membosankan.

Ketika meneliti tulisan semasa bacaan pruf, nama orang/tokoh mahupun nama tempat juga perlu diteliti. Jika tidak pasti ejaan tepat, rayaulah di Internet. ‘Google’lah, semuanya ada di hujung jari dan di hadapan mata. Jika tidak pasti akan tatabahasa Melayu, telefon dan rujuklah Dewan Bahasa untuk khidmat runding bahasa. Mereka sentiasa bersedia dan memberi khidmat mesra dan percuma.

Sebelum menghantar karya kepada editor/penerbit. Terlebih dahulu lakukan ‘self-editing’. Buat semakan sendiri. Periksa ejaan, tatabahasa, ‘flow’/aliran keterbacaan, jika masih tersangkut dan kurang sedap, baikilah ia. Akhir sekali serahkan dulu karya anda itu kepada beberapa teman, rakan, kawan untuk atau sesiapa untuk membacanya. Pilihlah orang yang pandai menilai karya. Dia bukan sahaja boleh menilai tetapi boleh menganalisis dengan baik. Terimalah komennya dengan lapang dada dan fikiran terbuka.
 
Ini sekali gus meringankan kerja editor kerana seorang editor mempunyai banyak manuskrip orang lain untuk dinilai, bukan karya anda seorang!

Bagi penulis novel pula, suka saya ingatkan, akhirilah setiap bab dengan unsur debar ‘cliffhanger’Teknik inilah yang akan mengikat pembaca dari awal hingga akhir. 

Selain itu, kurangkan penggunaan ayat bahasa Inggeris (lazimnya dalam dialog). Lebih elok lagi jika tidak menggunakan langsung. Jika anda bukan pakar bahasa Inggeris, jangan cuba-cuba menulis dalam bahasa Inggeris. Jika anda fasih berbahasa Inggeris, belum tentu anda boleh menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris. Bahkan jika anda seorang guru bahasa Inggeris sekalipun, didapati penulisan bahasa Inggeris belum lagi mencapai standard yang sepatutnya. Tidak menggunakan bahasa Inggeris tidak bererti karya anda tidak menarik, malah mungkin ia terjadi sebaliknya jika bahasa Inggeris diaplikasikan.

Telah berlaku dalam karya-karya sebelum ini, bahasa Inggeris yang digunakan masih di tahap ‘Oh My English!’ Jika buku yang ditulis itu menggunakan bahasa Malaysia standard/baku/tinggi, maka bahasa Inggeris semestinya juga dalam tahap seperti itu. 

Kebanyakan penulis yang menulis dalam bahasa Inggeris, ketika menulisnya dia berfikir dalam bahasa Melayu. Maka berlakulah ‘Manglish’ atau ‘Oh My English!’ Ada juga manuskrip yang kami terima, ditulis bahasa Inggeris dalam kaedah harfiah yang sangat janggal bunyinya. Jika dibaca oleh mereka yang faham, pasti mereka akan menggeleng kepala.

Bagi seorang editor dan penyunting naskhah/copy editor pula, tidak kiralah buku apa yang diuruskan, banyakkanlah juga membaca buku bahasa Inggeris. Anda tidak perlu menjadi pakar bahasa Inggeris, tetapi dengan banyak membaca buku bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya anda akan faham lenggok bahasa Inggeris yang baik dan sesuai, justeru dapat mengesan bahasa Inggeris ‘kurang sedap’ di dalam karya bahasa Melayu. Setelah dikenal pasti bahasa yang tidak sedap itu, serahkan kepada editor yang pakar bahasa Inggeris untuk membaiki apa-apa yang perlu.

Tuesday, September 10, 2013

CENDAWAN TUMBUH SELEPAS HUJAN

Kita sering mendengar ungkapan 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan'. Tetapi di luar pagar rumah saya, cendawan benar-benar tumbuh selepas hujan. Cantik sungguh ciptaan Tuhan ini, subhanallah.

Lewat petang itu ia masih kuncup. Pagi esoknya ia telah kembang umpama payung. Alhamdulillah, sebelum hujan turun dengan lebatnya, sempat saya rakamkan gambar cendawan ini semasa kuncup dan selepas mengembang. Ia untuk kenangan peribadi kerana belum tentu ia akan muncul lagi pada masa akan datang.

