Showing posts with label kerjaya. Show all posts
Showing posts with label kerjaya. Show all posts

Friday, December 20, 2013

LESU!

BANYAKNYA galei buku yang nak diprufkan.
Mata sudah strainful.
Esok mahu final, hari ini baru diserahkan untuk approval.
Sungguh impossible.
Untuk approve, setidak-tidaknya kena baca sekali lalu.
Sekali lalu itu ertinya tidaklah boleh dilakukan dalam tempoh sehari dua.
Apatah lagi buku berketebalan 200 halaman dan ke atas.

Selerak sana sini.
Buku itu, buku ini.
Perlu dilunaskan serentak.
Itu biasa!
Apa boleh buat, dah namanya kerja.

Fokus, perlu fokus.
Maka itu, saya tidak suka diganggu tatkala proofreading!


Cermin mata saya 1, 2, 3.
Sentiasa ada spare!
Untuk tujuan itu dan ini.

Mata saya bukan bionik.
Semakin tua serentak dengan usia.
Mata yang membaca pruf, perlu bergerak seiring dengan otak.
Otak yang merakam dalam memori supaya tidak perlu banyak merujuk kamus dan kitab tatabahasa.
Otak dan mata perlu bekerjasama.



Editor-editor saya perlu melatih mata dan otak mereka segera, kerana saya ini bukan muda lagi.
Saya tidak selamanya di sini untuk membantu.
Anda masih muda.
Waktu muda inilah otak masih cergas, mata masih cerah.

Huruf besar atau huruf kecil?
Ada sempang atau tidak?
Perlu sendeng atau tidak?
Jarak atau rapat?
Satu atau dua perkataan?
Ia perkara asas, perlu terus rakam dalam memori.

Mesti usaha gigih, mesti usaha keras.
Insya-Allah, anda semua mampu asalkan mahu berusaha lebih, serius dan fokus pada kerja.


Pulang ke rumah ... saya lesu selesunya!
Tanda usia semakin banyak.
Ajal pula semakin hampir.

Allahu Akbar! 

Tuesday, October 1, 2013

UNTUK RENUNGAN BERSAMA: MENGHASILKAN KARYA BERKUALITI



Di Galeri Ilmu, kami menerima banyak manuskrip dan proposal dalam tiga kategori utama iaitu pengetahuan Islam (agama), motivasi dan kreatif. Editor perolehan motivasi kadangkala menerima juga penulisan karya umum/panduan (setakat ini buku resipi).

Baik kategori motivasi mahupun kreatif, penulisan hendaklah berasaskan ajaran Islam. Ertinya, bukan sahaja teks yang perlu diteliti, tetapi juga ilustrasi atau foto yang dimuatkan mestilah patuh syariat (shariah compliant) khasnya dari segi penjagaan aurat. Malah dari segi pegangan akidah pula, tulisan hendaklah berpegang kepada Ahlusunnah wal Jamaah. Penerbit seperti Galeri Ilmu tiada kompromi dalam hal ini.

Bagaimanapun, kebanyakan proposal ataupun manuskrip yang telah lengkap ditulis, akan ditolak oleh editor kerana tulisannya bersifat ‘syok sendiri’. Hambar, pengisian yang tidak mantap, penguasaan bahasa yang lemah dan nilai tarbiah yang lemah.

Meminjam moto penulis skrip mantan majistret, Zabidi Mohamed, ‘Show, don’t tell’. Inilah yang lompong dalam kebanyakan manuskrip yang kami terima. Kebanyakannya ‘berleter’, ‘bercakap, bercakap dan bercakap’ tanpa ada unsur ‘mengajak’ serta tanpa ‘ditunjukkan’ caranya untuk seseorang mengamalkan ajaran yang baik.

Suka saya pesan dan nasihat di sini, jika anda mahu menghantar manuskrip motivasi, pastikan ia padat dengan TIP/PANDUAN dan disulami CERITA/KISAH teladan yang berkaitan. Juga elok dimuatkan kisah study case. Inilah yang mudah dicerna pembaca. Untuk menarik perhatian pembaca, tiga perenggan pertama mestilah ‘catchy’ dan tidak membosankan.

Ketika meneliti tulisan semasa bacaan pruf, nama orang/tokoh mahupun nama tempat juga perlu diteliti. Jika tidak pasti ejaan tepat, rayaulah di Internet. ‘Google’lah, semuanya ada di hujung jari dan di hadapan mata. Jika tidak pasti akan tatabahasa Melayu, telefon dan rujuklah Dewan Bahasa untuk khidmat runding bahasa. Mereka sentiasa bersedia dan memberi khidmat mesra dan percuma.

Sebelum menghantar karya kepada editor/penerbit. Terlebih dahulu lakukan ‘self-editing’. Buat semakan sendiri. Periksa ejaan, tatabahasa, ‘flow’/aliran keterbacaan, jika masih tersangkut dan kurang sedap, baikilah ia. Akhir sekali serahkan dulu karya anda itu kepada beberapa teman, rakan, kawan untuk atau sesiapa untuk membacanya. Pilihlah orang yang pandai menilai karya. Dia bukan sahaja boleh menilai tetapi boleh menganalisis dengan baik. Terimalah komennya dengan lapang dada dan fikiran terbuka.
 
Ini sekali gus meringankan kerja editor kerana seorang editor mempunyai banyak manuskrip orang lain untuk dinilai, bukan karya anda seorang!

Bagi penulis novel pula, suka saya ingatkan, akhirilah setiap bab dengan unsur debar ‘cliffhanger’Teknik inilah yang akan mengikat pembaca dari awal hingga akhir. 

Selain itu, kurangkan penggunaan ayat bahasa Inggeris (lazimnya dalam dialog). Lebih elok lagi jika tidak menggunakan langsung. Jika anda bukan pakar bahasa Inggeris, jangan cuba-cuba menulis dalam bahasa Inggeris. Jika anda fasih berbahasa Inggeris, belum tentu anda boleh menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris. Bahkan jika anda seorang guru bahasa Inggeris sekalipun, didapati penulisan bahasa Inggeris belum lagi mencapai standard yang sepatutnya. Tidak menggunakan bahasa Inggeris tidak bererti karya anda tidak menarik, malah mungkin ia terjadi sebaliknya jika bahasa Inggeris diaplikasikan.

Telah berlaku dalam karya-karya sebelum ini, bahasa Inggeris yang digunakan masih di tahap ‘Oh My English!’ Jika buku yang ditulis itu menggunakan bahasa Malaysia standard/baku/tinggi, maka bahasa Inggeris semestinya juga dalam tahap seperti itu. 

Kebanyakan penulis yang menulis dalam bahasa Inggeris, ketika menulisnya dia berfikir dalam bahasa Melayu. Maka berlakulah ‘Manglish’ atau ‘Oh My English!’ Ada juga manuskrip yang kami terima, ditulis bahasa Inggeris dalam kaedah harfiah yang sangat janggal bunyinya. Jika dibaca oleh mereka yang faham, pasti mereka akan menggeleng kepala.

Bagi seorang editor dan penyunting naskhah/copy editor pula, tidak kiralah buku apa yang diuruskan, banyakkanlah juga membaca buku bahasa Inggeris. Anda tidak perlu menjadi pakar bahasa Inggeris, tetapi dengan banyak membaca buku bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya anda akan faham lenggok bahasa Inggeris yang baik dan sesuai, justeru dapat mengesan bahasa Inggeris ‘kurang sedap’ di dalam karya bahasa Melayu. Setelah dikenal pasti bahasa yang tidak sedap itu, serahkan kepada editor yang pakar bahasa Inggeris untuk membaiki apa-apa yang perlu.

Friday, September 13, 2013

PEN MERAH BUKAN UNTUK CIKGU AJE!

"Cikgu ke?"

"Tak. Saya editor."

"Oh, tapi gaya nampak macam cikgu. Selalunya cikgu-cikgu je beli pen merah ni," komen juruwang.

Saya pernah sekali dua ditegur begitu semasa membeli beberapa batang pen merah. Begitu tanggapan orang. Pen merah sinonim dengan kerjaya cikgu. Almaklum, kerjaya seorang guru memang popular. Kalau sebut 'editor' jarang yang tau. Kalau 'auditor' mereka lebih tahu.

