Showing posts with label Komentar Buku. Show all posts
Showing posts with label Komentar Buku. Show all posts

Friday, April 6, 2012

AKU YANG LESU!

Dua tiga bulan terakhir ini terasa sungguh penatnya, melunaskan kerja-kerja yang semakin kritikal deadlinenya. Lesu ...

Tidak pernah saya lesu sebegini. Balik kerja dan tiba di rumah saya sudah tidak bermaya untuk buat apa-apa lagi, cuma gagahkan diri sediakan makan malam untuk anak saja.
Keadaan rumah yang sentiasa tunggang-langgang, menjadi berganda-ganda tunggang-langgang. Kain yang dibasuh sudah menjadi beberapa timbunan tinggi, tidak sempat dilipat dan hanya dilonggokkan di atas sofa ruang tamu. Doa sahaja tidak ada tetamu yang bertandang ketika keadaan rumah yang begini.

Tahun lalu, keadaan persiapan penerbitan PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (PBAKL) tidak sekalut ini. Dengan penambahan beberapa orang staf baru pada tahun ini nampaknya tidak meredakan juga ketegangan kerja. Entah di mana silap.

Namun salah satu faktornya yang saya kenal pasti, tahun ini penulis-penulis yang sudah ada nama besar dalam dunia penulisan muncul dengan buku terbaharu masing-masing. Tahun lalu kami ketandusan karya mereka.

Sekadar menyebut beberapa nama: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Prof Muhd Kamil Ibrahim, Hajjah Rohani Dato' Mohd Shahir dan beberapa lagi.

Ustaz Hasrizal muncul dengan bukunya DI HAMPARAN SHAMROCK KUSERU NAMU-MU .


Dr Zaharuddin pula memberi buah tangan terbaharunya, DIARI MUSAFIR JANGAN BERHENTI BERLARI.

Prof Kamil mengamanahkan karya pertama beliau bersama Galeri Ilmu, BERSYUKUR SAAT DIUJI dan Hajjah Rohani menyerahkan kepada kami BIJAK MENGURUS WANG.

Saya juga amat menyukai karya terbaru Syed Alwi Alatas dengan bukunya MUDAHKAN JANGAN SUSAHKAN.

Sungguh ... kesemua buku ini saya berikan lima perlima bintang dan tabik spring kepada penulis-penulis hebat ini.

Hajjah Rohani ... dua tahun saya mengejarnya untuk menyiapkan penulisan. Demikian juga Ustaz Hasrizal, memeram manuskripnya lebih kurang setahun.

Saya perlukan cuti panjang selepas PBAKL 2012 nanti untuk betulkan semula 'alignment & ekologi' diri ... mahu bermesra semula dengan alam dan persekitaran hidup yang normal.

Apa pun, anda semua dialu-alukan datang ke PWTC utk memeriahkan PBAKL 2012 pada 27 April hingga 6 Mei 2012. Jumpa kami di PWTC di kiosk no. HA01-HA06. Kali ini Galeri Ilmu ditempatkan di dalam Dewan Tun Hussein Onn. Jangan lepaskan untuk mendapatkan diskaun-diskaun menarik untuk terbitan kami.




Buku: Dunia Tanpa Sempadan



Thursday, September 30, 2010

INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA

Antara buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd. kendalian saya pada tahun ini berjudul INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA tulisan Nur Laila Aniza. Buku ini menjadi salah satu pilihan (favourite) saya.

INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA (IHTD) ini dikategorikan dalam siri Tarbiah Rohani (motivasi).

Jika anda rasakan masalah yang anda hadapi cukup berat, maka bacalah buku ini. Pasti anda dapat rasakan bahawa masalah anda itu sebenarnya tidaklah seberat mana berbanding 40 kisah benar yang dipaparkan di dalam buku ini.

Kisah-kisah benar lagi ekstrem yang selama ini tidak terfikirkan oleh kita. Tidak terbayangkan dek akal kita. Sekali gus menjadikan kita bersyukur dengan kehidupan kita selama ini. Sesungguhnya, di luar sana ada orang lebih hebat diuji oleh Allah Taala.

Saya puji approach penulis menyelesaikan setiap masalah yang dibawa kepadanya. Penuh tip dan nasihat. Jalan penyelesaian yang penulis usulkan juga sangat Islamik.

