Showing posts with label Ayah Mendidik. Show all posts
Showing posts with label Ayah Mendidik. Show all posts

Thursday, November 3, 2011

MENANGANI SALAH FAHAM AGAMA DALAM BERAMAL

Tidak sabar rasanya menunggu kelahiran majalah baru terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Q&A itulah nama majalah tersebut. Jika ditanya, mengapa tidak sabar? Bagi saya, kerana para kolumnis/penulisnya terdiri daripada para ulama dan pendakwah hebat lagi tersohor di tanah air kita.

Sidang editorial Q&A di Jabatan Penerbitan kini sedang bertungkus-lumus dan bekerja keras bagi memastikan penerbitannya berjalan lancar dan menjadi realiti, insya-Allah.

Q&A diterbitkan bagi menangani salah faham agama dalam beramal. Pelbagai fahaman dan amalan songsang dalam beragama kini semakin menular di Malaysia ini: Syiah, Wahabi, dan bermacam ajaran sesat.

Ajaran-ajaran ini semakin hari semakin menyesatkan umat Islam di negara ini. Jika tidak ditangani dan dibendung, tidak mustahil umat Islam Malaysia yang bertaklidkan Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaa'ah bakal terancam (tepatnya sedang terancam kini).

Maka itulah, lahirnya majalah Q&A ini yang insya-Allah akan terbit sedikit masa lagi.

Teringat pada kisah yang Ayah saya ceritakan. Pada suatu hari seorang hamba Allah berdialog dan mencabar Ayah saya. Hamba Allah ini mentalitinya nampak cenderung ke arah fahaman Wahabi. Dia mempersoalkan tentang banyaknya amalan umat Islam hari ini yang bidaah, tidak disuruh oleh Allah dan Nabi SAW. Itu ini bidaah.

"Bidaah," katanya. "Tak ada dalam al-Quran," ujarnya lagi. Menurutnya banyak zikir dan doa termasuk yang ada dalam al-Ma'thurat itu adalah bidaah dan tidak wajar kita amalkan. Baginya, apa yang tidak diajar dan diperintah oleh Allah melalui al-Quran semuanya adalah bidaah.

Sebagaimana yang kita maklum dan faham, bidaah itu ada yang elok dan tidak elok. Yang elok itu dinamakan bidaah hasanah. Harus kita amalkan. Bidaah yang nyata salah, hendaklah ditinggalkan.

Lalu Ayah saya menjawab dengan pertanyaan kepada hamba Allah ini, "Kamu kalau demam, macam mana nak buat?"

Jawab hamba Allah ini, "Saya makan Panadol."

Jawab Ayah saya, "Pasal apa makan Panadol? Bukankah di dalam al-Quran Allah tidak menyuruh kita makan Panadol bila sakit? Tidak bidaahkah?"

Kantoilah hamba Allah ini, lalu terdiam.

Pengajarannya, kalau ilmu agama cetek jangan mencabar orang yang lebih berpengetahuan. Dan kalau ilmu kita juga cetek, jangan cuba-cuba menyahut provokasi orang berfahaman songsang seperti si Wahabi ini, kerana berkemungkinan kita akan kalah berhujah dengannya. Malah jawapan kita mungkin menjadi bahan ketawanya dan boleh dimanipulasikan olehnya. Biarlah alim ulama saja yang menjawabnya. Pun demikian, dari semasa ke semasa hendaklah kita tingkatkan ilmu agama kita dan beramal sungguh-sungguh, agar suatu masa nanti, kita juga mampu berhujah dengan golongan ini.

Maka, dapatkan majalah Q&A apabila dipasarkan nanti untuk memperkasakan ilmu di dada.











Barisan panel penulis Q&A.


Thursday, October 27, 2011

KESAN ZIKIR

"Ustaz, semakin banyak saya berzikir mengingati Allah, semakin banyak pula ujian menimpa. Macam mana ya ustaz? Bukankah dengan zikrullah hati semakin tenang, Allah semakin sayang?" Ayah saya pernah diajukan soalan sedemikian.

"Itulah kesannya. Semakin banyak kita mengingati Allah dengan zikir, semakin banyak ujian. Ujian itu menunjukkan perhatian yang Allah beri kepada kita kesan daripada zikir yang kita buat." Lebih kurang begitu jawapan yang Ayah berikan.

Kemudian Ayah memberi analogi, "Apabila kita demam kita telan Panadol, makan ubat. Apabila ubat tu sudah menampakkan kesan, kita jadi kebah, segar dan sakit-sakit mula kurang. Begitu jugalah kesan zikrullah. Ujian-ujian yang datang itulah kesannya. Cara Allah begitu, semakin Dia sayang, semakin banyak ujian yang dia beri. Itu cara Dia untuk mengangkat darjat kita ke tahap yang lebih tinggi ... ."

Saya mendengar penjelasan dan anologi itu penuh khusyuk. Jika kita berzikir, tapi ujian tak seberapa, ertinya zikir kita itu belum menampakkan kesannya. Kita belum mendapat perhatian daripada-Nya. Barangkali hanya lidah yang berzikir, tapi hati kita tetap kering kerana tiada keikhlasan ketika berzikir. Itu rumusan yang saya buat!

Zikir, tidak susah untuk dilakukan, tapi amat payah untuk kita jadikan amalan harian yang tegar dek kerana diri diselimuti noda dosa yang tidak berkesudahan.

Aduhai ...

Thursday, August 11, 2011

TELEFON BIMBIT LAHIRKAN GENERASI BIADAB TERHADAP ALLAH

"Sesiapa yang ada handphone, sila matikan kerana kita sekarang berada dalam majlis ilmu Allah. Sebarang gangguan, akan menghilangkan berkatnya," ujar ayah sebaik memulakan kuliah agamanya. Maka, semua hadirin mematikan telefon bimbit masing-masing. Bukan 'silent mode', tapi memang dimatikan.

"Tiada panggilan yang lebih penting selain daripada panggilan Allah," demikian bunyi pesanan yang ditampal di dinding bersama gambar isyarat supaya dimatikan telefon bimbit tatkala melangkah masuk ke rumah Allah, sama ada musolla, surau atau masjid. Mendalam mesejnya, tetapi berapa ramai yang mematuhinya?

Ayah saya mengkategorikan orang yang sentiasa berkepit dengan telefon bimbit yang tidak dimatikan di tempat-tempat sedemikian sebagai orang yang sangat biadab kepada Allah. Tidak menghormati majlis dan tempat-tempat mulia sedemikian.

Merenung kembali kata-katanya itu, benarlah apa dimaksudkannya itu.

Inilah sebabnya mengapa kebanyakan kita susah menerima ilmu yang disampaikan, biarlah beribu kuliah agama pun yang kita hadir dan dengar, perangai dan akhlak kita tetap begitu juga. Tiada peningkatan.

Apa tidaknya, dalam halaqah ilmu yang kita duduk itu, sesekali kedengaran bunyi deringan telefon bimbit. Beraneka nada dering kedengaran, yang kekadang mengundang sindiran halus daripada ustaz-ustaz yang sedang menyampaikan kuliahnya.

Bukan fokus si pemilik telefon itu saja yang terganggu dek deringan itu, bahkan seluruh hadirin hilang khusyuknya terhadap ilmu yang disampaikan. Deringan itu berbunyi hanya beberapa saat, namun ia telah memutuskan talian berkat!

Panggilan dan SMS menjadi teman akrab walau di mana manusia hari ini berada. Malang sungguh! Bagi golongan muda yang sedang mabuk bercinta, berbalas-balas SMS menjadi perkara lumrah dan terbawa-bawa hingga ke majlis ilmu. Sungguh cuak melihatnya. Majlis semulia itu dicemari dengan jari-iemari menekan-nekan pad kekunci telefon bimbit. Itu belum lagi diambil kira 'melayan laman sosial' di telefon.

Tidak perlu melihat jauh, di tempat saya bekerja ini pun (maaf, ini kisah membuka pekung), sebelum mula kerja, staf akan berkumpul untuk bacaan doa. Bacaan doa tidak sampai pun dua minit. Tapi ada juga yang sanggup menjawab panggilan telefon lantaran telefon tidak dimatikan. Cacat sudah majlis doa!