Suatu ketika pula, saya membawa galei untuk disemak. Saya mengeleknya ke sana ke mari sewaktu singgah di kedai. Galei itu kekadang saya semak (baca pruf) ketika di dalam kereta menunggu anak tamat waktu belajar di sekolah. Sepuluh minit berbaki sebelum loceng sekolah berbunyi, saya gunakan untuk proof reading.

Soalan sama dilontarkan orang yang tidak dikenali. Lurus lagi telus soalannya, "Mengajar di mana?"

Saya terpinga-pinga, "Ha!"

"Cikgu kan?"

"Tak."

"Oh, sorry, ingatkan cikgu. Nampak macam cikgu."

Alahai. Sesungguhnya kerjaya cikgu amat saya tidak minat! Pernah juga saya diajukan soalan oleh sahabat lama, mengapa saya tidak jadi pensyarah saja, "Lebih daripada layak," katanya.

Ohhh ...tidak sama sekali. Saya sama sekali tidak berminat menjadikan 'bidang pengajaran' sebagai profesion saya biarpun sebahagian besar ahli keluarga saya bergelar pensyarah termasuk suami sendiri.

Kalau tak minat, jangan dipaksa biarpun gajinya agak 'steady'.

Biarlah saya dengan kerjaya saya yang kadangkala menjadikan kita amat stres bergelut dengan deadline saban hari, dan wajib menjadi semakin 'nazak' keadaannya setiap kali menjelang pesta buku tahunan iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Namun begitu, dek kerana kerjaya sebagai editor inilah Tuhan rezekikan saya bertemu dengan orang-orang hebat, mengurus terbit karya-karya mereka yang sarat dengan ilmu (Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Hasrizal, Prof Muhd Kamil, Chef Adu dll ... .) Syukur alhamdulillah.



Ini galei buku resipi membuat ban. Bakal terbit tahun ini. Buku kedua Chef Faizal Ng. Selain buku hukum-hakam agama, buku resipi juga mencabar untuk disiapkan kerana ia memerlukan penelitian yang tinggi (saya sedang pening dengannya, moga Allah permudahkan prosesnya). It's a painstaking job! That's why using a red pen is necessary if not mandatory!

Tuesday, April 2, 2013

STRES DATANG, PERGI DAN DATANG SEMULA!

Oh sudah lama blog ini tiada entri baru (ejaan terkini baru adalah baharu, tapi saya kurang gemar menggunakannya di sini. Seingat saya ejaan baharu digunakan beberapa dekad yang lalu sebelum saya lahir lagi. Kemudian ditukar kepada baru, dan kini ditukar semula kepada baharu ... menyusahkan dan mengelirukan orang saja ... bahasa pun kadang-kadang mengada-ada!)








Sekarang semua deadline Pesta Buku sudah habis, barulah saya dapat menulis sesuatu! Lega sungguh apabila deadline dah habis, sibuk dan stres yang gila-gila sudah reda. Semua buku sudah selamat dihantar ke kilang. Cuma tunggu siap saja lagi.



Bagi meraikan tamatnya kerja Pesta Buku, staf Jabatan Buku baru-baru ini telah mengadakan rehlah cambah minda di Sungai Congkak. Satu relaksasi yang amat diperlukan bagi setiap staf bekerja dalam tekanan sebelum ini.

Makan-makan, BBQ, mandi-manda sungai. Deruan air di celah-celah sungai sungguh harmoni bunyinya. Bunyian alam yang mendamaikan. Lega rasanya segala urat dan sendi yang sekian lama tegang!










 Namun, itu untuk sementara sahaja. Dalam perjalanan balik, stres semula. Apa tidaknya perjalanan balik ambil masa lebih dua jam lantaran kesesakan jalan yang lazim pada hari Jumaat! Perjalanan ke Sungai Congkak yang tidak sampai pun sejam menjadi dua jam untuk balik.

Aduhai! Tiba di rumah menghampiri jam sembilan malam! Urat sendi kembali tegang dan lenguh kerana memandu kereta yang bukan automatik.



Apa pun, rasa syukur tetap dipanjatkan kerana dapat menikmati sejenak keindahan alam ciptaan Tuhan di Sungai Congkak.









Syukur juga kerana ada anak menemani, buat teman bersembang
semasa memandu walaupun di Sungai Congkak, jenuh mengawalnya bermain di sungai. Alhamdulillah, syukur dan terima kasih ya Allah di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami. Amin!

Tuesday, December 4, 2012

MENJELANG PESTA BUKU & NASIB INDUSTRI PENERBITAN BUKU

Saya kira kebanyakan penerbit buku kini semakin sibuk dengan persiapan untuk berdepan dengan dua pesta buku yang penting tahun hadapan.

Pesta Buku Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 30 Januari 2013 di PWTC. Penerbit-penerbit mensasarkan penggunakan kupon buku 1 Malaysia pada kali ini.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 26 April hingga 5 Mei 2013 sudah tentunya juga di PWTC adalah yang ditunggu-tunggu. Bagi kami di Galeri Ilmu Media Group (GIMG), PBAKL bukan  untuk mencari keuntungan semata-mata. Sebaliknya ia menjadi medan untuk penjenamaan dan menyebarkan ilmu.

Dalam persiapan menerbitkan buku, perbincangan dengan penulis, merekrut tenaga freelance mula kami giatkan baik dalam perekaan mahupun editorial. Maka saya pula semakin kelelahan. Justeru, semakin kerap singgah keazaman mahu 'pencen' awal.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan GIMG telah ke London untuk penggambaran dokumentari Kembara Buku. Pada suatu ketika dahulu di sebatang jalan (lupa saya nama jalannya) terdapat kira-kira 40 buah kedai buku. Kini hanya tinggal belasan kedai buku yang masih bertahan.

Gudang buku Cambridge iaitu antara penerbit tertua dan terbesar di dunia, kini sedang meroboh dan melupuskan gudang-gudang penyimpanan buku mereka. Daripada ratusan judul buku yang diterbitkan sebulan kini hanya sebahagian sahaja diterbitkan dalam bentuk buku fizikal, selebihnya diterbitkan dalam bentuk e-book.

Perkampungan buku pertama di England dulu gah dengan pelbagai buku, kini operasi perniagaannya hidup segan mati tak mahu. Pendek kata, industri penerbitan buku secara amnya sedang tenat dilanda badai digital.
Begitulah penangan digital terhadap penerbitan buku dan dalam kehidupan kita hari ini.

Apa pun, bagi pencinta ilmu dan ulat buku, pastikan anda ke kedua-dua pesta buku ini. Dalam era serba-serbi digital ini, jangan kita pinggirkan buku dalam bentuk fizikal yang sedia ada. Dari segi kesihatan mata pun, membaca buku tradisional adalah lebih baik daripada membaca e-book.

Majulah industri buku untuk agama dan negara. Amin.

Bersama Chef Adu Amran yang datang ke pejabat bagi membincangkan 
buku masakan beliau bersama GIMG. 
Beliau seorang yang telus dan berfikiran terbuka 
serta senang dibawa berbincang. 
Saya suka berurusan dengan penulis yang seperti ini.

Tuesday, July 17, 2012

KASIHAN ANAKKU!

"Mak, cikgu panggil. Cikgu nak jumpa," kata Ammar menarik tangan saya supaya masuk ke kelas. Ketika itu saya berada di luar kelas menunggu waktu sekolah tamat.

Lalu saya melangkah masuk ke kelas Tahun Satu itu.

Melihat saya masuk ke kelas, Guru Kelas, Pn. R, terus bangun mendapatkan saya. Di tangannya ada kertas-kertas soalan - kertas ujian Bahasa Malaysia murid-murid Tahun Satu.

"Puan, saya nak minta tolong ajarkan Ammar di rumah. Nampaknya dia masih tak dapat nak susun ayat dengan betul. Yang pendek-pendek dia boleh buat lagi. Kalau yang ayat panjang, memang masih berterabur," jelas Pn. R sambil menunjukkan hasil jawapan anak saya bagi kertas ujian yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran.

"Ooo, teruk ni. Lemah sangat ke anak saya ni?"

