Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts

Tuesday, June 9, 2015

BELAI HAIWAN DI FARM IN THE CITY


Cuti sekolah memang dinanti-nantikan oleh anak-anak kita. Yeehaa ... bukan anak saja, mak bapak pun tumpang gembira bukan sebab turut sama cuti tapi hilang stres dan kelam-kabut sedikit daripada menghantar dan menjemput anak ke sekolah. Jalan raya pun kurang sedikit sesaknya apabila cuti sekolah.

Paling dinanti-nantikan anak, ke mana mereka akan dibawa berjalan.

Ini bukan cerita baharu kerana cuti sekolah yang sekarang ini belum ada cerita jalan-jalannya. Ini cerita cuti sekolah pada bulan Februari lalu. Ke mana kami pergi? Kami berkunjung ke FARM IN THE CITY di Seri Kembangan.

Lebih seronok berbanding ke zoo! Sebab apa? Sebab kita boleh belai-belai haiwannya. Kawasannya pun tidak seluas Zoo Negara yang memenatkan kita berjalan kaki kalau tidak menaiki tram. Kawasannya sedang elok untuk jalan kaki.

Mari kita lihat haiwan apa yang ada di Animal Farm ini.












Boleh naik kuda padi!

Musang ke binatang apa ni?

Tua dah kura-kura gergasi ni. Tengok dia, teringat Master Shifu Oogway ... heehee.



Tuesday, December 2, 2014

MACHANG DI HATIKU


Tiada yang lebih seronok dan mengujakan selain dapat berjalan-jalan makan angin dan melupakan seketika hal ehwal kerja di pejabat.

Walaupun telah lama berlalu, saya masih mahu abadikannya di sini percutian di kampung pada 16 September lalu (cuti umum Hari Malaysia).

Sudah lama tidak berkereta pulang ke kampung. Cuma saya, emak dan anak. Kami tiga beranak saja. Sudah bertahun-tahun jugalah saya tidak memandu sendiri pulang ke kampung.

Alhamdulillah, di luar musim perayaan, jalan raya agak tenang dan kurang memenatkan.

Terubat rindu pada nenda yang sudah sekian lama saya tidak berpeluang menjenguknya. Puas juga dapat ke sana ke mari ke mana sahaja hendak pergi kerana bawa pulang kenderaan sendiri (err ... pinjam kereta adik sebenarnya).

Yang selalu diharapkan anak saya kalau pulang ke kampung ialah ke Hutan Lipur Bukit Bakar. Mandi sungai. Pernah agak lama juga saya tidak layan permintaannya untuk mandi-manda di situ setelah ada laporan tentang ada pengunjung terkena kencing tikus.

Seterusnya yang wajib pergi dan tidak ketinggalan ialah ke pekan Machang sendiri. Wah, ada benda menarik kali ini. Street Art di Lorong Cek Mek Molek. Tahniah kepada adik-adik pelajar yang mengubah wajah lorong tersebut yang dahulunya berlumut dan tidak selera orang hendak lalu di situ.

Dan yang paling teruja kalau balik kampung, kami pastikan menempuh hari Isnin, kerana tak mahu ketinggalan Pasar Isnin yang memenuhi segenap jalan raya di pekan Machang. Macam-macam ada. Bagi yang kaki shopping, inilah masanya. Dari barang-barang antik, kain baju, buah-buahan, sayur kampung dan sayur tak kampung, semuanya ada. Saya pula selalu menunggu peluang ini untuk membeli makanan yang sukar ditemui di negeri lain!

Pasar Isnin sehingga tengah hari. Namun kemeriahan pekan Machang akan berterusan hingga malam kerana akan disambung oleh pasar malam pula.

Yang bagusnya, apabila azan berkumandang, penjual akan meninggalkan barang jualan masing-masing untuk menyahut seruan-Nya di Masjid Sultan Yahya Petra di seberang jalan!

Tumpang duduk sejenak di anak tangga untuk makan!
Sempat juga kali ini merakam gambar Masjid Sultan Yahya Petra di pekan Machang yang memenangi anugerah Johan Masjid Daerah terbaik peringkat kebangsaan 2014. Tahniah kepada pihak pengurusan masjid! Kami tumpang bangga!

Hasil kreativiti anak-anak muda. Terbaik!













Wajib ke Hutan Lipur Bukit Bakar jika cuaca elok.

Tahniah Masjid Sultan Yahya Petra!
Beginilah sibuknya Pasar Isnin.

Ini buah yang 'rare' jarang dijumpai zaman ini. Apa namanya pun saya dah lupa. Boleh ditemui di Pasar Isnin.

Barang tembaga antik pun ada!

Tak kira panas atau hujan, tetap dikunjung orang ramai.


Aneka juadah menyelerakan.

Minyak wangi bermacam aroma!

Kain ela corak up-to-date!

Tuesday, May 20, 2014

TIP MEMBELI COKLAT DI LANGKAWI

Jalan-jalan ke Langkawi baru-baru ini memang saya sasarkan untuk beli coklat. Tidak periuk belanga atau Toto seperti sesetengah pengunjung lain!

Kalau ke sana belilah coklat. Untuk tahu coklat terbaik, cari yang dari negara pengeluar yang terkenal dengan coklat yang terbaik: Antaranya:

1. Belgium
2. Switzerland
3. Italy
4. France
5. Spain
6. Mexico
7. Germany

Belgium misalnya terkenal dengan 'fine chocolate' yang hampir kesemuanya handmade.

Nak tahu coklat yang sedap?

Yang cepat cair & alah kepada suhu! Itu yang terbaik, masuk mulut terus cair. Pegang beberapa saat terus lembik & mencair!