Sewaktu membaca tulisan beliau, saya sangkakan penulis sudah berumur orangnya memandangkan cara beliau menangani setiap masalah itu seperti orang berumur yang sangat kaya dengan pengalaman hidup. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Nur Laila Aniza masih muda orangnya. Lemah-lembut, mesra, sopan dan ayu pula tu. Orangnya belum lagi mencapai usia 30. Teringat kepada kata-kata Nawwarah yang menyambut tetamu di pejabat kami. Pada suatu hari penulis datang ke Galeri Ilmu untuk menandatangani kontrak penerbitan, sebaik penulis pulang, Nawwarah memberitahu saya, "Kak Su, akak tadi cantiklah, suka tengok ... ."

Berbalik kepada buku IHTD ... kulit buku ini berwarna hitam melambangkan pelbagai masalah dan dugaan hidup, burung merpati putih terbang keluar dari sangkarnya pula membawa maksud, setiap masalah ada penyelesaiannya, ada jalan keluarnya. Setiap daripada kita berhak untuk hidup bebas tanpa derita. Pokok pangkalnya berbalik kepada diri, andai kita berusaha, insya-Allah, bahagia itu akan menjadi milik kita.


Apa yang dipaparkan di dalam buku ini hanyalah sekelumit rencaman dugaan hidup. Kemelut hidup manusiawi yang sebenarnya tidak mampu kita telahi. Cukup sekadar dibukukan beberapa juzuk daripadanya untuk kita teladani sebagai bekalan survival dalam mencari redha Ilahi.

Kepada anda di luar sana, dapatkan buku ini di pasaran. Barangkali ada kisah-kisah yang mirip dengan masalah anda, maka dapatkan tip-tip daripada penulis yang terdapat di dalam IHTD.

Saya kategorikannya sebagai WAJIB BACA!

Tahniah kepada penulis saya ucapkan. Saya juga amat menyenangi berurusan dengannya, tidak cerewet. SMS yang diterima daripadanya sentiasa ceria dan sentiasa diiringi lambang smiley ... :)


Kepada penulis pula, seperti biasa saya mohon maaf jika masih ada typo-error dalam penerbitan IHTD ini lebih-lebih lagi saya mengambil alihnya pada saat ‘last minute’. Proses penerbitan tiba ke tangan saya ketika ia sudah separuh jalan!

NOTA untuk LAILA: Saya menanti karya anda seterusnya!

Thursday, March 18, 2010

BUKU-BUKU PILIHAN DI KLIBF 2010

Jika ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC yang bermula esok Jumaat 19-28 Mac ini. Jangan lupa singgah di gerai Galeri Ilmu. Booth kami bernombor:

B-01 di ruang legar.



Insya-Allah, diskaun menarik menanti pengunjung! Buku-buku baru terbitan Galeri Ilmu semuanya menarik. Suka saya syorkan buku-buku kegemaran dan menjadi pilihan saya.



NOVEL AWAL REMAJA





Entah kenapa saya rasa jalan cerita PUTU MAYAM SATU! ini terlalu 'cute'. Ceritanya menarik dan mudah dihadam kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.



NOVEL REMAJA





Amat sesuai untuk bacaan remaja peringkat menengah. Sesuai dengan jiwa remaja yang sering dilanda konflik diri.






NOVEL DEWASA




Oooo yeah DINGIN SALJU INDIANA & PERINDU PELANGI merupakan dua novel terbaik pada pandangan saya. The best among the best.




BUKU DEWASA (UMUM, MOTIVASI, AGAMA)


Saya cukup syahdu membaca memoir Pak Nora ini. Pengalamannya, suka dukanya menjadi sebahagian latar hidup beliau di Kuala Lumpur--cukup menginsafkan.







Lagi karya Ustaz Cinta (Hasrizal Abdul Jamil/Saifulislam.com). Antara MURABBI CINTA (ATN 3), saya lebih menyukai SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH. Suka dukanya sepanjang menghuni bumi Turki benar-benar membuka mata pembaca.


100 KISAH KEHIDUPAN merupakan Chicken Soup For The Soul versi Melayu. Himpunan kisah-kisah benar yang menyentuh, membelai dan menjernihkan jiwa. Sesiapa yang tidak suka bacaan berat, maka 100 KISAH KEHIDUPAN ini amat sesuai untuk anda. Ia bacaan santai namun sarat dengan pengajaran.

Friday, December 4, 2009

DINGIN SALJU INDIANA


Saya bukan peminat novel Melayu. Saya amat jarang membacanya kerana kebanyakan isu, plot dan temanya tidak menarik perhatian saya. Lagi-lagi temanya cinta, amat membosankan! Yang thrillernya pula, tidaklah se‘thriller’ mana, hambar kerana dapat dikesan elemen thrillernya tiada identiti sendiri. Banyak gaya ditiru daripada novel Inggeris. Apabila ditiru, maka nilai keasliannya menyusut beberapa puluh peratus.