"Nak kata lemah tu tidaklah sebab dia masih boleh dibantu. Dia boleh buat kalau kita fokus ajar dia."

"Anak saya ke yang paling lemah? Budak-budak lain macam mana?" soal saya. Risau juga kalau-kalau anak sayalah yang paling lemah dalam pelajaran.

"Tidaklah, ada lagi yang lebih lemah. Yang ni saya kena ajar sendiri secara berdepan." Lega saya mendengarnya.

"Kertas tu boleh saya bawa balik ke? Nak buat contoh apa yang nak diajar di rumah."

"Oh, ini tak boleh buat balik. Ini sulit. Ini kertas ujian kementerian. Ini rekod peribadi murid yang kita akan hantar ke kementerian. Puan boleh buat sendiri contoh ayat. Alah, yang ringkas-ringkas saja. Bagi dia cekap. Sebab lepas ni akan ada lagi ujian macam ni. Jadi, kita harap dia boleh baiki lagilah keputusan ujian."

Sejak sistem pelajaran baru diperkenalkan, bukan sahaja murid dan ibu bapa menjadi lintang-pukang, para guru lebih-lebih lagi. Dulu KBSR kini KSSR. Bukan sahaja akademik dinilai, tapi serba-serbi dinilai. Patutlah kekadang ada hari murid-murid lambat keluar kelas walaupun tempoh belajar sudah tamat. Saya lihat guru masih di kelas memanggil murid-murid yang bermasalah seorang demi seorang ke hadapan untuk memastikan mereka faham.

Saya juga melihat silibus mata pelajaran semakin sukar berbanding zaman saya dulu-dulu. Matematik Tahun Satu menyamai Ilmu Hisab ketika saya darjah dua atau tiga. Bahasa Malaysianya juga agak tinggi. Kalau zaman saya dulu, darjah satu baru hendak mengenali A, B, C ... a-ayam, b-batu, c-cawan. Kini Tahun Satu diminta menyusun 'jumbled up sentences'.

Kasihan sungguh! Saya sebagai seorang emak rasa bersalah dan berhutang waktu dengan anak. Waktu yang ada amat terhad untuk memberi tumpuan kepada pelajarannya kerana sebahagian besar waktu saya bekerja. Sepatutnya seorang ibu wajib memberi perhatian terhadap perkembangan anak baik dari segi sahsiah atau akademiknya.

Apa tidaknya, tiba di rumah sudah senja. Banyak mana lagi waktu yang tinggal untuk mengajarnya. Selepas Isyak anak sudah mengantuk.

Ya, Allah ... Engkau tunjukkanlah jalannya agar dapat aku memberi tumpuan kepada anak yang satu ini.

Akhir-akhir ini juga, kerap singgah di fikiran saya untuk berhenti kerja (pencen awal) supaya kebajikan anak terjaga. Saya juga kekadang ada masanya berasa muak dengan kerja yang semakin menekan diri. Mesyuarat dan mesyuarat, juga kerenah pelbagai orang. Cuma yang menghalang saya tidak mengambil keputusan itu adalah kerana 'menjaga periuk nasi'. Walaupun suami masih boleh menampung, kita perlu berjaga-jaga kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku pada hari-hari mendatang (perlu ada back-up).

Apa pun, saya sememangnya ada perancangan untuk bersara awal! Pengakuan ikhlas: SAYA SUDAH PENAT BEKERJA!

Sesungguhnya tempat seorang perempuan yang bergelar isteri dan ibu adalah di rumah.

Tuesday, May 29, 2012

PENAT

Penat melunaskan kerja-kerja Pesta Buku sudah berlalu. Dua minggu lepas saya penat pula berulang-alik menjemput anak pulang dari sekolah. Selalunya saya bergilir hari dengan suami menjemput anak dari sekolah. Tetapi kerana suami saya tidak berada di dalam negara waktu ini, maka dua minggu lalu saya terpaksa melakukannya seorang diri berkejar di celah waktu kerja menjemput anak dari sekolah dan menghantarnya ke rumah neneknya.

Mujurlah minggu ini sudah mula cuti sekolah, tidaklah saya terkejar-kejar. Namun saya terpaksa membawa anak ke tempat kerja kerana neneknya pula balik kampung. Hendak dihantar ke tadikanya dulu, dia tidak mahu. Apa boleh buat. Terpaksalah membawanya sekali ke pejabat.

Di pejabat, sesekali saya perlu mencarinya di sekitar pejabat kalau-kalau mengganggu orang bekerja. Menjelang tengah hari tadi saya berjumpa anak saya sedang lepak-lepak di bilik Pengarah Urusan. Alahai. Dahulu pernah Pengarah Urusan main kejar-kejar dengan anak saya kerana dia melarikan tin biskut Tuan Pengarah dan menyorokkannya.

Saya membawa bekalan buku dan mainan dari rumah untuk melekakannya di pejabat, tetapi sekejap sahaja dia melayannya.

Rakan-rakan sepejabat pula ada yang rajin melayannya (termasuk Pengarah Urusan). Itulah sebabnya anak saya makin naik tocang.

Walaupun perangai anak kekadang membuatkan saya berasa malu, apa boleh buat. Itulah namanya kanak-kanak yang belum mumaiyiz, belum kenal baik buruk akan tindakannya.

Bagi ibu bapa yang punyai anak yang belum bersekolah atau masih berada di tadika, bolehlah dikatakan masih 'lapang' walaupun sebenarnya tidak. Apabila anak mula melangkah ke alam sekolah rendah, percayalah, hidup anda akan jadi bertambah lintang-pukang.

Melihat keadaan rumah dan anak yang tidak terurus sempurna, hasrat untuk jadi suri rumah sepenuh masa semakin kerap singgah di fikiran. Kekadang saya berasa sungguh penat bekerja dan ada juga berasa bosan. Mahu tinggal saja di rumah uruskan rumah tangga.

Entah ke mana perginya tuan punya mainan ini!

Wednesday, May 9, 2012

CORAT-CORET PESTA BUKU ANTARABANGSA 2012

Pesta Buku Antarabangsa 2012 baru sahaja berlalu. Alhamdulillah, sambutan pengunjung di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd lebih baik berbanding tahun sudah.

Tahun ini kami berjiran dengan PTS dan kami saling sokong-menyokong mempromosi produk melalui PA system masing-masing.


CORETAN 1
Ada beberapa ketika, stok buku kami terputus bekalan.

"Kak, saya nak buku Prof. Kamil, kat mana ya. Tak nampak pulak?" tanya seorang pengunjung.

"Alamak, dah sold outlah dik," jawab saya.

Datang pula pengunjung yang lebih tua.
"Dik, buku Bersyukur Saat Diuji ada tak?"
"Minta maaf banyak-banyak kak, stok dah habis."
"Bila nak ada?"
"Saya tak berani nak jawab, kami pun sedang menunggu stok sampai ni."

Bertanya lagi pengunjung lain.
"Buku Prof Kamil yang mana satu ye?"
"Kalau kat sini Bersyukur Saat Diuji. Kalau judul-judul lain kat PTS, kat depan tu je," jawab saya sambil menuding jari hala ke susunan buku motivasi PTS yang hanya beberapa langkah dari gerai kami.
"Saya nak buku dia yang terbaru. Lupa pulak judulnya."
"Bersyukur Saat Diujilah tu. Tapi dah sold out."
Saya mengulangi jawapan yang sama. Entah berapa kali saya menjawabnya kepada pengunjung yang kecewa.

"Saya nak buku Bersyukur Saat Diuji," tiba-tiba ada suara menyapa di belakang saya.
"Maaflah puan, buku Prof Kamil dah habis."
"Ooo tak pa, tak pa. Tak da rezeki sayalah tu.
"Tu lah, ramai sangat dah tanya. Saya pun dah malu dengan Prof (walaupun Prof nun jauh di Madinah)."
"Eh ... tak pa. Kalau siapa yang baca blog dia takkan mengamuk. Hati jadi tenang."

Ya itu bagi pengunjung yang faham dan mengerti dengan 'ujian' sebagaimana yang Prof. Kamil nukilkan dalam tulisannya Bersyukur Saat Diuji.

Ada juga pengunjung yang tidak mengerti, "Habis tu, bila nak ada stok ni? Saya datang dari jauh semata-mata nak beli buku tu, tau tak?"

Ooo sabar sajalah.

CORETAN 2
"Mmmm dik, Galeri Ilmu ni buat buku apa ye?"

"Buku Islami. Motivasi ada, pengetahuan Islam ada. Kanak-kanak ada. Kalau yang ada kat sini, buku motivasi. Yang pasti semua halalan toyyiban," terang saya yang menjaga seksyen buku motivasi.

"Dulu saya suka baca buku Tuah Iskandar. Saya buat koleksi buku dia."

"Oh tu terbitan Karangkraf. Karangkraf kat dewan sebelah ni je kak. Boleh lalu pintu sana."

"Tak ... saya dah tak nak baca buku dia. Dah banyak sangat baca, saya rasa macam biasa je. Benda sama, dah tak ada kelainan. Dah bosanlah," katanya sambil membelek dan menyelak buku kami.

"Mmm, gitu! Kat sini kalau orang perempuan, banyak beli buku ni," kata saya sambil menyuakan buku Bukan Sekadar Resipi tulisan Puan Roza Roslan, isteri tercinta Prof Kamil.

"Tak naklah buku resipi, saya nak buku motivasi."

"Eh, ni bukan buku resipi, sebab tu judulnya Bukan Sekadar Resipi. Kalau akak tak ambil sekarang, kejap lagi habis stok. Saya pun tak pasti bila stok baru sampai." Saya tidak menipu akan hal ini! Stok memang terhad dan banyak orang datang membelinya.
Matanya melilau kepada pengunjung-pengunjung lain yang pasti mencapai dan membeli buku tersebut.

"Buku ni ada cerita, bukan resipi. Resipi tu hujung-hujung je, sampingan. Cerita dia memang best. Ada yang kena-mengena dengan kita.
"Ooo ye ke," komennya ringkas sambil membelek-belek buku Bukan Sekadar Resipi. "Ehh, jap tadi saya nampak ada resipi tosai. Saya suka makan tosai. Banyak kali dah cuba tapi tak jadi. Nak makan yang orang India buat, tak lalu pulak." Tangannya pantas menyelak-nyelak helaian buku itu mencari bab Tosai.

"Okeylah dik, saya ambil buku ni."

"Tak rugi kak beli. Insya-Allah.

"Mmm, dik, awak ni jurujual yang berkesan."

Saya sekadar menyengih. 'Aku bukan jurujual yang rasmi,' bisik saya dalam hati.

CORETAN 3
"Kak, kat Galeri Ilmu buku motivasi apa yang best?" soal seorang wanita muda sambil duduk bersila di hadapan rak buku-buku baru. "Aduh, penatnya. Saya duduk macam tak pa ya!"

"Kalau saya, semuanya best. Saya tak berani cakap. Kalau saya kata best, mungkin awak tak tak best."

"Betullah kak, dulu orang berebut-rebut beli buku La Tahzan. Saya pun beli juga. Tapi bila beli, saya tak boleh bacalah kak, berat sangat. Saya simpan je buku tu. Saya tak suka buku-buku berat. Kalau yang ada banyak ayat Quran, saya jadi pening.

"Kalau nak ringan, buku nilah," kata saya menunjukkan buku Hai, Darling!.

"Kak, ni sambungan I Love You Too! ke?"

"Ye."

"Yea, best ni. Tahun lepas saya beli. Saya baca habis. Saya suka sebab ringan ada kartun-kartun."

"Penulis dia ada kat sini kejap tadi. Entah mana pulak perginya."

"Eee syoknya. Saya nak tandatangan dia."

'Laaa mana pulak perginya Haji Bad ni, ada peminat nak tandatangan.' Mata saya melilau mencari kelibat si penulis. Sekelip mata hilang.

"Maaflah dik, entah ke mana dia pergi."

"Alaaa, kak carilah dia."

Puas saya mencari di sekitar gerai, tapi tak ada. Barangkali merayau ke gerai-gerai lain.

"Alaaaa," keluhnya lagi.

"Kak, buku ni pasal apa?" soalnya lagi. Di tangannya kini buku Berdua Lebih Baik.

"Pasal macam mana nak cari jodoh. Kalau rasa jodoh berat tak sampai-sampai, haaa elok sangat baca buku ni. Dia ajar macam mana nak dapat jodoh."

"Haaa ... akulah tu ... eh, kak, sayalah tu. Berat nak baca ke buku ni?"

"Sederhana. Tapi kalau hendak seribu daya ... kan?"

"Betul, betul, betul ... " katanya memimik Upin dan Ipin.

"Yang ni pulak buku apa?" Buku Berdua Lebih Baik diletak ke atas riba. Kini dia memegang buku Cinta Tiga Rasa.

"Ooo buku ni, pasal peranan wanita sebagai isteri, ibu dan hamba Allah. Tapi bahasanya santai. Ringan je, gaya bercerita," terang saya.

"Eh, semuanya macam best jek. Macam mana ni kak? Yang mana satu saya nak beli?"

"Beli semualah."

"Mana boleh, kak. Alaf 21 saya tak pergi lagi ni. Bawak duit ciput je."

"Macam nilah. Buku Hai, Darling! Definitely awak suka. Beli je. Satu lagi ambil Berdua Lebih Baik. Amalkan apa yang diajar. Lepas tu, bila dah bertemu jodoh, baru beli Cinta Tiga Rasa. Sebab dia kisah selepas berumah tangga. Okey ke gitu?"

"Oh, okey sangat."

Saya terasa geli hati. Macam-macam perangai dan gelagat pengunjung boleh disaksikan di Pesta Buku.
Akhirnya dia meletak kembali buku Cinta Tiga Rasa ke atas rak dengan hati yang berat.

Tiga coretan ini cuma sebahagian coretan yang variasi di Pesta Buku. Amat meriah. Memenatkan, tapi kami gembira.

Friday, April 20, 2012

TEPU

Alhamdulillah ... kerja-kerja perit dan renyah untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 telah berkahir, maka saya bercadang mencoret sesuatu di sini sebagai post terbaru.


Malangnya, jenuh berfikir tidak ada isu menarik hendak ditulis. Otak saya tepu dek memfokus kerja dalam tekanan. Oooh otak saya perlu recharge!


Huwaaaa!!!!


Sekian, terima kasih.

Friday, April 6, 2012

AKU YANG LESU!

Dua tiga bulan terakhir ini terasa sungguh penatnya, melunaskan kerja-kerja yang semakin kritikal deadlinenya. Lesu ...

Tidak pernah saya lesu sebegini. Balik kerja dan tiba di rumah saya sudah tidak bermaya untuk buat apa-apa lagi, cuma gagahkan diri sediakan makan malam untuk anak saja.
Keadaan rumah yang sentiasa tunggang-langgang, menjadi berganda-ganda tunggang-langgang. Kain yang dibasuh sudah menjadi beberapa timbunan tinggi, tidak sempat dilipat dan hanya dilonggokkan di atas sofa ruang tamu. Doa sahaja tidak ada tetamu yang bertandang ketika keadaan rumah yang begini.

Tahun lalu, keadaan persiapan penerbitan PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (PBAKL) tidak sekalut ini. Dengan penambahan beberapa orang staf baru pada tahun ini nampaknya tidak meredakan juga ketegangan kerja. Entah di mana silap.

Namun salah satu faktornya yang saya kenal pasti, tahun ini penulis-penulis yang sudah ada nama besar dalam dunia penulisan muncul dengan buku terbaharu masing-masing. Tahun lalu kami ketandusan karya mereka.

Sekadar menyebut beberapa nama: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Prof Muhd Kamil Ibrahim, Hajjah Rohani Dato' Mohd Shahir dan beberapa lagi.

Ustaz Hasrizal muncul dengan bukunya DI HAMPARAN SHAMROCK KUSERU NAMU-MU .


Dr Zaharuddin pula memberi buah tangan terbaharunya, DIARI MUSAFIR JANGAN BERHENTI BERLARI.

Prof Kamil mengamanahkan karya pertama beliau bersama Galeri Ilmu, BERSYUKUR SAAT DIUJI dan Hajjah Rohani menyerahkan kepada kami BIJAK MENGURUS WANG.

Saya juga amat menyukai karya terbaru Syed Alwi Alatas dengan bukunya MUDAHKAN JANGAN SUSAHKAN.

Sungguh ... kesemua buku ini saya berikan lima perlima bintang dan tabik spring kepada penulis-penulis hebat ini.

Hajjah Rohani ... dua tahun saya mengejarnya untuk menyiapkan penulisan. Demikian juga Ustaz Hasrizal, memeram manuskripnya lebih kurang setahun.

Saya perlukan cuti panjang selepas PBAKL 2012 nanti untuk betulkan semula 'alignment & ekologi' diri ... mahu bermesra semula dengan alam dan persekitaran hidup yang normal.

Apa pun, anda semua dialu-alukan datang ke PWTC utk memeriahkan PBAKL 2012 pada 27 April hingga 6 Mei 2012. Jumpa kami di PWTC di kiosk no. HA01-HA06. Kali ini Galeri Ilmu ditempatkan di dalam Dewan Tun Hussein Onn. Jangan lepaskan untuk mendapatkan diskaun-diskaun menarik untuk terbitan kami.




Buku: Dunia Tanpa Sempadan



Thursday, March 1, 2012

'WORK STATION' SAYA

'Work station' saya di pejabat cuma kelihatan kemas setahun sekali iaitu selepas berkhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Berakhirnya PBAKL, barulah saya mengemas dan menyusun meja saya.


Work station saya hanya berkeadaan kemas hanya untuk seminggu dua sahaja, kemudian secara beransur-ansur akan kembali kepada sedia kala.


"Saya tak tahu macam mana puan boleh kerja dengan meja macam ni," komen seorang artis grafik di pejabat ini.


Hakikatnya saya 'tidak mampu' bekerja dalam keadaan meja yang kemas tersusun. Terasa tidak puas dan seperti ada suatu kekurangan.


Menjelang PBAKL, keadaan meja kerja saya makin berserabut. Semakin dekat tarikhnya semakin menjadi-jadi tahap bersepahnya.


Inilah kemuncaknya ... .





Monday, October 24, 2011

KALAU MENGHANTAR E-MEL ... .

Sejak akhir-akhir ini, saya menerima banyak e-mel daripada penulis dan mereka yang mahu menulis. Ada yang menghantar proposal dan bertanyakan itu dan ini. Saya perlu melayannya setiap satu. Terkadang ada e-mel yang saya terlepas pandang.

Sejak itu juga, saya dapati waktu bekerja saya di pejabat banyak juga diperuntukkan untuk membaca dan membalas e-mel mereka ini menyebabkan kerja semasa saya menjadi agak kelam-kabut dan lintang-pukang serta terbantut dan tersasar daripada tarikh siap.

Satu nasihat saya kepada mereka yang mahu menghantar e-mel, tulislah ringkas-ringkas dan terus kepada maksud. Tidak perlu kepada bahasa-bahasa bunga dan berbasa-basi yang mengambil masa untuk saya baca dan mencari tujuan sebenar e-mel dihantar.

Teruskan kepada persoalan dan kemusykilan. Saya amat menghargainya.


KEEP IT SHORT & STRAIGHT TO THE POINT!

Friday, August 19, 2011

"BARANGKALI SAYA SUDAH MURTAD ... ."

Kawan kepada adik ipar saya cukup berhati-hati apabila memilih teksi untuk dinaiki. Sebelum menaiki teksi dia pastikan pemandunya Islam/Melayu.

Pada suatu hari, kerana tergesa-gesa mengejar waktu hendak ke mesyuarat, dia tidak punya pilihan. Mana-mana teksi yang datang dulu, dia terpaksa naik.

Pun begitu, sikap waspadanya tetap ada.

Pemandunya seorang India. Diteliti nama dan segala maklumat pemandu teksi itu.

"Oh, itu nama saya sebelum Islam," jawab pemandu itu.

Dia cukup lega mendengarnya. Alhamdulillah, Islam rupanya.

Maka berlakulah sembang-sembang antara dia dengan si pemandu teksi.

Rupa-rupanya pemandu teksi itu seorang yang well educated. Memiliki ijazah sarjana dari Amerika Syarikat.

Biarpun memiliki ijazah tinggi, dia tidak betah bekerja di pejabat berhawa dingin. Tidak serasi duduk di bawah arahan orang, lantas dia memilih kerjaya sebagai pemandu teksi yang tidak terikat dengan sesiapa dan sebarang waktu.

"Alhamdulillah dalam sebulan pendapatan saya mencapai lima ribu," ujar si pemandu teksi. Malah jumlah itu melebihi pendapatan sesetengah orang yang bekerja di pejabat berhawa dingin.

Biarpun sekadar pemandu teksi, jika ada usaha gigih dan ada keyakinan, pasti rezeki ada di mana-mana.

Menyentuh pengislamannya, pemandu teksi itu memberitahu dia memeluk Islam sewaktu di Amerika.

"Kalau saya masuk Islam di Malaysia, barangkali saya sudah murtad," katanya.

Kenyataannya itu tidak mengejutkan kerana ujian seorang muallaf lebih tinggi di negara Islam seperti Malaysia (kononnya negara Islam!). Apa tidaknya, kebajikan saudara baru kadang-kadang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada badan-badan berwajib mahupun daripada masyarakat sendiri. Berbanding jika seseorang itu memeluk Kristian, missionary yang menjalankan tugas cukup efisien dan sangat menjaga kebajikan orang yang memeluk agama mereka. Malah cuba pula mempengaruhi orang Islam masuk Kristian.

Sesuatu yang mengagumkan tentang si pemandu teksi ini, dia lebih suka mengambil penumpang bukan Islam. Mengapa?

"Saya boleh berdakwah kepada penumpang saya. Tunjukkan keindahan Islam," jelasnya.

Wah, rupa-rupanya dia bukan sembarangan pemandu teksi, dia juga seorang da'i.

Memikirkannya, mungkin kerana keikhlasannya berdakwah ini, di kala para pemandu teksi lain mengeluh tentang pendapatan hasil memandu teksi yang tidak seberapa, lelaki India ini pula stabil pendapatannya. Barangkali Allah melebihkan rezeki kepada hamba yang berusaha memartabatkan Islam di mata bukan Islam.

Friday, August 5, 2011

PENULIS YANG DISENANGI


Saya cukup menyenangi penulis yang seorang ini, Haji Zainal Haji Bujang. Buku pertama beliau bersama Galeri Ilmu berjudul Labbaikallah dan terbaru "Selamat Pagi, Cikgu!" dan ada sebuah lagi manuskripnya sedang dalam proses penerbitan, juga berkaitan haji.

Beliau sebenarnya sudah banyak menerbitkan buku berkaitan haji dan umrah, namun diterbitkan oleh penerbit lain.

Mengapa saya menyenanginya?

Kerana beliau adalah penulis yang paling tidak berkira. "Buatlah apa yang patut," beritahunya melalui khidmat pesanan ringkas, setiap kali beliau menyerahkan manuskrip baru. Baginya, manuskrip yang diserahkan pada penerbit adalah hak mutlak penerbit untuk 'membedah'nya kerana beliau yakin apa yang penerbit buat tentunya untuk kebaikan dua pihak (penulis dan penerbit).

Beliau menulis juga bukan untuk mengumpul royalti bertimbun, bukan juga untuk mencari glamor tetapi untuk berdakwah. Saya kira, penulis beginilah yang dikategorikan sebagai da'i yang sebenarnya.

Berbekalkan pengalaman luas sebagai seorang guru, bahasa tulisan Haji Zainal sangat baik. Sesekali menghantar SMS bertanyakan progres buku beliau, bahasanya cukup berlapik. Apabila tiba musim beliau membawa jemaah ke Tanah Suci, SMS tetap dikirim.

"Kalau ada berita gembira tentang "Selamat Pagi, Cikgu!" tolonglah bagitau, dapat juga buat kenduri kesyukuran kat Mekah ni."

Itu text message yang saya terima pada 31 Julai 2011.

"Insya-Allah. Tn haji tolong juga doakan kami di sini ya," balas saya.

Semalam 7 Ogos, saya mengirim SMS kepada Haji Zainal di Makkah.

"Assalamualaikum Tn. Hj. Selamat Pagi, Cikgu! dah siap cetak. Harap maklum."

Dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa, saya menerima balasan SMS daripada Haji Zainal yang berbunyi:

"ALLAHU AKBAR. SERONOKNYA. RASA NAK BALIK SEKARANG JUGA. KEBETULAN SAYA DEPAN KAABAH TIKA SMS PUAN DITERIMA. TERPANGGIL & TERSENTUH HATI KERDIL INI UNTUK MELAMPIAS SYUKUR KHUSUS UNTUK PUAN & GALERI ILMU YANG BEGITU CAKNA TERHADAP SAYA. SAYA BERDOA AGAR SELAMAT PAGI, CIKGU! & SELURUH WARGA GALERI ILMU SENTIASA DALAM LEMBAYUNG RAHMAT & REDHA ALLAH SWT. ALLAHU AKBAR."

Saya menghantar jawapan balas kepada Haji Zainal: 'Amin, amin ya Rabbal 'alamin.'

Allahu akbar. Begitu tulus doanya apatah lagi ia dipanjatkan di bumi yang paling berkat di muka bumi ini.

Sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2011, April lalu, kebetulan beliau di Tanah Suci. Namun sekembalinya ke Malaysia dan belum lagi kendur penatnya, beliau terus SMS, "Apa yang saya boleh bantu untuk Pesta Buku?" Sungguh komited penulis ini.

Ini kelebihan penulis-penulis yang sudah veteran. Wujudnya mereka sebagai penulis di penerbit, dapat meneutralkan perasaan geram para editor terhadap kerenah penulis-penulis yang baru setahun jagung, namun sudah mula menunjukkan ego melangit.

Kepada penulis-penulis muda ini, belajarlah daripada mereka yang sudah veteran ini.

Khusus doa saya buat Haji Zainal, moga beliau dikurniakan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia agar dapat terus menyumbang bakti dalam menegakkan syiar Islam melalui penulisannya. Amin.

Tuesday, August 2, 2011

TERSASUL

Dek kerana lebih daripada seorang penulis yang nama mereka lebih kurang sama, sudah beberapa kali saya tersasul menghantar e-mel.

MOHD. HISHAM SHARIF penulis buku Begini, Sayang!

HISHAMUDDIN A.R. penulis Ramadan Terakhir.

HISHAM AHMAD bukunya bakal terbit.

Dalam kepala Hisham lain, tapi apabila klik ke alamat e-mel, Hisham lain yang saya e-melkan.

Apabila berserabut dan kelam-kabut dengan kerja yang semakin menimbun, mulalah saya melalut dan tersasul, lebih-lebih lagi apabila semuanya hendak cepat.

Lintang-pukang jadinya.

Dulunya segan juga apabila menerima balasan e-mel sebegini: "Rasanya puan tersalah e-mel ni."

Sekarang tidak lagi. Saya sudah lali walaupun penulis belum lagi lali dengan ketersasulan editor. Apabila sudah menjadi asam garam komunikasi dengan penulis, rasa segan itu saya ketepikan.

Terima sajalah kekurangan diri. Nobody's perfect!

Thursday, July 7, 2011

YANG PENULIS PERLU FAHAM

"Apa khabar buku saya?"
"Bagaimana proposal buku yang saya e-mel tempoh hari?"
"Bila nak sign kontrak?
"Buku saya dah siap cetak ke?"
"Kenapa lama sangat nak siap?"

Itu antara soalan yang sering diterima editor.

"Buku tuan masih di tangan penyunting."
"Insya-Allah, buku tuan akan dinilai."
"Siap cetak nanti, kita akan panggil untuk tanda tangan kontrak."
"Cetak buku paling lama dua minggu baru siap."
"Harap dapat sabar, terbit buku tak semudah buat kuih!"

Itu pula antara jawapan balas editor, terpaksa melayan setiap soalan.

Lazimnya penulis-penulis baru tidak sabar menanti kelahiran buku mereka. Bermacam ragam. Ada yang mendesak disegerakan terbit, walhal proposalnya belum lagi dinilai. Ada pula yang menghantar proposal dengan harapan tinggi ia segera diterbitkan, walhal kualiti tidak mencapai standard yang ditetapkan penerbit dan terpaksa ditolak.

Hakikat yang perlu difahami setiap penulis ialah menerbit buku tidak semudah kita buat kuih seperti yang telah dinyatakan.

Umumnya, proses penerbitan sesebuah buku paling cepat pun sekitar satu bulan sehingga siap dicetak. Bagaimanapun jadualnya sering berubah-ubah dan terlajak apabila ada isu berbangkit seperti perlu pengubahsuaian saat akhir.

Mengapa sering ada ubah suai saat akhir? Tidak bolehkah diteruskan seperti yang direncanakan?

Antara faktornya:
  • Kadangkala, penulis sendiri banyak cerewetnya walaupun telah selesai di peringkat penerbit.
  • Penyunting pula sering minta dilanjutkan tempoh untuk menyunting manuskrip yang diberi.
  • Di pihak penerbit pula khasnya di peringkat editorial dan perekaan terkadang muncul idea-idea baru pada saat akhir untuk mengubahsuai dan memantapkan lagi gaya persembahan buku.
  • Terkadang ada kerja-kerja mustahak yang perlu disegerakan, maka penyiapan buku mahu tak mahu terpaksa ditunda seketika.
Maka itulah, jadual sering juga berubah.

Yang dinamakan 'buku' ialah apabila ia telah selesai dicetak. Selagi tidak dicetak, ia masih dalam keadaan mentah yang dinamakan 'manuskrip'. Memproses manuskrip ini tidaklah semudah kita memasak yang dalam tempoh sejam beberapa jenis menu sudah dapat disiapkan.

Proses penerbitan umumnya perlu melalui empat peringkat iaitu:
  1. Editorial
  2. Perekaan
  3. Percetakan
  4. Pemasaran/pengedaran
Apa yang berlaku di peringkat editorial:
  1. Editor menilai manuskrip yang dikirim sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Manuskrip yang teruk akan dipulangkan kepada penulis untuk dibetulkan mengikut panduan yang diberi. Jika sampai tiga kali penulis membuat pembaikan dan kualitinya tidak mencapai standard yang diharapkan, maka ia ditolak dan dipulangkan semula kepada penulis. Penulis bebas menghantarnya kepada penerbit lain.
  2. Apabila diluluskan untuk penerbitan, manuskrip akan dihantar kepada penyunting naskhah (copy editor) untuk memperkemaskan lagi isi kandungan. Sebarang kemusykilan, penyunting akan bertanya terus kepada penulis. Proses ini juga perlukan masa untuk diselesaikan.
  3. Selesai penyuntingan naskhah, penyunting akan memulangkan hasil kerjanya kepada editor.
  4. Editor kemudian akan menghantarkan manuskrip yang telah siap disunting ke bahagian perekaan.
  5. Serentak dengan proses peringkat ini, perbincangan mengenai judul turut dilakukan. Jika judul tidak sesuai, penerbit akan mencari judul lain yang lebih komersial untuk didaftarkan bagi mendapat nombor ISBN seterusnya memohon PDP/CIP melalui Perpustakaan negara. Untuk mendapat ISBN dan PDP lazimnya mengambil 1-5 hari.
(Peringkat ini mengambil masa lebih kurang 7-15 hari dengan mengambil kira tempoh lanjutan yang sering dimohon penyunting untuk menyempurnakan kerjanya).

Apa yang berlaku di peringkat perekaan?

  1. Konsep buku akan dibuat. Apakah ia perlu ilustrasi? Apakah ia perlu gambar? Adakah ia perlu diletakkan di halaman belakang atau di antara badan teks. Apakah ia perlu mengguna 'second colour' atau '4-colour'? Muka taip yang bagaimana yang sesuai? Berapakah saiz muka taip yang ideal? Semuanya ditentukan di sini.
  2. Rekaan kulit buku juga turut dibuat.
  3. Apabila rangka konsep siap divisualkan, maka artis grafik akan mereka letak dan merealisasikannya di komputer.
  4. Selesai direka letak oleh artis grafik, bahan tersebut akan dicetak dan diserahkan hasil kerjanya kepada editor untuk disemak. Bahan yang dicetak itu dinamakan galei.
  5. Editor akan membuat bacaan pruf pada galei berkenaan. Menanda sebarang 'typo' yang ada. Peringkat ini adalah untuk mencari kesalahan-kesalahan kecil seperti kesilapan ejaan, tanda baca, keselarasan reka letak dan sebagainya. Jikalaupun tidak semua typo error ini dijumpai, sekurang-kurangnya editor cuba meminimumkannya.
  6. Setelah editor selesai membuat bacaan pruf, galei itu akan dipulangkan kepada artis grafik untuk dibuat pembetulan.
  7. Selesai artis grafik membuat pembetulan seperti yang ditandakan oleh editor, galei kedua akan dikeluarkan untuk bacaan pruf kali kedua. Bacaan pruf kedua sebaiknya dilakukan orang lain, bukan editor (atau pembaca pruf pertama) kerana 'mata kedua' lebih 'segar' untuk mengesan kesilapan yang tercicir. Mata yang terlalu kerap membaca pruf pada bahan yang sama lebih mudah terlepas pandang kesilapan kecil. Jika tiada mata kedua untuk membantu bacaan pruf untuk kali kedua, seelok-eloknya editor atau pembaca pruf pertama memeram seketika galei kedua itu (tentunya pembaziran waktu berlaku setidak-tidaknya 2-3 hari, cara ini cuba dielakkan) bagi menyegarkan semula mata dan mindanya.
  8. Pada waktu yang sama, galei kedua ini turut diserahkan kepada penulis untuk turut sama membuat semakan dan bacaan pruf dan mengenal pasti jika terdapat isi kandungan yang perlu pindaan akhir. Bagaimanapun, pindaan besar tidak digalakkan pada peringkat ini melainkan jika ia benar-benar perlu dibuat bagi mengelakkan timbul masalah kemudian hari.
  9. Selesai bacaan pruf galei kedua ini oleh kedua-dua pihak (editorial & penulis), bahan ini diserahkan semula kepada artis grafik untuk pembetulan peringkat akhir.
  10. Harga buku juga sudah boleh ditentukan pada peringkat ini apabila jumlah muka surat sudah dapat dipastikan. Antara elemen yang menentukan harga buku adalah ketebalan buku, jenis kertas, jenis jilid dan kuantiti cetakan.
  11. Apabila selesai semua proses di peringkat perekaan, bahan berkaitan (setelah diformatkan mengikut keperluan percetakan) akan diserahkan pula kepada pencetak.
(Peringkat ini memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk diselesaikan).


Apa berlaku di peringkat percetakan?
  1. Pencetak akan sediakan dami (dummy) buku untuk memastikan letakan muka surat betul.
  2. Sesetengah pencetak, akan membawa dami kepada penerbit untuk semakan akhir sebelum dimulakan proses mencetak.
  3. Pencetak akan mencetak buku mengikut spesifikasi yang dikehendaki penerbit.
  4. Selesai cetak, buku-buku akan dihantar kepada penerbit untuk diedar dan dipasarkan.

(Lebih kurang dua minggu diperlukan untuk buku siap dicetak).

Apa berlaku di peringkat pemasaran dan pengedaran?

  1. Penerbit sama ada memasarkan sendiri atau melantik ejen-ejen pengedar untuk memasarkan buku-buku terbitannya ke seluruh negara.
  2. Pemasaran buku kini mengalami evolusi dan inovasi. Pada zaman IT yang serba canggih, pemasaran buku kini lebih efisien dan lebih cepat berbanding sistem pemasaran konvensional. Kebanyakan penerbit menjual dan mempromosi buku masing-masing di Internet melalui website mereka. Buku yang dipesan oleh pembeli dihantar melalui pos.
  3. Penerbit hari ini (khasnya penerbit yang baru) perlu lebih cekap dan tangkas untuk menyaingi penerbit-penerbit lain.
  4. Gedung buku yang besar lagi ternama lazimnya sentiasa mengharapkan penerbit dapat membekalkan buku dalam tempoh yang mereka berikan. Maka penerbit perlu segera memenuhi kehendak itu.
(Keempat-empat proses penerbitan ini paling minimum mengambil tempoh sebulan).

FAKTOR-FAKTOR LAIN YANG MELEWATKAN PROSES PENERBITAN

Apa yang penulis perlu faham lagi:
  • Semakin berat isi kandungan buku yang ditulisnya, semakin banyak masa diambil untuk menilai, menyunting dan idea perlu dicari di peringkat perekaan bagi mencari konsep untuk meringankan persembahan buku bagi mengimbangi isinya yang berat.
  • Buku yang memerlukan ilustrasi juga memerlukan masa yang lebih untuk disiapkan. Artis kadangkalanya memerlukan masa yang cukup untuk menyiapkan ilustrasi yang diperlukan.
  • Semakin tebal buku, semakin lama untuk direka letak dan semakin lama untuk dibuat bacaan pruf dan semakin berisiko mempunyai typo error kerana pembaca pruf pastinya mengalami keletihan mata dan minda. Buku tebal juga lebih lama untuk siap dicetak.
  • Buku-buku yang mengandungi petikan ayat al-Quran, lafaz hadis atau perkataan/frasa jawi atau Arab turut menuntut lebih masa kerana ada yang perlu ditaip, atau disalin dari mana-mana sumber. Kemudian perlu masukkan ke dalam teks. Buku sebegini juga perlu disemak berulang kali oleh pembaca pruf dan mereka yang arif agar tidak berlaku kesalahan.
  • Buku berwarna juga lebih lama untuk dicetak.
Apabila memahami proses ini, diharapkan penulis dapat bersabar menanti kelahiran bukunya. Bagaimanapun, penerbit (khasnya di bahagian editorial dan perekaan) sedapat mungkin cuba memenuhi jadual yang ditetapkan agar tidak jauh terlajak. Implikasinya amat besar di pihak penerbit apabila buku lambat siap bagi memenuhi tuntutan kedai buku yang ternama. Sebab itulah juga mengapa editor sering mendesak penulis dan penyunting agar dapat memenuhi tarikh siap yang ditetapkannya. Maka jangan rimas jika editor menghantar e-mel, sms atau menelefon meminta penulis/penyunting mendesak supaya segera disiapkan tugasnya.

Selain itu, penulis juga perlu faham, apabila bukunya telah diluluskan untuk terbitan, ia tidak bermakna bukunya itu siap dalam tempoh sebulan dari tarikh ia diluluskan. Walaupun telah diluluskan, tempoh itu merujuk kepada saat manuskripnya dipilih dan disenaraikan untuk terbit pada sekian-sekian bulan. Dalam erti kata lain, manuskripnya terlebih dahulu perlu masuk ke senarai menunggu. Lantaran itu, ada manuskrip mengambil masa lebih setahun untuk diterbitkan.

Penulis perlu juga faham, di hadapannya telah ada manuskrip yang tiba lebih awal sedang melalui proses penerbitan. Setiap editor menangani bukan satu dua judul buku dalam satu-satu masa, malah lebih kurang 10 judul. Begitulah yang berlaku di kebanyakan penerbit, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa pun. Beginilah situasinya di 'publishing house' yang sederhana besar dengan kapisiti tenaga yang terhad.

Analoginya seperti kita membuat janji temu untuk membuat check up kesihatan di hospital kerajaan. Janji temu telah dibuat setahun sebelumnya, tiba hari yang ditentukan, barulah kita pergi ke hospital. Kemudian perlu pula mengambil nombor giliran dan menunggu seharian sebelum nama kita dipanggil.

Pun demikian, semua pihak sama ada penerbit mahupun penulis, perlulah bersyukur kerana kita kini berada di zaman IT yang serba canggih. Bayangkan pada masa dahulu, penulis perlu mengepos manuskrip. Kini ia hanya perlu die-mel. Tidak sampai dua saat, manuskrip sudah tiba ke tangan penerbit. Seabad dulu, pencetak perlu mengatur huruf (demikian istilah atur huruf wujud dan diguna pakai hingga hari ini) satu persatu untuk setiap helai halaman buku yang hendak dicetak. Kaedah pisah warna (colour-sep) di peringkat pracetak juga sudah tidak diamalkan. Malah sudah banyak kerja-kerja remeh dalam proses penerbitan yang sudah pupus. Semuanya kini sudah berkomputer!

Nasihat saya kepada penulis: SABARLAH!

Tuesday, April 19, 2011

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2011

Kehangatan Pesta Buku Antarabangsa 2011, semakin terasa. Pesta yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan penerbit tanah air, kini kembali dan akan berlangsung selama 10 hari bertempat di PWTC.


PBAKL 2011 akan berlangsung dari 22 April hingga 1 Mei 2011. Maka penerbit-penerbit yang menyertainya akan berkampung di PWTC sepanjang tempoh itu.


Bagi kami di Galeri Ilmu Sdn. Bhd., suasana sibuk makin ketara. Masing-masing sibuk melunaskan tugas yang terpikul di bahu. Ada yang terpaksa kerja overtime hingga kesihatan pun terjejas.


Kerja-kerja 'last minute' sentiasa ada. Itu fitrah dunia penerbitan yang tidak boleh kita elakkan.


Baru sebentar tadi saya menerima panggilan daripada Ustaz Zul Ramli penulis buku U-Turn ke Jalan Lurus, bertanyakan khabar buku terbarunya R&R di Lebuh Raya Kehidupan yang kami sasarkan untuk berada di rak PBAKL nanti.


Buku beliau itu masih dalam proses cetak. Harapan kami, kalau tidak sempat ada pada hari pertama pun, sekurang-kurangnya pada separuh hari-hari berikutnya, buku ini sempat ada di PBAKL.


"Ustaz, untuk buku ustaz seterusnya, ustaz jangan last minute ya ... " ujar saya. Ustaz ketawa di hujung talian.


"Bukan apa ustaz, kalau last minute, macam ni lah jadinya. Kita tak sempat nak semak betul-betul ... kita kena ada tempoh yang selesa untuk semak," tambah saya lagi. Ustaz ketawa lagi, barangkali terasa saya memerlinya.


Buku R&R Di Lebuh Raya ini, agak tebal. Itu yang kami khuatirkan kerana semakin tebal buku, semakin lama masa diambil untuk mencetaknya.


"Nanti ustaz datang ye ke Pesta Buku."


"Datang macam mana kalau buku tak ada."


"Tu la ustaz, lain kali tak boleh last minute.


Ustaz gelak.


"Tak ada buku pun, ustaz kena datang. Tunjuk muka bagitau 'buku, coming soon," saya berseloroh. "Ustaz kena doalah sama-sama, moga buku ustaz sempat siap. Mana-mana yang dah siap tu, kita terus angkut ke Pesta Buku."


Hanya tinggal tiga hari lagi sebelum PBAKL bermula. Masih ada satu, dua buku berbaki yang masih dalam proses pembaikan isi kandungan. Mudah-mudahan sempatlah berada di rak PBAKL, setidak-tidaknya pun pada hari-hari akhir pun sudah kira berbaloi.


Mudah-mudahan PBAKL 2011 berjalan lancar.


Seorang lagi penulis kami (penulis buku Labbaikallah, Tuan Haji Zainal Haji Bujang sehari dua lepas menghantar SMS kepada saya bertanyakan khabar. Beliau ketika itu berada di Tanah Suci. Saya segera merembat peluang itu dan membalas SMS beliau, "Tuan Haji tolong doakan PBAKL nanti berjalan lancar. Doa orang musafir apatah lagi di Tanah Suci sangat makbul."



"Insya-Allah. Akan saya doakan," balas beliau. Alhamdulillah.


Bagi anda yang bercadang ke PBAKL, sudi-sudikan diri singgah ke booth Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Diskaun menarik menanti anda. Booth kami kali ini tidak sukar dicari. Lokasinya betul-betul di pintu masuk sisi, tidak jauh dari pintu masuk utama.

Tuesday, March 8, 2011

PELBAGAI KERENAH PENULIS

Sepanjang terlibat dalam pengurusan penerbitan buku, bermacam kerenah penulis saya temui. Saya senaraikannya menurut populariti:

1. Tidak patuh 'deadline'.
2. Menyepi diri tidak melayan sebarang SMS, e-emel mahupun panggilan telefon penerbit.
3. Bercakap lebih tapi penulisan buku tidak siap-siap.
4. Cerewet.
5. Syok sendiri tapi mutu penulisan hancur.

Ironinya apabila 'musim royalti' hendak dibayar, mereka muncul dengan selamba tanpa silu. Sebagai penerbit mahu tidak mahu, terpaksalah bersabar. Jika di Barat, seseorang penulis dengan kerenah-kerenah di atas, sudah lama tidak akan dilayan oleh penerbit dengan kata lain, "Lantak engkaulah, terbitlah sendiri baru kau tau susah senangnya terbit buku sendiri."

Dek kerana kita orang Timur yang kaya budi bahasa, kita terpaksa telan semua biarpun pahit dan terpaksa menanggung kerugian di sana sini.

Pun demikian, masih ada penulis yang berdisiplin dan ada 'kesedaran sivik'. Patuh deadline, patuh arahan editor, tidak kisah walaupun editor atau penyunting naskhah mencincang habis tulisannya, tidak berkira dengan design buku.

Ah ... saya pasti semua editor senang hati berurusan dengan penulis-penulis begini. Dan editor pula suka hati membimbing penulis ini untuk menghasilkan karya bermutu. Lazimnya mereka terdiri daripada penulis-penulis baru yang baru hendak mencuba nasib dalam bidang penulisan buku.

Tabik spring kepada penulis sebegini. Mereka tidak lupa kepada 'orang-orang' di belakang tabir yang bertungkus-lumus menyiapkan buku mereka hingga selesai terbit. Buah tangan tanpa dipinta tiba-tiba dihulurkan. Malah ada yang menghulurkan seringgit dua untuk beli pisang goreng ketika penat bekerja menyenggara penerbitan buku.

"Sibuk sangat, tak sempat nak menulis," itu alasan lazim lagi klise penulis yang sentiasa melanggar deadline yang diberi. Tetapi saya paling tabik spring kepada penulis yang memang saya tahu sibuk, tapi mampu menyiapkan tulisan mereka biarpun sedikit terbabas deadlinenya.

Penulis yang 'mesra penerbit dan mesra editor ini' sentiasa dalam doa kami. Agar tulisan mereka diberkati, agar mesej Islami daripada buku mereka tembus kepada masyarakat. Bukan keuntungan material semata-mata yang dicari, tetapi yang lebih mahal daripada itu, iaitu 'berkat dan rahmat' daripada Allah. Nasihat saya, kekalkan sikap ini!

Monday, February 21, 2011

MEJA SAYA DI PEJABAT

Semakin Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL) menghampiri, semakin berserabut meja kerja saya. Hampir-hampir saja tiada ruang untuk bekerja.


Sesungguhnya saya cuma mengemas meja kerja saya di pejabat cuma setahun sekali iaitu selepas berakhirnya PBAKL. Galei terakhir tiap-tiap judul buku hanya dibuang setelah buku selesai dicetak. Mana-mana yang tertera ayat al-Quran pula tidak boleh dibuang sembarangan. Perlu disimpan sebelum dibuang dengan cara terhormat.



Sejak dulu hingga kini saya tidak pandai dan tidak selesa bekerja dalam suasana yang kemas dan teratur seperti orang lain. Saya tidak tergolong dalam kalangan orang yang suka berkemas dan saya juga tidak suka orang tolong kemaskan barang keperluan kerja saya. Biarkan saja ia bersepah begitu. Jika diberi sepuluh meja sekalipun, kesemuanya akan jadi bersepah dan tidak akan mencukupi.


Tabiat ini barangkali mengalir dalam darah. Ayah saya juga begini. Sejak dulu hingga kini, bilik studinya tidak pernah kemas.

Macam-macam ada di atas meja saya selain bahan kerja. Dari botol kicap tajaan baki daripada program-program yang dianjurkan, roti, tumbler air dan macam-macam benda lagi semua berkumpul di atas meja.




Entah bila kicap ni nak dibawa balik. Semua staf dapat kicap ni. Tajaan Tamin.































Gambar-gambar ini dirakam sebulan yang lalu. Hari ini berganda-ganda lagi kebersepahannya.