Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts

Tuesday, January 20, 2015

BENAR ATAU MENIPU?

Pernahkah anda melihat remaja lelaki yang memungut derma untuk anak-anak yatim di kaki-kaki lima bank? Selalunya mereka berpakaian baju Melayu, berkopiah atau songkok. Sopan saja lagaknya. Pada tabung derma pula ada tertera nama rumah kebajikan untuk anak-anak yatim Islam, dan juga gambar anak-anak yatim yang diwakilinya.

Saya kekadang musykil, adakah pusat kebajikan itu wujud? Atau ini cuma modus operandi pihak penipu untuk mengutip wang secara mudah, cepat dan berterusan, namun bersistem.

Saya musykil.

Orang selalu kata, "Derma sajalah, jangan berkira," atau "Jangan kedekut. "Kalau menipu pun, itu urusan dia dengan Allah."

Saya tidak berapa gemar kata-kata demikian, kerana akal saya berfikir, jika ia satu penipuan, mungkin juga kita turut menyumbang kepada jenayah yang lebih besar. Hasil derma yang dipungut setiap hari saya agak tentu lumayan! Dengan jumlah itu, mereka yang terbabit boleh menggunakan wang itu untuk tujuan lain yang barangkali tidak sihat juga.

Beberapa minggu sudah, seawal pagi sebelum saya ke pejabat, saya singgah ke bank untuk membuat deposit.

Ketika memandu menghala ke bank, sebuah kereta nasional berwarna merah mendahului di depan saya. Tiba-tiba ia berhenti di bahu jalan. Pemandu tetap di tempatnya, tetapi dari tempat penumpang, turun seorang remaja berbaju Melayu hijau tua. Lalu membuka but belakang untuk mengeluarkan barang. Tidak sempat saya melihat barangnya, saya memandu terus membuat pusingan-u dan menuju ke bank di jalan sebelah.

Ketika itu jam sekitar 7.30 pagi.

Saya memarkir kereta di hadapan bank. Masih lengang. Elok sahaja saya melangkah ke kaki lima bank, saya lihat remaja berbaju Melayu tadi sudah sedia ada di situ, memulakan operasi memungut derma juga seawal pagi!

Oh. Cepat betul. Rupanya dia 'short cut' menyeberang jalan. Barang yang dikeluarkan dari but kereta tadi ialah bangku dan tabung derma rupa-rupanya.

Selesai urusan mendeposit di bank tersebut, saya ke BSN pula yang tidak jauh dari situ. Juga untuk mendeposit. Saya masuk ke kereta untuk mengalihkannya ke BSN pula. Ketika hendak memarkirkan kereta, kelihatan kereta nasional merah yang menurunkan remaja tadi telah sedia parkir di situ.

Tiba-tiba remaja yang berbaju Melayu tadi berlari-lari ke arah BSN sambil melambai tangan, rupa-rupanya cuba menarik perhatian si pemandu (lelaki) yang menurunkannya di bahu jalan tadi. Entah apa yang dibualkan untuk beberapa minit. Si remaja berbaju Melayu kembali ke tempat menunggu 'tabung derma'nya. Dan lelaki itu pula menghala ke BSN, dan menolak pintu ke mesin deposit.

Saya turun dari kereta, lalu melangkah ke BSN, juga ke mesin deposit. Saya beratur di belakangnya. Saya perhati pakaiannya. Mmm ... tak semenggah. Bertopi, seluar tiga suku, cukup-cukup sekadar sampai ke paras lutut. Rantai tangan di lengan kanan. Di pinggang, ada pouch yang saya kira kembung dengan duit. Di tangannya juga bercekak-cekak wang yang kemas bersusun. Tebal!

'Mak aii ... saya bermonolog, banyaknya duit ...' saya tidak dapat menahan diri daripada bersangka negatif (moga Tuhan ampunkan saya). Duit hasil berniaga atau hasil pungutan 'konon' untuk rumah anak-anak yatim Islam?' hati saya berbicara.

Saya nekad untuk bertanya perniagaan apa yang dijalankannya! Malangnya, belum sempat saya mengaju soalan, lelaki muda itu lebih dahulu menyapa saya.

"Tak bolehlah kak, mesin down! Kena cari BSN lain," katanya.

Terus, saya lupa rancangan awal untuk bertanyakan soalannya. Sebaliknya keluar dari mulut saya, hanyalah luahan kecewa, "Laaa, ye ke?" dan lelaki itu terus berlalu.

'Membazir masa aku aje,' monolog saya lagi.

Saya tidak tahu apa tanggapan orang lain, tapi saya kira ia adalah satu scam untuk mendapat wang kilat. Katakan jika sehari dia mendapat RM200 di satu tempat, bagaimana cawangan-cawangan lain yang ditempatkan beberapa orang remaja untuk duduk menunggu orang isikan duit ke dalam tabung dengan wajah kesian? Wah! Banyak!

Adik ipar kepada adik saya ketika ada urusan di sebuah bank pernah menyapa remaja yang menjaga tabung derma ini, "Adik, nak abang bantu? Abang ada kenal orang di Jabatan Kebajikan Masyarakat ... ."

Wajah remaja itu semerta berubah pucat lesi, "Er ... tak apa bang, tak apa. Terima kasih," katanya dan lintang-pukang lari dengan tabungnya!

Justeru, saya lebih senang menderma secara atas talian kepada orang yang diyakini boleh dipercayai atau atau organisasi yang bertauliah yang telah diketahui umum.

Saya bukan kedekut, cuma berhati-hati, agar sumbangan saya benar-benar sampai kepada mereka yang berhak!

Wednesday, June 25, 2014

ADAKAH DINAMAKAN DERHAKA JIKA ...

