Showing posts with label sikap dan mentaliti. Show all posts
Showing posts with label sikap dan mentaliti. Show all posts

Thursday, June 25, 2015

BAZAR RAMADAN: NAK BERNIAGA BIAR IKHLAS

Sudah seminggu berpuasa, baru sekali saya menjengah bazar Ramadan, itu pun kerana pada hari berkenaan saya tidak sempat pulang tepat pada waktu, sedangkan waktu berbuka sudah sangat hampir.

Bersama anak, saya melangkah ke bazar Ramadan berhampiran.

Ke hulu ke hilir, jenguk sana sani, tinjau sana sini.

"Ammar nak beli apa?"

Dia mencebik! Tak berminat. Saya juga tidak berminat sebenarnya. Saya lihat orang lain sudah penuh jari mereka membimbit beg plastik berisi juadah berbuka.

Sungguh, kami dua beranak tidak bernafsu! Sesuatu yang patut disyukuri, alhamdulillah.

Tiada yang menarik!

"Mak masak ajelah!" Anak saya memang jenis tidak suka makan di luar dan tidak suka membeli yang siap masak kecuali hanya beberapa jenis makanan kegemaran.

"Tak sempat dah Ammar."

Akhirnya, ayam goreng dan sekeping martabak daging aje disambar! Bergegas mahu pulang sebelum azan berkumandang!

Tiba waktu berbuka ...

Alahai ... martabaknya. Bukan niat nak mencela makanan, tapi rasa sakit hati kepada peniaga datang menyinggah. Mujur juga bulan puasa, jika tidak banyaklah leteran dan bebelan keluar dari mulut yang pasti mengurangkan pahala dan mendatangkan dosa.

Kepada peniaga, berniagalah dengan ikhlas, jangan menipu pelanggan. Harga mahal sedikit tidak mengapa, asalkan sedap. Rasa kurang manis, masin, masam, mungkin kita boleh maafkan lagi sebab tidak boleh nak rasa dan kecap sangat masakan kita semasa berpuasa.

Yang geram, papan tanda tertulis besar MURTABAK DAGING!

Jika dah namanya martabak daging, sepatutnya intinya penuh daging, bukan bawang. Ini tidak, daging sebesar hama pun tak ada!

Martabak daging nisbah yang sepatutnya 70:30 (70% daging). Paling koman pun 50:50. Barulah layak dinamakan martabak daging. Ini tidak ... 98% bawang, 2% lagi telur. Itu MENIPU namanya! Mentaliti yang pentingkan untung semata-mata.

Janganlah buat begitu, lebih-lebih lagi bulan puasa. Apa yang pelanggan bayar, biarlah berbaloi.

Huh! Inilah dia, pembuat martabak celup yang muncul setahun sekali! Orang nak berniaga, dia pun nak berniaga. Orang nak buat martabak, dia pun nak buat juga!

P/S ... tetiba teringatkan martabak raja dari Kelantan yang tebal lagi padat dengan daging/ayam ... bersepah dagingnya. Mmm ...!!!

Monday, June 15, 2015

JANGAN PARKIR KENDERAAN SESUKA HATI!

Saya agak, sebahagian besar pemandu di Malaysia ini tidak layak mendapat lesen memandu. Parkir kenderaan sesuka hati di laluan orang ramai. Di sudut dan bucu simpang dan motosikal di kaki lima bangunan tempat pejalan kaki, walhal tempat letak kenderaan masih banyak yang kosong. Juga parkir di belakang kenderaan orang! Barangkali perlu ada silibus khusus tentang sivik meletak kenderaan dan diberi penekanan apabila mahu belajar memandu dan mengambil ujian memandu.

Malas! Malas berjalan beberapa meter dari petak parkir agaknya. Penyakit pentingkan diri sendiri!

Risiko bagi orang yang mahu membelok di simpang kerana tidak nampak kenderaan datang dari beberapa arah!

Walaupun untuk dua saat, saya tidak sekali-kali meletak kenderaan di tempat laluan orang ramai kerana dalam tempoh sesaat pun mana tahu kalau ada kenderaan orang mahu keluar dan lalu di tempat kita parkir.

Baru-baru ini sebuah Wira berhenti di tengah-tengah lorong masuk ke kawasan rumah (bukan di tepi lorong tapi memang di tengah-tengah laluan). Saya ketika itu berkejar dengan masa mahu menghantar anak ke sekolah petang dan kembali ke pejabat.

Saya bunyikan hon. Tidak berapa lama kemudian datang seorang perempuan muda terhegeh-hegeh dan tersengih-sengih. Di tangannya sebungkus makanan, agaknya dia parkir di situ untuk membeli makanan di restoran berdekatan.

Allah, apabila dia menghidupkan enjin, tidak hidup pula! Beberapa minit berlalu, darah saya mula mendidih...entahlah berapa agaknya BP ketika itu.

Saya turun dari kereta dan mengetuk tingkapnya. "Tak boleh hidup kak, saya dah cuba," ujarnya.

"Awak tau tak, saya ni berkejar dengan masa, anak saya perlu ke sekolah. Saya perlu segera ke pejabat. Sekarang, disebabkan awak, anak saya lambat ke sekolah, dan saya sudah lambat ke pejabat. Pergi cari orang tolak kereta ..." Pok pek pok pek ... saya berleter.

"Tak apa kak, kereta ni memang macam ni. Susah mau hidup. Kena tunggu sekejap lagi baru hidup," jelasnya.

Mendengar jawapan itu, darah saya bertambah mendidih.

"Dah tau kereta susah mau hidup, kenapa letak kereta di tengah-tengah jalan macam ni? Awak tak fikir ke? Menyusahkan orang betullah ..." mukanya seperti mau menangis dan pucat lesi. Gaya saya seperti seorang emak yang naik angin! Allahu Akbar, saya tidak pernah meninggikan suara kepada orang awam sebegitu rupa.

"Sudah. Turunkan handbrake, free-kan gear, tolak kereta awak ke tepi ..."

Mujur lorong kecil itu keadaannya beberapa darjah menurun, maka meluncurlah keretanya itu ke tepi. Dapatlah kereta saya mencelah lalu.

Entahkan bila kesederan sivik orang kita ini akan menyamai orang Jepun. Sampai kiamat kot!

Wednesday, January 14, 2015

Peranti IT yang Menjahanamkan Manusia!

Hidup zaman ini yang dikelilingi pelbagai peranti/gadget ada baik buruknya.

Kesan buruk yang kita bimbangi. Ia amat menakutkan. Antaranya, ia memudahkan fitnah tersebar ke seluruh dunia dalam tempoh sekelip mata.

Seperkara lagi, ia memudaratkan kesihatan. Sudah ada anak-anak kecil dan remaja masuk hospital kerana rosak otak akibat asyik dengan bermain tablet dan telefon pintar.

Baru-baru ini adik saya memberitahu ada anak kenalan sudah menjangkau usia enam tahun, tetapi belum mampu bercakap. Apabila dibawa ke doktor pakar dan diperiksa, rupa-rupanya anak malang ini telah didedahkan dengan gajet pada usia muda lagi. Allahu Akbar!

Agaknya sepanjang masa anak ini bertemankan gadget. Sudah tidak kenal alam sekeliling!

Ada pun, dalam menuju usia dewasa, seorang anak itu perlu melalui pelbagai proses sebagai persediaan. Meniarap, merangkak, bertatih, berjalan, kemudian berlari. Sakit akibat jatuh dan sebagainya perlu menjadi pengalaman hidup seorang manusia kerana elemen-elemen inilah menjadikan jiwa kental, tahu bertindak dan memberi ilham kepada kita mengatur hidup, pendek kata proses yang wajib dilalui untuk menjadi manusia sejati!

Jika seharian seorang anak itu duduk melayan gadget, kesemua proses itu tidak dilaluinya. Bagaimana mahu bercakap kerana dia cuma berinteraksi dengan peranti, bukannya dengan manusia? Bagaimana dia boleh berdikari jika hidupnya dikuasai tablet dan smartphone?

Ketagihan kepada peranti IT ini bagi saya adalah kegilaan melampau, apatah lagi jika berlaku pada awal usia! Malah mendiang Steve Jobs sendiri pun tidak menjinakkan anak-anaknya dengan gadget rekaannya kerana sedar implikasinya. Agaknya, kitalah yang bodoh membesarkan anak dengan peranti-peranti ini.