Sayangnya, hayat cendawan ini tidak lama. Esoknyanya ia mula mengecut dan mereput. Gambarnya tidak saya rakamkan kerana tidak sampai hati, terlalu buruk rupanya.

Pun demikian ada pengajaran di sebalik kejadian dan ciptaan Allah ini untuk kita sama-sama renungkan. Hayat kita pun demikian. Bila-bila sahaja maut akan menjemput. Asalnya kulit kita gebu dan tegang, kemudian akan mengecut dan berkedut, akhirnya nyawa akan dicabut Malaikat Maut. Itu kitarannya jika kita mati dalam keadaan normal (mati tua tidak mati muda, mati mengejut).

Berdoalah agar hujung nyawa kita berakhir dalam husnul khatimah. Aamiin!





 
 

















Friday, June 28, 2013

KEMBALI NORMAL

Syukur kepada Allah Tuhan semesta alam. Segala puji bagi-Nya yang mentadbir langit dan bumi. Bencana jerebu beransur pulih dan di sekitar Petaling Jaya ini boleh dikatakan sudah normal. Suasana kembali terang-benderang.

Biarpun keadaan sudah kembali normal, semalam anak saya membawa pulang surat daripada pihak sekolah memaklumkan acara sukan ditunda ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak kerana masalah jerebu. Barangkali pihak sekolah mengambil tindakan berhati-hati kerana bencana jerebu masih tidak menentu. Keputusan membatalkan sukan itu, saya kira amat wajar demi kebaikan murid.

Tiga hari sebelumnya ketika jerebu berada pada tahap bahaya, anak saya pulang dari sekolah dengan bertopeng. Topeng diedarkan oleh pihak sekolah. Barangkali dibekalkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Ketika orang dewasa berdoa dan melakukan solat Istisqa' meminta kepada Allah menurunkan hujan dan membersihkan ruang udara, ini pula doa anak saya (saya kira doa kebanyakan anak-anak orang lain yang sihat): "Ya Allah, berilah jerebu banyak-banyak, nanti sekolah cuti. Tak payah pergi sekolah."

Sehari dua lalu!

Memang seronok kalau tidak payah ke sekolah. Saya sangkakan anak-anak memang begitu. Rupa-rupanya ia bukan berlaku kepada anak-anak sahaja. Apabila memberitahu hal ini kepada seorang teman rapat yang merupakan seorang guru, betapa anak-anak gembira tidak perlu ke sekolah, beliau menjawab, "Ya Allah, bukan budak sekolah saja yang suka, cikgu-cikgu pun suka."

Jelasnya lanjut, anak-anak dan para guru tidak suka ke sekolah kerana sistem pendidikan yang kurang betul. Mereka ditekankan dengan kepentingan akademik, manakala para guru pula terbeban dengan kerja-kerja perkeranian yang melampau. Kadang-kadang tanggungjawab mendidik dan mengajar yang merupakan tugas hakiki seorang guru tidak dapat ditunaikan dengan sebaiknya. Di peringkat menengah pula, guru berdepan dengan bermacam perangai remaja yang semakin hari semakin membimbangkan. Akhlak semakin merosot.

Saya tidak pasti setakat mana benarnya, tetapi begitulah kebanyakan cerita yang saya dengar.

Barangkali kita boleh meniru sistem pendidikan di Jepun. Dikhabarkan, kanak-kanak di Jepun tidak dibebankan dengan peperiksaan sehinggalah mereka berusia 10 tahun. Awal persekolahan mereka, penekanan diberikan kepada pembentukan sahsiah diri. Pembinaan akhlak dan adab diutamakan dahulu sebelum diperkenalkan dengan akademik. Jika diamati, begini juga ajaran Islam. Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diturunkan untuk ditiru akhlaknya. Apabila akar tunjang akhlak sudah kukuh, mudahlah hal-hal lain diajar. Barangkali guru-guru tidak perlu lagi pening dengan sikap sesetengah pelajar yang biadab.

Jika sistem pendidikan ini ada di Malaysia, saya fikir kebanyakan anak tentu tidak lagi malas ke sekolah. Malah tidak sabar-sabar hendak ke sekolah keesokan hari. Tidak perlu lagi memikul beg yang beratnya berkilo-kilogram!


Sekadar ... untuk renungan dan difikirkan!