Topik menarik di Radio Ikim pagi tadi: Adakah meninggalkan orang tua kita di rumah orang tua atau pusat jagaan dianggap derhaka kepada kedua ibu bapa?

Pusat jagaan hari ini pula pelbagai. Ada yang daycare, ada yang pusat jagaan sepenuhnya dan macam-macam lagi ada. Bagi saja duit, semua beres.

Ada yang mengatakan derhaka ada yang mengatakan tidak. Ini permainan pro dan kontra. Bagi saya kita ikut situasi dan keperluan.

Orang selalu kata seorang ibu boleh jaga 10 anak. Sepuluh orang anak tidak boleh jaga seorang ibu.

Baru-baru ini ketika membeli nasi lemak di sebuah gerai, saya mendengar perbualan mak cik nasi lemak dengan seorang lelaki berkopiah dan berkain pelikat. Kedua-duanya sudah berusia.

Pak cik: Sekarang duduk sorang-sorang, sunyi anak-anak tak ada. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri.

Mak cik nasi lemak: Betul. Tapi saya ada emak. Sekarang dok jaga dialah.

Pak cik: Yalah, tak boleh nak salahkan anak-anak. Mereka pun sibuk. Takkan asyik nak layan kita saja. Bukannya derhaka. Sibuk dengan kerja. Nak jaga anak-anak lagi. Sekali sekala mereka telefon, tanya khabar. Duit pun ada bagi. Itu bukan derhaka. Orang selalu kata derhaka. Saya kata tak. Tak derhaka namanya tu. Kita paham susah mereka tu. Zaman sekarang tak macam dulu.

(Saya tabik spring pada pak cik ni ... toing ... toing ... toing 1,000X, payah nak cari orang tua yang memahami begini).

Mak cik nasi lemak: Betul. Betul. Saya ni dok jaga emak. Ya Allah, bukan senang jaga orang tua. Jaga orang tua tak mudah macam jaga budak. Kalau budak kencing berak senang kita nak angkat dia nak cuci, nak mandikan. Tapi orang tua, tak terdaya kita nak ngangkatnya. Bahu saya sampai sakit. Maklum, tak daya nak ngangkatnya, nak makainya ... . Tak ada orang lain nak tolong. Orang yang hantar mak bapa ke rumah orang tua tu, saya tak salahkan mereka. Saya tau susahnya nak jaga orang tua.

Pak cik: Betul. Betullah tu. Kita nanti pun, kalau perlu tak usah merungut kalau anak hantar ke sana. Mereka mahu yang terbaik untuk kita. Itu bukan derhaka namanya (diulang lagi kata-kata itu).

Kemudian di radio Ikim pagi tadi ada yang memberi respons begini: Menghantar orang tua ke pusat jagaan orang tua tidak semestinya derhaka. Sama keadaannya kita menghantar anak-anak kecil yang kita hantar ke pusat jagaan (day care) semasa keluarga bekerja, adakah itu dinamakan zalim dan derhaka kepada anak-anak?

Kesimpulannya: Andai ditakdirkan kita panjang umur dan sempat menikmati usia emas, cuba-cubalah kita rasional dan bermentaliti seperti pak cik itu. Belum tentu jika kita jaga sendiri orang tua keadaannya lebih terurus atau lebih baik. Entah-entah di pusat jagaan lebih baik. Entah-entah di rumah sendiri, orang tua terabai. Bagaimanapun, kita tidak mendoakan keadaan seperti itu akan berlaku kepada kita.

Kalau kita ditakdirkan umur kita panjang dan ketika itu kita uzur sudah tiada upaya lagi, berdoalah sepanjang masa agar anak kita diberi kemampuan oleh-Nya untuk menjaga kita sebaiknya. Dan  jangan lupa mendoakan diri kita dan memohon ke hadrat Allah SWT, serta pasangkan niat awal-awal, "Ya Allah, kalau Engkau takdirkan aku panjang usia dan tua, janganlah usia panjangku itu menyusahkan anak-anakku untuk menjagaku. Engkau mudahkanlah laluanku sepanjang hayat dan Engkau mudahkanlah juga laluan anak-anakku untuk menjagaku ... aameen."


Thursday, May 15, 2014

REZEKI SELEPAS SUBUH

Hari terakhir di Langkawi, selepas sarapan di hotel, kami bertiga (saya, adik dan anak) terus keluar meninjau kedai-kedai berdepan dengan hotel penginapan.

Menunggu kedai-kedai sekitar pekan Kuah dibuka.
Suasana masih lengang dan belum ada kedai yang dibuka. Hajat di hati mahu menambah beberapa belian coklat lagi.


Memang hari masih terlalu awal. Kami duduk dan mundar-mandir, malas untuk pulang ke bilik, nanti kena turun semula.

Berjalan sana-sini. Bazar sederet juga belum dibuka. Tidak lama kemudian kami lihat ada satu kedai dari deret ini sedang dibuka.

Satu-satunya gerai yang memulakan perniagaan seawal jam 8.15 pagi. Yang di kiri kanan masih bertutup litup.
Kami sambung menyusuri kaki-kaki lima kedai pula. Bertembung dengan seorang ibu muda sedang mendukung anak dari arah bertentangan. Tergesa-gesa lagaknya, tidaklah kami tahu dia hendak ke mana.

Jam baru sekitar 8.15 pagi.

Kerana masih belum ada kedai lain yang beroperasi, maka langkah kaki, kami aturkan ke kedai kecil bazar yang satu-satunya baru dibuka tadi. Bergantungan pakaian jualannya. Sebaik tiba di kedai itu, kami belek-belek T-shirt yang digantung. Tiada tuan kedai.