Tidak bolehkah ditumpukah seketika untuk menghayati bait-bait doa yang dipanjatkan? Bukan lama pun, cuma beberapa saat. Walhal, doa dalam kehidupan seorang Muslim amatlah penting, bahkan menjadi senjata dan pelindung orang Mukmin! Penting sangatkah panggilan itu berbanding munajat kita kepada Yang Maha Kuasa?

Itu baru majlis bacaan doa. Belum disingkap surau wanita yang rakan sekerja menggelarkan surau wanita ini 'pasar ikan'. Surau itu rumah Allah, tapi sentiasa dicemari dengan pelbagai bunyi daripada telefon bimbit dan dilatari pula suara sumbang dan gelak ketawa.

Teringat saya kepada kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Amaluddin semasa di pejabat lama dahulu, apabila ada orang sedang solat, maka orang lain yang berada di situ hendaklah diam.

Sebarang bunyi tentu akan mengganggu khusyuk orang yang sedang bersolat. Pun begitu, tidak semua surau wanita bising. Ketika saya berkunjung ke beberapa negara Arab, bahagian jemaah wanita di masjid tidaklah bising biarpun jemaahnya ramai. Mereka amat menghormati rumah Allah tanpa membuat bising. Maka kesimpulan yang saya dapat, akhlak wanita Islam Malaysia (orang Melayu khasnya) apabila memasuki rumah Allah sangatlah rendah! Sungguh biadab.

Allahu akbar!

Saya percaya 95 peratus SMS dan panggilan yang diterima saban hari terdiri daripada hal-hal yang remeh-temeh, bukan mustahak. Maka berusahalah untuk tidak melayan seketika telefon itu.

Setidak-tidaknya apabila berada di rumah Allah, atau di majlis-majlis ilmu silent modekan telefon anda. Jika mendapat panggilan atau SMS, beritahulah pemanggil atau penghantar SMS, "Saya akan hubungi kembali selepas selesai majlis ilmu ini."

Alasan 'lupa nak offkan' atau 'lupa nak silentkan' sudah lapuk dan klise.

Teringat kepada seorang pemanggil di Sinar Pagi, beliau meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa apabila terdengar deringan telefon jemaah ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan. Komen Abang Jem (Salih Yaakob), "Matikanlah telefon tu, lepas tu tanam."

Tika orang lain menjadikan telefon masing-masing bagaikan nyawa, saya tidak menjadikan telefon bimbit sebagai benda penting dalam hidup saya. Lantaran itu, saya kerap meninggalkan telefon saya di merata tempat. Maka apabila hilang atau terlupa bawa, saya tidak berasa gelisah sangat. Malah ketika anak-anak muda berlumba-lumba membeli telefon canggih model terkini, saya masih menggunakan telefon bimbit basic. Lampu skrinnya pun masih berwarna kuning. Lima, enam tahun sudah usianya.

Ketahuilah, telefon bimbit anda itu, turut akan dipanggil menjadi saksi di mahkamah Allah nanti.

Wednesday, May 18, 2011

RAHSIA 40

"Empat puluh ada rahsianya," ujar ayah saya kepada sidang kelasnya pada suatu hari Sabtu malam Ahad. Dia menghuraikan hadis 40. Setiap dua minggu pada hari Sabtu berkumpullah murid-muridnya di rumah menuntut ilmu agama.

"Kata Imam Ghazali, orang yang berumur empat puluh tahun, tapi masih tak berubah-ubah, susahlah nak berubah ... ." Saya kekadang menelinga juga kuliah Ayah dari sebelah almari yang memisahkan di antara ruang tamu dan ruang santai.

Rupa-rupanya, angka 40 ini banyak fadilatnya.

"Kalau anak-anak bermasalah, keluarga bermasalah, maka ketua keluarga perlu membetulkannya. Tidak boleh biarkan keluarga kita begitu saja.

"Kalau mahu melihat anak kita berubah, maka cubalah seorang ayah ajak anak berjemaah Subuh di masjid tanpa tertinggal takbir pertama selama empat puluh hari. Kalau anak tidak mahu, mulakan dengan diri kita dulu. Insya-Allah, anak akan berubah, keluarga kita akan berubah ... .

"Pernah seseorang datang berjumpa saya mengadu perniagaan restorannya ada masalah, maka saya sarankan dia berjemaah Subuh di masjid selama empat puluh hari berturut-turut tanpa tertinggal satu pun takbir pertama. Dan dia buat. Kemudian dia datang berjumpa saya dan memberitahu perniagaan sudah tak ada masalah, malah bertambah baik. Sejak itu, dia tidak pernah tinggal berjemaah Subuh di masjid," ujar Ayah.

Saya yang mendengarnya mengangguk-angguk, mula faham mengapa banyak keluarga hari ini bermasalah. Anak-anak sukar dibentuk, degil tak mendengar kata. Rahsianya pada angka 40 yang perlu dilaksanakan oleh ketua keluarga.

Maka, jangan kita salahkan anak-anak atau isteri jika mereka membawa masalah, semuanya berpunca daripada si ayah atau suami yang membelakangkan perintah Allah!

Hari ini berapa banyakkah para bapa/suami yang membelah kedinginan pagi Subuh untuk berjemaah di masjid? Kalau ada pun ada yang kantoi di tengah jalan tidak genap 40 hari berturut-turut atau tertinggal takbir pertama.

Monday, March 28, 2011

BISMILLAH (PERKONGSIAN)

"Sebelum tidur tu baca bismillahirrahmanirrahim dua puluh satu kali," pesan Ayah apabila dia menjenguk kami adik-beradik sebelum terlelap. Itu pesan Ayah berpuluh tahun dahulu.

Seingat saya, saya belum lagi menjejak kaki ke sekolah rendah, lima enam tahun mungkin usia saya ketika itu. Maka mulut saya terkumat-kamit membaca kalimah suci itu dengan menggerakkan jari tangan untuk mengira agar cukup 21 kali, tidak kurang tidak terlebih. Amalan membaca bimillah 21 kali itu saya amalkan hingga kini.

Pada sesi kuliah agama ayah dua hari lalu pun, Ayah saya mengingatkan murid-muridnya akan hal ini. Ayah juga berpesan agar diajarkan pula pada orang lain khasnya kepada anak-anak kita.

"Tak susah nak diamalkan oleh anak-anak kita," kata Ayah. "Sangat besar fadilat baca bismillah dua puluh satu kali sebelum tidur ini," katanya.

"Amalan ini menyelamatkan kita daripada empat perkara," sambung Ayah lagi. Kesemua muridnya pada malam itu khusyuk mendengar, saya sekadar memasang telinga kerana pada waktu yang sama mata terarah ke TV menanti pengumuman juara Akademi al-Quran kelima. Lebih-lebih lagi suara TV diperlahankan bagi menghormati sesi kelas agama Ayah yang berlangsung di ruang tamu.

"Membaca bismillah dua puluh satu kali ini memelihara kita daripada gangguan syaitan, menyelamatkan rumah kita daripada kebakaran, mengelakkan kita mati mengejut dan yang keempat menghindarkan kita daripada bencana-bencana lain," ujar Ayah.

Ya, itulah hikmah membaca bismillahirrahmanirrahim 21 kali sebelum melelapkan mata pada malam hari. Sila sampaikan kepada kawan-kawan, dan ajarkan kepada ahli keluarga kita, khasnya anak-anak kita kerana ia amat mudah untuk diamalkan sekalipun anak-anak masih kecil.

Monday, March 14, 2011

JENTIKAN KEDUA

Saya kira bencana yang melanda di negara Matahari Terbit dua tiga hari lepas merupakan jentikan kedua Allah Taala, selepas Dia menjentik Aceh pada 2004. Selang tempoh 2004 ke 2011, ada beberapa siri jentikan kecil di sana sini daripada-Nya.