Tuesday, April 16, 2013

AWAN GEMAWAN

Tiap kali naik pesawat untuk pulang ke negeri kelahiran, saya tidak pernah jemu menatap dan menghayati ciptaan Allah yang satu ini, AWAN GEMAWAN yang terapung di ruang angkasa. Sungguh indah, bak gumpalan kapas yang bersih dan lembut!

Terkadang bertukar menjadi kelabu dan hitam. Sesungguhnya Allah itu Maha Pencipta! Apabila air tersejat dan menguwap, terbentuklah awan. Pabila berat, padat, bertukar menjadi hitam, lalu jatuhlah ia sebagai hujan membasahi bumi. Menyuburkan tanah yang kering, membersihkan segala kotoran, debu dan jerebu di bumi baik di ruang udara mahupun di atas daratan.

Setianya Mikail, malaikat yang menjalan tugas menyampaikan rezeki daripada Allah Taala melalui gumpalan-gumpalan awan itu.

Awan gemawan, 'signature' Allah yang amat seni untuk sama-sama kita renung dan fikir.

SUBHANALLAH. ALHAMDULILLAH. LAILAHAILLALLAH. ALLAHU AKBAR!

Thursday, December 6, 2012

Wednesday, October 17, 2012

DOA KITA ATAU DOA SIAPA YANG ALLAH KABULKAN SELAMA INI?



Saya telah diforwardkan satu e-mel. Tidak pasti sumbernya daripada mana. Namun ia cukup menyentuh hati. Semoga pencerita asal diberkati Allah sentiasa.
 
Sila baca dan fikirkanlah.E-melnya berbunyi begini:


DARIPADA SEORANG HAMBA ALLAH UTK RENUNGAN BERSAMA.

Semoga bermanfaat untuk kita semua dan sebar-sebarkanlah.
 
Bercakap fasal doa
saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, apabila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.

Cerita yang saya dengar itu begini:


Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.


Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.

Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya-raya.

Si adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengan si abang. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya-raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa pada ALLAH, melewat-lewatkan solat, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dirinya istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.

Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkanlah segala doa abang aku”

Masya-ALLAH…

Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.

Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang.

Kadang-kadang kita, apabila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.

"Aku buat beginilah yang jadi begini."

"Doa aku makbul seh!"

"Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.

Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati saya.

Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik-beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga. Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.

Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.

Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita…

Semoga bermanfaat note ini.

Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.

Semoga Allah redha dengan kita.
Jazzakumullahu khairanjaza’…

Tuesday, July 3, 2012

MEREKA KAYA MEREKA BERWANG MEREKA HARTAWAN!

Baru-baru ini, adik saya bercerita tentang seorang kenalannya. Kenalan itu katanya, sangat kedekut (bakhil). Kalau ada apa-apa program yang hendak dianjurkan, dia amat berkira dan susah hendak keluarkan duit.

"Tapi dia ni kaya. Sangat kaya," cerita adik saya. Daripada pakaian hinggalah kereta semuanya cabuk!
"Lampu kereta Waja dia dah tampal-tampal selotape, punya kedekut nak tukar lampu baru," cerita adik saya lagi. Kalau lampu baru pun dia amat kedekut nak keluarkan duit apatah lagi kalau hendak tukar kereta baru. Walhal dia lebih daripada mampu untuk menukar kereta buruk kepada kereta yang mewah.

Kemudian adik ipar pula membuka cerita. Di tempat kerjanya ada pasangan suami isteri berpangkat 'Dr' bertaraf jutawan.

"Ooo samalah dengan Dr kat tempat kerja tu. Laki bini memang kaya 'giler'. Dia pernah ugut Tabung Haji kalau tak bagi dia pergi cepat ke Makkah, dia nak keluar semua simpanan dua juta ringgit di Tabung Haji. Tak nak simpan dah di Tabung Haji. Akhirnya dapatlah dia pergi sebab Tabung Haji takut dia keluarkan semua duit yang dua juta tu."

"Yang pelik tu, dia mampu pergi pakej kalau nak cepat. Tapi sebab dia cermat dan berkira, dia nak pergi juga ikut yang muassasah. Dapat pulak tu bila buat ugutan," ujar adik ipar.

"Kereta dia pun macam tulah, bertampal-tampal selotape," sambungnya lagi.

Itu kereta, gajet-gajet yang menjadi kegilaan orang sekarang pun mereka tak pandang. Kalau ada telefon bimbit pun, sekadar model yang biasa-biasa saja, selagi tidak rosak, selagi itu tidak berganti baru.