Namun, sejak saya dipindahkan ke Jabatan Buku, Editor Kanan, Encik Zakaria Sungib banyak menyerahkan manuskrip, proposal dan sinopsis karya kreatif (novel) untuk saya menilainya.

Dalam banyak-banyak bahan yang diserahkan itu, ada yang langsung tidak menarik minat saya. Jika ada yang saya ‘mampu tekun’ membacanya, bererti cerita itu bagus. Bukan mudah untuk menarik minat saya!

Inilah berlaku kepada novel ‘DINGIN SALJU INDIANA’ (DSI). Wah! Saya benar-benar terpesona membacanya. Tema, isu dan konflik tidak klisĂ©. Ia menyimpang daripada norma kebanyakan karya kreatif yang diserahkan kepada saya!

Sekalung tahniah kepada penulisnya Puan Nurulsham Saidin yang berjaya menghasilkan sebuah karya kreatif dengan begitu baik. Lebih mengejutkan saya, ini merupakan novel pertama beliau. Saya bagaikan tidak percaya apabila Encik Zakaria memberitahu bahawa DSI adalah hasil seorang ibu beranak tujuh dan merupakan seorang surirumah. Penulisnya belum ada pengalaman menulis novel sebelum ini. Berani saya katakan, DSI sebuah karya yang baik, malah lebih baik berbanding karya-karya novelis yang sudah punya pengalaman.

Apa yang ditulis benar-benar lahir daripada hati. Bukan dipaksa-paksa! Bahasanya mudah. Plotnya cepat. Isu-isu keagamaan yang sensitif pun mampu digarap dengan baik. Bak kata En. Zakaria, kisah DSI umpama kepingan jigsaw puzzle yang bercantum dengan baik akhirnya.

Encik Zakaria menyerahkan DSI kepada saya sebanyak empat kali. Maka empat kalilah saya terpaksa mengulang baca. Walaupun empat kali, saya tidak jemu membacanya berbanding kisah-kisah lain. Pertama kali beliau meminta saya menilai dan memberi ulasan. Kali kedua kami gotong-royong membuat pembetulan kerana ‘deadline’ yang semakin menghimpit. Teksnya dibahagi-bahagikan sesama kami. Kali ketiga Encik Zakaria menyerahkan kepada saya keseluruhan teks untuk diselaraskan penyuntingan. Kali keempat untuk bacaan pruf (ampun maaf kepada penulis sekiranya masih ada ‘typo error’ selepas ini).

Salah satu perkara yang menyebabkan saya sukakan DSI ini kerana latar tempatnya. Mengingatkan pada pengalaman sendiri sewaktu mengikut ayah melanjutkan pengajian di bumi empat musim. Sebagaimana terujanya watak-watak DSI pertama kali melihat dan bermain salji, begitulah juga terujanya saya sewaktu pengalaman pertama melihat bumi Sturry diselimuti salji. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana ayah masuk ke bilik mengejutkan saya dan kakak (yang berkongsi bilik) daripada tidur supaya menjenguk tingkap melihat salji memutih di laman belakang rumah. Lalu kami menyarung pakaian tebal untuk ‘merasai’ salji di luar. Apatah lagi waktu itu usia masih kanak-kanak, seronok tiada tara!

Maka, apabila watak-watak DSI teruja dengan salji. Saya juga turut teruja, seolah-olah saya turut berada di bumi Indiana bermain salji!

Ya memang indah bumi empat musim sebagaimana yang dipaparkan dalam DSI.

Judul asal DSI yang diberi penulis ialah BERPIJAK DI BUMI RAPUH. Kami dapati, judul itu kurang nilai komersial. Maka Pengurus Jabatan Buku, En. Wan Azmin meminta saya memikirkan judul lain.

Saya menyenaraikan hampir 20 judul. Satu daripada judul itu ialah CINTA SEDINGIN SALJU INDIANA. Cinta yang saya maksudkan itu bukan cinta murahan antara teruna dan dara, Adam dan Hawa, tetapi lebih kepada cinta sesama insan (ibu, ayah, teman, sahabat, agama, budaya dan jati diri).

Nampaknya En. Wan tertarik dengan judul CINTA SEDINGIN SALJU INDIANA. Beliau kemudian memendek dan mengemaskannya menjadi DINGIN SAJLU INDIANA. Saya juga lebih menyukai judul yang telah diperkemaskan ini—DSI. Lebih pendek dan mudah disebut.