T-shirt Muslimah cantik-cantik dan berkualiti pada harga rendah. Sangat berbaloi!
Seketika kemudian, kelihatan tuan kedai berlarian anak kembali ke kedai apabila melihat kami, (pelanggan sudah datang!)


Rupa-rupanya tuan kedai itu wanita muda yang mendukung anak tadi. Tadi dia tergesa-gesa untuk membeli sarapan. Sekarang dia tergesa-gesa pula sambil mendukung anak untuk melayan pelanggan.


Apabila ditanya, harga-harga baju yang dijual, dia menjawab "Sebab pelanggan pertama, awal datang, kita bagi murah-murah sudahlah."

Masya-Allah, harga diturunkan sebegitu rendah! Kualiti baju pula bagus. Tidak dapat harga sebegini untuk t-shirt Muslimah.

Daripada harga yang telah diturunkan, kami bertanya lagi kalau-kalau boleh diturunkan lagi.

Subhanallah. Apa yang dijawab tuan kedai muda ini, "Bolehlah, tak pa, awal pagi kita bagi harga turun."

Kalau diminta lagi, saya yakin dia sanggup memberinya. Tapi sebagai pelanggan, kita juga perlu ada rasa 'minta diskaun pun berpada-padalah'.

Maka beberapa helai t-shirt dirembat untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh kepada anak-anak saudara nanti.

Sifir perniagaan wanita ini mudah saja, dia percaya kepada REZEKI SELEPAS SUBUH. REZEKI AWAL PAGI.

Katanya selepas solat Subuh, dia terus membuka kedai dan memulakan operasi perniagaan.
Rangkaian kedai Haji Ismail paling awal pun mula urusniaga jam 9.30 pagi.

Sementara menunggu kedai dibuka, singgah di kedai kopi untuk hilang dahaga akibat bahang walaupun masih awal pagi. (walhal baru bersarapan di hotel).
Percayalah, rezeki awal pagi memang luas, sebagaimana burung-burung keluar dari sarangnya mencari rezeki pada awal pagi. Paling tidak, rezeki awal pagi, kita dapat menikmati jalan raya yang masih lengang dan parkir kereta yang masih kosong dan masih banyak pilihan.

Bagi wanita ini, rezeki awal paginya adalah kami sebagai pelanggan pertamanya. Allah gerakkan kami untuk ke gerai kecilnya untuk membeli-belah! Dan rezeki juga untuk kami, dapat membeli baju pada harga murah! Allahu Akbar!

Saya doakan wanita muda ini dimurahkan rezeki sepanjang hidupnya kerana berpegang dengan sunnah! Aamin.

Renung-renungkan!





Friday, April 11, 2014

DEMI KELANGSUNGAN HIDUP

Semalam sewaktu hampir sampai di pekarangan luar sekolah anak, iaitu kira-kira 30 meter dari tempat memarkir kereta di bahu jalan, saya terpandang seorang lelaki India pengutip barang-barang terbuang kitar semula sedang menolak basikalnya.

Terhuyung-hayang lagaknya. Kelihatan dia sedang berusaha keras cuba mengawal basikalnya daripada terbabas. Di atas basikalnya ada seperti kotak besar.

Tatkala saya memotongnya dan memarkir kereta, barulah saya nampak dengan jelas barang di atas basikalnya itu. Subhanallah. Ia sesuatu yang amat berat. Tidak tahulah saya dari mana dia mengutipnya dan bagaimana dia berjaya mengangkatnya ke atas basikal. Yang pasti ia sudah dibuang orang, lalu dikutipnya.

Rezekinya besar hari itu barangkali, menemui barang terbuang sedemikian dan mungkin agak tinggi nilainya berbanding barang-barang terbuang lain jika dijual ke tempat pelupusan barang kitar semula.

Demi menyambung kelangsungan hidup, orang sepertinya melakukan apa sahaja untuk mencari rezeki. Bagi lelaki India itu, dia mengerah sepenuh tenaga dan keringat mengutip barang sebesar dan seberat itu. Jika tiada orang sepertinya, persekitaran kita barangkali penuh sampah-sarap!

Barang berat di atas basikalnya itu ialah sebuah peti sejuk! Allahu Akbar, ia suatu pandangan yang jarang sekali kedapatan di negara ini. 







Friday, October 25, 2013

JANGAN UNGKIT, JANGAN BERKIRA

"Dulu kedai akak depan Shell sana," kata Kak Nita sambil memuncungkan bibirnya ke suatu arah, menunjukkan arah kedai lamanya. Dia membahasakan dirinya 'akak' walhal saya tahu dia lebih muda daripada saya.

Ramah orangnya. Pendek kata, penduduk di Beserah yang kami temui di sepanjang jalan semuanya ramah dan mesra. Kerana bersempadan dengan Terengganu, dialek mereka lebih kepada Terengganu dan Kelantan.

Kami bercuti di Beserah sempena cuti umum Hari Malaysia, 16 September lalu. Hari terakhir, singgah-singgah di kedai-kedai tepi jalan membeli keropok lekor dan satar. Ternyata satar di kedai Kak Nitalah yang paling sedap berbanding satar yang kami beli di kedai lain.

"Kalau bagitau awal, bolehlah akak siapkan dulu," jelas Kak Nita. sewaktu kami menunggu satar RM30 siap dibungkus dan dibakar. Kami menyengih melayan Kak Nita. Dalam sibuk melayan pelanggan yang ramai dia masih ramah melayan kami.
Kak Nita sibuk merapi barang jualan di hadapan kedai.  (Sudut gambar kurang menarik kerana saya malas hendak bangun dari bangku yang berdepan dengan kipas. Cuaca cukup panas).

Pelanggan memang tidak putus berkunjung ke kedainya.

Apabila pelanggan reda, dia menyambung cerita.