Saya percaya, kalaulah mereka ini tidak kedekut dan suka membuat amal kebajikan dengan harta kekayaan mereka, barangkali kekayaan mereka tentulah lebih berganda-ganda lagi sebagaimana janji Allah. Kalau tidak pun dengan material, Allah akan gantikan dalam bentuk rezeki yang lain.

Adik ipar saya juga pernah bercerita tentang kenalannya yang lain. Juga pasangan suami isteri. Namun, mereka ini bukan daripada kalangan kedekut. Baik orangnya. Pagi-pagi membonceng motosikal kapcai pergi kerja. Kekadang berkereta.

"Alaa kereta Proton Saga first generation tu je, dia orang tak pernah tukar sejak pertama kali beli," kata adik ipar.

Suatu hari, adik ipar saya berziarah ke rumah pasangan ini. "Mak aiii, besar betul rumah dia. Mewah. Laman pun luas. Macam tak caya je kalau tengok cara hidup dia orang selama ni. Biasa je. Macam tak kena kereta buruk dia parking kat rumah besar macam tu."

Saya membayangkan berapa ramaikah di kalangan masyarakat kita, yang nampak sahaja pandu kereta buruk, berpakaian selekeh, tapi sebenarnya mereka adalah hartawan yang berselindung di sebalik kesederhanaan.


Saya memerhati hati pula rakan-rakan di sepejabat ini. Ya, pendapatan di sini tidaklah banyak mana, sekadar cukup makan. Tapi, penampilan kekadang mengalahkan orang yang bergaji besar. Telefon bimbit model terkini, pakaian baru sering bertukar ganti. Ada yang hampir setiap bulan datang dengan pakaian baru. Ahh, nafsu manusia sentiasa buas. Mahu segala bentuk kemewahan walhal tidaklah mampu mana.

Pernah juga saya memerhati dan juga daripada pembacaan penyelidikan yang dijalankan oleh  pihak tertentu. Golongan yang gilakan gajet-gajet canggih dan sering menukarnya kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berpendapat sederhana dan ke bawah. Mereka yang berpendapatan tinggi pula tidaklah terlalu cenderung untuk memilikinya. Ini kerana golongan berpendapatan sederhana ini lebih sukakan hiburan dan banyak masa terluang melayan hal-hal yang tidak berfaedah di telefon bimbit. Sedangkan mereka berpendapatan tinggi, sentiasa sibuk untuk memajukan diri, tiada masa untuk bersenang-lenang menghabiskan masa tidak tentu hala.

Teringat ketika saya mendapatkan rawatan daripada seorang doktor pakar di sebuah pusat perubatan. Terkejut saya melihat telefon bimbitnya ... alahai, telefonnya model yang sudah pupus 'Nokia butterfly'.

Ketika saya membaca pruf buku tulisan Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir, Bijak Mengurus Wang saya membuat kesimpulan, bahawa dengan pendapatan sederhana, kita sebenarnya mampu hidup lebih selesa jika bijak berbelanja. Tidak menghabiskan kepada perkara yang tidak perlu seperti telefon bimbit yang tidak berpenghujung inovasinya. Nafsu pula, jika tidak dididik akan sentiasa mahu dan mahu kepada yang tidak perlu itu. Demikian juga pakaian yang lebih daripada cukup dan pastinya akan dihisab kemudian hari.

Ke mana hilangnya sifat qanaah?

Sifat kaya Allah adalah "Allah tidak memerlukan apa-apa kerana sudah memiliki segala-galanya." Begitu juga kita, apabila telah cukup dan memiliki segala keperluan, tidak perlulah lagi kepada benda-benda lain. Misalnya, jika sudah ada pakaian, tidak perlu setiap bulan membeli yang baru. Jika sudah ada telefon bimbit, tidaklah perlu lagi bertukar kepada yang lebih sofistikated selagi tidak rosak.

Islam tidak menghalang kita kaya, malah menggalakkannya. Tapi adakah kebanyakan kita berusaha mencari kekayaan itu? Jawapannya tidak, kerana dapat sahaja gaji, hujung bulan kita sudah kembali miskin kerana membayar hutang itu ini dan berhabisan berbelanja kepada perkara yang tidak perlu.