Mengapa saya mengatakan 'jentik'? Kerana Allah baru menjentik, belum lagi dengan kuasa-Nya yang Maha Kuat. Jepun, antara negara paling maju tamadunnya, ranap sekelip mata. Ditambah buruk lagi dengan bencana buatan sendiri dengan membina loji nuklear.

Pun begitu, manusia hanya insaf seketika dan selepas itu kembali alpa, walhal Allah menjentik itu dengan tujuan supaya manusia kembali merujuk kepada-Nya. Ini termasuklah diri saya sendiri yang serba hina.

"Jangan dimaki setiap bencana yang datang," itu tazkirah yang ayah saya lontarkan sewaktu menonton berita bencana di Jepun. "Bencana yang datang itu hanya menurut perintah daripada Tuhan."

Saya perhatikan, penduduk Jepun lebih tenang menghadapi bencana ini berbanding mereka di Aceh dahulu, walhal penduduk Jepun tiada agama yang khusus, manakala penduduk Aceh majoritinya orang Islam. Malah tempias tsunami 2004 turut mengena pantai kita, itu pun ada yang merungut dan tidak melihatnya dari sudut 'bencana itu datang kerana mematuhi perintah Allah, Maha Pencipta."

Andainya tragedi itu berlaku di negara kita, mungkin saya juga menjadi seperti orang di Aceh kerana iman saya tersangat lemah. Mampukah saya menerimanya sebagai ketentuan daripada-Nya dengan redha?

Tuesday, November 10, 2009

SAYA BUKAN 'OKU'

Saya kekadang bengang apabila terpaksa bersusah-payah mencari tempat letak kereta di beberapa lokasi tertentu. Bukan tidak ada petak *parkir ... banyak! Tetapi petak-petak ini telah diisi sama ada oleh motosikal ataupun oleh pengusaha gerai atau restoran yang menempatkan kerusi dan meja makan pelanggan.

Saya memang naik angin setiap kali masalah ini menimpa diri. Berpusing-pusing bawa kereta mencari kekosongan tempat letak kereta. Lebih-lebih lagi ketika cuaca panas terik—memanaskan lagi darah yang sedia panas, penyaman udara pun bagaikan tidak terasa.

Masa lebih banyak dihabiskan untuk mencari parkir berbanding menyelesaikan urusan di situ. Sudahlah kita sentiasa berkejar dengan masa. Eeeee ... geram betul! Petrol kereta pun membazir dek berpusing-pusing mencari petak letak kereta.

Jika anda pemandu motosikal, letaklah di tempatnya, bukan mengambil tempat kenderaan lain. Jika anda pengusaha kedai/gerai makanan berpada-padalah juga!

Teringat saya pada kuliah Ustaz Sabri Abd. Rani sewaktu di pejabat lama dulu. Katanya sewaktu memandu di lebuh raya jika kita menggunakan lorong kecemasan dengan sengaja tanpa sebab kecemasan, dan pada ketika itu ada kenderaan lain dalam kecemasan yang perlu menggunakan lorong itu, maka akibat tindakan kita itu berdosa besarlah kita jika menyusahkan orang itu!

Maka, samalah juga dalam situasi ini, apabila anda menyusahkan orang lain, maka berdosalah anda!

Ayah saya juga pernah mengingatkan, apabila mahu meletakkan kereta, jangan sampai menghalang orang, jangan sampai menyusahkan orang lain dan jangan sekali-kali letak di garisan kuning!

Kini di pejabat baru ini, di Kota Damansara ... di tiap hujung petak-petak parkir, disediakan khas petak parkir untuk kegunaan OKU. Gambar yang tertera atas petak itu jelas menunjukkan ia khas untuk kegunaan OKU. Ini bagi memudahkan golongan ini untuk turun dan naik kenderaan mereka.


I certainly won't park my car here !

Memandang kita jarang berjumpa OKU yang menggunakan petak ini, maka petak parkir ini sentiasa terisi dengan kenderaan orang-orang sempurna pancainderanya. Antara yang sering meletakkan kenderaan mereka tak lain tak bukan rakan-rakan sepejabat saya sendiri, kekadang yang berstatus bos pun sama juga perangainya.

Saya mahu tanya ... sepanjang anda berada dan bekerja di dalam pejabat, bolehkah anda tahu kalau-kalau ada OKU di luar sana? Wah ... hebat macam Tuhanlah kalau anda tahu!

Setiap hari kita menganggap ‘tidak akan ada’ OKU akan menggunakan petak itu, lalu kita dengan selamba meletak kereta kita di situ.

Saya tidak sekali-kali akan meletakkan kereta saya di situ. Saya takut berdosa andai pada waktu meletakkan kereta saya itu benar-benar ada OKU di bawah yang mencari-cari tempat sesuai untuk meletakkan kenderaannya (walaupun OKU itu hanyalah seorang penumpang, bukan pemandu).

Biarlah letak jauh jauh sedikit, saya tidak kisah berjalan selangkah dua.

Saya juga takut kalau-kalau Tuhan benar-benar menjadikan saya seorang OKU.

“Kalau engkau nak sangat letak kereta di situ ... ” kata Tuhan, “ ... nah, kun fayakun ... ” maka, jadilah kita OKU. “Sekarang barulah engkau layak letak kereta di petak itu,” kata-Nya lagi.

Na u’zubillah, minta Allah jauhkan!

Kepada pengusaha restoran pula yang suka meletakkan kerusi/meja di petak letak kereta dan juga di kaki-kaki lima kedai hingga menyusahkan orang hendak lalu lalang ... fikirkan, adakah pendapatan anda dari situ halal dengan cara menyusahkan orang lain? Jangan kerana mahu mencari untung lebih, anda menyusahkan orang lain pula.

Sikap orang kita memang begitu. Biar orang lain susah, asalkan dirinya senang! Orang sedemikian, saya anggap biadab dan tiada budi bahasa!

-----

*parkir (saya tidak suka bunyi perkataan ini, buruk benar bunyinya, tapi saya gunakan juga walaupun menyampah).

Monday, August 10, 2009

PETUA HINDAR SELESEMA BABI (H1N1)

Syukur saya panjat kepada Allah taala kerana menganugerahkan saya seorang ustaz sebagai ayah!
Ayah saya memang banyak doa dan zikir untuk amalan harian (cuma kami anak-anak ni kekadang terlupa nak mengamalkannya). Tapi anak-anak murid yang berguru dengannya sering mencari ayah tidak mengira waktu untuk mendapat panduan daripadanya.
Memandangkan wabak Selesema Babi semakin kritikal, maka Sabtu lalu Ayah telah memberi satu lagi bacaan ringkas untuk kami, anak-anaknya.
"Hebahkan pada kawan-kawan," beritahu ayah.
Maka di sini saya perturunkan apa yang telah diamanatkan oleh Ayah.
Bacaannya ringkas sahaja:

"Salaamun qaulanmirrabir rahiim."
(Yaasin: 58)
(Sejahtera! Sebagai ucapan
daripada Tuhan Yang Penyayang)
"Baca setiap hari sebanyak 28 kali. Seelok-eloknya selepas Subuh," kata Ayah.
Selamat beramal dengannya! Mudah-mudahan kita sama-sama terhindar daripada penyakit yang berbahaya ini.

Monday, June 15, 2009

WAKTU UNTUK BERSERAH BULAT PADA-NYA!

Mengikuti perkembangan H1N1 (selesema babi) kini, memang meresahkan. Negara kita juga tidak terkecuali, turut menular.

Saya kini dalam keresahan kerana suami sedang berada di Bangkok untuk membentangkan kertas kerja di Universiti Chulalongkorn dan kemudian akan turun ke selatan untuk meneruskan penyelidikan di Amphawa bagi pihak Unesco.

Biarpun Thailand bukan negara wabak H1N1, saya tetap resah. Perjalanan ke luar negara kini mendedahkan sesiapa saja kepada penyakit ini.

Bukan H1N1 sahaja yang membimbangkan, perkembangan politik di Thailand juga menyumbangkan kepada kegelisahan. Mujur juga Amphawa bukan kawasan paling selatan yang kini sedang bergolak dengan peristiwa berdarah!