Awaslah wahai ibu bapa!

Wednesday, June 25, 2014

ADAKAH DINAMAKAN DERHAKA JIKA ...

Topik menarik di Radio Ikim pagi tadi: Adakah meninggalkan orang tua kita di rumah orang tua atau pusat jagaan dianggap derhaka kepada kedua ibu bapa?

Pusat jagaan hari ini pula pelbagai. Ada yang daycare, ada yang pusat jagaan sepenuhnya dan macam-macam lagi ada. Bagi saja duit, semua beres.

Ada yang mengatakan derhaka ada yang mengatakan tidak. Ini permainan pro dan kontra. Bagi saya kita ikut situasi dan keperluan.

Orang selalu kata seorang ibu boleh jaga 10 anak. Sepuluh orang anak tidak boleh jaga seorang ibu.

Baru-baru ini ketika membeli nasi lemak di sebuah gerai, saya mendengar perbualan mak cik nasi lemak dengan seorang lelaki berkopiah dan berkain pelikat. Kedua-duanya sudah berusia.

Pak cik: Sekarang duduk sorang-sorang, sunyi anak-anak tak ada. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri.

Mak cik nasi lemak: Betul. Tapi saya ada emak. Sekarang dok jaga dialah.

Pak cik: Yalah, tak boleh nak salahkan anak-anak. Mereka pun sibuk. Takkan asyik nak layan kita saja. Bukannya derhaka. Sibuk dengan kerja. Nak jaga anak-anak lagi. Sekali sekala mereka telefon, tanya khabar. Duit pun ada bagi. Itu bukan derhaka. Orang selalu kata derhaka. Saya kata tak. Tak derhaka namanya tu. Kita paham susah mereka tu. Zaman sekarang tak macam dulu.

(Saya tabik spring pada pak cik ni ... toing ... toing ... toing 1,000X, payah nak cari orang tua yang memahami begini).

Mak cik nasi lemak: Betul. Betul. Saya ni dok jaga emak. Ya Allah, bukan senang jaga orang tua. Jaga orang tua tak mudah macam jaga budak. Kalau budak kencing berak senang kita nak angkat dia nak cuci, nak mandikan. Tapi orang tua, tak terdaya kita nak ngangkatnya. Bahu saya sampai sakit. Maklum, tak daya nak ngangkatnya, nak makainya ... . Tak ada orang lain nak tolong. Orang yang hantar mak bapa ke rumah orang tua tu, saya tak salahkan mereka. Saya tau susahnya nak jaga orang tua.

Pak cik: Betul. Betullah tu. Kita nanti pun, kalau perlu tak usah merungut kalau anak hantar ke sana. Mereka mahu yang terbaik untuk kita. Itu bukan derhaka namanya (diulang lagi kata-kata itu).

Kemudian di radio Ikim pagi tadi ada yang memberi respons begini: Menghantar orang tua ke pusat jagaan orang tua tidak semestinya derhaka. Sama keadaannya kita menghantar anak-anak kecil yang kita hantar ke pusat jagaan (day care) semasa keluarga bekerja, adakah itu dinamakan zalim dan derhaka kepada anak-anak?

Kesimpulannya: Andai ditakdirkan kita panjang umur dan sempat menikmati usia emas, cuba-cubalah kita rasional dan bermentaliti seperti pak cik itu. Belum tentu jika kita jaga sendiri orang tua keadaannya lebih terurus atau lebih baik. Entah-entah di pusat jagaan lebih baik. Entah-entah di rumah sendiri, orang tua terabai. Bagaimanapun, kita tidak mendoakan keadaan seperti itu akan berlaku kepada kita.

Kalau kita ditakdirkan umur kita panjang dan ketika itu kita uzur sudah tiada upaya lagi, berdoalah sepanjang masa agar anak kita diberi kemampuan oleh-Nya untuk menjaga kita sebaiknya. Dan  jangan lupa mendoakan diri kita dan memohon ke hadrat Allah SWT, serta pasangkan niat awal-awal, "Ya Allah, kalau Engkau takdirkan aku panjang usia dan tua, janganlah usia panjangku itu menyusahkan anak-anakku untuk menjagaku. Engkau mudahkanlah laluanku sepanjang hayat dan Engkau mudahkanlah juga laluan anak-anakku untuk menjagaku ... aameen."


Thursday, December 19, 2013

APABILA TIBA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN DIUMUMKAN

Hari ini keputusan PMR 2013 diumumkan. Bagi anak-anak dan ibu bapa yang terlibat. pasti berdebar-debar.

Saya teringat suatu ketika dulu seorang ustaz berpesan, "Kita jangan sibuk dok tanya keputusan periksa anak orang, anak engkau dapat berapa, anak awak dapat berapa ..."

Tapi itulah yang berlaku. Kita sibuk bertanya keputusan peperiksaan anak orang.

Pesan ustaz itu lagi, kalau anak kita dapat keputusan cemerlang, tidak perlulah kita heboh umum sana sini. Umum di laman sosial sana sini.

Kata ustaz ini, keadaan seperti ini jelas diterangkan oleh Imam Ghazali tentang riyak dan aib. Akan timbul riyak. Riyak di hati ibu bapa kerana bangga dengan kecemerlangan anaknya. Seolah-olah anaknyalah yang paling bijak, paling pandai. Malah anak itu sendiri akan jadi riyak dan ujub. Ini juga akan menyebabkan ibu bapa dan anak yang kurang cemerlang keputusannya berasa rendah diri dan malu melihat kejayaan orang lain.

Kita yang tiada anak-anak yang menduduki peperiksaan pula tidak usahlah sibuk bertanya keputusan anak-anak orang lain. Hentikan tabiat ini. Kata ustaz itu, ini juga dijelaskan oleh Imam Ghazali. Takut-takut keputusan anak itu tidak bagus, bukankah ia aib orang yang tak sepatutnya kita ambil tahu. Ibu bapanya juga tentu berasa malu untuk menceritakannya kepada orang lain. Pasti mereka tidak mahu orang tahu.

Bagi saya, ia amat benar sekali. Untuk umumkan kecemerlangan, biarlah ia diserahkan kepada pihak sekolah dan guru-guru yang mengajar sahaja.Mereka lebih berhak. Jika anak kita dapat keputusan cemerlang, panjatkan kesyukuran kepada Allah. Tidak perlu heboh dan umum sana sini. Raikan bersama ahli keluarga terdekat saja.

Teringat kepada seorang jiran, jiran-jiran sekeliling dan kawan-kawannya tidak tahu anak-anaknya semua cemerlang dalam peperiksaan. Mereka diamkan saja tidak bangga sana sini. Orang cuma mengetahuinya daripada pihak sekolah.

Renung-renungkan!

Wednesday, August 28, 2013

PARASIT: MERDEKAKAH KITA?



Setiap hari memandu ulang-alik ke pejabat-rumah, dan juga ulang-alik menjemput anak di sekolah saya suka memerhati suasana persekitaran tatkala berhenti di lampu merah trafik. 

Alahai, betapa banyaknya iklan yang diletakkan di sana sini. Kebanyakannya iklan adalah berupa parasit iaitu iklan yang tidak sah (dinaikkan tanpa mendapat kebenaran Majlis Perbandaran). Jika ia iklan yang sah, pasti ada 'cap mohor' Majlis Perbandaran terpampang di setiap iklan.

Beginilah mentaliti orang Malaysia. Segala-galanya hendak mudah, percuma hingga mencemarkan pemandangan persekitaran. Ada yang dinaikkan di tiang-tiang lampu, di dinding-dinding premis dan tiang-tiang papan tanda. Malah batang pokok juga turut menjadi mangsa.

Iklan di bahagian atas itu iklan yang sah kerana ada tanda MBPJ. Bunting iklan merah di bawahnya itu iklan 'haram'.






Sudah jadi sampah. Tunggang terbalik tersorok di celah semak-samun yang tumbuh di sekelilingnya.


Pokok juga jadi mangsa.


Ia sikap yang sangat buruk dan tidak dapat diampunkan. Sakit mata kita memandang. Iklan-iklan ini akhirnya lunyai, pudar, hancur dan menjadi sampah kerana setiap hari terkena matahari dan hujan. Setelah menjadi sedemikian rupa, tidak pula mereka menurunkannya. Dibiarkan sahaja menjadi sampah. Menambahkan buruknya lagi pemandangan.