Saya difahamkan oleh En. Zakaria bahawa bahan cerita DSI ini, 70 peratus daripadanya berdasarkan pengalaman sebenar penulis. Barangkali inilah penyebab utama yang menjadikan DSI hidup dari segi watak dan latarnya.

Saya amat menyarankan kepada adik-adik yang bakal melanjutkan pengajian ke bumi asing, bacalah DSI sebagai pedoman. Banyak tarbiah di dalamnya yang boleh dijadikan sempadan hidup sepanjang jihad anda menuntut ilmu di perantauan—bagaimana kejutan budaya serta bisikan syaitan mampu meranapkan iman seorang Muslim. Justeru, bakal-bakal pelajar pengajian tinggi sangat wajar membaca DSI agar anda tidak tewas di bumi nan rapuh yang bakal anda jejaki!

Saya kategorikan DSI sebagai ‘MUST READ’!


p/s – Malang! Saya tidak berminat menulis novel. Jika tidak, pengalaman memijak beberapa negara orang, bisa saya jadikan latar menarik untuk novel saya.

Monday, June 8, 2009

ADAKAH CINTA DI RUMAH KITA?


"AKU INGIN MENYAMPAIKAN DAKWAH INI HINGGA KEPADA JANIN DI PERUT IBUNYA."
Membaca kalimah ini sekali sudah cukup membuatkan saya terpesona dengan peribadi tokoh besar ini. Saya mengagumi amat akan peribadi asy-Syahid Imam Hasan al Banna.

Kata-kata tersebut dijadikan judul kepada satu daripada bab buku CINTA DI RUMAH HASAN AL BANNA. Sudah sekian lama saya mencari buku best seller ini. Tatkala menemuinya di booth Nufair di KLIBF 2009 baru-baru ini, saya terus membelinya.

Memang saya tersentuh apabila membaca akhlak Hasan Al Banna terhadap anak-anak dan rumah tangganya. Sangat halus dan santun.

Selesai membaca buku ini saya duduk termenung memikir rumah tangga sendiri yang serba-serbi gersang daripada akhlak yang mulia ... jauh daripada sifat-sifat terpuji. Tepatnya, 'TIADA CINTA DI RUMAH SAYA!' Cinta yang saya maksudkan ialah cinta yang ada nilai di sisi Allah SWT. Nak dibandingkan dengan rumah tangga ulama besar ini, rumah tangga saya jauh menyimpang, dan saya percaya sebahagian besar daripada anda juga!

Hasan Al Banna selalu berupaya menyenangkan hati anak-anaknya, menenangkan mereka, mencerahkan fikiran mereka serta menyisipkan kebahagiaan dalam hati
mereka.

Dalam kesibukan beliau bersama gerakan Ikhwanul Muslimin, Hasan Al Banna tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga.
Kita bagaimana? Penat pulang daripada kerja kerap hilang sabar dengan kerenah anak-anak, kerap meninggikan suara, sedangkan di dalam rumah Hasan Al Banna 'tinggi suara' tiada dalam kamus hidup mereka!
Saya memberi lima bintang untuk buku CINTA DI RUMAH HASAN AL BANNA karya Muhammad Lili Nur Aulia ini. Saya sangat mengesyorkan anda juga membacanya dan nilailah sendiri rumah tangga kita!

Thursday, February 12, 2009

KE MANA WANG ANDA?

Saya hampir selesai menguruskan penerbitan buku KE MANA WANG ANDA? tulisan Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir. Dalam proses penyuntingannya, ternyata saya banyak mengutip pengetahuan daripada kandungannya. Ternyata juga banyak yang saya tidak tahu dan jahil tentang pengurusan kewangan. Memang selama ini saya sering tertanya-tanya, ke mana hilangnya pendapatan saya yang saya perolehi saban bulan.

Konotasi tulisan beliau ini sangat simple dan bersahaja, namun sangat informatif—itu yang saya amat senangi! Sesuai dan padan dengan penulisnya yang juga merupakan seorang yang sangat simple, tetapi kaya dengan ilmu pengurusan kewangan.

Berurusan dengan Hajah Rohani juga amat mudah. Beliau tidak banyak kerenah, tidak membantah apa yang penerbit usulkan. Andai semua penulis yang ada di dunia ini mudah penerbit berurusan, alangkah mudahnya proses penerbitan, dan alangkah cepatnya dakwah kita sampai kepada masyarakat!