“Tak bahaya ke pergi sekarang?” soal saya kepadanya dua hari sebelum berangkat.
“Sampai bila nak tunggu tak bahaya…orang dah panggil ke sana nak buat macam mana,” itu jawapannya.

Memang kita terpaksa akur dengan fitrah kerja yang membawa kita ke mana sahaja di dunia ini demi mencari rezeki. Itu tidak dapat dielakkan. Dahulu saya juga beberapa kali ke luar negara kerana memikul tugas. Justeru, saya amat faham!
Ya, dalam permusafiran, kita tidak dapat mengagak situasi yang kita tempuh, sama ada bahaya atau sebaliknya. Segalanya di luar jangka dan di luar mampu manusia untuk mengawalnya. Sesungguhnya kita tidak mampu melawan takdir.

Dalam keadaan sebegini, hanya satu yang dapat dilakukan, iaitu berserah bulat kepada Allah taala agar semuanya selamat.

Bagi sesiapa yang bakal ke luar negara, suka saya perturunkan doa yang mudah untuk dihafal ini. Doa ini telah diberikan Ayah sewaktu saya masih di bangku sekolah—dipesan supaya mengamalkannya selalu agar sentiasa berada dalam perlindungan Allah setiap waktu. Doa ini juga telah diajarkan Ustaz Shukri dalam kuliah mingguan di pejabat kami. Kata Ustaz Shukri, doa ini hendaklah kita baca bagi mengelak takdir buruk apabila kita melangkah keluar dari rumah!
A ‘uu zubikalimaatillahi taamaati min syarimaa khalaq. (3x).
Ya Allah, aku berlindung dengan kalimah firman-Mu yang sempurna daripada kejahatan
apa-apa yang diciptakan. (3x)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca pada waktu petang sebanyak tiga kali: ‘A ‘uu zubikalimaat …’ nescaya dia tidak akan terkena bahaya racun atau sengatan serangga berbisa pada malam itu.” (Riwayat Ibn Hibban dalam buku beliau Sahih Ibn Hibban).

Satu lagi doa yang elok juga kita sama-sama amalkan:

Bismillahi lazii laa yadhurru ma‘asmihi
syai un fil ardh,
walaa fissamaa' i wahuas sami ‘ul ‘aliim. (3x)
Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya akan terpelihara segala sesuatu di bumi
dan di langit untuk dapat menimpakan bencana.
Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui. (3x)

Diriwayatkan daripada Uthman bin Affan r.a, katanya: Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa sahaja daripada kalangan hamba Allah yang membaca pada setiap hari ketika pagi dan petang Bismillahi lazii laa yadhurru ma‘asmihi syai un … sebanyak tiga kali, nescaya dia tidak terkena sebarang mudarat.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi. Menurut Tirmizi, hadis ini dinilai Hasan Sahih)

Wallahu a’lam.

Thursday, May 28, 2009

ILMU TANAK NASI

(KHAS UNTUK ADIK-ADIK DAN ANAK-ANAK YANG MAHU BELAJAR MASAK NASI)

Jika diberi periuk nasi elektrik (rice cooker) dengan periuk biasa untuk tanak nasi, saya akan memilih periuk biasa sekiranya jumlah beras sekadar dua, tiga cawan. Saya lebih selesa dengannya.

Saya pandai memasak nasi menggunakan periuk biasa pada usia 15 tahun—sudah dikira agak lewat pandainya tu! Sebelum itu saya lebih mahir menggunakan periuk elektrik. Pada masa itu saya menyangka periuk elektriklah paling mudah. Kini bila sudah ada ilmu memasak nasi, rupa-rupanya periuk nasi biasa lebih mudah dan tidak kurang manfaatnya.

Ada tiga orang guru yang telah perturunkan ilmu menanak nasi mereka kepada saya.

Sukatan air
Orang pertama ialah ayah saya sewaktu percubaan pertama saya masak nasi menggunakan periuk nasi elektrik. Saya sudah lupa apa sebabnya ketika itu hingga memaksa saya masak nasi sendiri. Selalunya Emak yang masakkan. Ke mana perginya Emak waktu itu, tidaklah ada dalam ingatan saya. Apa yang saya ingat ialah Ayah ajar cara mengukur sukatan air beras yang hendak ditanak.

“Ukur guna ruas jari … ” kata Ayah.
“Aaaa … ruas jari? Mula dari mana?” soal saya sambil membawa periuk dan mengunjukkannya kepada Ayah.
“Macam ni?” soal saya sambil menusuk jari ke dalam beras hingga ke dasar periuk.
“Jari atas (permukaan) beras …. Ukur air sampai seruas jari …”

Itu berkenaan sukatan air untuk tanak nasi sama ada periuk biasa atau elektrik, kaedahnya sama saja. Setelah mahir, saya tidak lagi perlu mengukur dengan jari.

Periuk ‘manual’
Orang kedua ialah emak saudara saya Cikgu Roihana. Semasa usia 14 tahun pada cuti sekolah hujung tahun, Emak menyuruh saya tinggal bersamanya di Pengkalan Chepa. Tujuannya supaya saya tuisyen dengannya sebab saya malas belajar sendiri dan tiada disiplin (tahun berikutnya akan menduduki SRP).

Emak saudara saya itu bujang (hingga kini bujang), maka ‘kelengkapan makan’nya ala kadar. Dan saya pun tidak berkira bab lauk asalkan ada sardin, semuanya okey!

“Kalau nak nasi, masak sendiri,” kata Cik Ru (gelaran mesra kami padanya).
“Tak reti,” balas saya.
“Heh, kena belajar. Mari nak ajar …” ujar Cik Ru.

Itulah pengalaman pertama saya tanak nasi menggunakan periuk biasa. Kali pertama cuba, terus jadi. Oh, rupanya senang saja!

Caranya basuh beras seperti biasa. Kemudian masaklah di atas dapur. Apabila mendidih dan kering airnya (bubbling dah tiada), tudung periuk dan kecilkan api (sekecil yang dapat). Tak perlu dikacau pun nasi itu. Lebih kurang lima ke tujuh minit buka tudung periuk dan tengok nasinya. Jika sudah lekang dari dinding periuk, itu tandanya nasi sudah masak. Bolehlah makan!

Nasi peroi
Saya kurang gemar nasi lembik dan berketul. Jika ada pilihan, saya akan memilih nasi yang peroi. Orang ketiga yang mengajar saya tentang masak nasi ialah Emak!

Untuk mendapatkan nasi yang peroi bergantung pada jenis beras juga. Jika terkena beras tidak elok yang menghasilkan nasi lembik (biarpun sukatan airnya sedikit), tidaklah menjadi juga nasi peroi itu. Tapi ini jarang berlaku.

Untuk dapatkan nasi peroi, kata Emak, “Lepas nasi masak, tutup api. Biarkan lapan ke sepuluh minit. Jangan diusik. Lepas tu baru buka tudung periuk, gembur dan karih nasi.”

Oh…itu petuanya untuk ‘memeroikan’ nasi—periuk biasa atau elektrik, sama juga kaedahnya! Ini juga memudahkan kerja membasuh periuk kerana kanji nasi tidak melekat pada periuk.

Sebenarnya tidak susah memasak nasi bagi mereka yang mahu belajar dan suka makan nasi.

Periuk elektrik vs periuk manual
Antara periuk biasa dan periuk nasi elektrik, ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Kelebihan periuk elektrik ialah pada praktikalnya. Jerang beras dan tinggalkan. Kita hendak ke mana pun tak mengapa, tidak perlu khuatir akan hangit. Untuk panaskan pun senang, petik suis saja.

Kelemahan periuk elektrik, jika terlupa tutup suis utama, nasi akan jadi garing kerana ia akan panas memanjang. Nasi juga lebih cepat basi berbanding nasi yang dimasak secara manual biasa. Apa pun, periuk ini sangat praktikal dan pelbagai guna untuk tujuan masakan lain jika terdesak. Mudah dibawa ke mana-mana, hatta ke hotel sekalipun jika pergi bercuti!