"Kedai lama dulu sewa beli. Lebih kurang lapan ribu akak habiskan untuk ubah suai kedai, sudahlah kemudahan air dan api tak ada, semua kena buat sendiri. Bila tengok perniagaan akak maju, alih-alih tuan punya kata dia nak ambil semula kedai, nak duduk sendiri.

Pelanggan memborong di kedai Kak Nita. 
 "Terkedu akak. Kat mana akak nak duduk? Barang-barang kedai nak letak di mana? Tempoh pindah sudahlah pendek."

Ada kisah menarik rupanya di sebalik kedai Kak Nita ini. Saya mendengar penuh minat.

"Kos ubah suai lapan ribu ringgit, hangus macam tu aje. Yalah, mana ada hitam putih pun. Atas dasar percaya," ceritanya.

Ada di kalangan pelanggan tetap Kak Nita merupakan peguam. Dia menyarankan kes Kak Nita yang dianiayai begitu diselesaikan melalui proses undang-undang.

"Tapi tak apalah. Akak tak nak gaduh-gaduh. Dah tak ada rezeki akak di situ. Akak tak nak ungkit-ungkit, tak nak terlalu berkira dengan hidup ni."

Nak dijadikan cerita, tidak lama selepas itu, datang seorang tuan haji. Tuan haji ini memiliki banyak tanah dan rumah serta rumah kedai di sepanjang jalan itu. Tuan haji ini dikenali juga dengan sifat yang sangat payah untuk membenarkan premis dan tanahnya diduduki orang mahupun disewa.

Anehnya dalam kes Kak Nita, tuan haji ini dengan rela hati menawarkan satu kedai yang tidak jauh dari kedai lama Kak Nita.

"Alhamdulillah. Malam itu juga akak dan suami pindahkan barang-barang. Kedai baru ini jauh lebih baik. Api, air semua ada. Kalau kedai dulu, api air tak ada. Semua kita kena usahakan sendiri. Tapi kedai sekarang ni, jauh lebih baik, lebih luas. Sewa pun tidak semahal kedai lama," cerita Kak Nita.

Satar Kak Nita memang sedap.
Saya membuat kesimpulan, andainya kita tidak terlalu berkira, sabar dan redha, insya-Allah rezeki dan bantuan daripada Allah datang dengan tidak disangka-sangka. Keredhaan Kak Nita menerima takdir hangus lapan ribu ringgit, Allah gantikan dengan yang lebih baik lagi.

"Akak syukur sangat. Pelanggan-pelanggan lama semua dah datang. Malah rezeki akak di sini lebih banyak lagi. Pelanggan datang tak putus-putus."

Memang benar, sewaktu kami menungga pekerja Kak Nita siap membungkus dan membakar satar, pelanggan sentiasa datang. Sesekali ada yang datang dalam kumpulan. Sibuklah Kak Nita melayan mereka.

Jika anda ke Beserah, jangan terlepas membeli satar KakNita. Resipinya dibuat sendiri. Dalam banyak-banyak kedai menjual satar di sekitar jalan itu, kami rasa satar Kak Nitalah yang paling sedap.

Tuesday, July 24, 2012

APABILA ANAK BERSUARA

Baru-baru ini saya tergelak sendirian sewaktu mendengar Sinar Pagi. Topik pagi itu ialah "Terlepas Cakap."

Seorang pemanggil menceritakan bagaimana dia telah membawa anaknya berusia enam tahun ke majlis kahwin kawannya.

Sebulan kemudian, dia sekali lagi membawa anaknya itu ke majlis kahwin kawan yang sama. Ya betul, kawannya itu telah memadukan isteri pertama yang dikahwininya sebulan dahulu. Isteri yang kedua yang baru dikahwinnya ini tidak mengetahuinya.

Tiba-tiba anak berusia enam tahun itu bersuara bertanya pengantin lelaki, "Eh, uncle baru ni dah kahwinkan? Tapi dengan orang lain ... ."

Pengantin perempuan memandang suaminya. Cepat-cepat si bapa menarik tangan anaknya pergi dari situ. Khuatir kalau-kalau anaknya akan bersuara lebih panjang. Harapnya tidaklah berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Begitulah anak-anak, jiwa mereka suci, hati mereka mulus, tidak pandai menipu. Mereka bercakap daripada apa yang diperhatikan. Bait-bait patah perkataan lahir daripada hati. Maka kita yang tua janganlah mengajar anak menipu.

Ceritanya lagi, isteri-isterinya itu seorang di Johor dan seorang lagi di Terengganu. Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhir tembelang pecah juga. Kawannya itu kantoi apabila isteri-isterinya tahu mereka dimadukan. Rahsia, kalau disorok macam mana pun kalau Allah mahu mendedahkannya, akan terdedah juga.


Tuesday, July 3, 2012

MEREKA KAYA MEREKA BERWANG MEREKA HARTAWAN!

Baru-baru ini, adik saya bercerita tentang seorang kenalannya. Kenalan itu katanya, sangat kedekut (bakhil). Kalau ada apa-apa program yang hendak dianjurkan, dia amat berkira dan susah hendak keluarkan duit.

"Tapi dia ni kaya. Sangat kaya," cerita adik saya. Daripada pakaian hinggalah kereta semuanya cabuk!
"Lampu kereta Waja dia dah tampal-tampal selotape, punya kedekut nak tukar lampu baru," cerita adik saya lagi. Kalau lampu baru pun dia amat kedekut nak keluarkan duit apatah lagi kalau hendak tukar kereta baru. Walhal dia lebih daripada mampu untuk menukar kereta buruk kepada kereta yang mewah.

Kemudian adik ipar pula membuka cerita. Di tempat kerjanya ada pasangan suami isteri berpangkat 'Dr' bertaraf jutawan.

"Ooo samalah dengan Dr kat tempat kerja tu. Laki bini memang kaya 'giler'. Dia pernah ugut Tabung Haji kalau tak bagi dia pergi cepat ke Makkah, dia nak keluar semua simpanan dua juta ringgit di Tabung Haji. Tak nak simpan dah di Tabung Haji. Akhirnya dapatlah dia pergi sebab Tabung Haji takut dia keluarkan semua duit yang dua juta tu."

"Yang pelik tu, dia mampu pergi pakej kalau nak cepat. Tapi sebab dia cermat dan berkira, dia nak pergi juga ikut yang muassasah. Dapat pulak tu bila buat ugutan," ujar adik ipar.

"Kereta dia pun macam tulah, bertampal-tampal selotape," sambungnya lagi.

Itu kereta, gajet-gajet yang menjadi kegilaan orang sekarang pun mereka tak pandang. Kalau ada telefon bimbit pun, sekadar model yang biasa-biasa saja, selagi tidak rosak, selagi itu tidak berganti baru.


Saya percaya, kalaulah mereka ini tidak kedekut dan suka membuat amal kebajikan dengan harta kekayaan mereka, barangkali kekayaan mereka tentulah lebih berganda-ganda lagi sebagaimana janji Allah. Kalau tidak pun dengan material, Allah akan gantikan dalam bentuk rezeki yang lain.

Adik ipar saya juga pernah bercerita tentang kenalannya yang lain. Juga pasangan suami isteri. Namun, mereka ini bukan daripada kalangan kedekut. Baik orangnya. Pagi-pagi membonceng motosikal kapcai pergi kerja. Kekadang berkereta.

"Alaa kereta Proton Saga first generation tu je, dia orang tak pernah tukar sejak pertama kali beli," kata adik ipar.

Suatu hari, adik ipar saya berziarah ke rumah pasangan ini. "Mak aiii, besar betul rumah dia. Mewah. Laman pun luas. Macam tak caya je kalau tengok cara hidup dia orang selama ni. Biasa je. Macam tak kena kereta buruk dia parking kat rumah besar macam tu."

Saya membayangkan berapa ramaikah di kalangan masyarakat kita, yang nampak sahaja pandu kereta buruk, berpakaian selekeh, tapi sebenarnya mereka adalah hartawan yang berselindung di sebalik kesederhanaan.


Saya memerhati hati pula rakan-rakan di sepejabat ini. Ya, pendapatan di sini tidaklah banyak mana, sekadar cukup makan. Tapi, penampilan kekadang mengalahkan orang yang bergaji besar. Telefon bimbit model terkini, pakaian baru sering bertukar ganti. Ada yang hampir setiap bulan datang dengan pakaian baru. Ahh, nafsu manusia sentiasa buas. Mahu segala bentuk kemewahan walhal tidaklah mampu mana.

Pernah juga saya memerhati dan juga daripada pembacaan penyelidikan yang dijalankan oleh  pihak tertentu. Golongan yang gilakan gajet-gajet canggih dan sering menukarnya kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berpendapat sederhana dan ke bawah. Mereka yang berpendapatan tinggi pula tidaklah terlalu cenderung untuk memilikinya. Ini kerana golongan berpendapatan sederhana ini lebih sukakan hiburan dan banyak masa terluang melayan hal-hal yang tidak berfaedah di telefon bimbit. Sedangkan mereka berpendapatan tinggi, sentiasa sibuk untuk memajukan diri, tiada masa untuk bersenang-lenang menghabiskan masa tidak tentu hala.

Teringat ketika saya mendapatkan rawatan daripada seorang doktor pakar di sebuah pusat perubatan. Terkejut saya melihat telefon bimbitnya ... alahai, telefonnya model yang sudah pupus 'Nokia butterfly'.

Ketika saya membaca pruf buku tulisan Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir, Bijak Mengurus Wang saya membuat kesimpulan, bahawa dengan pendapatan sederhana, kita sebenarnya mampu hidup lebih selesa jika bijak berbelanja. Tidak menghabiskan kepada perkara yang tidak perlu seperti telefon bimbit yang tidak berpenghujung inovasinya. Nafsu pula, jika tidak dididik akan sentiasa mahu dan mahu kepada yang tidak perlu itu. Demikian juga pakaian yang lebih daripada cukup dan pastinya akan dihisab kemudian hari.

Ke mana hilangnya sifat qanaah?

Sifat kaya Allah adalah "Allah tidak memerlukan apa-apa kerana sudah memiliki segala-galanya." Begitu juga kita, apabila telah cukup dan memiliki segala keperluan, tidak perlulah lagi kepada benda-benda lain. Misalnya, jika sudah ada pakaian, tidak perlu setiap bulan membeli yang baru. Jika sudah ada telefon bimbit, tidaklah perlu lagi bertukar kepada yang lebih sofistikated selagi tidak rosak.

Islam tidak menghalang kita kaya, malah menggalakkannya. Tapi adakah kebanyakan kita berusaha mencari kekayaan itu? Jawapannya tidak, kerana dapat sahaja gaji, hujung bulan kita sudah kembali miskin kerana membayar hutang itu ini dan berhabisan berbelanja kepada perkara yang tidak perlu.

Sekadar memetik kata-kata Hajah Rohani daripada bukunya Bijak Mengurus Wang:
"... kita ini asyik hendak membeli, berbelanja, menghambur-hamburkan duit dan harta yang dititipkan Allah SWT kepada kita ini, kaya atau tidak? Jauh sekali, bukan? Semakin bertambah kemampuan kewangan kita, semakin bertambah pula kemahuan kita. Jangan sampai ada orang yang kalau boleh mahukan semua barangan terkini yang diiklankan. Lebih-lebih lagi telefon bimbit, memang susah hendak dapat yang terkini. Baru sahaja beli yang baru, sudah keluar model yang terkini!"




Tuesday, January 31, 2012

REZEKI PADA BATU

Seperti biasa ketika memandu ke pejabat, pastinya stesen radio nombor satu negara menjadi pilihan saya.

Pagi ini ketika memandu, saya mendengar Sinar Pagi bersama SY, KE dan Krill. Topik sembang pagi ini berkenaan perniagaan yang pernah pendengar ceburi.

Saya terkesan pada cerita seorang pemanggil wanita ini.

Beliau merupakan anak yatim, dan kehidupan pada zaman kanak-kanaknya memang susah. Maklumlah, beribukan ibu tunggal.

Ketika pulang dari sekolah, ibunya lambat menjemput dia dan adiknya kerana mencari nafkah.

"Saya dengan adik duduklah di sekolah tunggu Emak datang. Dah tu tak tau nak buat apa, kami kutiplah batu-batu kat tepi-tepi sekolah," ujarnya.

"Kami pilih batu yang cantik-cantik. Balik rumah, batu-batu tu kami basuh dan kilatkan," ceritanya lagi.

"Masa tu kan main batu seremban popular. Jadi saya jual batu tu pada kawan-kawan. Tujuh biji lima sen. Laku! Alhamdulillah, rezeki saya Tuhan beri ... ."

"Hasil jualan batu tu, lepaslah untuk saya dan adik makan nasi lemak. Masa tu nasi lemak dua puluh lima sen sebungkus.

"Waktu itu saya tidak ceritakan pada Emak sebab takut Emak susah hati. Apabila dah besar, dan kerja pula gaji besar, barulah saya cerita pada Emak. Emak saya menangis ... ."

"Yalah, hati ibu, tentulah sedih ye dak. Hidup susah nak sara anak-anak ... " sampuk KE.

Saya cukup terkesan mendengar kisah ini. Bak kata orang, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rezeki ada di mana-mana hatta pada batu sekalipun jika ada usaha. Malah, ulat hidup pada batu pun ada rezekinya di situ.

Barangkali juga berkat menjaga hati ibu, dan berstatuskan anak yatim, dia dimurahkan rezeki.

Jika berusaha mengubah nasib, pasti ada bantuan daripada-Nya. Kisah ini merupakan teladan bagi mereka yang hobinya meminta sedekah walaupun ada kudrat. Ubahlah sikap dan mentaliti itu menjadi lebih positif!

Monday, September 19, 2011

DUA MAJLIS PERKAHWINAN

Seperti kebanyakan orang lain sepanjang Syawal ini jadual hujung minggu padat terisi dengan agenda rumah terbuka dan undangan kahwin.

Semalam saya sempat menghadiri dua buah majlis perkahwinan. Yang pertama di Bukit Damansara yang kebanyakan jemputan terdiri daripada orang kelas atasan. Majlis kedua pula adalah golongan yang berlawanan dengan majlis pertama.

Majlis pertama

Majlis diadakan di Dewan Komuniti Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur. Waktunya dari jam 12 tengah hari hingga jam tiga petang. Lazimnya majlis perkahwinan yang saya hadiri hingga jam 4.30 petang.

Barangkali masa yang diperuntukkan tidak panjang yakin hingga jam tiga, maka jemputan agak padat di dalam dewan. Sehingga ada yang tercangak-cangak berdiri memegang pinggan berisi nasi, mencari meja untuk menikmati hidangan yang disajikan secara bufet.

Biarpun majoriti terdiri daripada kelas atasan, ada segelintir yang mentalitinya agak rendah. Jemputan yang telah lama selesai makan masih lagi duduk-duduk, bersantai dan sembang-sembang di meja tanpa memikirkan jemputan yang baru tiba hendak duduk dan makan. Mereka ini terdiri daripada anak-anak muda yang tiada rasa prihatin.

Paling dikesalkan ada jemputan yang terdiri daripada mereka yang kepayahan anak kecil, dibiarkan sahaja, tidak sensitif dengan para ibu yang amat susah mendukung anak jika tidak ada tempat duduk.

Sehinggalah, pengumuman dibuat melalui pembesar suara agak mereka yang telah selesai makan, diminta beri laluan pula untuk hadirin yang baru sampai. Antara hadirin yang baru tiba adalah kami sekeluarga. Ayah saya duduk menyelit di antara anak-anak muda bujang yang langsung tidak peka, langsung tidak prihatin!

Saya dan anak pula terpaksa duduk di meja bersebelahan setelah sekian lama berdiri menunggu tempat kosong. Adik saya dan dua orang anaknya juga terpaksa mencelah di antara anak-anak muda itu.

Alahai anak muda, langsung tidak cakna!

Kami makan sekadarnya, untuk memberi laluan kepada orang lain pula dan pulang dalam cuaca hujan lebat dengan membawa pulang buah tangan yang menjadi trend terkini bagi golongan elit: Hand made chocolate.


Majlis kedua

Jam 3.30 petang saya bersama Emak ke majlis kahwin anak jiran. Kali ini orang lain tidak ikut serta kerana sudah kepenatan dan ada yang tidak sihat. Walaupun kepenatan, saya gagahkan diri pergi juga untuk membawa Emak yang keseorangan.

Majlis diadakan di gerai minum ibu pengantin lelaki. Dia merupakan seorang ibu tunggal yang mengusahakan gerai minuman di medan selera tidak jauh dari rumah. Di situlah diadakan majlis perkahwinan anaknya.

Waktu jemputan hingga jam lima petang menjadikan ia lebih fleksibel, jemputan tidak terkocoh-kocoh.

Suasana agak 'koboi' dan santai. Yang membezakan majlis kelas atasan dengan kelas bawahan adalah juga mentalitinya.

Asap rokok berkepul-kepul tanpa menghiraukan hadirin lain. Lagu-lagu yang dimainkan juga lagu 'kelas bawahan'. Ada pula nyanyian ala karaoke yang saya kira disampaikan oleh rakan pengantin ... tersangatlah sumbang, amat bingit hingga sakit telinga! Tidak sedap langsung dan memang syok sendiri!

"Dia rasa suara dia sedap sangatlah tu," komen anak jiran yang juga hadir dan duduk di meja bersebelahan kami.

Alahai! Alangkah baik kalau dipasangkan nasyid yang sedap-sedap!

Saya dan Emak pulang dengan telinga yang masing berdesing dalam hujan merintik dengan membawa buah tangan: Muffin coklat berjenama Gardenia dan sebiji jeli.

Tuesday, September 13, 2011

KISAH DUA MAK CIK DI HARI RAYA

Kisah Mak Cik Yang Keseorangan

Anak saudara saya yang paling tua bercerita tentang kisah dia beraya di kampung ayahnya baru-baru ini. Anak saudara saya ini membahasakan dirinya 'Kakak'.

Kakak memberitahu, dia telah pergi beraya ke rumah seorang mak cik di kampung itu.

"Kesian mak cik tu, tak ada siapa yang datang beraya ke rumahnya. Dia raya sorang-sorang je," cerita Kakak.

"Habis tu, Kakak tak pergi ke?" kami yang mendengarnya menyampuk.

"Pergi, Kakak dengan Adik pergi tiap-tiap tahun."

"Dia tak ada anak ke?"

"Ada enam orang. Sorang pun tak pernah balik."

Rupa-rupanya mak cik itu sudah sekian lama beraya sendirian. Kesian sungguh kami mendengarnya.

"Tiap-tiap tahun mak cik tu masak nasi dagang. Sedap nasi dagang dia. Kita orang kalau pergi raya kat rumah dia buat macam rumah sendiri. Kalau nak air, pergi je ambil sendiri kat dapur dia," cerita anak saudara saya itu lagi.

"Kakak tanya mak cik tu, 'Anak mak cik tak balik ke?' Dia jawab 'tak'."

Malangnya nasib mak cik tu. Saban tahun sediakan juadah istimewa menanti anak-anak pulang. Mengapalah seorang pun tidak sudi menjenguk seorang ibu yang telah tua?

"Kakak sejak darjah tiga lagi pergi raya rumah dia, tapi sekali pun anak dia tak pernah balik," cerita Kakak yang kini sudah di tingkatan dua.

Aduhai, mengapa demikian?


Kisah Mak Cik Rock

Kakak menggelarkan wanita tua ini 'Mak Cik Rock'.

Pada hari raya lalu Mak Cik Rock telah datang ke rumah nenek Kakak (emak ayah Kakak yakni emak abang ipar saya).

Sambil bercerita, Kakak terkekek ketawa mengenangkan kisah Mak Cik Rock ini.

"Mak Cik Rock ni, kira macam dah nenek la, dah tua. Memang rock gila," Kakak memulakan ceritanya. Belum apa-apa lagi Kakak dah tergelak.

Kata Kakak, Mak Cik Rock datang naik motor dan merupakan seorang perokok yang tegar. Mak Cik Rock datang kerana hendak membaiki motosikal. Ini disebabkan adik kepada abang ipar saya itu pandai membaiki motosikal.

Ketika Kakak melihat ke dalam raga motosikal Mak Cik Rock, ternampaklah makanan anjing dalam tin.

"Musykil Kakak, macam mana boleh ada makanan anjing," kata Kakak. Ketawa lagi.

Lama Mak Cik Rock menunggu, tapi orang yang ditunggu untuk membaiki motosikal tidak pulang-pulang lagi. Pergi beraya agaknya. Maka dia pun meminta diri untuk pulang.

"Tak apalah, ambo balik dululah, nak bagi anjing makan, dah lapar tu," ujar Mak Cik Rock. Kakak tambah keliru. Atau Kakak tersalah dengar?

Selepas Mak Cik Rock balik, Kakak membontoti neneknya ke dapur untuk bertanya dan mendapat kepastian. Kakak memanggil neneknya 'Mek'.

"Mek, mak cik tu bela anjing ke?"

"Ada sepuluh ekor, buat jaga rumah kononnya," jawab Mek berbisik perlahan, barangkali dia tidak menyenangi wanita yang membela najis mughallazah itu.

Terkedu Kakak, buntang mata memikirkan ada orang Islam di kampung neneknya membela anjing! Barangkali Mak Cik Rock itu tidak pernah berusaha mendalami Islam.

Macam-macam ragam manusia kalau hendak diceritakan. Terkadang tidak terjangkau dek fikiran cetek kita, mengapa sebahagiannya berkelakuan begitu dan begini.

Friday, August 26, 2011

KISAH VIP

Anekdot 1

Kawan sekerja adik saya telah berkahwin dengan anak seorang VIP. Sebagai hadiah perkahwinan, dia telah menerima sebuah jam tangan daripada mentuanya. Maka dipakailah jam itu tanpa dikisahnya nilai dan jenama jam tersebut. Dipakainya hingga bercalar-balar.

Setelah sekian lama, kuasa bateri pun habis, lalu disimpannya jam itu. Suatu hari, dibawanya jam itu kedai untuk menukar bateri.

"Jam ni kalau mahu jual berapa laku?" dia bertanya kepada orang kedai, saja sembang-sembang kosong, tanpa berniat hendak menjual jam pemberian mentua itu.

Setelah diteliti jam itu, orang kedai itu memberi jawapan yang mengejutkan.

"Dua belas ribu masih laku lagi," jawab si pekedai.

Terkedu kawan adik saya itu. Barulah dia tahu nilai jam itu, maklum mentuanya VIP.

Jam itu berjenama OMEGA SEAMASTER!

Pengajaran: HARGAILAH PEMBERIAN ORANG KEPADA KITA TIDAK KIRA SAMA ADA IA MAHAL ATAU MURAH!


Anekdot 2

Ketika merancang majlis resepsi perkahwinan anak dan menantu, mentua yang VIP ini bertanya kepada sahabat adik saya itu, "Ada tak mana-mana VIP nak dijemput?" Bangga nadanya!

Yalah, mentua pun VIP, maka setiap segi majlis perlu diatur secara teratur. Maklumlah sebahagian besar jemputan mentuanya pun tentulah VIP lagi kenamaan. Meja-meja hidangan VIP perlu diasingkan dari meja-meja marhaen. Meja khas VIP mesti disediakan supaya tidak kelam-kabut nanti. Nanti malu tuan rumah!

Melihat mentuanya yang mementingkan VIP ini, si menantu menjawab, "Ada, tapi seorang je." Saja nak mengenakan mentuanya.

"Siapa?"

Maka diberilah nama VIP yang seorang itu kepada mentuanya. VIP itu adalah sahabat baik, teman sepengajian sewaktu di London dahulu.

Terkedu bapa mentuanya. Kelam-kabut jadinya kerana dia terpaksa menyusun semula majlis resepsi anak perempuannya itu kerana menantunya mengundang bukan lagi VIP, tapi VVIP.

Meja-meja VIP yang telah siap dalam pelan perancangan terpaksa ditolak ketepi untuk memberi laluan kepada meja VVIP yang seorang itu. Walhal VVIP itu tidak kisah pun kalau mejanya diletakkan bersama tetamu marhaen!

Rupa-rupanya jemputan menantunya itu seorang putera raja yang sudi mencemar duli ke majlis tersebut. Bukan saja putera raja, tetapi statusnya putera mahkota!

Kini putera mahkota itu telah pun menjadi Sultan di sebuah negeri dan sangat dikagumi dan disenangi rakyat jelata kerana sifat tawaduknya. Seorang sultan yang jika sekali pandang, penampilannya tidak banyak beza daripada rakyat jelata apabila baginda turun ke padang meninjau keadaan rakyatnya.

Pengajaran: Sebagai hamba Allah, tidak perlulah kita berbangga-bangga diri. Allah tidak memandang kepada taraf dan pangkat seseorang, tetapi pada takwa yang dipakai oleh hamba-hamba-Nya.

Friday, August 19, 2011

"BARANGKALI SAYA SUDAH MURTAD ... ."

Kawan kepada adik ipar saya cukup berhati-hati apabila memilih teksi untuk dinaiki. Sebelum menaiki teksi dia pastikan pemandunya Islam/Melayu.

Pada suatu hari, kerana tergesa-gesa mengejar waktu hendak ke mesyuarat, dia tidak punya pilihan. Mana-mana teksi yang datang dulu, dia terpaksa naik.

Pun begitu, sikap waspadanya tetap ada.

Pemandunya seorang India. Diteliti nama dan segala maklumat pemandu teksi itu.

"Oh, itu nama saya sebelum Islam," jawab pemandu itu.

Dia cukup lega mendengarnya. Alhamdulillah, Islam rupanya.

Maka berlakulah sembang-sembang antara dia dengan si pemandu teksi.

Rupa-rupanya pemandu teksi itu seorang yang well educated. Memiliki ijazah sarjana dari Amerika Syarikat.

Biarpun memiliki ijazah tinggi, dia tidak betah bekerja di pejabat berhawa dingin. Tidak serasi duduk di bawah arahan orang, lantas dia memilih kerjaya sebagai pemandu teksi yang tidak terikat dengan sesiapa dan sebarang waktu.

"Alhamdulillah dalam sebulan pendapatan saya mencapai lima ribu," ujar si pemandu teksi. Malah jumlah itu melebihi pendapatan sesetengah orang yang bekerja di pejabat berhawa dingin.

Biarpun sekadar pemandu teksi, jika ada usaha gigih dan ada keyakinan, pasti rezeki ada di mana-mana.

Menyentuh pengislamannya, pemandu teksi itu memberitahu dia memeluk Islam sewaktu di Amerika.

"Kalau saya masuk Islam di Malaysia, barangkali saya sudah murtad," katanya.

Kenyataannya itu tidak mengejutkan kerana ujian seorang muallaf lebih tinggi di negara Islam seperti Malaysia (kononnya negara Islam!). Apa tidaknya, kebajikan saudara baru kadang-kadang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada badan-badan berwajib mahupun daripada masyarakat sendiri. Berbanding jika seseorang itu memeluk Kristian, missionary yang menjalankan tugas cukup efisien dan sangat menjaga kebajikan orang yang memeluk agama mereka. Malah cuba pula mempengaruhi orang Islam masuk Kristian.

Sesuatu yang mengagumkan tentang si pemandu teksi ini, dia lebih suka mengambil penumpang bukan Islam. Mengapa?

"Saya boleh berdakwah kepada penumpang saya. Tunjukkan keindahan Islam," jelasnya.

Wah, rupa-rupanya dia bukan sembarangan pemandu teksi, dia juga seorang da'i.

Memikirkannya, mungkin kerana keikhlasannya berdakwah ini, di kala para pemandu teksi lain mengeluh tentang pendapatan hasil memandu teksi yang tidak seberapa, lelaki India ini pula stabil pendapatannya. Barangkali Allah melebihkan rezeki kepada hamba yang berusaha memartabatkan Islam di mata bukan Islam.