Kembali kepada isi kandungan KE MANA WANG ANDA? . . . buku yang bakal terbit ini wajar dimiliki oleh setiap orang dan seharusnya ada senaskhah dalam setiap keluarga untuk dijadikan rujukan.

Sudah seminggu saya mempraktikkan tip yang diberikan oleh penulis (bawa bekal ke pejabat) … sememangnya menjimatkan. Terbukti kos makan harian yang dikeluarkan sehari-hari amat tinggi. Tetapi kerana bawa bekal, kos makan ini dapat disalurkan kepada hal-hal yang lebih bermanfaat!

Anda banyak hutang?
Anda mahu tambah pendapatan?
Anda mahu bersara cepat tetapi kewangan terjamin?
Anda mahu buat kenduri-kendara?
Anda mahu melabur?
Anda mahu tahu tentang saham amanah dan takaful?
Anda mahu tahu bagaimana rokok menyekat diri anda daripada bergelar jutawan?
Ahaaa . . . pendek kata macam-macam tip berguna boleh anda perolehi dari buku ini.

Oleh itu, nantikan kemunculan KE MANA WANG ANDA? dan jangan lupa dapatkannya senaskhah . . . oh, sesuai juga dijadikan hadiah untuk pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga. Yang sedang menghadapi masalah kewangan juga sangat wajar memilikinya!

Wednesday, December 17, 2008

A PRISONER OF BIRTH

Sebuah ‘masterpiece’ terbaru daripada Jeffrey Archer. Menjadi bestseller di seluruh dunia. Di MPH, novel ini menjadi topseller kira-kira selama dua bulan. Sudah lama saya teringin membacanya. Berkali-kali saya membaca ulasannya di internet. Kesemua ulasan yang diutarakan memuji karya terbaru Archer ini. Ekoran daripada itulah satu entry saya sebelum ini menyentuh tentang kehebatan karya-karya Archer.
Akhirnya saya berjaya membacanya seusai kakak saya membaca entry saya itu. Rupa-rupanya dia lebih dahulu membacanya. Memang kami peminat karya Archer, malah kakak saya dulu lebih mengenali karya Archer. Kakak saya telah meminjamkan saya A PRISONER OF BIRTH dari Perpustakaan UM (hard cover, besar dan tebal).
Dek kerana saiznya yang sedemikian, maka agak lembap saya menghabiskannya kerana tidak dapat bertahan lama apabila memegang naskhah itu sambil berbaring sewaktu menidurkan anak...lenguh!

Apabila nama author lebih besar daripada judul buku, ertinya penulis itu sangat masyhur! Kalau tak percaya pergi tinjau buku-buku di kedai buku yang besar-besar.


Kemudian saya mendapat SMS daripada kakak saya mengatakan dia berada di MPH, bertanya mahu atau tidak dia tolong belikan novel A PRISONER OF BIRTH naskhah paperback. Saya menyuruhnya beli...(mental note, saya masih berhutang dengannya sebanyak RM36.90).
Naskhah paperback ini saya habis membaca dari awal ke akhir dalam masa tiga hari. Ini bererti komitmen terhadap ‘suasana’ di dalam rumah susut beberapa peratus. Kain tidak berlipat menimbun dua gunung. Sinki dapur penuh dengan perkakas dapur yang tidak berbasuh. Rumah tidak ubah umpama tongkang pecah kerana ralit dan asyik mahsyuk dengan A PRISONER OF BIRTH, lebih-lebih lagi pada klimaks cerita yang mengundang debar dan rasa ingin tahu yang meluap-luap apa yang akan terjadi seterusnya pada watak antagonis dan protagonis. Saya membacanya di dalam gelap (kerana tidak memasang lampu takut anak terjaga tidur) dengan menggunakan lampu suluh yang ada pada telefon selular saya.
MPH mengkategorikan A PRISONER OF BIRTH dalam genre fiksyen ‘crime & mystery’. Sungguh bijak Archer membina watak dan plot. Saya menyetujui pandangan peribadi kakak saya yang menyifatkan karya Archer seperti karya Hamka (kalau di Nusantara ini!). Bezanya cuma Archer bukanlah ulama unggul! Hamka sememangnya ulama hebat yang sukar dicari ganti!
79 bab dengan ketebalan 615 halaman...dibahagikan kepada book one (THE TRIAL), book two (PRISON), book three (FREEDOM), book four (REVENGE), book five (REDEMPTION) dan book six (JUDGEMENT)...pasti saya akan ‘mengunyah’ semula novel ini!