Periuk biasa pula, nasi lebih cepat masak. Masak menggunakan api dapur lebih jimat masa.

“Kalau masak nasi yang mana cepat masak, rice cooker atau periuk biasa?” soal Salbiah, kawan baik saya semasa di ITM dulu.
Rice cookerlah,” pantas saya menjawab.
“Periuk biasa laaa lebih cepat.”
“Ooo, ya ke?”
“Tak caya, cuba awak eksperimen.” Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat saya itu. Itu fakta!

Nasi yang dimasak secara manual juga lambat basi kerana ia kurang mengumpul wap semasa proses masak. Jika tidak dikacau semasa memasaknya, nasi lagi tahan lama kerana ia kurang mengeluarkan kanji. Cuma bagi yang pelupa, kenalah tunggu di depan dapur sehingga nasi masak. Kalau tidak, nanti nasi hangit dek ralit dengan aktiviti lain. Untuk perangat, letak satu atau dua camca besar air di bawah nasi. Tutup periuk dan guna api paling kecil hingga naik wap. Itu sahaja.

Kerana sudah selesa dengan periuk manual, periuk nasi elektrik telah saya simpan dalam kabinet. Dikeluarkan hanya apabila ada ramai tetamu bertandang!

Tip supaya nasi tidak cepat basi
“Basuh beras hingga airnya betul-betul jernih, baru lambat basi,” pesan Emak saya.

Ini juga tip daripada Emak, jika ada baki nasi dalam periuk pula, jangan dirapatkan tudungnya, biar sedikit renggang untuk pengaliran udara. Insya-Allah nasi boleh bertahan hingga esoknya untuk dibuat nasi goreng. Kekadang boleh tahan lebih 24 jam tanpa perlu disimpan dalam peti! Yang penting nasi yang dimasakkan itu peroi dan tidak lembik!
(Saya pernah berjaya masak nasi yang tahan hingga 48 jam tanpa diperangat dan tanpa disimpan dalam peti … ada kalanya pula tak sampai 24 jam dah basi sebab air tak cukup jernih).

Tip untuk pujuk anak makan nasi
“Emmm sedapnya nasi …” ini pula petua En. Abu kepada anak saya supaya makan nasi, heee…heee…!

Monday, May 18, 2009

SUARA YANG MENYELAMATKAN!

1970-an
“ALLAHUMMA HAWAA ’ALAINAA WALAA ’ALAINA …”
Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…”

Terkumat-kamit mulut ayah mengulangi bacaan itu tanpa henti hinggakan lafaz itu membekas di benak kepala saya hingga ke hari ini. Saya tidak ingat berapakah umur saya waktu itu. Yang pasti saya masih belum bersekolah, kalau bersekolah pun baru di tadika. Barangkali dalam usia lima atau enam tahun.

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…” masih terdengar mulut ayah menyebut ayat-ayat itu sehingga usia saya meningkat ke sekolah rendah.

Yang saya ingat, lafaz itu ayah ucapkan semasa memandu sama ada dari Kota Bharu hendak pulang ke kampung di Machang atau dalam perjalanan balik semula dari kampung ke rumah kami di Kota Bharu.

Ketika saya masih kecil, belum terlintas untuk bertanya ayah mengapa dia membaca kalimah itu dan untuk apa. Apabila di sekolah rendah barulah saya tergerak hati untuk bertanya kerana pada usia itu rasa ingin tahu terhadap sesuatu semakin meluap.

“Ayah baca apa?”
“Minta Tuhan jauhkan hujan …” jawab ayah.

Oh… barulah saya perasan, ayah menyebut kalimah itu pada setiap kali langit gelap hendak hujan semasa dalam perjalanan ke mana-mana.

Kemudian Ayah menyambung, “Minta Tuhan jauhkan hujan, biar turun di sekeliling kita, bukan timpa atas kita …baca sebelum hujan turun...”

Jawapan Ayah itu meresap terus ke hati dan kekal ingatan saya hingga kini (mujur waktu itu saya masih kecil akal fikiran masih suci/fresh maka mudahlah membekas ke jiwa. Jika sekarang otak sudah berkarat, hati pula sudah tidak suci lalu banyak perkara payah meresap ke sanubari).

Akhir tahun 2000
Kami (krew penggambaran dokumentari Salam Timur Tengah) sedang dalam perjalanan dari Makkah ke Abha di Wilayah Asir, sebuah kawasan pergunungan yang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi menjadi pusat peranginan. Duduknya 2,200 meter dari aras laut.

Abha, ibu negeri Asir ini merupakan pusat peranginan yang aktif beroperasi pada musim panas dan menjadi tumpuan para pelancong yang mahu lari dari panas mentari musim panas. Abha lazimnya menjadi tumpuan percutian warga Mediteranean yang mahukan bayu nyaman ketika tempat-tempat lain mengalami hawa yang kering lagi panas.

Ya, cukup indah dan nyaman kawasan ini, lebih indah daripada Cameron Highlands.

Namun, kembara kami berlangsung pada musim dingin. Suhu waktu itu mencecah 8oC, sejuknya sampai ke tulang. Jarak perjalanan dari kota Makkah ke Abha pula ialah 453.48km—satu perjalanan yang jauh dan memenatkan.

Saya leka merenung ke luar tingkap bas tajaan yang kami naiki—melayan perasaan sendiri! Rakan-rakan lain rancak berbual dan melawak sesama mereka, cuma Cikgu Abu (ketua krew @ MD Galeri Ilmu Sdn Bhd) yang kelihatan agak cemas.

Gunung-gunung batu mendindingi sepanjang perjalanan. Semakin lama semakin tinggi gunung-ganangnya. Gaung, lembah dan cerun curam pun ada.

Muhammad Mushtaq, warga Pakistan pemandu bas kami setia memandu mendaki perjalanan berliku ke tanah tinggi Asir itu. Tanpa kerenah, tanpa ada tanda-tanda penat. Terfikir juga saya jika berlaku apa-apa kepadanya siapa yang akan memandu kerana bas tajaan kami itu tiada ‘co-pilot’.

Saya masih melayan perasaan sendiri.

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…”
satu suara tiba-tiba terngiang-ngiang di gegendang telinga saya.

Semakin lama semakin kuat suara itu, semakin lama semakin jelas…suara yang cukup saya kenali.

“Eh, suara Ayah …” saya bermonolog sendiri. “Aku ni mimpi ke?”

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …”

“Ya…ya…suara Ayah. Tak mungkin. Ayah beribu batu nun jauh di tanah air!”

Saya memerhati teman-teman di dalam kenderaan kami, semua nampak normal. Tapi suara Ayah berlegar dalam kepala saya seolah-olah Ayah ada di sebelah, bersama saya …”

Saya merenung keluar tingkap, merenung langit … hitam!

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…” hati saya mula mengikut rentak suara Ayah yang masih berlegar dalam kepala.

Gerimis hujan mula menitik perlahan kemudiannya renyai …”

Kemudian bibir saya pula turut melafazkan kalimat itu tanpa henti hinggalah kami selamat sampai ke destinasi yang ditujui awal pagi (menghampiri jam satu pagi!)

Esoknya, Mushtaq memberitahu, bas yang kami naiki sebenarnya tidak sesuai untuk ke tanah tinggi seperti Asir, ia hanyalah bas pelancongan yang lazim digunakan di jalan rata biasa. Manakala pegawai dari Kementerian Penerangan Arab Saudi yang mengiringi perjalanan kami ke Abha memberitahu, selalunya orang ke Abha menaiki GMC atau pacuan empat roda lain.

Ya Tuhan, sepanjang perjalanan naik ke tanah tinggi Asir, kami rupa-rupanya menempuh (mungkin juga ‘menempah’) bahaya lebih-lebih lagi pada musim sejuk yang hujan lebatnya sentiasa turun, jalan licin di cerun dan curam!