Sekadar memetik kata-kata Hajah Rohani daripada bukunya Bijak Mengurus Wang:
"... kita ini asyik hendak membeli, berbelanja, menghambur-hamburkan duit dan harta yang dititipkan Allah SWT kepada kita ini, kaya atau tidak? Jauh sekali, bukan? Semakin bertambah kemampuan kewangan kita, semakin bertambah pula kemahuan kita. Jangan sampai ada orang yang kalau boleh mahukan semua barangan terkini yang diiklankan. Lebih-lebih lagi telefon bimbit, memang susah hendak dapat yang terkini. Baru sahaja beli yang baru, sudah keluar model yang terkini!"




Tuesday, April 10, 2012

UCAPAN SELAMAT HARI LAHIR

Semalam e-mel saya dipenuhi ucapan lahir daripada teman, sahabat, rakan, kawan, saudara-mara melalui Facebook.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua. Itulah ucapan paling banyak yang saya terima. Malangnya Facebook saya bukanlah sesuatu yang rutin. Sudah sekian lama saya tidak mengaksesnya. Sudah bersawang barangkali!

Sekali lagi terima kasih kepada yang memberi hadiah, mengirim ucapan melalui Facebook, e-mel dan SMS:

ANITA ABDULLAH, WAN NOREHAN, NUR HAFIZAH, ROSHIDAH NOORDIN, SUZIHARJUTA, YUSNITA YUSOFF, NORAINA NORANI, NORINTAN KHALID, ABUNYER, FARAHIZA ADNAN, EMKAY, WAN ARIFF HANAFI, ROSNANI RIPIN, SURIATI SOFEE, CHEF FAIZAL NG, AJWAD ZULFIQAR, HALIMAH SAID, MOHD SAUFI, YET TYUNG SIA, KAMARIAH KAMARUDIN, ADIBAH ABDUL KADIR, HUSNA FAUZI, FAIRUZ PAUZI, SAMSIAH PUAD. KAK ANIS. (Maaf jika ada nama yang tercicir).

Saya mengaminkan kesemua doa itu yang baik-baik belaka ... itulah hadiah yang terbaik dan amat saya hargai. Moga Allah memakbulkannya. Dan saya kembalikan doa itu kepada setiap orang yang mengucapkannya, "Ya Allah, berkatilah dan rahmatilah mereka yang telah mendoakan aku dengan kebaikan. Amin."

Setiap kali umur meningkat ertinya usia dan nyawa pinjaman Allah ini semakin pendek. Dan semakin benarlah pesanan Baginda Nabi SAW akan LIMA perkara sebelum LIMA PERKARA:



  1. Muda sebelum tua.

  2. Sihat sebelum sakit.


  3. Kaya sebelum miskin.

  4. Lapang sebelum sempit (sibuk).


  5. Hidup sebelum mati.

LIMA perkara yang wajib kita rebut sebelum semuanya sudah terlambat. Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi ini adalah peringatan untuk saya dan kita semua.


Nombor 1 hingga 4, saya sudah merasainya. Cuma menunggu nombor ke-5. Ia sering menghantui saya bagaimanakah keadaan barzakh saya nanti ... gelapkah? Na'uzubillah. Terangkah? Ia bergantung kepada amalan saya di dunia ini. Saki-baki usia saya ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya tanpa lengah.


Muda sebelum tua: Ya, saya semakin tua. Tandanya uban semakin banyak di kepala biarpun masih terselindung di bawah rambut hitam. Hanya kira-kira satu dasawarsa lagi akan melangkah ke usia emas, itu pun jika ditakdirkan usia panjang.


Sihat sebelum sakit: Ya, fizikal saya tidak selincah dan segagah dulu. Lenguh segala urat sendi sudah menjadi kelaziman.


Kaya sebelum miskin: Saya tidak melihat dan mengukurnya dari segi kebendaan tetapi dari segi pahala dan dosa. Ketika usia belum baligh kita semua belum comot dengan dosa menimbun. Buatlah apa sekalipun, tiada dosa. Tapi kini, saya miskin pahala, dosa pula yang banyak. Allahu Akbar, ampunilah dosa-dosaku dulu, kini dan selamanya.


Lapang sebelum sempit: Oh, dulu ketika waktu lapang tidak pula saya menyibukkan diri untuk meraih sebanyak mungkin pahala. Kini, hidup saya terlalu sibuk dengan hal keduniaan, tidak sempat untuk beramal ibadah. Sibuk dengan kerjaya, sibuk dengan urusan rumah tangga ... sibuk serba-serbi.