Tak semestinya tak ada tanda halal bererti ia haram dimakan, namun haruslah diteliti ramuannya ketika membeli!

Go for Belgian/Guylian Chocolate ... (so cheap in Langkawi). (Saya beli berkotak-kotak).


Tesco: RM30+/box. Langkawi: Only RM9.90, RM12.90/box. Same box, same brand, same weight not the same price ... laaalalaaa!

Belgian and Guylian Chocolate anyone?
Guylian: Certified halal by EuroHalal Office!



Thursday, May 15, 2014

REZEKI SELEPAS SUBUH

Hari terakhir di Langkawi, selepas sarapan di hotel, kami bertiga (saya, adik dan anak) terus keluar meninjau kedai-kedai berdepan dengan hotel penginapan.

Menunggu kedai-kedai sekitar pekan Kuah dibuka.
Suasana masih lengang dan belum ada kedai yang dibuka. Hajat di hati mahu menambah beberapa belian coklat lagi.


Memang hari masih terlalu awal. Kami duduk dan mundar-mandir, malas untuk pulang ke bilik, nanti kena turun semula.

Berjalan sana-sini. Bazar sederet juga belum dibuka. Tidak lama kemudian kami lihat ada satu kedai dari deret ini sedang dibuka.

Satu-satunya gerai yang memulakan perniagaan seawal jam 8.15 pagi. Yang di kiri kanan masih bertutup litup.
Kami sambung menyusuri kaki-kaki lima kedai pula. Bertembung dengan seorang ibu muda sedang mendukung anak dari arah bertentangan. Tergesa-gesa lagaknya, tidaklah kami tahu dia hendak ke mana.

Jam baru sekitar 8.15 pagi.

Kerana masih belum ada kedai lain yang beroperasi, maka langkah kaki, kami aturkan ke kedai kecil bazar yang satu-satunya baru dibuka tadi. Bergantungan pakaian jualannya. Sebaik tiba di kedai itu, kami belek-belek T-shirt yang digantung. Tiada tuan kedai.

T-shirt Muslimah cantik-cantik dan berkualiti pada harga rendah. Sangat berbaloi!
Seketika kemudian, kelihatan tuan kedai berlarian anak kembali ke kedai apabila melihat kami, (pelanggan sudah datang!)


Rupa-rupanya tuan kedai itu wanita muda yang mendukung anak tadi. Tadi dia tergesa-gesa untuk membeli sarapan. Sekarang dia tergesa-gesa pula sambil mendukung anak untuk melayan pelanggan.


Apabila ditanya, harga-harga baju yang dijual, dia menjawab "Sebab pelanggan pertama, awal datang, kita bagi murah-murah sudahlah."

Masya-Allah, harga diturunkan sebegitu rendah! Kualiti baju pula bagus. Tidak dapat harga sebegini untuk t-shirt Muslimah.

Daripada harga yang telah diturunkan, kami bertanya lagi kalau-kalau boleh diturunkan lagi.

Subhanallah. Apa yang dijawab tuan kedai muda ini, "Bolehlah, tak pa, awal pagi kita bagi harga turun."

Kalau diminta lagi, saya yakin dia sanggup memberinya. Tapi sebagai pelanggan, kita juga perlu ada rasa 'minta diskaun pun berpada-padalah'.

Maka beberapa helai t-shirt dirembat untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh kepada anak-anak saudara nanti.

Sifir perniagaan wanita ini mudah saja, dia percaya kepada REZEKI SELEPAS SUBUH. REZEKI AWAL PAGI.

Katanya selepas solat Subuh, dia terus membuka kedai dan memulakan operasi perniagaan.
Rangkaian kedai Haji Ismail paling awal pun mula urusniaga jam 9.30 pagi.

Sementara menunggu kedai dibuka, singgah di kedai kopi untuk hilang dahaga akibat bahang walaupun masih awal pagi. (walhal baru bersarapan di hotel).
Percayalah, rezeki awal pagi memang luas, sebagaimana burung-burung keluar dari sarangnya mencari rezeki pada awal pagi. Paling tidak, rezeki awal pagi, kita dapat menikmati jalan raya yang masih lengang dan parkir kereta yang masih kosong dan masih banyak pilihan.

Bagi wanita ini, rezeki awal paginya adalah kami sebagai pelanggan pertamanya. Allah gerakkan kami untuk ke gerai kecilnya untuk membeli-belah! Dan rezeki juga untuk kami, dapat membeli baju pada harga murah! Allahu Akbar!

Saya doakan wanita muda ini dimurahkan rezeki sepanjang hidupnya kerana berpegang dengan sunnah! Aamin.

Renung-renungkan!





Friday, February 7, 2014

MENGHAYATI RIADAH SUNNAH

Sesekali jalan-jalan makan angin amat berbaloi lebih-lebih lagi jika diselitkan sedikit dengan penghayatan sunnah Nabi SAW.

Memanah dan menunggang kuda adalah kategori sukan sunnah Nabi SAW ...(walaupun dalam erti kata sebenar kami tidak 'menunggang'nya kerana tidak pandai ... ditarik talinya oleh si tuan penjaga kuda heee2).

Pengalaman dikutip dalam kabus tebal lagi dingin Bukit Fraser! Kuda pun kuda lumba yang sudah pencen dari arena perlumbaan. Ia dibawa ke sini untuk tunggangan pengunjung.

Memanah pula tidaklah mudah untuk tepat mengenai sasaran. Banyak yang 'tersasar'. Bagaimanapun kanak-kanak tidak dibenarkan memanah, sebaliknya boleh cuba menyumpit!