Pengiklan yang paling rakus dan paling tiada hati perut menampal sticker iklannya tentulah ‘ah long’ ... jerung pemiutang. Menjelang musim-musim perayaan, giatlah mereka menampalkan iklan.

Allahu Akbar ... tiada langsungkah tindakan daripada pihak berkuasa untuk menghalangnya? Masyarakat juga perlu berperanan untuk sama-sama menanggalkan iklan-iklan ini. Sesekali, ada juga saya ternampak pihak perbandaran menurunkan iklan-iklan ini, tapi amat jarang sekali.

Tanpa sedar, setiap inci bumi Malaysia ini dijajah bukan sahaja oleh iklan tetapi dalam pelbagai bentuk!
Oh tanah airku ... adakah kita benar-benar merdeka? Jawapan saya: TIDAK!

Bunting iklan ini ada 'cap mohor' MBPJ.
Yang ini juga iklan yang dibenarkan.

Wednesday, January 30, 2013

SEMALAM TIADA, HARI INI ADA

Seperti biasa setiap pagi, boleh dikatakan hampir setiap hari sayalah orang pertama tiba di pejabat. Maka, sayalah yang bertanggungjawab membuka kunci dan mangga pintu masuk ke Jabatan Buku.

Bagaimanapun, pada pagi ini sejurus tiba dan mahu membuka mangga pintu, "Aik, macam lain aje mangga pintu ni. Bila pula dia orang tukar?" Saya bermonolog. Saya belek dan amati mangga itu, lalu mencuba kunci yang selalu digunakan. "Oh betul, mangga sama ... semalam tak ada, hari ni ada pulak, tak guna betul." Pagi-pagi lagi saya sudah membebel.

Mangga sama tapi fizikalnya sedikit berubah. Yang menjadikan ia nampak lain daripada biasa kerana telah ditampal sticker oleh ah long yang tidak bertanggungjawab.


Segera saya memerhati di dinding dan pintu premis. Tiada sticker yang besar kali ini, cuma sticker kecil yang bertaburan ditampal sana-sani. Saya mengopek satu persatu. Yang dilekatkan di mangga paling payah hendak ditanggalkan kerana sticker ala metallic apabila bertemu mangga logam, gamnya menjadi sebati.

Saya pernah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sikap buruk ah long dalam satu entri dahulu.

Mereka ini tidak akan serik selagi tiada penguatkuasaan undang-undang. Menampal iklan sedemikian hingga menyebabkan premis orang lain kelihatan sangat buruk lagi hodoh, tercalar imej. Ibarat syaitan yang tidak pernah jemu merosakkan umat manusia hingga hari kiamat. Demikian juga ah long, tidak akan jemu memberi pinjaman kepada orang terdesak hingga merosakkan institusi keluarga si penghutang. Tidak cukup dengan itu mangsa dipukul kejam apabila tidak mampu membayar hutang yang dipinjam.

Saya sesungguhnya amat benci sikap ah long yang menampal sticker dan juga mereka yang menyelitkan risalah di pagar rumah serta di wiper kenderaan!



Ini adalah pintu naik ke Jabatan Buku yang telah kami warisi daripada penyewa premis  sebelum ini.

Tuesday, February 21, 2012

Ah Long Oh Ah Long!

Pagi ini setiba saya di pejabat, saya lihat tiang dan dinding pejabat penuh bertampal sticker ah long. Segera saya kopek dan buang sebelum ia sebati dan sedaging dengan dinding serta sukar ditanggalkan. Cuma yang ditampal tinggi tidaklah saya mampu menanggalkannya. Perlu panjat tanggalah pula.


Tidak kurang 20 keping semuanya.

Mereka ini tidak serik-serik mengiklankan khidmat memberi hutang kepada orang ramai. Hampir segenap dinding dan daerah terdapat iklan sebesar tapak tangan ini. Terkadang hingga menutup papan tanda jalan.

Jika dulu di pejabat kami, ada Encik Abu yang rajin menanggalkan iklan haram ini, kini beliau sudah berhijrah, sesiapa yang rasa ada tanggungjawab terhadap syarikat dan masyarakat, sama-sama menanggalkan iklan ini.

Barangkali majikan saya perlu meniru TNB yang meletakkan tanda amaran sesiapa yang menampal sebarang iklan akan didakwa. Saya perhatikan peti voltan TNB tidak lagi dipenuhi dengan iklan-iklan ah long.

Jiran kami syarikat Shamawar juga meletakkan notis tidak membenarkan sebarang aktiviti penampalan di sekitar premisnya, malah melepak juga tidak dibenarkan di kaki limanya. Justeru sekitar premisnya nampak kemas.

Sesungguhnya, sakit mata memandang. Imej negara tercemar dengan kegiatan biadap kurang ajar ini. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama membendungnya. Tapi berapa ramaikah di kalangan kita yang ambil kisah dengan sikap 'pedulisme'?


Tuesday, January 31, 2012

REZEKI PADA BATU

Seperti biasa ketika memandu ke pejabat, pastinya stesen radio nombor satu negara menjadi pilihan saya.

Pagi ini ketika memandu, saya mendengar Sinar Pagi bersama SY, KE dan Krill. Topik sembang pagi ini berkenaan perniagaan yang pernah pendengar ceburi.

Saya terkesan pada cerita seorang pemanggil wanita ini.

Beliau merupakan anak yatim, dan kehidupan pada zaman kanak-kanaknya memang susah. Maklumlah, beribukan ibu tunggal.

Ketika pulang dari sekolah, ibunya lambat menjemput dia dan adiknya kerana mencari nafkah.

"Saya dengan adik duduklah di sekolah tunggu Emak datang. Dah tu tak tau nak buat apa, kami kutiplah batu-batu kat tepi-tepi sekolah," ujarnya.

"Kami pilih batu yang cantik-cantik. Balik rumah, batu-batu tu kami basuh dan kilatkan," ceritanya lagi.

"Masa tu kan main batu seremban popular. Jadi saya jual batu tu pada kawan-kawan. Tujuh biji lima sen. Laku! Alhamdulillah, rezeki saya Tuhan beri ... ."

"Hasil jualan batu tu, lepaslah untuk saya dan adik makan nasi lemak. Masa tu nasi lemak dua puluh lima sen sebungkus.

"Waktu itu saya tidak ceritakan pada Emak sebab takut Emak susah hati. Apabila dah besar, dan kerja pula gaji besar, barulah saya cerita pada Emak. Emak saya menangis ... ."

"Yalah, hati ibu, tentulah sedih ye dak. Hidup susah nak sara anak-anak ... " sampuk KE.

Saya cukup terkesan mendengar kisah ini. Bak kata orang, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rezeki ada di mana-mana hatta pada batu sekalipun jika ada usaha. Malah, ulat hidup pada batu pun ada rezekinya di situ.

Barangkali juga berkat menjaga hati ibu, dan berstatuskan anak yatim, dia dimurahkan rezeki.

Jika berusaha mengubah nasib, pasti ada bantuan daripada-Nya. Kisah ini merupakan teladan bagi mereka yang hobinya meminta sedekah walaupun ada kudrat. Ubahlah sikap dan mentaliti itu menjadi lebih positif!

Wednesday, December 7, 2011

YANG MUNGKAR, YANG FASAD DAN YANG BATIL

Semalam ketika saya berhenti di lampu isyarat menunggu lampu hijau menyala berhampiran Sungai Penchala-Mutiara Damansara saya memandang cermin pandang belakang. Sebuah VW Beetle merah menghampir di belakang.

Apabila kereta itu berhenti di belakang kereta saya, dapat dilihat jelas gelagat pemandu dan penumpang di sebelahnya. Ayoyo! Berkucupan dan berpelukan mesra. Ceh! Tak reti malu. Walaupun di dalam kereta, orang boleh nampak hendaknya pula kalau cahaya matahari cukup terang.

Kebetulan, lama pula lampu merah itu.

Saya perhatikan lagi gelagat tak senonoh pasangan yang sedang khusyuk memadu asmara itu ... saya tiba-tiba jadi loya!

Laa haw lawalaaa ... astaghfirullah ... lailahaillallah ... saya berisitighfar dan mengucap panjang.

Kalau dilihat roman muka, mereka itu Melayu totok. Itu tidak pelik, kerana ramai pasangan remaja sekarang bercouple terang-terangan tanpa segan-silu.