"Ya, Allah rezeki akan aku kesihatan yang baik, usia yang panjang, jika pendek usia sekalipun, Engkau dorongkanlah aku untuk melakukan kebaikan agar usia pendek itu menjadi usia yang berkualiti yang mampu menembus syurga-Mu tanpa hisab yang menyeksakan. Amin."


Satu lagi peringatan buat diriku yang sering lalai:


Perhatikanlah masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan pada (menjalankan) kebenaran, dan berpesan-pesan pada menjalankan kesabaran. (Al-'Asr 103).

Friday, March 9, 2012

MUJUR

'Mujur' - perkataan yang sering diungkapkan oleh kebanyakan orang Kelantan atau orang Pantai Timur umumnya.

Contohnya jika seseorang itu kemalangan dia akan berkata begini: "Mujur tak cedera."

Kalau cedera pula dia atau orang yang bercerita tentang kemalangan itu akan berkata, "Mujur tak teruk."

Kalau cedera teruk pula akan dikatakan begini, "Mujur tak mati."

Kalau mati pula, habislah ceritanya. Atau mungkin juga begini, "Alhamdulillah, mujur arwah sempat mengucap."

Ayah saya mengungkai erti 'mujur' itu dalam kehidupan manusia. Katanya, 'mujur' yang sering disebutkan itu adalah suatu bentuk doa. Doa yang dulu-dulu kita ucap, Allah makbulkan dalam bentuk 'mujur' pada ketika berlaku sesuatu keadaan. Contohnya dalam hal kemalangan tadi.

Maka jangan berat mulut untuk menyebut 'MUJUR' dalam kehidupan seharian kita. Kerana ia adalah doa. Kita tidak tahu dan tidak pasti bila kita akan memerlukannya.

Friday, November 25, 2011

4 JAM IMAM SYAFI'I UNTUK RENUNGAN

Imam asy-Syafi'i tidur cuma EMPAT jam.

Kemudian tahajud selama EMPAT jam.

EMPAT jam lagi diperuntukkan untuk mengarang kitab.


Dua belas jam, (separuh hari) padat digunakan untuk jalan Allah.

Pun, beliau masih berasa tidak layak untuk masuk syurga.


Dua belas jam kita bagaimana?


Ada yang tidur 12 jam!


Ada yang tidur enam jam, enam jam tonton TV dan ber-Internet atau lepak dan makan! Memang langsung tidak layak untuk masuk syurga, sebaliknya lebih dekat dengan neraka!


Renung-renungkan.

Friday, October 7, 2011

NIKMAT RASA

Antara nikmat Tuhan kepada kita yang jarang kita syukuri ialah nikmat rasa. Termenung sebentar saya memikirkan andainya Tuhan tidak memberikan 'rasa' kepada kita.

  • Kalau kita tidak diberi rasa kenyang, kita mungkin akan makan hingga muntah dan pecah perut.
  • Kalau kita tidak diberi rasa lapar pula, kita mungkin tidak akan makan kerana kita tidak menyedari kita sedang lapar dan kebuluran ... sedar-sedar dah terkulai dek lemah dan malnutrisi.
  • Kalau kita tidak diberi rasa sakit, barangkali kita tidak tahu pun ada penyakit sedang bersarang dalam tubuh hingga kita anggap tidak perlu berjumpa doktor.
  • Kalau kita tidak diberi rasa mengantuk barangkali kita tidak akan tidur sepanjang hayat untuk merehatkan minda dan setiap anggota dan organ tubuh.
  • Kalau kita tidak diberi rasa untuk membuang air barangkali tubuh kita berlumuran dengan najis dan kencing, perlu pula pakai lampin.
  • Kalau kita tidak diberi rasa takut, mungkin kita berani melanggar segala perintah yang dikenakan undang-undang baik undang-undang Allah, mahupun undang-undang manusia.
  • Kalau kita tidak diberi rasa berani, barangkali kita akan jadi katak bawah tempurung takut hendak ke mana-mana dan membuat sebarang pekerjaan.
  • Kalau kita tidak diberi rasa kasih dan sayang, barangkali kita akan menjadi orang yang tidak berperasaan dan zalim.

Terlalu banyak nikmat rasa untuk disenaraikan. Panjatkanlah rasa syukur kita kepada Allah Taala yang memberi segala rasa nikmat itu!