Apakah ada telepathy antara saya dan Ayah waktu itu? Atau adakah ia satu ‘contact hati’ antara saya dan Ayah? Atau ia suatu amaran daripada Tuhan supaya saya memohon perlindungan-Nya pada saat getir, pada saat orang lain tidak menyedarinya? Atau adakah ia sekadar satu mainan perasaan?
Pada hari kami turun dari Wilayah Asir untuk kembali ke Makkah, entah dari mana ada beberapa kenderaan polis menahan bas kami. Mereka musykil ada pelancong mengunjungi Abha pada musim sejuk begini.
Pasport diperiksa. Setelah berbicara dengan pegawai dari Kementerian Penerangan dari Jeddah yang bersama kami sepanjang kembara ini, masalah dapat diselesaikan tanpa banyak soal. Sebaliknya perjalanan kami diiringi bagaikan VIP. Barangkali rezeki sebagai musafir dan tetamu Allah di bumi barakah ini! Apabila ditanya Syeikh Fawzi, pegawai Kementerian Penerangan katanya, "Saya memberitahu mereka, kamu ini tetamu penting Raja Fahd ..."
"Subhanallah..." itu saja yang mampu kami ucapkan sambil ketawa.


Hari ini …

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …” mulut saya secara automatik melafazkan doa itu tatkala melihat langit mula menghitam sewaktu memandu bersama anak… “Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …”

Kini (berpuluh tahun kemudian) saya mengerti, doa itu bukan sahaja untuk elak hujan menimpa kita secara lahiriahnya, tetapi lebih kepada untuk mengelakkan ‘bahaya’ yang mungkin terbit daripada hujan itu sendiri!

TERIMA KASIH AYAH!
Dijamu nasi talam berlaukkan seekor kambing oleh pihak muzium sebaik tiba di Abha. Sehari suntuk mereka setia menunggu ketibaan kami biar pun melewati tengah malam.
Kami tiba hampir jam 1 pagi.
Inilah laluan naik ke Abha, tanah tinggi Asir, Arab Saudi. Lebih 400 km dari kota Makkah
(sumber imej: Travel-Images.com)

Thursday, January 8, 2009

HIDUP JANGAN BAKHIL!

Hari ini, sampul surat besar berwarna perang beredar di semua jabatan di syarikat kami--mengutip derma daripada kakitangan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang pada saat ini menghadapi waktu yang sukar. Kutipan ini dilaksanakan oleh badan kebajikan syarikat kami (SAKTI).

Alhamdulillah. Mudahlah untuk berderma. Saya sudah memasang niat untuk berderma kepada rakyat Palestin sebelumnya.

Bukan saya mahu mengulas penderitaan saudara kita di bumi Palestin, tetapi tentang maha perlunya kita menginfakkan harta yang Allah pinjamkan sementara ini untuk tujuan jariah. Petang tadi, dalam kuliah fardu ain mingguan di surau pejabat, Ustaz Shukri mengingatkan tentang ini.

Tahun lalu Ustaz Abdullah Mahmood pula berpesan kepada kakitangan syarikat kami dalam kuliah mingguan sebegini supaya kita menjadi manusia yang dermawan/pemurah/tidak kedekut.

"Kalau anak kita pergi sekolah. Belikan tiga bungkus nasi lemak. Pesan pada anak kita satu bungkus makan sendiri, dua lagi beri pada kawan. Makan sama-sama," kata Ustaz Abdullah, memberi panduan supaya anak kita menjadi dermawan tidak kedekut. Saya cukup ingat pesanan ini, dan sentiasa cuba untuk menginfakkan sebahagian daripada pendapatan walaupun tidak seberapa untuk tujuan ini.

Kemudian di ambang rakan-rakan di pejabat hendak berangkat ke Tanah Suci kerana memikul tugas yang berat membuat rakaman TV di sana, taklimat diberikan kepada semua kakitangan. Tetamu yang hadir bersama dalam sesi itu ialah Saudara Eizlan Basar (Pengurus Operasi Channel Oasis Astro). Beliau turut menekankan tentang perlunya kita ini bersedekah. Buat jariah.

Malah dengan saluran yang semakin berteknologi tinggi ini, memudahkan lagi kita bersedekah. Maybank2u misalnya, kita boleh bersedekah tanpa perlu ke mana-mana. Cuma pindahkan seringgit dua dari akaun kita ke akaun hamba Allah yang memerlukan...klik, klik sahaja di PC. Maka, apa lagi alasan kita untuk jadi kedekut?

Tazkirah-tazkirah begini perlu sangat kita beri perhatian dan laksanakan. Bukan melalui wang ringgit sahaja kita boleh lakukan. Meraikan rakan-rakan dengan makanan pun sudah dikira amalan yang baik, menggembirakan mereka dengan cara ini pun sudah mendapat pahala besar. Apa guna mendengar kuliah tiap minggu jika kita tidak mengambil pengajaran daripadanya? Tidak pula mengamalkan apa yang disampaikan?

"Tidak jadi papa dengan memberi sedekah, dengan menjamu orang makan." Kata-kata ini pula terbit daripada mulut ayah saya--memang saya pegang kata-katanya ini (bukan hendak menunjuk, tapi sekadar pesan-memesan sesama kita).

Ayah saya sangat mementingkan soal makan tetamu. Jika ada kenalan lama yang sudah sekian lama tidak berjumpa atau ada anak-anak muridnya yang menelefon berkata, "Ustaz, kami nak datang beraya di rumah Ustaz...". Maka ayah mula mencongak, makanan apa nak dijamu. Paling tidak akan menyuruh anak-anaknya menempah nasi beryani dari Restoran Mosin, kalau dua tiga orang paling tidak roti canai atau murtabak.

Jika adik saya yang masih menuntut di IPT pulang memberitahu ada kawan-kawannya yang miskin tidak ada duit untuk meneruskan pengajian, maka ayah dan emak tidak lokek bersedekah. Malah mengingatkan kami yang sudah bekerja pula untuk turut sama menghulurkan sedekah. "Niatkan zakat," pesan ayah.

Ya, seseorang penuntut ilmu itu dikategorikan berjuang di jalan Allah. Fi sabilillah!

Jika SAKTI pula menganjur kutipan derma untuk tujuan tertentu membantu hamba Allah yang memerlukan, saya akan uar-uarkan kepada keluarga. Emak selalunya orang pertama akan menghulurkan sedekahnya. Jika adik dari Kajang singgah, maka dia turut sama bersedekah. Kakak saya pun sama juga, tidak lokek.

Amalan sedekah atau meraikan orang perlu dididik dalam keluarga, diperturunkan kepada anak cucu. Diasuh sejak kecil.

Memberi sedekah ini memang nampak meninggalkan kesan dalam keluarga. Menginfakkan sebahagian daripada harta kita ini Allah janjikan akan memulangkannya berkali ganda. Saya percaya apa yang saya capai hari ini juga adalah berkat emak ayah yang melakukannya.

Dalam adik-beradik, saya bukan anak yang pandai akademik berbanding adik-beradik yang lain. Keputusan peperiksaan sentiasa corot. SPM pun dapat 2 sahaja. Tetapi barangkali kerana berkat sifat dermawan orang tua, saya mampu meneruskan pengajian ke peringkat tinggi. Sedangkan ada yang dapat pangkat 1 waktu itu tidak berpeluang ke mana-mana.

Hari ini, saya cuba melakukan yang sama sebagaimana orang tua saya lakukan supaya anak saya juga dipermudahkan Allah dalam hidupnya.

Kita memberi kesenangan kepada yang memerlukan. Insya-Allah, Allah akan mudah akan kita dan keluarga pula.

Di syarikat tempat saya bekerja, syukur kerana ada badan kebajikan (SAKTI). Setiap bulan gaji dipotong dua peratus untuk masuk ke tabung SAKTI. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dua peratus daripada pendapatan saya itu sudah terinfak secara automatik untuk kebajikan (untuk keraian, kesusahan dll).

Tidaklah duit saya mengalir ke lain (beli tudung, baju yang kadang sahaja dipakai, buku yang tidak sempat dibaca dll...bukankah itu pembaziran yang dilaknat Allah? Semuanya akan diperhitungkan di 'sana' nanti.)