Kalau laki-bini pun, apa nak diherankan sangat bercanda di tempat terbuka pada zaman serba cyber ini.

Tapi pasangan di dalam VW itu lesbian! Dua-duanya perempuan Melayu. Itu yang menyebabkan saya loya. Yang memandu berambut panjang, yang duduk di sebelahnya rambut pendek sedikit.

Selepas berkucupan, si rambut panjang mengusap-usap rambut pasangannya. Saya tidak sanggup lagi melihat dan menambahkan dosa mata.

Euuuuw!

"Ya Allah, ngapa lambat pulak lampu tu nak hijau? Jauhkan aku daripada maksiat di belakang keretaku ini."

Itulah pertama kali saya melihat lesbian beraksi.

Remaja hari ini semakin lama semakin berani bermaksiat. Semakin hari semakin banyak pula yang melakukannya. Semakin galak!

"Ya Allah! Engkau peliharalah zuriat dan keturunanku daripada segala kemungkaran, kefasadan dan kebatilan di dunia ini. Amin amin ya Rabbal Alamin."

p.s. Tidak sabar rasanya untuk menyaksikan PAS melebarkan pemerintahannya di Malaysia ini. Pasti gejala maksiat dapat dibendung dengan baik!

Monday, November 14, 2011

SEKITAR MAJLIS KONVOKESYEN TADIKA HASANAH

Semalam Ahad, 13 November 2011, telah berlangsunglah MAJLIS KONVOKESYEN TADIKA HASANAH bagi sesi 2011. Majlis telah diadakan di Auditorium, Arkib Negara.

Saya, Emak dan tentunya Ammar Hadi berpagi-pagian lagi ke Arkib Negara. Memang menjadi kelaziman saya kalau hendak ke mana-mana, mesti awal bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini.

Alhamdulillah, mudah berjumpa lokasinya malah menjadi orang pertama tiba. Pintu auditorium pun belum lagi dibuka. Hanya kelihatan urusetia berlegar di luar.

Seronok melihat anak-anak pelbagai ragam. Cuma agak ralat melihat sesetengah hadirin yang sememangnya bermentaliti Malaysia (Malaysia totok lebih tepat).

Surat pengesahan kehadiran yang sudah lama diedarkan oleh guru-guru di unit tadika masing-masing jelas memberitahu bahawa ruang auditorium adalah terhad. Dan ibu bapa diminta isi hanya dua nama untuk hadir dek kerana ruang yang terhad. Tetapi semalam ada yang datang segerombolan keluarga hingga auditorium melimpah-ruah.

Saya juga ralat melihat ada seorang ibu yang datang ke majlis itu tanpa memakai tudung, baju pula hanya t-shirt lengan pendek sendat dan jeans. Satu-satunya ibu yang tidak bertudung. Sedangkan anak yang bakal menerima skrol (malah antara anak yang cemerlang) pada hari itu datang dengan pakaian formal dan cantik bertudung.

Paling tidak pun, kalau sudah tahu menghantar anak 'mengaji' di tadika Islam, apa salahnya berpakaian sopan untuk hari berkenaan kalaupun tidak mahu bertudung. Maka semalam saya mengenakan baju kurung 'manik dan labuci' kerana mahu meraikan anak. Bagi saya konvokesyen tadika anak sama pentingnya dengan konvokesyen penerimaan anugerah ijazah kedoktoran.

Ayah saya apabila menghadiri konvokesyen anak-anak, tidak pernah sekalipun berpakaian biasa. Ayah akan mengenakan suit lengkap bertali leher. Cuma kebelakangan ini kerana sudah lanjut usia tidak sesuai lagi berpakaian demikian, Ayah memakai agak kasual namun masih lagi dalam kategori rasmi dan kemas.

Bagi saya biarpun hanya majlis konvokesyen taraf tadika, ibu bapa sewajarnya berpakaian kemas (malah dinyatakan di dalam surat kehadiran supaya ibu bapa berpakaian kemas).

Apa pun, majlis tetap meriah. Dan pada saat itulah saya rasa patut ada kamera yang lebih canggih untuk merakam peristiwa bersejarah anak. Kamera sedia ada kurang sesuai untuk kegunaan di dalam dewan seperti itu. Dan saya pula memang kerap menggunakan kamera dalam kehidupan seharian. Insya-Allah, akan beli juga nanti, yang lama boleh beri pada Ammar kerana nampaknya dia juga mula meminati fotografi!



Wednesday, October 12, 2011

ANTARA BAJU KURUNG DAN SELUAR

Saya pernah ditanya oleh seorang kawan, "Engkau kalau nak ke mana-mana pakai seluar atau baju kurung?"

"Tengok keadaan dan tempatlah," jawab saya.

Zaman dulu sehingga awal kemasukan saya ke kampus, saya lebih gemar berbaju kurung. Lama-kelamaan apabila sering perlu berkejar ke sana ke mari dan perlu sentiasa bergerak pantas, saya kerap mengenakan seluar.

Antara memakai baju kurung dan seluar ada pro dan kontranya.

Yang paling ketara sekali kelebihan baju kurung atau skirt labuh adalah apabila masuk ke tandas. Ia lebih praktikal kerana kain diangkat naik dari bawah ke atas. Sebaliknya jika berseluar ia perlu diturunkan dari atas ke bawah. Jika tidak berhati-hati dan lantai pula basah, silap hari bulan, kaki seluar basah terkena air di lantai. Lebih-lebih lagi jika seluar kita itu diperbuat daripada material yang licin, mudah sangat ia melorot ke bawah. Terkadang menimbulkan waswas apabila hendak solat ... bersih ke tidak?

Itu antara jawapan saya kepada rakan itu.

"Habis tu orang lelaki macam mana ek hari-hari pakai seluar pergi kerja? Nak duduk atas 'toilet' kena buka seluar ... ." Mula menerawang jauh fikiran sahabat saya itu, entah apa yang dibayangkan di dalam kepalanya.

"Alaaa ... majoritinya kencing berdiri, percayalah. Tak susah mana nak buka seluar kalau setakat kencing berdiri." Itu jawapan saya.

Jika tidak kerana majoriti lelaki kencing berdiri, masakan disediakan mangkuk-mangkuk tandas untuk kencing berdiri di dinding ruang terbuka tandas awam? Bagi sesiapa yang tiada perasaan malu dan tidak kisah kalau tidak bersuci selepas membuang air kecil, silakanlah ...!

Tolak ke tepi bagi lelaki bukan Islam, lelaki Islam pun ramai yang kencing berdiri sengaja mengundang laknat Allah. Tidak hairanlah antara sebab seseorang itu mendapat seksa kubur adalah apabila terlekat najis pada dirinya.

Risiko untuk percikan kencing terkena pada pakaian amat tinggi apabila kencing berdiri. Maka itu tiap kali anak saya hendak membuang air kecil, saya berpesan supaya dia duduk bukan berdiri. Terkadang terpaksa meninggikan suara apabila dia terlupa.

Bagi anda yang perempuan, bagaimana? Memilih seluar atau baju kurung?

Monday, October 10, 2011

SARAPAN HARI INI

Saya amat jarang bersarapan di luar. Selalunya saya membawa bekal. Kalau beli pun, saya akan bawa balik makan di pejabat kerana itu lebih menjimatkan masa.

Bagaimanapun pagi ini saya menukar angin. Saya memilih KFC untuk bersarapan kerana di situ ada ATM bagi memudahkan saya mengeluarkan wang. Suasananya pun lebih nyaman.

Kebetulan pada pagi ini, di KFC itu ada 'show' daripada kakitangannya, ditonton oleh sebarisan pihak 'management' restoran segera itu.

Persembahan yang saya kira bertemakan 1 Malaysia dan berkonsepkan 'happy hour'. Dipersembahkan oleh staf remaja, barangkali sebagai latihan untuk persembahan peringkat kebangsaan bagi seluruh cawangannya, wallahua'lam ... itu saya kurang pasti.

Menu KFC telah diakui dan disahkan halal oleh JAKIM, malah itulah yang menjadi kebanggaan restoran berkenaan di peringkat antarabangsa sekalipun. Pun demikian, apabila saya menyaksikan persembahan tadi, saya jadi jelik. Menunya memang halal, namun dari segi pergaulan dan pakaiannya tidaklah halal.

Ber'high five' lelaki perempuan dengan selambanya, bertudung tapi berlengan pendek dan sebagainya.

Malas saya hendak memikirkannya.

Alangkah baiknya kalau ada RFC dekat-dekat sini yang nyata 100 peratus halal dari segi makanan, pakaian, pergaulan dan akhlak di kalangan kakitangannya. Ini kerana 'induk' kepada RFC dan rangkaian perniagaannya di bawah payung HPA merupakan orang yang benar-benar memahami dan melaksanakan Islam.

Monday, September 19, 2011

DUA MAJLIS PERKAHWINAN

Seperti kebanyakan orang lain sepanjang Syawal ini jadual hujung minggu padat terisi dengan agenda rumah terbuka dan undangan kahwin.

Semalam saya sempat menghadiri dua buah majlis perkahwinan. Yang pertama di Bukit Damansara yang kebanyakan jemputan terdiri daripada orang kelas atasan. Majlis kedua pula adalah golongan yang berlawanan dengan majlis pertama.

Majlis pertama

Majlis diadakan di Dewan Komuniti Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur. Waktunya dari jam 12 tengah hari hingga jam tiga petang. Lazimnya majlis perkahwinan yang saya hadiri hingga jam 4.30 petang.

Barangkali masa yang diperuntukkan tidak panjang yakin hingga jam tiga, maka jemputan agak padat di dalam dewan. Sehingga ada yang tercangak-cangak berdiri memegang pinggan berisi nasi, mencari meja untuk menikmati hidangan yang disajikan secara bufet.

Biarpun majoriti terdiri daripada kelas atasan, ada segelintir yang mentalitinya agak rendah. Jemputan yang telah lama selesai makan masih lagi duduk-duduk, bersantai dan sembang-sembang di meja tanpa memikirkan jemputan yang baru tiba hendak duduk dan makan. Mereka ini terdiri daripada anak-anak muda yang tiada rasa prihatin.

Paling dikesalkan ada jemputan yang terdiri daripada mereka yang kepayahan anak kecil, dibiarkan sahaja, tidak sensitif dengan para ibu yang amat susah mendukung anak jika tidak ada tempat duduk.

Sehinggalah, pengumuman dibuat melalui pembesar suara agak mereka yang telah selesai makan, diminta beri laluan pula untuk hadirin yang baru sampai. Antara hadirin yang baru tiba adalah kami sekeluarga. Ayah saya duduk menyelit di antara anak-anak muda bujang yang langsung tidak peka, langsung tidak prihatin!

Saya dan anak pula terpaksa duduk di meja bersebelahan setelah sekian lama berdiri menunggu tempat kosong. Adik saya dan dua orang anaknya juga terpaksa mencelah di antara anak-anak muda itu.

Alahai anak muda, langsung tidak cakna!

Kami makan sekadarnya, untuk memberi laluan kepada orang lain pula dan pulang dalam cuaca hujan lebat dengan membawa pulang buah tangan yang menjadi trend terkini bagi golongan elit: Hand made chocolate.


Majlis kedua

Jam 3.30 petang saya bersama Emak ke majlis kahwin anak jiran. Kali ini orang lain tidak ikut serta kerana sudah kepenatan dan ada yang tidak sihat. Walaupun kepenatan, saya gagahkan diri pergi juga untuk membawa Emak yang keseorangan.

Majlis diadakan di gerai minum ibu pengantin lelaki. Dia merupakan seorang ibu tunggal yang mengusahakan gerai minuman di medan selera tidak jauh dari rumah. Di situlah diadakan majlis perkahwinan anaknya.

Waktu jemputan hingga jam lima petang menjadikan ia lebih fleksibel, jemputan tidak terkocoh-kocoh.

Suasana agak 'koboi' dan santai. Yang membezakan majlis kelas atasan dengan kelas bawahan adalah juga mentalitinya.

Asap rokok berkepul-kepul tanpa menghiraukan hadirin lain. Lagu-lagu yang dimainkan juga lagu 'kelas bawahan'. Ada pula nyanyian ala karaoke yang saya kira disampaikan oleh rakan pengantin ... tersangatlah sumbang, amat bingit hingga sakit telinga! Tidak sedap langsung dan memang syok sendiri!

"Dia rasa suara dia sedap sangatlah tu," komen anak jiran yang juga hadir dan duduk di meja bersebelahan kami.

Alahai! Alangkah baik kalau dipasangkan nasyid yang sedap-sedap!

Saya dan Emak pulang dengan telinga yang masing berdesing dalam hujan merintik dengan membawa buah tangan: Muffin coklat berjenama Gardenia dan sebiji jeli.

Friday, August 26, 2011

KISAH VIP

Anekdot 1

Kawan sekerja adik saya telah berkahwin dengan anak seorang VIP. Sebagai hadiah perkahwinan, dia telah menerima sebuah jam tangan daripada mentuanya. Maka dipakailah jam itu tanpa dikisahnya nilai dan jenama jam tersebut. Dipakainya hingga bercalar-balar.

Setelah sekian lama, kuasa bateri pun habis, lalu disimpannya jam itu. Suatu hari, dibawanya jam itu kedai untuk menukar bateri.

"Jam ni kalau mahu jual berapa laku?" dia bertanya kepada orang kedai, saja sembang-sembang kosong, tanpa berniat hendak menjual jam pemberian mentua itu.

Setelah diteliti jam itu, orang kedai itu memberi jawapan yang mengejutkan.

"Dua belas ribu masih laku lagi," jawab si pekedai.

Terkedu kawan adik saya itu. Barulah dia tahu nilai jam itu, maklum mentuanya VIP.

Jam itu berjenama OMEGA SEAMASTER!

Pengajaran: HARGAILAH PEMBERIAN ORANG KEPADA KITA TIDAK KIRA SAMA ADA IA MAHAL ATAU MURAH!


Anekdot 2

Ketika merancang majlis resepsi perkahwinan anak dan menantu, mentua yang VIP ini bertanya kepada sahabat adik saya itu, "Ada tak mana-mana VIP nak dijemput?" Bangga nadanya!

Yalah, mentua pun VIP, maka setiap segi majlis perlu diatur secara teratur. Maklumlah sebahagian besar jemputan mentuanya pun tentulah VIP lagi kenamaan. Meja-meja hidangan VIP perlu diasingkan dari meja-meja marhaen. Meja khas VIP mesti disediakan supaya tidak kelam-kabut nanti. Nanti malu tuan rumah!

Melihat mentuanya yang mementingkan VIP ini, si menantu menjawab, "Ada, tapi seorang je." Saja nak mengenakan mentuanya.

"Siapa?"

Maka diberilah nama VIP yang seorang itu kepada mentuanya. VIP itu adalah sahabat baik, teman sepengajian sewaktu di London dahulu.

Terkedu bapa mentuanya. Kelam-kabut jadinya kerana dia terpaksa menyusun semula majlis resepsi anak perempuannya itu kerana menantunya mengundang bukan lagi VIP, tapi VVIP.

Meja-meja VIP yang telah siap dalam pelan perancangan terpaksa ditolak ketepi untuk memberi laluan kepada meja VVIP yang seorang itu. Walhal VVIP itu tidak kisah pun kalau mejanya diletakkan bersama tetamu marhaen!

Rupa-rupanya jemputan menantunya itu seorang putera raja yang sudi mencemar duli ke majlis tersebut. Bukan saja putera raja, tetapi statusnya putera mahkota!

Kini putera mahkota itu telah pun menjadi Sultan di sebuah negeri dan sangat dikagumi dan disenangi rakyat jelata kerana sifat tawaduknya. Seorang sultan yang jika sekali pandang, penampilannya tidak banyak beza daripada rakyat jelata apabila baginda turun ke padang meninjau keadaan rakyatnya.

Pengajaran: Sebagai hamba Allah, tidak perlulah kita berbangga-bangga diri. Allah tidak memandang kepada taraf dan pangkat seseorang, tetapi pada takwa yang dipakai oleh hamba-hamba-Nya.

Thursday, August 11, 2011

TELEFON BIMBIT LAHIRKAN GENERASI BIADAB TERHADAP ALLAH

"Sesiapa yang ada handphone, sila matikan kerana kita sekarang berada dalam majlis ilmu Allah. Sebarang gangguan, akan menghilangkan berkatnya," ujar ayah sebaik memulakan kuliah agamanya. Maka, semua hadirin mematikan telefon bimbit masing-masing. Bukan 'silent mode', tapi memang dimatikan.

"Tiada panggilan yang lebih penting selain daripada panggilan Allah," demikian bunyi pesanan yang ditampal di dinding bersama gambar isyarat supaya dimatikan telefon bimbit tatkala melangkah masuk ke rumah Allah, sama ada musolla, surau atau masjid. Mendalam mesejnya, tetapi berapa ramai yang mematuhinya?

Ayah saya mengkategorikan orang yang sentiasa berkepit dengan telefon bimbit yang tidak dimatikan di tempat-tempat sedemikian sebagai orang yang sangat biadab kepada Allah. Tidak menghormati majlis dan tempat-tempat mulia sedemikian.

Merenung kembali kata-katanya itu, benarlah apa dimaksudkannya itu.

Inilah sebabnya mengapa kebanyakan kita susah menerima ilmu yang disampaikan, biarlah beribu kuliah agama pun yang kita hadir dan dengar, perangai dan akhlak kita tetap begitu juga. Tiada peningkatan.

Apa tidaknya, dalam halaqah ilmu yang kita duduk itu, sesekali kedengaran bunyi deringan telefon bimbit. Beraneka nada dering kedengaran, yang kekadang mengundang sindiran halus daripada ustaz-ustaz yang sedang menyampaikan kuliahnya.

Bukan fokus si pemilik telefon itu saja yang terganggu dek deringan itu, bahkan seluruh hadirin hilang khusyuknya terhadap ilmu yang disampaikan. Deringan itu berbunyi hanya beberapa saat, namun ia telah memutuskan talian berkat!

Panggilan dan SMS menjadi teman akrab walau di mana manusia hari ini berada. Malang sungguh! Bagi golongan muda yang sedang mabuk bercinta, berbalas-balas SMS menjadi perkara lumrah dan terbawa-bawa hingga ke majlis ilmu. Sungguh cuak melihatnya. Majlis semulia itu dicemari dengan jari-iemari menekan-nekan pad kekunci telefon bimbit. Itu belum lagi diambil kira 'melayan laman sosial' di telefon.

Tidak perlu melihat jauh, di tempat saya bekerja ini pun (maaf, ini kisah membuka pekung), sebelum mula kerja, staf akan berkumpul untuk bacaan doa. Bacaan doa tidak sampai pun dua minit. Tapi ada juga yang sanggup menjawab panggilan telefon lantaran telefon tidak dimatikan. Cacat sudah majlis doa!

Tidak bolehkah ditumpukah seketika untuk menghayati bait-bait doa yang dipanjatkan? Bukan lama pun, cuma beberapa saat. Walhal, doa dalam kehidupan seorang Muslim amatlah penting, bahkan menjadi senjata dan pelindung orang Mukmin! Penting sangatkah panggilan itu berbanding munajat kita kepada Yang Maha Kuasa?

Itu baru majlis bacaan doa. Belum disingkap surau wanita yang rakan sekerja menggelarkan surau wanita ini 'pasar ikan'. Surau itu rumah Allah, tapi sentiasa dicemari dengan pelbagai bunyi daripada telefon bimbit dan dilatari pula suara sumbang dan gelak ketawa.

Teringat saya kepada kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Amaluddin semasa di pejabat lama dahulu, apabila ada orang sedang solat, maka orang lain yang berada di situ hendaklah diam.

Sebarang bunyi tentu akan mengganggu khusyuk orang yang sedang bersolat. Pun begitu, tidak semua surau wanita bising. Ketika saya berkunjung ke beberapa negara Arab, bahagian jemaah wanita di masjid tidaklah bising biarpun jemaahnya ramai. Mereka amat menghormati rumah Allah tanpa membuat bising. Maka kesimpulan yang saya dapat, akhlak wanita Islam Malaysia (orang Melayu khasnya) apabila memasuki rumah Allah sangatlah rendah! Sungguh biadab.

Allahu akbar!

Saya percaya 95 peratus SMS dan panggilan yang diterima saban hari terdiri daripada hal-hal yang remeh-temeh, bukan mustahak. Maka berusahalah untuk tidak melayan seketika telefon itu.

Setidak-tidaknya apabila berada di rumah Allah, atau di majlis-majlis ilmu silent modekan telefon anda. Jika mendapat panggilan atau SMS, beritahulah pemanggil atau penghantar SMS, "Saya akan hubungi kembali selepas selesai majlis ilmu ini."

Alasan 'lupa nak offkan' atau 'lupa nak silentkan' sudah lapuk dan klise.

Teringat kepada seorang pemanggil di Sinar Pagi, beliau meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa apabila terdengar deringan telefon jemaah ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan. Komen Abang Jem (Salih Yaakob), "Matikanlah telefon tu, lepas tu tanam."

Tika orang lain menjadikan telefon masing-masing bagaikan nyawa, saya tidak menjadikan telefon bimbit sebagai benda penting dalam hidup saya. Lantaran itu, saya kerap meninggalkan telefon saya di merata tempat. Maka apabila hilang atau terlupa bawa, saya tidak berasa gelisah sangat. Malah ketika anak-anak muda berlumba-lumba membeli telefon canggih model terkini, saya masih menggunakan telefon bimbit basic. Lampu skrinnya pun masih berwarna kuning. Lima, enam tahun sudah usianya.

Ketahuilah, telefon bimbit anda itu, turut akan dipanggil menjadi saksi di mahkamah Allah nanti.

Friday, August 5, 2011

PENULIS YANG DISENANGI


Saya cukup menyenangi penulis yang seorang ini, Haji Zainal Haji Bujang. Buku pertama beliau bersama Galeri Ilmu berjudul Labbaikallah dan terbaru "Selamat Pagi, Cikgu!" dan ada sebuah lagi manuskripnya sedang dalam proses penerbitan, juga berkaitan haji.

Beliau sebenarnya sudah banyak menerbitkan buku berkaitan haji dan umrah, namun diterbitkan oleh penerbit lain.

Mengapa saya menyenanginya?

Kerana beliau adalah penulis yang paling tidak berkira. "Buatlah apa yang patut," beritahunya melalui khidmat pesanan ringkas, setiap kali beliau menyerahkan manuskrip baru. Baginya, manuskrip yang diserahkan pada penerbit adalah hak mutlak penerbit untuk 'membedah'nya kerana beliau yakin apa yang penerbit buat tentunya untuk kebaikan dua pihak (penulis dan penerbit).

Beliau menulis juga bukan untuk mengumpul royalti bertimbun, bukan juga untuk mencari glamor tetapi untuk berdakwah. Saya kira, penulis beginilah yang dikategorikan sebagai da'i yang sebenarnya.

Berbekalkan pengalaman luas sebagai seorang guru, bahasa tulisan Haji Zainal sangat baik. Sesekali menghantar SMS bertanyakan progres buku beliau, bahasanya cukup berlapik. Apabila tiba musim beliau membawa jemaah ke Tanah Suci, SMS tetap dikirim.

"Kalau ada berita gembira tentang "Selamat Pagi, Cikgu!" tolonglah bagitau, dapat juga buat kenduri kesyukuran kat Mekah ni."

Itu text message yang saya terima pada 31 Julai 2011.

"Insya-Allah. Tn haji tolong juga doakan kami di sini ya," balas saya.

Semalam 7 Ogos, saya mengirim SMS kepada Haji Zainal di Makkah.

"Assalamualaikum Tn. Hj. Selamat Pagi, Cikgu! dah siap cetak. Harap maklum."

Dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa, saya menerima balasan SMS daripada Haji Zainal yang berbunyi:

"ALLAHU AKBAR. SERONOKNYA. RASA NAK BALIK SEKARANG JUGA. KEBETULAN SAYA DEPAN KAABAH TIKA SMS PUAN DITERIMA. TERPANGGIL & TERSENTUH HATI KERDIL INI UNTUK MELAMPIAS SYUKUR KHUSUS UNTUK PUAN & GALERI ILMU YANG BEGITU CAKNA TERHADAP SAYA. SAYA BERDOA AGAR SELAMAT PAGI, CIKGU! & SELURUH WARGA GALERI ILMU SENTIASA DALAM LEMBAYUNG RAHMAT & REDHA ALLAH SWT. ALLAHU AKBAR."

Saya menghantar jawapan balas kepada Haji Zainal: 'Amin, amin ya Rabbal 'alamin.'

Allahu akbar. Begitu tulus doanya apatah lagi ia dipanjatkan di bumi yang paling berkat di muka bumi ini.

Sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2011, April lalu, kebetulan beliau di Tanah Suci. Namun sekembalinya ke Malaysia dan belum lagi kendur penatnya, beliau terus SMS, "Apa yang saya boleh bantu untuk Pesta Buku?" Sungguh komited penulis ini.

Ini kelebihan penulis-penulis yang sudah veteran. Wujudnya mereka sebagai penulis di penerbit, dapat meneutralkan perasaan geram para editor terhadap kerenah penulis-penulis yang baru setahun jagung, namun sudah mula menunjukkan ego melangit.

Kepada penulis-penulis muda ini, belajarlah daripada mereka yang sudah veteran ini.

Khusus doa saya buat Haji Zainal, moga beliau dikurniakan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia agar dapat terus menyumbang bakti dalam menegakkan syiar Islam melalui penulisannya. Amin.

Thursday, July 28, 2011

SEMALAM & MALAM TADI


SEMALAM

Semalam program Pra-Ramadan di pejabat ada slot kuliah agama. Pengisiannya agak bagus, disampaikan oleh seorang ustaz muda. Lazimnya pada sesi majlis ilmu sedemikian saya akan tunggu sehingga tamat kerana berada dalam majlis ilmu ertinya kita berada di bawah sayap malaikat dan Allah pula menebarkan rahmatnya kepada sesiapa yang duduk mendengarnya.

Saya lazimnya amat fokus pada ilmu yang disampaikan. Tidak pernah saya berasa mengantuk walaupun ada di kalangan rakan-rakan tersengguk-sengguk. Pun demikian, sesi kuliah semalam mengundang kantuk yang amat sangat. Nak dikatakan disebabkan mengantuk makan nasi talam kukus sejurus sebelumnya tidak juga, kerana berapa suap sangat yang saya telan. Selebihnya dihabiskan oleh dua anak dara dan seorang mak dara.

Saya cuba untuk bertahan duduk di dalam majlis dan tidak terlelap. Hadis tentang puasa yang disampaikan ustaz berlalu bagai angin lalu. Kerana tidak tahan, lantas saya bangun terpaksa meninggalkan majlis sebelum saya tersembam di lantai surau dan memalukan diri sendiri. Beberapa orang rakan sepejabat juga saya lihat sudah ada yang berdengkur.

Rumusannya, saya mengantuk bukan sebab ilmu yang disampaikan, kuliahnya memang bagus, cuma gaya penyampaian ustaz yang agak konvensional itu yang tidak dapat saya serap dan cerna. Saya kira ini bahana kerana sebelum ini saya lebih kerap menghadiri kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang tahap 'keotaian'nya adalah tinggi.

Alhamdulillah, kuliah sepanjang Ramadan di pejabat nanti, nampaknya akan disampaikan oleh ustaz-ustaz otai. Ini berdasarkan senarai nama-nama ustaz yang telah dipaparkan di papan kenyataan pejabat. Harapnya tidak bertukarlah ustaz-ustaz itu.


MALAM TADI

Jika ke rumah Emak Ayah, maka berpeluanglah dalam seminit dua untuk saya menonton TV. Maka sempatlah menonton sebentar berita yang terudara.

Berita malam tadi cukup mengganggu emosi saya.

Seorang pemuda Cina dikenakan hukuman kerana menzalimi kucing. Perbuatannya dirakam oleh CCTV. Diterajang, dipijak, dipukul dan dibaling ibu kucing dan anaknya hingga mati. Tetapi hukuman yang dikenakan tidak sepadan dengan perbuatan zalimnya.

Jika di US atau di mana-mana negara Barat, pasti dia akan menerima hukuman yang sangat berat. Kalau setakat denda empat, lima ratus ringgit, apalah sangat!

Manusia hari ini hanya manusia dari segi lahiriah sahaja. Hakikatnya, tindak-tanduk persis iblis dan syaitan. Hilang sudah perikemanusiaan dan 'perikebinatangan'.

Renyuk barangkali kalbu Abu Hurairah r.a. andai dia masih hidup dan dapat menyaksikan perbuatan pemuda Cina itu!

Pic: Petr Kratochvil

Thursday, July 21, 2011

PABILA IBLIS MERAJAI NAFSU

Semalam saya singgah di Shell berhampiran dengan pejabat untuk mengisi petrol sebelum pulang kerja. Ketika membuat bayaran di kaunter terdengar seorang lelaki Melayu sedang memaki hamun dua orang lelaki India. Tidak pasti apa puncanya.

"Pu#$%@k!" carutnya.

Dua lelaki India itu mengangkat tangan yang saya kira sebagai gesture tidak mahu bergaduh dan meminta maaf. Kalau tidak salah saya, dua lelaki India itu membawa lori yang mengandungi air mineral untuk dihantar ke kedai Shell itu. Justeru, lori itu diparkirkan berhampiran pintu masuk ke kedai itu.

Pertikaian itu tidak selesai di situ. Maki hamun lelaki Melayu berkemeja warna biru itu semakin menjadi-jadi walaupun tiada provokasi langsung daripada dua lelaki India. Ketika menghulur duit untuk membayar petrol, terdengar bunyi tamparan. Rupa-rupanya lelaki Melayu itu telah menampar salah seorang lelaki India itu.

Situasi itu semakin mengundang ramai. Atendan pam Shell cuba meleraikannya. Tidak berjaya. Keluar pula seorang perempuan dari kedai Shell yang saya kira penyelia di situ, cuba meleraikan pergaduhan itu. Perlahan-lahan dia membawa masuk lelaki Melayu yang sedang menyinga itu masuk ke kedai.

Dua lelaki India itu berlalu dari situ dan bergerak ke hadapan lori.

Tiba-tiba tidak semena-mena, lelaki Melayu itu berlari keluar dan meluru ke arah lelaki India itu lalu menendang dari belakang seorang daripada mereka. Lelaki India itu jatuh tersungkur. Khalayak semakin ramai menyaksikannya.

Ketika itu saya sedang mengisi petrol. Wanita tadi sekali lagi cuba mengendurkan keadaan dan menolak perlahan-lahan lelaki Melayu itu. Lelaki itu lantas berjalan ke keretanya yang berwarna putih dan agak mewah. Syukur selesai, itu sangkaan ramai.

Tunggu ... benarkah selesai?

Lelaki itu bukannya masuk ke keretanya untuk pergi dari situ. Rupa-rupanya dia kembali ke tempat dua orang lelaki India tersebut. Allahu akbar! Kali ini dia membawa batang golf untuk memukul lelaki India itu.

Cepat-cepat atendan Shell itu merampas batang golf itu dari tangannya sebelum perkara lebih buruk berlaku. Alhamdulillah.

Selesai mengisi petrol kereta, saya berlalu dan sempat melihat ke arah lelaki India yang kena tendang itu. Dahinya berlumuran darah barang kali terhantuk ke juring pavement. Darah mengalir deras. Kasihan!

Apa yang terjadi selepas itu, hanya Tuhan yang tahu kerana saya tidak boleh menunggu lama untuk menyaksinya. Bagusnya, dua lelaki India itu langsung tidak melawan.

Saksi ramai termasuk saya, melihat segalanya. Jika tidak dileraikan barangkali lelaki Melayu itu boleh sahaja menjadi pembunuh. Nafsu amarahnya telah dikuasai iblis durjana, lantas dia pun bertindak durjana juga.

Alangkah nipis imannya. Alangkah rendah akhlaknya. Jika hendak diukur pada taraf sosial dan ekonomi, ya ... dia mungkin berhak dipandang mulia. Tetapi tidak pada pandangan Allah. Malah dua lelaki Hindu itu, lebih baik darjatnya ketika itu walaupun cuma berstatus pemandu lori dan penghantar bekalan barang.

Sebagai seorang Islam, saya amat malu dengan tindakan lelaki Melayu yang beragama Islam itu. Inikah teladan Islam yang hendak kita tunjukkan kepada orang bukan Islam?

Friday, June 17, 2011

BAS EKSPRES

"Maghilah dok depe ni, teme pok cik, (marilah dok depan ni, temankan pak cik)," ujar pemandu bas ekspres kepada anak saya.

Kami dalam perjalanan pulang ke kampung di Machang. Ini merupakan pengalaman pertama anak saya menaiki bas ekspres. Saya sendiri sudah lama tidak naik bas ekspres pulang ke Kelantan. Kali terakhir saya menaikinya pada tahun 1995 (lama tuh). Ini pun kerana tiada pilihan. Naik kapal terbang, Emak pula tak gemar. Nak naik kereta api, tiket sudah habis baik yang berkatil mahupun kelas ekonomi. Semuanya gara-gara cuti sekolah. Orang ramai banyak membawa keluarga bercuti.

Tempat duduk kami paling di hadapan di belakang pemandu. Turut bersama ialah adik dan emak. Kerusi mereka di tengah-tengah badan bas.

Di'usya' pemandu bas, Ammar naik 'syeikh' melayan pemandu itu bersembang. PR anak saya agak bagus barang kali mewarisi neneknya (ibu mentua saya). Mulut ramah. Berbeza dengan saya dan hampir majoriti keluarga saya yang 'berat mulut' tak berapa pandai bersembang dengan umum. Sifat saya yang tak banyak mulut sering kali menyebabkan orang yang tidak mengenali saya menyangka saya sombong!

"Kak Su, Dila mintak maaf sebab dulu Dila ingat Kak Su sombong, tapi bila dah kenal rupanya kelakar boleh tahan," itu luahan seorang adik yang sebilik dengan saya semasa di Kolej Seroja ITM dulu.

Berbalik kisah naik bas ekpres. Anak saya cukup teruja, apatah lagi duduk di hadapan dapat melihat dengan jelas jalan di hadapan.

"Pak cik, tadi saya nampak pak cik hisap rokok kan?" tanya anak saya kepada pemandu bas itu. Memang saya tidak tahan dengan bau asap rokoknya itu. Walaupun dia membuka tingkap, asapnya tetap masuk dan melemaskan kami yang paling di hadapan itu.

"Tak baik tau hisap rokok. Dosaaaaa ..." tambah anak saya.

"Taklah, pak cik hisap asap je," kata pemandu itu dalam loghat Kelantan yang maha pekat.

"Yalah, sama dengan setanlah tu, suka makan asap," kata anak saya memangkah mati bicara si pemandu bas. Dia hanya tergelak kecil, kelu kata.

"Pak cik, bawaklah laju sikit." Kali ini anak saya pula mengusya pemandu bas itu dan naik syeikh memandu laju.

"Pak cik, laju lagi, laju lagi ... potong kereta tu. Mana aci kereta tu laju ... ."

Beberapa buah kereta dan lori dipotong sekali gus, mengundang debar saya.

'Apa ke jadah orang tua ni, tak payahlah dilayan permintaan bahaya anak aku nih!' itu monolog saya. Ditegur anak saya pun, bukannya dia dengar. Budak keciklah katakan. Belum mumayiz.

"Potong lagi," kata pemandu bas itu kepada anak saya setiap kali dia berjaya memotong kenderaan di hadapan. Banyak kenderaan yang dipotong itu di garisan kembar dan di selekoh!

Ada satu ketika mencemaskan, saya terpaku apabila bas itu hampir bertembung dengan lori besar dari arah bertentangan. Mujurlah pemandu itu sempat masuk semula ke lorong kiri. Jika tidak, barangkali kami semuanya sudah jadi arwah.

Duduk di hadapan nampak segalanya. Kalau di belakang kuranglah sedikit cemasnya.

"Pak cik makan apa tu?"

"Ha ... ni lah makanan orang putih," kelentong pemandu tu. "Nak?"

"Nak ... nak ..."

"Nah ..." kata pemandu itu dan menghulurkan setengah ulas nangka yang dibeli ketika dia memberhentikan bas di tepi jalan.

"Tak sedaplah Mak," bisik anak saya dan meletakkan nangka itu di tangan saya.

'Hisy, budak ni ... .'

"Haa ... sedap tak? Nak lagi?" soal pemandu itu.

Ammar menjuih bibir dan menggeleng kepala.

"Pak cik, nak gula-gula ... ."

"Pak cik tak ada gula-gula,"

"Tuuu ... ."

"Mana?"

"Tuuuuuuuu ... ." Jari telunjuknya di hala kepada gula-gula Mentos di atas dashboard bas.

"Ooo ... ." Lalu dihulurkan kesemua gula-gula itu kepada anak saya.

"Hei, sudahlah Ammar, tak baiklah mintak-minta macam tu. "Ambik sebiji sudahlah, pulang balik kat pak cik tu."

Bas terus dipandu laju. Sehinggalah seorang pemuda yang paling belakang datang ke depan dan memberitahu, "Bulih bowok, slo sikit dok, ambo takoklah. Deghah do'oh ni ... (boleh pandu perlahan sikit tak, saya takutlah. Laju sangat ni ...)

"Bowok slo, lambaklah nok sapa (bawa perlahan lambatlah sampai nanti)," komen pemandu itu.

Pemandu itu akhirnya menurunkan kelajuan. Saya tumpang lega. Namun dia sempat berpesan kepada penumpang itu supaya tidur, barulah tak rasa bas dipandu laju.

Ego pemandu itu tetap tinggi dalam sembangnya dengan seorang penumpang lagi di kerusi hadapan.

"Siang hari, orang tak tidur, jadi orang boleh nampak. Kalau kita berjalan malam, bawa laju pun orang tak sedar sebab tidur.

"Saya dah biasa jalan ni, ulang-alik banyak kali sehari. Malam ni patah balik semula. Dalam gelap pun saya tau ada lubang kat mana-mana. Kalau tak cekap memandu mana boleh potong macam tu. Macam tadi (merujuk kepada situasi yang hampir bertembung dengan bas), kalau orang tak cekap, dah lama kena ... ."

Angkuh betul butir bicaranya.

"Saya pun ada anak isteri, ada tanggungjawab. Takkan saya nak ambil risiko ... " katanya lagi.

Alahai, bagi saya cara pemanduannya sejak awal bas bergerak sudah berisiko. Secekap mana pun kita, musibah tidak boleh kita elakkan.

Bas kami berhenti di Merapoh ... untuk makan tengah hari dan solat. Sejam berhenti, pemandu kedua mengambil alih pemanduan. Pemandu pertama mengambil tempat duduk di belakang untuk berehat.

"Bismillah ... " lafaz pemandu itu apabila mula mutar stering untuk meneruskan perjalanan.

Saya menyuruh Ammar Hadi membaca doa menaiki kenderaan. Agak kuat suaranya hingga didengari pemandu itu.

"Ohh, dah baca doa ya," tegur pemandu itu.

"Alamak dah tukar pak cik barulah," anak saya merungut. "Pak cik tadi mana?"

"Pak cik tadi dah tukar dengan pak cik ni," selamba pemandu itu menjawab.

"Alaaa, pak cik ni tak bestlah Mak," rungut Ammar Hadi perlahan, lalu berdiri di kerusinya.

"Haii ..." sapanya melambai penumpang-penumpang di belakang.

"Haii ..." ada respons pula.

Penumpang Cina di belakang kami pula yang melayannya. Diusap-usap membetul rambut anak saya.

Tiba-tiba anak saya menjawab, "Terima kasih," dan menghempas duduk kembali sambil mengunyah kerepek pisang. Rupa-rupanya Cina di belakang memberi kerepek pisang. Mujur kerepek pisang kampung, buatnya makanan tak halal?


Gaya pemanduan drebar kedua ini lebih berhemah dan melapangkan dada. Tidak laju. Sederhana sahaja.

Anak saya juga telah tertidur. Lalu dia bersembang dengan penumpang yang paling hadapan tadi. Fokus bicara kepada gaya pemanduan teman sekerjanya tadi.

"Buat apa bawa laju-laju. Jangan cari bahaya. Bawa 70-90 kilometer sejam cukuplah. Macam tadi tu, sikit lagi nak kena," katanya merujuk insiden bas kami hampir bertembung dengan lori.

"Kita ni bawa nyawa penumpang. Jangan jadi macam bas 'Sani' (satu lagi 'jenama' bas ekspres). Dah banyak kali aksiden. Baru ni terbalik di Pasir Putih ... ."

Saya baru dapat lena kerana yakin keselamatan penumpang terjamin di tangan pemandu bas kedua ini.

Alhamdulillah, kami selamat tiba dan turun di Machang pada waktu Asar.

Rasanya ini kali terakhir saya menaiki bas ekspres--sebuah adventure penuh debaran.