"Wahai Suraiya, mengapa engkau beli buku tidak dimanfaatkan ilmu di dalamnya?" Apa yang mahu saya perkatakan di hadapan Tuhan Rabul Jalil?

"Beli baju tidak disarungkan, walhal masih ada insan yang tidak mampu memilikinya?" Apa pula alasan hendak diberikan pada Al-Khaliq, Penciptaku? Lidah kelu seribu bahasa.

Tahukah anda sekalian...memiliki baju lebih lima pasang sudah dikira mewah dan membazir, kata sesetengah ulama.

Di kala orang lain bergelut untuk meneruskan hidup, mencari sesuap nasi, perut kita sentiasa kenyang terisi...ah, sesungguhnya perlu amat kita mempunyai mentaliti yang altruistik!

Saya meminjam moto Ustaz Hasrizal/Abu Saif di saifulislam.com: ERTI HIDUP PADA MEMBERI.

"HIDUP JANGAN BAKHIL!" ini pula moto saya yang baru saya cipta kala saya menulis ayat penamat ini.

Monday, December 29, 2008

"Basuh kaki ajelah..."

“Isssy...ada lagilah cat kat kaki ni...” leter saya sebaik habis selesai berwuduk pada suatu ketika dahulu, sambil mengikis cat yang melekat di tapak kaki itu dengan kuku jari.
“Kena wuduk lagilah ni,” kata saya lagi.
“Basuh kaki ajelah, tak payah mula dari awal,” beritahu ayah. Rupa-rupanya dia menelinga bebel saya itu sambil membaca surat khabar.
Melihatkan saya terkebil-kebil, kurang menangkap apa yang dimaksudkan, ayah pun menjelaskan.
“Kalau kaki yang kena, basuh kaki aje. Anggota wuduk sebelumnya tak payah basuh. Kalau kena tangan. Basuh tangan dan anggota wuduk yang selepasnya. Anggota wuduk yang sebelumnya tak payah.”
Barulah saya faham. Begitu rupanya.
Terlalu banyak kejahilan yang menjadi amalan kita. Jika tiada yang menegur, maka sampai ke matilah kita dalam kejahilan.

Wednesday, December 3, 2008

Suatu tazkirah: LOCENG TU TAK PAYAHLAH!

“Beritahu menantu kita tu, jangan pakai gelang ada loceng,” ujar ayah kepada emak suatu ketika dahulu supaya menegur menantu barunya yang memakai gelang berloceng. Alhamdulillah, ipar saya itu tidak lagi memakai gelang berloceng.

Ayah juga pernah menegur cucunya yang memakai gelang kaki berloceng. Dan alhamdulillah juga, anak saudara saya itu tidak lagi memakainya. Sememangnya, ayah amat bertegas dalam hal ini.

Saya juga telah menegur adik-adik perempuan di pejabat yang memakai gelang loceng ini (no offence). Bukan suka-suka saya menegur, tetapi ini perintah daripada Rasul sendiri. Jika saya yang telah tahu hukumnya, maka berdosalah saya jika tidak menyampaikan ajaran baginda SAW. Saya tidak mahu menanggung dosa itu. Setelah menegur, terpulanglah kepada iman masing-masing.

Saya kira memang masih ramai perempuan yang jahil dan tidak mengambil berat dalam soal barang kemas berloceng ini. Atau ada juga sudah tahu hukumnya, tetapi sengaja bersikap acuh tak acuh? Wallahua’lam.

Dan saya sendiri, suami pernah menghadiahkan saya seutas gelang yang tiada loceng, tetapi mempunyai aksesori di sekelilingnya hingga menimbulkan bunyi bergerincing seperti loceng, saya terus mencari playar dan mencabut satu persatu aksesori itu (walaupun saya tidak memakainya). Sesungguhnya bunyi sedemikian akan menarik perhatian lelaki lain kalaupun tidak syaitan.

Kepada perempuan-perempuan di luar sana, buangkanlah loceng yang ada pada barang kemas anda itu jika anda benar-benar mahukan rahmat Allah! Sesungguhnya Rasul SAW sangat melarangnya!

Apa pun, saya mahu ingatkan kaum lelaki dalam hal ini, sebagai ketua keluarga prihatinlah apabila memilih dan menghadiahkan barang kemas kepada isteri atau anak-anak perempuan! Andainya ada loceng walaupun saiznya sekecil kacang hijau di sisi keluarga kita, akan terhalanglah malaikat rahmat daripada mendampingi kita sekeluarga. Wallahua’lam.

Petikan hukum di bawah ini saya petik dari laman web Jabatan Agama Islam Selangor:

Hukum memakai gelang kaki dan tangan berloceng

Soalan 11
Apakah hukumnya memakai dengan gelang kaki/tangan yang berloceng ?
Jawapan:
Merujuk kepada kitab Bahrul Mazi, (ringkasan Sahih al-Tarmizi), memakai loceng adalah ditegah oleh syarak kerana bunyi loceng itu menyebabkan tiada malaikat Rahmat mendekatinya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa al-Tirmizi yang maksudnya:
"Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tiada menyertai malaikat Rahmat bersama jamaah (kumpulan) yang ada di dalamnya anjing dan loceng."

Oleh yang demikian, elakkanlah dari memakaikan gelang kaki/tangan yang ada loceng pada anak perempuan.

Monday, November 17, 2008

JANGAN TEGUR SAYA!

“Jangan bercakap masa ambil wuduk,” ujar ayah lebih 30 tahun dahulu apabila mendengar saya menyanyi lagu ‘Rindu Bayangan’ dendangan Jay Jay kumpulan Carefree yang sememangnya tengah top waktu itu. Ke mana-mana pergi dan di corong-corong radio pun, lagu itulah yang kendengaran; penangan ‘Carefree mania’. Dan lagu ‘Rindu Bayangan’ menjadi juara carta lagu popular di radio selama 13 minggu berturut-turut. Digilai semua peringkat umur tak kira kecil besar, tua muda.
“Sahabat Nabi dulu bila ambil wuduk, menggeletar, takutkan Allah. Itu belum lagi angkat takbir untuk solat. Tak dapat pahala nanti…” tegur ayah lagi. Sejak saat itu saya tidak pernah bersuara sepatah pun apabila berwuduk. Saya menyifatkan teguran ayah itu lebih berupa arahan yang mesti dipatuhi.
Hari ini, walau ke mana saya pergi, saya tetap memegang teguran ayah itu. Di pejabat, apabila ada rakan-rakan yang bertanya itu ini sewaktu berwuduk, saya tidak akan menjawab. Paling tidak pun saya mengangguk atau menggeleng atau menggunakan bahasa-bahasa isyarat lain. Saya rimas apabila ditegur orang sewaktu ambil wuduk. Saya juga takut jika air yang digunakan untuk membasuh anggota wuduk itu tidak akan menghapuskan dosa-dosa saya sebagaimana yang sepatutnya.
Kepada teman-teman, saya mohon... tolong jangan tegur saya sewaktu saya berwuduk. Apa yang mahu disuarakan itu, tangguhlah dahulu sehingga selesai kewajipan kita terhadap Allah taala. Jangan ambil mudah soal wuduk. Jangan main-main, dan berilah tumpuan sungguh-sungguh.
Kepada ibu bapa pula, suka saya menyeru jika mahu menegur tingkah laku anak, tegurlah sewaktu mereka masih kanak-kanak, kerana pada fasa usia itulah teguran akan melekat dan insya-Allah akan dipatuhi hingga dewasa...zaman kanak-kanak ialah waktu jiwa seseorang hamba Allah itu masih suci dan mampu menyerap segala kebaikan yang dilemparkan. Wallahua’lam.




SESIAPA YANG BERWUDUK DENGAN SEBAIK-BAIKNYA, MAKA AKAN KELUARLAH (HILANGLAH) KESALAHAN-KESALAHANNYA (DOSANYA ATAU DOSA KECILNYA), TERMASUK YANG DARI BAWAH (DALAM) KUKU-KUKUNYA. (Riwayat Muslim)

Monday, August 18, 2008

NISFU SYAABAN YANG SAYA AMAT KASIH

"Klu lapang, bc yasin mlm ni, mlm nisfu sya'ban" begitu SMS yang saya terima daripada adik menyampaikan pesanan ayah pada 16 Ogos lalu.

Malam Nisfu Syaaban -- saya sentiasa menunggunya saban tahun kerana ia menjadi acara tahunan keluarga kami sejak dulu. Namun pada malam Nisfu Syaaban yang baru lalu entah macam mana saya terlupa walaupun saya tetap menunggu kedatangannya. Barangkali dek kerana kalut dengan anak, saya terlupa (silap menghitung tarikh bulan Islam). Kalau saya mengingatinya, pasti awal-awal lagi saya akan bertandang ke rumah mak ayah untuk sama-sama membaca Yaasin dengan ahli keluarga.

Memang Nisfu Syaaban menjadi acara tahunan keluarga. Walaupun sesetengah anak yang sudah berkeluarga tinggal bertebaran, ayah tidak lupa mengingatkan kami.

Seingat saya, ayah tidak pernah tertinggal untuk mengajak dan mengumpul keluarga membaca Yaasin setiap kali tibanya Nisfu Syaaban.

"Klu pergi ke sna sekrg smpat lagi x bc yasin?" saya membalas SMS adik.

"Sempat lg. Kakak tengah mandi, Uncle Z tengah makan" balas adik.

'Kakak' ialah gelaran cucu sulung ayah, manakala 'Uncle Z' bapa saudara kami, adik kepada emak baru tiba dari Johor bersama keluarganya kerana menumpang bermalam untuk menghadiri majlis perkahwinan waris di Lembah Klang keesokan hari.

Saya bersyukur kerana jarak ke rumah emak ayah tidaklah jauh. Tanpa menukar pakaian saya mencapai tudung, beg duit yang tidak berduit kerana lesen memandu di dalamnya dan keperluan anak lalu terus memandu ke rumah mak ayah.

Sebaik tiba, ahli keluarga sedang membaca Yaasin hujung pusingan kedua. Alahai terlepas juga. Saya cuma sempat membaca Yaasin untuk pusingan ketiga. Sedih juga kerana saya mahu dedahkan kepada anak sendiri bagaimana ayah kami yakni 'Sidi'nya mendidik kami mengenali hal-hal keagamaan. 'Sidi' ialah gelaran mesra untuk ayah kami yang dipanggil oleh cucu-cucunya. Sebutan Arabnya 'Sayidi'. Kami adik-beradik juga menggelar Allahyarham datuk kami dengan gelaran 'Sidi'.

Pada malam itu 14 Syaaban 1429/16 Ogos 2008, buat pertama kalinya rumah ayah/emak bergema kuat dengan bacaan Yaasin kerana kebetulan bapa saudara saya itu yang kaya dengan anak lelaki turut memeriahkan bacaannya bersama anak-anak dan isteri beliau.

Biarpun abang sekeluarga di Desa Coalfield, juga adik sekeluarga di Kajang tidak dapat menyertainya, majlis bacaan Yaasin Nisfu Syaaban kali ini tetap meriah dan meninggal bekas di hati.

Memang seingat saya, walaupun ketika itu saya masih kecil dan hanya baru mengenali alif ba ta, ayah sudah mendidik kami adik-beradik membaca Yaasin pada malam Nisfu Syaaban. Biarpun sesetengah orang mengatakannya bidaah, ia tetap bidaah hasanah yang baik dan harus diamalkan.

Ketika saya kecil, sewaktu tinggal di Kota Bharu, saya cuma mendengar ahli keluarga lain membaca Yaasin, saya cuma 'menebeng' mendengarnya. Ketika itu juga saya tidak mengerti erti sebenar malam Nisfu Syaaban. Cuma memerhati, mendengar serta menadah tangan mengaminkan setiap doa yang ayah bacakan.

"Baca kali pertama niatkan umur kita panjang..." begitu kata ayah. Lalu masing-masing pun penuh khusyuk membaca Yaasin (maklum, siapa yang mahu mati cepat!) Lalu bergemalah, "Yaasin, wal Qur-aanil hakiim...innakala minal mursaliin..."

"Baca kali kedua, minta Allah jauhkan segala bala..." kata ayah. Maka bergema lagi Yaasin disusuli doa.

"Baca kali ketiga yang akhir minta Allah jadikan kita orang paling kaya daripada sekalian manusia, dan minta Allah teguhkan iman dan mati kita dalam iman," ujarnya dan selesai Yaasin, doa diaminkan untuk kesekian kalinya.

Apabila pandai membaca Muqaddam, saya merangkak-rangkak mengikut bacaan Yaasin ahli keluarga yang lebih tua. "Tak nak baca dengan ayah. Ayah baca laju. Nak baca dengan mak..." Masih jelas di ingatan butir tutur kata saya waktu itu.

Setiap kali saya meninggikan suara, "Mak, jangan cepat sangat..." maka emak pun mengurangkan kelajuan bacaannya. Tetapi ayah memang ekspres, abang dan kakak pula boleh tahan 'speed' mereka. Cuma saya sahaja yang terhegeh-hegeh. Selesai saya dan emak menghabiskan bacaan barulah ayah membaca doa.


Ya, ayah tidak pernah tertinggal menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan bacaan Yaasin bersama ahli keluarga. Cuma anak-anaknya apabila hidup bertebaran kerana melanjutkan pelajaran atau telah berkeluarga, terkadang tertinggal untuk bersama keluarga melaksanakannya. Tetapi ahli keluarga di rumah ayah tetap duduk bersama melakukannya. Dan ayah pula tidak lupa menyampaikan pesan kepada anak-anak yang tiada di hadapan matanya.

Saya pula ketika di kampus 'tiada di dalam memori' yang menunjukkan sama ada saya membaca Yaasin atau tidak pada malam Nisfu Syaaban, atau adakah saya mengikuti program membaca Yaasin anjuran kolej di kampus? Sungguh, saya tidak ingat. 'Ketidakingatan' itu barangkali besar menandakan saya tidak melakukannya. Kalau melakukannya pasti saya ingat, kerana membaca Yaasin pada malam Nisfu Syaaban sangat bermakna dalam hidup saya. Pada waktu itu pula manalah ada telefon bimbit yang memudahkan perhubungan untuk tujuan pesan-memesan.

"Mari kita ramai-ramai baca Yaasin di masjid. Malam ni Nisfu Syaaban," kata Ustaz Amaluddin mengajak kami (Cikgu Abu, En. Al, Bai, En. Li, Zul, Bad, saya dan Wisma) ke Masjidil Haram, sewaktu dalam rangka kembara kami membuat rakaman dokumentari Salam Timur Tengah a.k.a Salam Haramain di Tanah Arab. Ya, malam Nisfu Syaaban yang satu ini saya cukup ingat.

"Duduk jarak-jarak, jauh-jauh sikit, tak payah berkumpul sebab orang Arab tak amalkan baca Yaasin malam Nisfu Syaaban. Bidaah...nanti kena tangkap pula," pesan Ustaz Amal. Maka di aras ataslah pilihan kami di Masjidil Haram. Kerana aras itu tiada ramai jemaah. Maka itu juga pada Nisfu Syaaban 1421H, bacaan Yaasin cuma satu pusingan dan tanpa iringan doa. Sendiri-sendiri baca sambil menunggu azan Isyak dikumandangkan di masjid suci itu.

Biarpun ada pendapat mengatakan bacaan Yaasin pada malam Nisfu Syaaban sesuatu yang bidaah, tetapi bagi yang mengamalkannya dapat merasakan 'kelebihannya', dapat merasakan rahman dan rahim Allah sentiasa bersama. Paling tidak ia merapatkan ahli keluarga kami.

Terima kasih ayah!


SABDA NABI SAW:


"Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai jantung dan jantung al-Quran itu ialah Yaasin. Sesiapa membaca surah Yaasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali."