Showing posts with label My Only Son. Show all posts
Showing posts with label My Only Son. Show all posts

Wednesday, February 25, 2015

JADILAH SEPERTI SPONGEBOB

AHAD lalu, bagi mengisi masa lapang anak, kami sama-sama membuat kek Mocha Tiramisu Moist. Yang banyak mengadun dan mengacaunya, anak saya. Maka, kek itu saya isytiharkan dia yang buat.

Setelah siap, keknya memang sedap dan lembap. Jarang sekali anak saya makan kek yang dibuat sendiri. Kek coklat pun dia kurang gemar. Tapi kali ini, dia betul-betul makan dengan selera. Keknya lembut dan lembap.

Akhirnya dia memberi komen begini:

"Mak, kalau mak nak buat kek lembut dan sedap macam Ammar buat ni, mak kena buatnya dengan hati yang lembut macam Spongebob. Spongebobkan hati dia lembut."

Saya tersengih.

Ya benar, Spongebob Squarepants antara siri kartun yang saya benarkan dia tonton dan Spongebob sememangnya memiliki hati yang lembut yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat untuk sesiapa sahaja walaupun ada ketikanya 'tidak kena tempat'.

Namun, pengajaran yang boleh diambil ialah memiliki seketul hati yang lembut amat penting dalam hidup seharian, nanti hidup kita sentiasa mahu berbakti kepada orang. Hatta dalam menyediakan makanan sekalipun, lakukan dengan hati yang lembut dan tulus ... itulah perencah paling penting menjadikan sesuatu makanan yang dimasak itu sedap seperti mana sedapnya kita makan masakan emak yang dimasak dengan penuh kasih sayang! Tidak perlu pun ditambah perasa tambahan Ajinomoto, Cukup Rasa dan seumpamanya.

Wednesday, February 4, 2015

LOST AND NOT FOUND



Ini senarai barang yang anak saya hilang setelah sebulan sesi persekolahan dibuka untuk tahun 2015. Tahun ini terasa nak rekodkan dan senaraikan pula barang-barangnya yang ghaib dan rosak di sekolah.

Minggu pertama
1 pensel
1 pemadam

Minggu kedua
2 pembaris
1 pemadam
1 pensel (sekolah agama)

Minggu ketiga
1 pemadam (sekolah agama)
3 buah buku teks Bahasa Inggeris (pinjaman)

Minggu keempat
1 gunting
1 pensel mekanikal kaligrafi (untuk khat sekolah agama, tak hilang, tapi habis terbarai – baru berusia 2 hari)
1 peket refill pencil lead kaligrafi (baru beli dua hari, esoknya tinggal dua batang daripada jumlah sedozen)

Awal anak melangkah masuk Tahun 1 dulu,  saya hairan melihat kedai menjual sedozen pemadam dalam satu peket. Mungkin untuk orang yang ramai anak … persepsi saya ketika itu. Ini kerana zaman saya bersekolah dulu, seketul getah pemadam tahan hingga 1-2 tahun. Rupa-rupanya, ia juga untuk anak yang sering kehilangan alat tulis.

Sekarang anak saya sudah Tahun 4, tiada perubahan nampaknya, walaupun banyak kali saya mengingatkan dan menasihatkan dia agar menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang sekolahnya.
Saya tau, ada ramai ibu bapa di luar sana yang senasib dengan saya. Sama-samalah kita cuba bersabar dengan kerenah anak. Usia kanak-kanak cuma sebentar. Sedar-sedar mereka sudah dewasa!

Monday, April 14, 2014

KUIH BAKAR SI AMMAR

"Mak jom gi taman," Ammar mengajak saya petang semalam.

"Semalam dah pergi, minggu depan pulaklah," jawab saya.

"Alah. Ammar bosan ni. Kalau tak nak pergi, kita buat keklah Mak."

Saya mengeluh, terlalu letih sebenarnya setelah setengah hari menyental dapur. Dapur baru dibersihkan, diajak buat kek pula.

Begitulah anak saya ini. Namun, saya akur. Lebih baik beraktiviti daripada membiarkannya menghabiskan masa di hadapan TV. Tidak mengapalah walaupun dapur akan berkecah!

"Kalau kita buat kuih boleh tak? Tak cukup bahan ni."

Saya menyelongkar bahan-bahan membuat kek. Ada bahan yang sudah tamat tempoh. Perlu improvise apa yang ada saja.

"Kuih apa?"

"Kuih bakar."

 "Bolehlah."


Santan ada lagi, telur tinggal tiga butir. Tepung ada saki-baki juga, ngam-ngam. Bijan masih banyak dalam peti. Dan saya keluar memetik beberapa helai pandan di laman rumah yang sudah bertukar menjadi semak-samun kerana terlalu subur.

Lalu Ammar dengan khusyuk menggunting pandan, dan mengisarnya. Kemudian menapis dan memerahnya. Saya kategorikan kuih ini, kuih orang malas, segala bahan hanya perlu dikisar, namun tetap sedap!

Malas hendak menggunakan oven (yang pada kebanyakan masa sentiasa berselimut), saya hanya menggunakan pembakar kek cawan aje.

Ammar galak menabur bijan sehinggalah lengannya terkena panas pembakar itu, lalu terus berhenti. Maka sayalah juga yang kena selesaikan semuanya seperti biasa.

Maka jadilah kuih bakar ala akok kerana tidak membakarnya dalam satu acuan besar sekali gus.

Dapatlah dua dozen. "Banyak sangat ni Ammar, kena hantar ke rumah Atok."

Maka separuh dihantar ke rumah Atok dan Sidi yang cuma empat kilometer jaraknya.

"Sedap kuih Ammar, tapi Atok tak boleh makan banyak sangat--lemak," komen Mak saya yang ada darah tinggi dan kencing manis disebabkan faktor usia! "Kejap lagi Sidi balik, Sidi makan."





Wednesday, April 2, 2014

KOTAK HITAM WARNA OREN

Cita-cita pertama anak saya hendak jadi pilot atau angkasawan. Sekarang tidak lagi selepas tragedi MH370. Sekarang mahu jadi saintis pula.

"Mak kenapa kotak hitam tu warna oren? Tak hitam pun," tanyanya semasa melihat gambar kotak hitam di dalam akhbar.

"Dulu-dulu warnanya memang hitam. Tapi susah nak cari bila kapal terbang terhempas. Gelap sangat warnanya, dari jauh memang tak nampak," jelas saya.

"Habis, kenapa tak panggil kotak oren?"

"Orang malas nak tukar nama dia kot, sebab dah biasa panggil kotak hitam."

"Kata senang nampak warna oren. Sampai sekarang tak jumpa-jumpa pun!" komennya lagi.

"Manusia cuba yang terbaik, cuba itu dan ini. Buat itu dan ini. Tapi yang berkuasa mestilah Allah. Macam Ammar jugalah. Pemadam selalu hilang kat sekolah. Mak belikan yang warna terang pun sampai ke sudah tak jumpa-jumpa."

"Oh."

P/S Teringat saya kata-kata Sam 3+1, "Black belt colour biru, you!"

Monday, December 23, 2013

CHECK UP TAHUNAN

Janji temu tahun-tahun sudah.
Ketika anak saya berusia lebih setahun, dia diserang penyakit Kawasaki. Sejak itu dia perlu membuat pemeriksaan tahunan (berjadual) untuk memantau jantung.

Esok janji temu dengan doktor di PPUM untuk ECHO (echocardiogram).
Minggu berikutnya janji temu dengan doktor kanak-kanak pula.
 
Lazimnya untuk janji temu ini mengambil masa separuh hari kerana perlu menunggu giliran.

Maka setiap kali untuk dua janji temu ini saya perlu mengambil cuti.

Ini pula janji temu untuk ECHO esok dan doktor kanak-kanak minggu depan.
Tahun lalu saya meminta janji temu dilakukan pada musim cuti sekolah. Maka pihak hospital menganjakkan dua bulan ke Disember. Jika tidak, Ammar perlu ponteng sekolah untuk tujuan tersebut.

Saya tidak mahu dia ketinggalan pelajaran, walaupun diberi surat pelepasan oleh doktor untuk pihak sekolah,




Mudah-mudahan Ammar sihat. Dan mudah-mudahan parking kereta pun mudahlah juga dapat esok! Aaameen.

Tuesday, December 10, 2013

CERITA BERSUNAT!

ALHAMDULILLAH, Ahad lalu (8/12/13) anak saya selamat berkhatan pada usia lapan tahun. Hari sebelumnya kami sekeluarga melakukan solat hajat untuknya agar Allah beri semangat dan keberanian. Atoknya pula siap buat pulut kuning lagi.

"Puas hati buat pulut kuning untuk Ammar, sepinggan penuh dia makan," komen emak saya.

Esoknya, janji temu dengan doktor jam sembilan pagi di Pusrawi berhampiran dengan rumah. Jam 8.50 pagi kami sudah sampai. Masih lengang tidak ada pesakit lain. Kami orang pertama tiba.

Seperti biasa anak saya ini tidak reti duduk diam, ke sana ke mari. Dan memang tidak takut pun untuk 'anu'nya disunatkan.

Apabila dipanggil ke bilik doktor, kami terus masuk.

"Hahh, baring sini," kata doktor. "Hari ini kita main game sikit. Game ni ada empat level. Mula-mula level pertama awak kira satu hingga enam puluh. Faham?"

Anak saya mengangguk, tersengih-sengih (pantang dengar orang sebut 'game'... suka!).

"Level kedua, saya sapu ubat, level ketiga kita pasang 'kunci'," kata doktor sambil menghulurkan 'clamp' kepada anak saya untuk dibelek-belek.

"Level keempat, boleh balik. Faham?"

"Faham," jawab Ammar, masih tersengih-sengih.

"Cuba ulang. Level pertama apa?"

"Kira sampai enam puluh."

"Level dua?"

"Letak ubat."

"Level tiga?"

"Pasang kunci."

"Level empat?"

"Balik."

"Bagus. Dah baca Fatihah?"

Ammar menggeleng.

"Hah, baca sekarang. Lepas tu. Kita mula level pertama."

"Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillah ........... aaameeeen."

"Okey, kira sekarang ... . "

"Satu, dua, tiga ...."

"Adoiiii .... sakit, sakitttttttt... waaaaa...waaaa...."

Saya dan suami tergelak!

"Kira, kira, kan saya suruh kira sampai enam puluh, tu baru sampai tiga," kata doktor.

"Adoiii ... sakit ... sakit ... mak ... sakit ... " makin kuat tangisnya.

"Bang, tolong pegang tangan dia," kata doktor kepada suami saya. Saya pula di kepala Ammar, memujuk dan mengajak kira sama-sama. Pembantu doktor pula memegang kaki.

"Huih, kuat betul budak ni," komen doktor. "Kira, sambung kira ... "

Akhirnya Ammar berjaya disuntik sepenuhnya. Tapi jarum di picagari telah menjadi bengkok membentuk huruf 'V', akibat meronta.

"Haah, dah tak sakit kan? Cuba picit, tengok ni saya picit ... rasa tak? Cuba picit sendiri," kata doktor.

Ammar menghulur tangan dan memicit 'anu'nya.

"Picit kuat-kuat, kuat lagi, tak apa ..." doktor memberi semangat. "Rasa apa-apa?"

"Tak ..." jawabnya, sambil menyeka air mata.

Mendengar taklimat 'level game' daripada doktor sambil membelek-belek 'kunci'.
"Okey, sekarang level dua. Saya sapu ubat." "Ambil clamp," arah doktor kepada pembantunya.

"Sekarang level tiga. Level tiga apa?"

"Pasang kunci," jawab Ammar. Perlahan saja nadanya.

"Sekarang dah level empat. Level empat apa?"

"Balik." Kain pelekat disarung.

"Fuhh, letih saya. Habis akak ni awak tendang ya," kata doktor. Memang pembantunya terkena tendangan Ammar.

"Eleh, sekejap je sakit. Sekarang sakit tak?" saya menyoal.

"Tak."

"Mak dah kata dah, sakit kejap je. Kena sabarlah sikit," tambah saya.


Dah selesai pun, menunggu bekal ubat!
"Esok dah boleh pakai seluar, tapi jangan lari sana lari sini, lompat sana sini. Ahad depan datang balik kita buka kunci," pesan doktor.

"Semua macam ni ke?" suami saya menyoal doktor.

"Biasalah. Ada yang okey, ada yang tak berapa okey. Tapi yang mula-mula tu kalau menangis tu biasa. Bila dah rasa bius senang saja," jawab doktor.

"Kena pantang macam orang dulu-dulu ke doktor?" Khuatir juga saya apabila mendengar macam-macam cerita daripada macam-macam orang.

"Boleh makan apa saja, ayam, daging, telur."

"Udang, sotong ... kena tunggu dulu kot, takut gatal?" suami saya minta penjelasan.

"Ya, seafood, tunggu dululah, tapi ikan boleh."

"Terima kasih, doktor," ujar suami saya sambil berjabat tangan dengan doktor.

Ya terima kasih Dr. Hishamuddin. Memang tangkas menyunatkan kanak-kanak. Dalam perkiraan saya, operasi keseluruhan lebih kurang 10 minit saja, segalanya selesai.  Mudahnya berkhatan zaman ini. Alhamdulillah. Dengan dibekalkan ubat tahan sakit dan antibiotik, kami pun pulang.

Dr. Hishamuddin telah merawat anak saya ini sejak bayi lagi. Lapan tahun berlalu, uban sudah mula memenuhi kepalanya. Entah sudah berapa 'anu' berjaya dikhatannya.

Petangnya di rumah Emak, saya mengorek lubang di bawah pokok pisang untuk menanam 'kulup' si Ammar.

Selesai sudah satu fasa penting dalam kehidupan seorang anak lelaki Islam yang wajib dilunaskan.


Monday, July 22, 2013

SEMPERIT

Dalam banyak-banyak biskut raya, anak saya paling suka biskut semperit. Rasanya lebih kurang sama dengan biskut shortbread. Shortbread juga kegemarannya. Kira-kira tiga minggu sudah (sebelum Ramadan), saya ke Giant untuk membeli barang dapur.

Berhampiran pintu masuk, menimbun biskut raya. Saya tiada niat hendak membelinya lalu laju-laju melangkah ke depan sambil menyorong troli. Sedar-sedar Ammar Hadi sudah tertinggal di belakang. Rupa-rupanya dia sudah 'melekat' di bahagian biskut raya, sedang galak memilih biskut raya. Akhirnya dia menjumpai biskut semperit.

Kerana kasihan, saya belikan juga. Tiba di rumah, dengan tidak sabar dia terus membuka bekas biskut dan makan. Habis hampir separuh bekas dimakan sekali hadap.

Dua hari kemudian dia mengadu, 'Mak, papa dah makan habis biskut Ammar.' Nadanya hampir menangis! Ayahnya suka mengudap malam sambil menonton TV sewaktu orang lain sudah tidur! Sedar-sedar licin kudapan orang lain.

Semalam, untuk melekakan Ammar daripada rasa letih dan lapar puasa, saya lekakannya dengan membuat sendiri biskut semperit. Rupa-rupanya strategi saya untuk melekakannya tidak menjadi. Terbalik pula jadinya. Bau biskut yang dibakar di dalam ketuhar menambahkan lagi rasa laparnya. Maka pada jam 1 petang dia minta izin untuk berbuka.

"Tak tahan dah Ammar ni Mak. Sedap sangat bau biskut Ammar ni."

Kerana kasihan, saya membenarkan dia berbuka puasa. Lagipun, semasa sahur dia makan sangat sedikit.

"Sedap 'giler bapak'," ungkapnya spontan. Entah dari mana ungkapan kasar itu dipelajarinya. Barangkali daripada kawan-kawan di sekolah. Saya agak kurang senang dengan ungkapan sebegitu.

Entah berapa banyak dimakannya hingga sendawa!

Apabila tiba waktu berbuka seusai menjamah tamar, saya mencuba biskut semperit. Biasa saja rasanya cuma terlebih manis kerana saya mahu menghabiskan baki gula kastor yang sudah lama disimpan. Ia melebihi daripada sukatan gula yang sepatutnya.


Dah siap untuk dihantar sebahagiannya ke rumah Atok!

Ohh ... biskut ala putu beras ni apa pula? Jangan keliru, ini ialah holiday food ikan dalam akuarium, beli siap-siap untuk 2 ekor ikan guppy & 2 ekor ikan zebra yang bakal ditinggalkan sempena cuti raya nanti!






Friday, June 28, 2013

KEMBALI NORMAL

Syukur kepada Allah Tuhan semesta alam. Segala puji bagi-Nya yang mentadbir langit dan bumi. Bencana jerebu beransur pulih dan di sekitar Petaling Jaya ini boleh dikatakan sudah normal. Suasana kembali terang-benderang.

Biarpun keadaan sudah kembali normal, semalam anak saya membawa pulang surat daripada pihak sekolah memaklumkan acara sukan ditunda ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak kerana masalah jerebu. Barangkali pihak sekolah mengambil tindakan berhati-hati kerana bencana jerebu masih tidak menentu. Keputusan membatalkan sukan itu, saya kira amat wajar demi kebaikan murid.

Tiga hari sebelumnya ketika jerebu berada pada tahap bahaya, anak saya pulang dari sekolah dengan bertopeng. Topeng diedarkan oleh pihak sekolah. Barangkali dibekalkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Ketika orang dewasa berdoa dan melakukan solat Istisqa' meminta kepada Allah menurunkan hujan dan membersihkan ruang udara, ini pula doa anak saya (saya kira doa kebanyakan anak-anak orang lain yang sihat): "Ya Allah, berilah jerebu banyak-banyak, nanti sekolah cuti. Tak payah pergi sekolah."

Sehari dua lalu!

Memang seronok kalau tidak payah ke sekolah. Saya sangkakan anak-anak memang begitu. Rupa-rupanya ia bukan berlaku kepada anak-anak sahaja. Apabila memberitahu hal ini kepada seorang teman rapat yang merupakan seorang guru, betapa anak-anak gembira tidak perlu ke sekolah, beliau menjawab, "Ya Allah, bukan budak sekolah saja yang suka, cikgu-cikgu pun suka."

Jelasnya lanjut, anak-anak dan para guru tidak suka ke sekolah kerana sistem pendidikan yang kurang betul. Mereka ditekankan dengan kepentingan akademik, manakala para guru pula terbeban dengan kerja-kerja perkeranian yang melampau. Kadang-kadang tanggungjawab mendidik dan mengajar yang merupakan tugas hakiki seorang guru tidak dapat ditunaikan dengan sebaiknya. Di peringkat menengah pula, guru berdepan dengan bermacam perangai remaja yang semakin hari semakin membimbangkan. Akhlak semakin merosot.

Saya tidak pasti setakat mana benarnya, tetapi begitulah kebanyakan cerita yang saya dengar.

Barangkali kita boleh meniru sistem pendidikan di Jepun. Dikhabarkan, kanak-kanak di Jepun tidak dibebankan dengan peperiksaan sehinggalah mereka berusia 10 tahun. Awal persekolahan mereka, penekanan diberikan kepada pembentukan sahsiah diri. Pembinaan akhlak dan adab diutamakan dahulu sebelum diperkenalkan dengan akademik. Jika diamati, begini juga ajaran Islam. Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diturunkan untuk ditiru akhlaknya. Apabila akar tunjang akhlak sudah kukuh, mudahlah hal-hal lain diajar. Barangkali guru-guru tidak perlu lagi pening dengan sikap sesetengah pelajar yang biadab.

Jika sistem pendidikan ini ada di Malaysia, saya fikir kebanyakan anak tentu tidak lagi malas ke sekolah. Malah tidak sabar-sabar hendak ke sekolah keesokan hari. Tidak perlu lagi memikul beg yang beratnya berkilo-kilogram!


Sekadar ... untuk renungan dan difikirkan!

Tuesday, June 25, 2013

LENGANG

Semalam seluruh sekolah di Selangor cuti disebabkan jerebu yang melanda. Anak saya seperti anak-anak orang lain tentunya gembira kerana mendapat cuti sedemikian. Hari ini sekolah beroperasi seperti biasa.

Jalan di hadapan sekolah anak saya pagi tadi lengang dan sunyi. 
Biasanya pada waktu ini meriah dengan bas sekolah dan kenderaan ibu bapa 
menghantar murid/anak ke sekolah.


Simpang empat Sunway menghala Kota Damansara. Papan tanda Petronas 
sepatutnya sudah kelihatan pada jarak ini. Apakan daya ... jerebu!

Pemandangan berbalam-balam.

Namun, tatkala tiba di sekolah, lengang saja suasana. Hanya kedapatan beberapa orang murid. Nampaknya ibu bapa mengambil inisiatif sendiri membenarkan anak tidak bersekolah. Pun demikian, saya tetap menghantar anak ke sekolah selagi tidak ada kenyataan rasmi daripada pihak berkenaan.

Saya melihatnya dari sudut berbeza, di sekolah anak saya lebih mendengar dan menuruti arahan serta nasihat guru. Misalnya banyakkan minum air, basuh tangan betul-betul sebelum makan terutamanya ketika berjerebu ini. Kalau di rumah, puas ditegur dan dinasihat, basuh tangan ala kadar saja.

Pada minggu ini juga, hampir kebanyakan sekolah merancang mengadakan hari sukan dan hari keusahawanan (hari kantin). Saya menjangkakan aktiviti sedemikian akan ditunda sehinggalah bencana jerebu reda. Harapnya begitulah.


Apa pun, sama-sama kita doakan agar bencana jerebu tidak berpanjangan. Semoga Allah turunkan hujan selebat-lebatnya untuk membasuh segala kotoran di ruang udara. Doakan juga agar kesihatan kita semua tidak terjejas. Aaameen!

Tuesday, April 9, 2013

NASI LEMAK & EMPAT SEKAWAN

Sudah lama anak saya Ammar minta nasi lemak untuk dibuat bekal ke sekolah. Maka semalam pagi-pagi buta saya menyiapkan nasi lemak untuknya.

Nasi lemak + telur goreng separuh masak menjadi kegemarannya. Itulah yang saya bekalkan kepadanya semalam.

Kalau membawa bekal, saya tidak berikan duit kepadanya. Cuma semalam, duit RM3 di dalam poket seluarnya yang telah saya masukkan semasa menyiapkan uniform sekolah pada setiap hujung minggu, lupa dikeluarkan. Maka bekal nasi lemak dan duit RM3 dibawa ke sekolah.

Jam satu, waktu tamat persekolahan. Saya sudah siap menunggu di kantin untuk menjemputnya balik.

"Makan tak nasi lemak yang Ammar bawa?"

"Makan sampai habis. Sedap. Esok boleh bawa lagi tak?"

"Haisy! Hari-hari tak bolehlah. Sekali-sekala tak apa."

"Kawan Ammar kata, mak jual nasi lemak. Ammar kata mana ada, mak kita kerja lain. Betulkan?"

"Betul. Nih, mak nak tanya, betul ke Ammar makan semua, tak share dengan kawan."

"Rasyid tu, dia makan nasi lemak Ammar sebab dia terliur. Tapi Ammar bagi sikit je."

Memang begitulah, mereka suka kongsi-kongsi makanan.

"Nah! Mak simpankan ni," katanya sambil menghulurkan seketul nuget.

"Laaa, dah bawa bekal, kenapa beli makanan lagi? Kan dah tak habis bila dah kenyang. Tu lah, mak pun lupa nak keluarkan duit dari poket Ammar. Lagi dua ringgit mana?"

"Ammar dah bagi Sabri."

"Kenapa bagi Sabri?"

"Sebab dia tolong ajar Ammar Bahasa Arab."

"Laaa tu bukan tolong namanya. Tu minta upah. Kalau betul-betul tolong, orang tak minta duit. Seringgit lagi mana?"

"Sabri tu, dia mintak dua ringgit. Ammar bagi ajelah."

Saya menyeluk poket seluarnya. Kot-kot ada  lagi duit. Memang ada seringgit lagi.

"Ni ada lagi, kata bagi dua ringgit?"

"Itu Zainalazren bagi kat Ammar. Dia kata, 'Kau nak? Ambiklah'."

"Kenapa dia bagi Ammar?"

"Ammar pun tak tau."

Hmmm ... daripada pengamatan saya sejak awal anak saya naik Tahun 1, Zainalazren ini anak orang berada. Bawa duit paling sedikit tiap hari RM5. Beg sekolah pun jenis mahal. Ketika program murid-murid di sekolah, ibu bapanya membekalkan duit RM50 untuk main itu dan ini. Jadi, setakat RM1 ringgit apalah sangat. Dan dia kerap juga belanja kawan-kawan di sekolah.

Ammar Hadi, Zainalazren, Wafiq Raziq dan Rasyid -- empat sahabat baik. Di kalangan mereka, Ammarlah yang paling kecil fizikalnya. Kekadang mereka bergaduh dan bertekak. Esoknya kembali kamceng. Empat sekawan inilah juga sering dimarahi cikgu kerana suka bermain kejar-kejar. Rekod ketika Tahun Satu tahun lalu, anak saya enam kali dialihkan tempat duduk oleh cikgu di dalam kelas kerana tak duduk diam dan sering bersembang dengan sahabat baiknya Raziq. Maka budak berdua ini, dipisahkan tempat duduk.

Apa pun didoakan persahabatan mereka kekal baik hingga hujung hayat. Mudah-mudahan menjadi anak-anak yang soleh, cemerlang dunia dan akhirat dan bertemu kembali di Syurga Firdaus. Amin.

Thursday, October 4, 2012

TIKET DEWASA LEBIH MURAH

Rasa-rasanya di Malaysia ini atau boleh jadi juga di dunia, tempat yang tiket kanak-kanaknya lebih mahal daripada tiket orang dewasa adalah di KidZania.

Kira-kira seminggu sebelum raya dulu, saya berpeluang membawa anak ke KidZania di mana ia sememangnya dunia untuk kanak-kanak dan orang dewasa hanya jadi pemerhati.

 Menunggu giliran untuk belajar menyediakan burger di Marrybrown.

  Ada langkah-langkah standard dalam penyediaan burger.

Lebih 90 aktiviti dan kerjaya untuk diterokai kanak-kanak, namun dalam satu hari tidak memungkinkan mereka menjelajah dan mencubanya satu persatu. Perlu datang lagi (mmm ... kena bayar tiket lagilah tu).

Biarpun mahal, aktiviti yang disediakan amat berbaloi dengan harga tiketnya. Cuma yang tidak menyelesakan anak-anak kita, mereka perlu beratur panjang untuk mendapat giliran lebih-lebih bahagian 'hot spot'.
 Mencuba impian menjadi juruterbang. Tempat Air Asia ini adalah 'hot spot'. 
Queuenya 'mengular' panjang.

   Belajar mengendalikan program berita siaran langsung di konti Media Prima.
 
 Sayangnya, ketika ke sana saya terlupa membawa kamera. Lagipun agak sukar untuk merakam gambar kerana ibu bapa tidak boleh memasuki tempat aktiviti. Hanya boleh menunggu dan mengintai. Maka hanya kamera pada telefon sahajalah digunakan. Namun jurufoto KidZania kelihatan ke sana ke mari merakam foto kanak-kanak. Dan ketika check out nanti bolehlah membelinya jika berminat. Oh tentunya duit lagi perlu dikeluarkan.



  Jadi pakar bedah pula - Bersiap sedia untuk melakukan pembedahan.

Jika kanak-kanak cukup riang dan teruja dengan tempat gempak begini, seperti ibu bapa lain yang menunggu anak-anak mereka, tempat ini bukan untuk orang dewasa ... amat membosankan kerana tidak tahu nak buat apa, hanya duduk dan menunggu. Itu pun kalau ada tempat duduk disediakan. Ada tempat tidak disediakan tempat duduk.

Bagi ibu bapa yang mahu membawa anak ke KidZania, suka saya sarankan, bawalah buku untuk dibaca bagi mengisi masa lapang yang berjam-jam itu. Bagaimanapun, kalau saya ... saya tidak mampu membaca lama kerana cahayanya agak suram dan mudah meletihkan mata.

  Modelling pun ada. Belajar catwalk. Kerjaya ini tidak popular.
Maka tidak perlu tunggu lama, malah perlu dicari kanak-kanak
untuk menyertainya.

Berkunjung ke suraunya ... alahai, congak saya luasnya lebih kurang 5 x 6 kaki sahaja. Muat dalam maksimum tiga orang sahaja. Namun, saya faham mengapa surau dibuat sedemikian kecil ... kerana tidak ramai orang berasa berdosa meninggalkan kefarduan solat lima waktu itu. Aduhai ... tempat yang asyik melaghakan. Namun inilah saatnya bagi kita untuk mentarbiahkan anak tentang kepentingan solat, dalam apa jua keadaan pun. Ajak dan suruhlah mereka solat. Kita tidak melarang mereka berseronok asalkan tiang agama dijaga rapi. Biarlah umat Islam lain tidak memberatkannya, kita jangan jadi seperti mereka. Ingat-ingatkan selalu anak-anak akan solat agar mereka mentaati waktu solat dan sentiasa berasa diawasi Allah..


 Di kilang komputer Dell, belajar memasang komponen komputer.

Waktu berkunjung ke surau KidZania, tidak ada seorang pun 'manusia' bersolat. Allahu Akbar! Aduhai umat Islam! Maka saya tidak hairan mengapa suraunya sempit. Barangkali sudah dijangkakan ketika membinanya, tidak ada orang mahu memuliakannya.


Apa pun, KidZania adalah tempat yang selamat untuk kanak-kanak. Anak-anak kita bebas ke sana sini tanpa kita perlu selalu mengawasi kerana tag elektronik di tangan memastikan hanya penjaga mereka sahaja berhak membawa keluar anaknya.

Khabarnya, usahawan Mexico yang mencetuskan ilham KidZania ini (Xavier Lopez Ancona) sudah jadi multi-billionaire hasil mengeksport francais bandar tema kanak-kanak ini merentas dunia.

Sasaran Ammar Hadi seterusnya ... Legoland (entah bila hendak sampai ... jauh sangat).

Wednesday, September 26, 2012

TIDAK CUKUP 20 MINIT

"Ammar beli apa kat kantin hari ni?" saya bertanya.
"Satu ringgit Ammar beli keropok lekor, satu ringgit Ammar beli nuget."
"Habis ke makan banyak-banyak?"
"Tak habis."
"Dah tu kenapa beli sampai habis duit? Tak makan pulak tu. Kan membazir?"
"Ammar dah lapar sangat. Ammar belilah."
"Habis, kenapa tak makan semua kalau dah lapar sangat."
"Laaa Mak ni, Ammar tak sempatlah Mak. Loceng bunyi cepat sangat."
"Ooo ... yang tak habis tu letak kat mana?"
"Ammar buanglah."

Aduh, memang membazir.

Dari zaman saya bersekolah rendah hingga kini, waktu yang diperuntukkan untuk murid-murid rehat hanyalah 20 minit ... suatu tempoh yang amat tidak munasabah untuk murid-murid makan bagi mengalas perut sepanjang waktu persekolahan sebelum pulang ke rumah untuk makan.

Tempoh itu tidak pernah berubah sejak berdekad-dekad yang lalu bagi kebanyakan sekolah.

Dengan mengambil kira waktu murid perlu beratur panjang untuk membeli, membasuh tangan, mencari tempat duduk untuk makan dan mula makan, ia suatu tempoh yang sememangnya tidak cukup.

Saya dulu juga begitu. Tidak pernah sempat makan habis semasa rehat melainkan jika membawa bekal sendiri. Tetapi sesekali mahu juga tukar selera membeli makanan di kantin. Anak saya pun begitu juga, sesekali mahu membeli di kantin, berselang dengan bekal.

Itu belum dikira lagi jika murid membeli mihun sup yang panas, perlu menunggu sejuk sedikit untuk dimakan. Juga murid yang jenis memang makan lambat. Mengunyah perlahan-lahan. Jauh sekali jika mahu mempraktikkan cara sunnah, cara makan Nabi SAW yang mengunyah hingga 40 kali setiap suapan.

Tempoh 20 minit itu menjadikan setiap murid terpaksa makan dengan gelojoh kerana takut tidak sempat makan sebelum loceng berbunyi. Maka berteraburlah makanan di meja makan dan mencomotkan pakaian sekolah.

Teringat zaman awal belasan tahun saya, bersekolah di England. Waktu rehat diperuntukkan dua kali. Rehat pertama selama 15 minit. Rehat kedua selama sejam. Kita dapat makan dengan selesa. Waktu persekolahan hingga jam tiga suku petang membolehkan waktu rehat diaplikasikan demikian.

Pun begitu, walau waktu persekolahan di Malaysia tidak sepanjang di UK, ia bukan alasan untuk memendekkan waktu rehat. Waktu rehat perlu dilanjutkan sedikit bagi membolehkan murid-murid makan dengan selesa. Paling tidak pun 35 minit!

Thursday, August 9, 2012

KERUGIAN BESAR

Setiap kali Ramadhan saya tidak pernah terlepas daripada menghadiri kuliah Ramadhan di pejabat yang disampaikan oleh ustaz-ustaz berkaliber. Saya suka majlis ilmu sebegini. Malangnya tahun ini sekali pun saya tidak berpeluang mengikutinya.

Ini kerana ketika majlis ilmu berlangsung, saya terpaksa berkejar mengambil anak di sekolah. Untuk mengelakkan jalan sesak dan sampai tepat waktunya di sekolah, saya terpaksa keluar awal. Kemudian setelah selesai urusan ambil anak, saya terpaksa berkejar semula ke pejabat.

Sampai di pejabat, tentunya kuliah sudah tamat. 

Inilah pertama kali saya tidak dapat menghadirkan diri di majlis ilmu itu. Terasa sangat ruginya tidak dapat menadah ilmu di surau pejabat.

Apa pun, mudah-mudahan ulang alik mengambil anak di sekolah juga dinilai oleh-Nya.

Tuesday, July 17, 2012

KASIHAN ANAKKU!

"Mak, cikgu panggil. Cikgu nak jumpa," kata Ammar menarik tangan saya supaya masuk ke kelas. Ketika itu saya berada di luar kelas menunggu waktu sekolah tamat.

Lalu saya melangkah masuk ke kelas Tahun Satu itu.

Melihat saya masuk ke kelas, Guru Kelas, Pn. R, terus bangun mendapatkan saya. Di tangannya ada kertas-kertas soalan - kertas ujian Bahasa Malaysia murid-murid Tahun Satu.

"Puan, saya nak minta tolong ajarkan Ammar di rumah. Nampaknya dia masih tak dapat nak susun ayat dengan betul. Yang pendek-pendek dia boleh buat lagi. Kalau yang ayat panjang, memang masih berterabur," jelas Pn. R sambil menunjukkan hasil jawapan anak saya bagi kertas ujian yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran.

"Ooo, teruk ni. Lemah sangat ke anak saya ni?"

"Nak kata lemah tu tidaklah sebab dia masih boleh dibantu. Dia boleh buat kalau kita fokus ajar dia."

"Anak saya ke yang paling lemah? Budak-budak lain macam mana?" soal saya. Risau juga kalau-kalau anak sayalah yang paling lemah dalam pelajaran.

"Tidaklah, ada lagi yang lebih lemah. Yang ni saya kena ajar sendiri secara berdepan." Lega saya mendengarnya.

"Kertas tu boleh saya bawa balik ke? Nak buat contoh apa yang nak diajar di rumah."

"Oh, ini tak boleh buat balik. Ini sulit. Ini kertas ujian kementerian. Ini rekod peribadi murid yang kita akan hantar ke kementerian. Puan boleh buat sendiri contoh ayat. Alah, yang ringkas-ringkas saja. Bagi dia cekap. Sebab lepas ni akan ada lagi ujian macam ni. Jadi, kita harap dia boleh baiki lagilah keputusan ujian."

Sejak sistem pelajaran baru diperkenalkan, bukan sahaja murid dan ibu bapa menjadi lintang-pukang, para guru lebih-lebih lagi. Dulu KBSR kini KSSR. Bukan sahaja akademik dinilai, tapi serba-serbi dinilai. Patutlah kekadang ada hari murid-murid lambat keluar kelas walaupun tempoh belajar sudah tamat. Saya lihat guru masih di kelas memanggil murid-murid yang bermasalah seorang demi seorang ke hadapan untuk memastikan mereka faham.

Saya juga melihat silibus mata pelajaran semakin sukar berbanding zaman saya dulu-dulu. Matematik Tahun Satu menyamai Ilmu Hisab ketika saya darjah dua atau tiga. Bahasa Malaysianya juga agak tinggi. Kalau zaman saya dulu, darjah satu baru hendak mengenali A, B, C ... a-ayam, b-batu, c-cawan. Kini Tahun Satu diminta menyusun 'jumbled up sentences'.

Kasihan sungguh! Saya sebagai seorang emak rasa bersalah dan berhutang waktu dengan anak. Waktu yang ada amat terhad untuk memberi tumpuan kepada pelajarannya kerana sebahagian besar waktu saya bekerja. Sepatutnya seorang ibu wajib memberi perhatian terhadap perkembangan anak baik dari segi sahsiah atau akademiknya.

Apa tidaknya, tiba di rumah sudah senja. Banyak mana lagi waktu yang tinggal untuk mengajarnya. Selepas Isyak anak sudah mengantuk.

Ya, Allah ... Engkau tunjukkanlah jalannya agar dapat aku memberi tumpuan kepada anak yang satu ini.

Akhir-akhir ini juga, kerap singgah di fikiran saya untuk berhenti kerja (pencen awal) supaya kebajikan anak terjaga. Saya juga kekadang ada masanya berasa muak dengan kerja yang semakin menekan diri. Mesyuarat dan mesyuarat, juga kerenah pelbagai orang. Cuma yang menghalang saya tidak mengambil keputusan itu adalah kerana 'menjaga periuk nasi'. Walaupun suami masih boleh menampung, kita perlu berjaga-jaga kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku pada hari-hari mendatang (perlu ada back-up).

Apa pun, saya sememangnya ada perancangan untuk bersara awal! Pengakuan ikhlas: SAYA SUDAH PENAT BEKERJA!

Sesungguhnya tempat seorang perempuan yang bergelar isteri dan ibu adalah di rumah.

Thursday, June 14, 2012

CUTI SEKOLAH

Anak-anak yang dibawa bercuti tiap kali cuti persekolahan memang beruntung. Ibu bapa mengambil cuti kerja untuk membawa keluarga makan angin. Paling tidak pun balik kampung menziarahi atok dan opah.

"Mak, jom balik kampung nak? Ammar dah rindu sangat dengan Tok Nye. Boleh main sungai," kata Ammar.

Aduh! Kasihan sungguh anak saya itu. Dia antara anak yang tidak pernah berpeluang bercuti ke mana-mana. Tiap kali cuti sekolah, ketika itulah saya 'dilanda' kerja yang mustahak. Tidak memungkin saya mengambil cuti. Ayahnya juga begitu.

Dia tidak meminta ke tempat-tempat percutian yang 'fancy'. Sekadar balik kampung, atau ke padang main layang-layang sudah memadai untuk riang ria.

Alahai, banyak sungguh dosa kami suami isteri kepada anak yang seorang ini. Tuntutan naluri anak tidak dapat kami penuhi, sebagaimana ibu bapa lain.

Ketika cuti sekolah baru-baru ini, saya menghantar SMS kepada suami yang ketika itu berada di Bangkok. Apabila pulang nanti, tolong rancang untuk bawa anak jalan-jalan sempena cuti sekolah. Malangnya tuntutan kerja menyebabkan pemergiannya ke Bangkok berlanjutan hingga habis cuti sekolah.

Mahu tidak mahu, kerana tidak mahu mengecewakan anak. Saya mengambil cuti, dan meninggalkan kerja mustahak yang belum siap. Saya serahkan baki kerja yang belum siap kepada bos. Mujur saya mempunyai bos yang baik hati. Cuti diluluskan. Terima kasih.

Cuti tiga hari yang tidak seberapa, saya gunakan untuk menggembirakan anak.

Tengok Madagascar 3 (3D) salah satu agenda. Ketika tiba di 1U, terserempak pula dengan kawan lama anak saya semasa di Tadika Hasanah bersama ibunya. Oh rupa-rupanya nasib anak-anak kami serupa. Ibu kepada kawan anak saya itu mengambil cuti hari itu kerana kasihankan anak-anak yang tidak sempat dibawa bercuti. Melompat kegembiraan anaknya apabila tahu Mama mereka cuti dan membawa mereka bermain di 1U.

Saya juga turut membawa Ammar dan anak-anak saudara (yang baru pulang bercuti di kampung) ke tempat rekreasi Nur Laman Bestari di Ulu Yam untuk mandi sungai. Terloncat-loncat keseronokan apabila anak saya tahu dapat mandi sungai. Saya juga lapang kepala apabila ke sini ... berasa lebih tenang apabila dekat dengan alam semula jadi ciptaan Tuhan. Airnya dingin jernih, udara nyaman dan pepohonan yang hijau.

Menjelang tengah hari dan apabila pengunjung semakin ramai, kami berangkat pulang.


Anak-anak sebenarnya tidak meminta yang lebih-lebih. Mereka hanya mahu bersama keluarga dan mencipta kenangan bersama. Seboleh mungkin, kita sebagai orang tua, cubalah memenuhi tuntuan dan hak mereka. Waktu inilah kasih sayang perlu kita tumpahkan sepenuhnya, apabila anak-anak besar kita tidak berpeluang lagi untuk melakukannya lantaran anak-anak pun tentunya sudah ada keluarga sendiri dan kita pula sudah tua tidak berkudrat lagi untuk ke sana ke mari kalaupun belum kembali ke alam baqa.

Tuesday, June 5, 2012

NILAI SEBATANG GIGI

"Mak Ammar rasa dah tak tahan dah sakit gigi goyang ni. Susah nak makan," adu anak saya. Giginya sedikit pun tidak rongak. Sekadar bergoyang kerana gigi kacip kekal sudah mula tumbuh. Jadi gigi susu itu perlu dicabut bagi memberi ruang kepada gigi baru untuk tumbuh sempurna.

Dua batang perlu dicabut.

"Dah tak nak tunggu Papa balik ke?" Ayahnya sehingga ke hari ini (hampir sebulan) berkhidmat di Universiti Chulalongkorn.

"Tak nak. Dah sakit sangat."

Sebelum ini dia mahu ayahnya mengikut sekali.

"Mak tunggu Papa balik tau. Ammar takut sangat cabut gigi ni."

Dua minggu dia menunggu, ayahnya tunda tarikh balik menjadi tiga minggu kerana kerja belum siap. Dari tiga minggu dilanjut tarikh hingga sebulan, tak balik-balik menyebabkan jadual hidup dan kerja saya menjadi sedikit lintang-pukang kerana semua perkara perlu saya uruskan sendirian, khasnya soal anak.

Akhirnya Ammar sudah tidak tahan lagi dengan keadaan giginya.

Saya membawanya ke sebuah klinik gigi yang tidak jauh dari rumah Emak.

Melangkah masuk sahaja, sudah dapat diagak, tempatnya eksklusif.

"Selamat pagi," ucap penyambut tetamu.

Saya sekadar mengangguk dan senyum.

"Nak cabut gigi goyang anak saya. First timer."

"Lambat sikit ya puan. Sebab dah ada patient yang datang untuk appointment."

"Okey."

Lalu dia mengeluarkan senarai harga rawatan yang di'laminate' seperti senarai menu di restoran.

"Puan harga cabut sebatang gigi kanak-kanak antara enam puluh lima ringgit ke seratus dua puluh ringgit, ya."

Barangkali dia perlu menyebutnya agar saya tidak terkejut. Sebelumnya saya lihat ada pesakit bertanyakannya di mana ada ATM untuk dia mengeluarkan duit bagi membayar kos rawatan.

"Okey," jawab saya lagi. Tapi ini pula monolog saya dalam hati, 'Mak aiii, mahal gila. Itu gigi yang dah goyang, tak payah mana pun nak cabut. Gigi kacip aje pulak tu.'

Agaknya yang bernilai RM120 sebatang itu adalah gigi geraham!

Di bilik rawatan, Ammar meronta-ronta. Meraung-raung. Doktor pun diterajangnya.

'Ek eleh,' bisik hati saya. 'Hilang habis macho.'

"Okey, okey sikit saja. Doktor letak ubat saja, lepas tu boleh balik rumah," kata doktor Cina wanita yang merawat. Tangannya pantas mencabut gigi. Saya pun tidak sedar bila dia mencabutnya. Memang cekap.

"Mari sini, dekat sini," kata doktor lagi sebaik selesai mencabut gigi. Ammar masih menangis.

"Nah, doktor mau bagi hadiah. Tengok sini pilih mana satu suka." Anak saya tidak peduli kerana melayan tangisnya.

"Okey, doktor bagi Ironman la," kata doktor itu menghulurkan sticker Ironman. Dalam lacinya penuh dengan bermacam sticker bagi memujuk pesakit 'bermasalah' seperti anak saya.

Di kaunter bayaran, pembantu doktor keluar menghulurkan dua batang gigi yang dicabut untuk dibuat kenangan.

"Puan, cabut dua batang gigi, semunya seratus tiga puluh ringgit," kata penyambut tetamu tadi.

"Visa, boleh?"

"Visa boleh," jawabnya senyum.

Lalu saya hulurkan kad debit kepadanya.

Alahai, mahal sungguh rawatan gigi.

Dua orang anak saudara pernah mencabut gigi di tempat yang sama beberapa tahun sudah. Ketika itu nilai cabut sebatang gigi kanak-kanak RM50. Hari ni sudah naik RM15 menjadi RM65 sebatang.

Teringat saya sewaktu  melanjut pelajaran Sarjana di UM dahulu. Saya manfaatkan sungguh-sugguh rawatan gigi percuma bagi para pelajar. Saya tidak jemu mendapat rawatan di Fakulti Pergigian. Dari mencuci hinggalah menampal. Apabila saya mencongak kosnya jika dibuat di klinik swasta, nilai keseluruhannya mencecah empat angka.

Kepada pelajar-pelajar IPTA di luar sana, rugilah jika anda tidak mendapatkan rawatan gigi secara percuma yang disediakan pihak universiti. Rebutlah peluang yang ada sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan yang serba-serbi mahal!

Tuesday, May 29, 2012

PENAT

Penat melunaskan kerja-kerja Pesta Buku sudah berlalu. Dua minggu lepas saya penat pula berulang-alik menjemput anak pulang dari sekolah. Selalunya saya bergilir hari dengan suami menjemput anak dari sekolah. Tetapi kerana suami saya tidak berada di dalam negara waktu ini, maka dua minggu lalu saya terpaksa melakukannya seorang diri berkejar di celah waktu kerja menjemput anak dari sekolah dan menghantarnya ke rumah neneknya.

Mujurlah minggu ini sudah mula cuti sekolah, tidaklah saya terkejar-kejar. Namun saya terpaksa membawa anak ke tempat kerja kerana neneknya pula balik kampung. Hendak dihantar ke tadikanya dulu, dia tidak mahu. Apa boleh buat. Terpaksalah membawanya sekali ke pejabat.

Di pejabat, sesekali saya perlu mencarinya di sekitar pejabat kalau-kalau mengganggu orang bekerja. Menjelang tengah hari tadi saya berjumpa anak saya sedang lepak-lepak di bilik Pengarah Urusan. Alahai. Dahulu pernah Pengarah Urusan main kejar-kejar dengan anak saya kerana dia melarikan tin biskut Tuan Pengarah dan menyorokkannya.

Saya membawa bekalan buku dan mainan dari rumah untuk melekakannya di pejabat, tetapi sekejap sahaja dia melayannya.

Rakan-rakan sepejabat pula ada yang rajin melayannya (termasuk Pengarah Urusan). Itulah sebabnya anak saya makin naik tocang.

Walaupun perangai anak kekadang membuatkan saya berasa malu, apa boleh buat. Itulah namanya kanak-kanak yang belum mumaiyiz, belum kenal baik buruk akan tindakannya.

Bagi ibu bapa yang punyai anak yang belum bersekolah atau masih berada di tadika, bolehlah dikatakan masih 'lapang' walaupun sebenarnya tidak. Apabila anak mula melangkah ke alam sekolah rendah, percayalah, hidup anda akan jadi bertambah lintang-pukang.

Melihat keadaan rumah dan anak yang tidak terurus sempurna, hasrat untuk jadi suri rumah sepenuh masa semakin kerap singgah di fikiran. Kekadang saya berasa sungguh penat bekerja dan ada juga berasa bosan. Mahu tinggal saja di rumah uruskan rumah tangga.

Entah ke mana perginya tuan punya mainan ini!

Wednesday, May 9, 2012

CORAT-CORET PESTA BUKU ANTARABANGSA 2012

Pesta Buku Antarabangsa 2012 baru sahaja berlalu. Alhamdulillah, sambutan pengunjung di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd lebih baik berbanding tahun sudah.

Tahun ini kami berjiran dengan PTS dan kami saling sokong-menyokong mempromosi produk melalui PA system masing-masing.


CORETAN 1
Ada beberapa ketika, stok buku kami terputus bekalan.

"Kak, saya nak buku Prof. Kamil, kat mana ya. Tak nampak pulak?" tanya seorang pengunjung.

"Alamak, dah sold outlah dik," jawab saya.

Datang pula pengunjung yang lebih tua.
"Dik, buku Bersyukur Saat Diuji ada tak?"
"Minta maaf banyak-banyak kak, stok dah habis."
"Bila nak ada?"
"Saya tak berani nak jawab, kami pun sedang menunggu stok sampai ni."

Bertanya lagi pengunjung lain.
"Buku Prof Kamil yang mana satu ye?"
"Kalau kat sini Bersyukur Saat Diuji. Kalau judul-judul lain kat PTS, kat depan tu je," jawab saya sambil menuding jari hala ke susunan buku motivasi PTS yang hanya beberapa langkah dari gerai kami.
"Saya nak buku dia yang terbaru. Lupa pulak judulnya."
"Bersyukur Saat Diujilah tu. Tapi dah sold out."
Saya mengulangi jawapan yang sama. Entah berapa kali saya menjawabnya kepada pengunjung yang kecewa.

"Saya nak buku Bersyukur Saat Diuji," tiba-tiba ada suara menyapa di belakang saya.
"Maaflah puan, buku Prof Kamil dah habis."
"Ooo tak pa, tak pa. Tak da rezeki sayalah tu.
"Tu lah, ramai sangat dah tanya. Saya pun dah malu dengan Prof (walaupun Prof nun jauh di Madinah)."
"Eh ... tak pa. Kalau siapa yang baca blog dia takkan mengamuk. Hati jadi tenang."

Ya itu bagi pengunjung yang faham dan mengerti dengan 'ujian' sebagaimana yang Prof. Kamil nukilkan dalam tulisannya Bersyukur Saat Diuji.

Ada juga pengunjung yang tidak mengerti, "Habis tu, bila nak ada stok ni? Saya datang dari jauh semata-mata nak beli buku tu, tau tak?"

Ooo sabar sajalah.

CORETAN 2
"Mmmm dik, Galeri Ilmu ni buat buku apa ye?"

"Buku Islami. Motivasi ada, pengetahuan Islam ada. Kanak-kanak ada. Kalau yang ada kat sini, buku motivasi. Yang pasti semua halalan toyyiban," terang saya yang menjaga seksyen buku motivasi.

"Dulu saya suka baca buku Tuah Iskandar. Saya buat koleksi buku dia."

"Oh tu terbitan Karangkraf. Karangkraf kat dewan sebelah ni je kak. Boleh lalu pintu sana."

"Tak ... saya dah tak nak baca buku dia. Dah banyak sangat baca, saya rasa macam biasa je. Benda sama, dah tak ada kelainan. Dah bosanlah," katanya sambil membelek dan menyelak buku kami.

"Mmm, gitu! Kat sini kalau orang perempuan, banyak beli buku ni," kata saya sambil menyuakan buku Bukan Sekadar Resipi tulisan Puan Roza Roslan, isteri tercinta Prof Kamil.

"Tak naklah buku resipi, saya nak buku motivasi."

"Eh, ni bukan buku resipi, sebab tu judulnya Bukan Sekadar Resipi. Kalau akak tak ambil sekarang, kejap lagi habis stok. Saya pun tak pasti bila stok baru sampai." Saya tidak menipu akan hal ini! Stok memang terhad dan banyak orang datang membelinya.
Matanya melilau kepada pengunjung-pengunjung lain yang pasti mencapai dan membeli buku tersebut.

"Buku ni ada cerita, bukan resipi. Resipi tu hujung-hujung je, sampingan. Cerita dia memang best. Ada yang kena-mengena dengan kita.
"Ooo ye ke," komennya ringkas sambil membelek-belek buku Bukan Sekadar Resipi. "Ehh, jap tadi saya nampak ada resipi tosai. Saya suka makan tosai. Banyak kali dah cuba tapi tak jadi. Nak makan yang orang India buat, tak lalu pulak." Tangannya pantas menyelak-nyelak helaian buku itu mencari bab Tosai.

"Okeylah dik, saya ambil buku ni."

"Tak rugi kak beli. Insya-Allah.

"Mmm, dik, awak ni jurujual yang berkesan."

Saya sekadar menyengih. 'Aku bukan jurujual yang rasmi,' bisik saya dalam hati.

CORETAN 3
"Kak, kat Galeri Ilmu buku motivasi apa yang best?" soal seorang wanita muda sambil duduk bersila di hadapan rak buku-buku baru. "Aduh, penatnya. Saya duduk macam tak pa ya!"

"Kalau saya, semuanya best. Saya tak berani cakap. Kalau saya kata best, mungkin awak tak tak best."

"Betullah kak, dulu orang berebut-rebut beli buku La Tahzan. Saya pun beli juga. Tapi bila beli, saya tak boleh bacalah kak, berat sangat. Saya simpan je buku tu. Saya tak suka buku-buku berat. Kalau yang ada banyak ayat Quran, saya jadi pening.

"Kalau nak ringan, buku nilah," kata saya menunjukkan buku Hai, Darling!.

"Kak, ni sambungan I Love You Too! ke?"

"Ye."

"Yea, best ni. Tahun lepas saya beli. Saya baca habis. Saya suka sebab ringan ada kartun-kartun."

"Penulis dia ada kat sini kejap tadi. Entah mana pulak perginya."

"Eee syoknya. Saya nak tandatangan dia."

'Laaa mana pulak perginya Haji Bad ni, ada peminat nak tandatangan.' Mata saya melilau mencari kelibat si penulis. Sekelip mata hilang.

"Maaflah dik, entah ke mana dia pergi."

"Alaaa, kak carilah dia."

Puas saya mencari di sekitar gerai, tapi tak ada. Barangkali merayau ke gerai-gerai lain.

"Alaaaa," keluhnya lagi.

"Kak, buku ni pasal apa?" soalnya lagi. Di tangannya kini buku Berdua Lebih Baik.

"Pasal macam mana nak cari jodoh. Kalau rasa jodoh berat tak sampai-sampai, haaa elok sangat baca buku ni. Dia ajar macam mana nak dapat jodoh."

"Haaa ... akulah tu ... eh, kak, sayalah tu. Berat nak baca ke buku ni?"

"Sederhana. Tapi kalau hendak seribu daya ... kan?"

"Betul, betul, betul ... " katanya memimik Upin dan Ipin.

"Yang ni pulak buku apa?" Buku Berdua Lebih Baik diletak ke atas riba. Kini dia memegang buku Cinta Tiga Rasa.

"Ooo buku ni, pasal peranan wanita sebagai isteri, ibu dan hamba Allah. Tapi bahasanya santai. Ringan je, gaya bercerita," terang saya.

"Eh, semuanya macam best jek. Macam mana ni kak? Yang mana satu saya nak beli?"

"Beli semualah."

"Mana boleh, kak. Alaf 21 saya tak pergi lagi ni. Bawak duit ciput je."

"Macam nilah. Buku Hai, Darling! Definitely awak suka. Beli je. Satu lagi ambil Berdua Lebih Baik. Amalkan apa yang diajar. Lepas tu, bila dah bertemu jodoh, baru beli Cinta Tiga Rasa. Sebab dia kisah selepas berumah tangga. Okey ke gitu?"

"Oh, okey sangat."

Saya terasa geli hati. Macam-macam perangai dan gelagat pengunjung boleh disaksikan di Pesta Buku.
Akhirnya dia meletak kembali buku Cinta Tiga Rasa ke atas rak dengan hati yang berat.

Tiga coretan ini cuma sebahagian coretan yang variasi di Pesta Buku. Amat meriah. Memenatkan, tapi kami gembira.

Tuesday, January 3, 2012

CUTI YANG LINTANG-PUKANG

Cuti tiga hari saya minggu lepas untuk urus keperluan sekolah anak yang akan melangkah naik tahun satu menjadi lintang-pukang. Banyak kerja remeh yang perlu dilunaskan.

Sebelum bertolak ke Bangkok 11 hari lepas, suami saya telah siap membeli pakaian seragam sekolah anak.

Apabila dicuba seluar sekolah, pinggangnya ketat. Maka cuti saya itu, bergegaslah saya ke Jusco Klang untuk menukar seluar tersebut. Telah menjadi kebiasaan suami saya suka membeli-belah di Klang, tempat yang saya kurang biasa!

Seluar telah selamat ditukar. Tapi labuhlah pula. Kerja tambahan terpaksa saya lakukan untuk memendekkannya.

Selesai memendekkan seluar, saya mencubakan kaki anak ke kasut sekolah yang dibeli ayahnya. Ya Allah, ketat juga. Kemudian baru terfikir kebodohan saya yang tidak mencuba semuanya sebelum pergi menukar seluar semalamnya. Tidaklah membazir waktu. Maka berulanglah saya ke Jusco Bukit Raja untuk menukar kasut pula.

Kali ini saya tempuh Lebuh Raya Persekutuan untuk ke sana. Saja nak cuba. Sebenarnya saya ingat-ingat lupa jalan ini untuk ke Klang. Selalunya saya mengambil NKVE.

Untuk kasut jenis itu, saiz yang hendak ditukar habis stok pula. Maka terpaksa tukar saiz yang agak besar dan menambah beli kasut sekolah jenis lain untuk saiz yang diperlukan.

Hala balik, entah macam mana tersalah ambil jalan. Sampai ke Shah Alam. Oh, itulah dia, mencuba jalan tak biasa. Penat sungguh.

Jumaat, hari orientasi sekolah anak. Maka berpagi-pagianlah saya dan anak ke sekolah berkenaan. Sudah ada beberapa orang ibu bapa di kantin sekolah menunggu untuk mendengar taklimat daripada guru.

Makin lama makin ramai ibu bapa tiba bersama anak masing-masing. Ada yang bawa nenek sekali.

Borang dan buku rekod kesihatan perlu diisi oleh ibu bapa. Kasihan melihat seorang warga Indonesia yang tidak tahu mengisinya. Tertinggal pula sijil kelahiran anaknya. Maka bergegas pula dia pulang untuk mengambilnya. Agakan saya, dia tidak bersekolah tinggi. Maka untuk mengisi dokumen sedemikian menjadi kesukaran baginya. Mujur ada yang membantu.

Ada pula seorang warga Indonesia wanita bersama anak perempuannya. Saya ternampak pada borang yang diisi. Suaminya buruh binaan. Pendapatan melebihi RM2,000 sebulan.

Saya mengeluarkan kamera untuk mengambil gambar anak yang sedang beratur.






Ketika murid-murid ini beratur untuk dibawa melawat sekitar sekolah oleh guru, wanita Indonesa itu mengeluarkan tablet untuk mengambil anaknya. Agaknya tercabar apabila melihat saya memegang kamera.

"Amboi! Bukan main lagi minah Indon ni. Siap ada tablet lagi." Itu reaksi spontan saya. Saya amati tablet yang dipegangnya. Tiada jenama. "Entah brand apa la tabletnya tu," saya bermonolog. Produk tersebut nampak tidak kompak dan tidak solid. Rekaannya pun agak melucukan. Saya kira mungkin buatan China seperti yang saya lihat dalam katalog Court's. Ada yang harganya tidak sampai RM300.00.

Untuk mengambil gambar, saya lebih suka menggunakan kamera kerana boleh dilaras mengikut keadaan. Hasil pengalaman menggunakan Galaxy Tab ketika konvokesyen tadika anak, tidak memuaskan hati. Maka saya tidak lagi menggunakannya untuk situasi penting. Lebih baik menggunakan kamera yang sentiasa ada di dalam beg.

Malamnya, saya berkejar pula ke kedai Jasema di TTDI untuk membuat fotokopi dokumen yang diminta pihak sekolah yang perlu dibawa pada hari persekolahan nanti (Rabu). Dalam perjalanan Ammar mengadu pening dan sakit perut.

"Sakit perutlah Mak, pening rasa nak muntah," adunya. Selesai memakirkan kereta di depan Jasema, saya mengambil beg plastik dan berhamburanlah muntahnya di dalam plastik itu.

Aduh, apa pula masalahnya? Janganlah sakit dalam waktu sebegini.

Sepanjang malam dia berulang-alik ke tandas untuk muntah dan cirit-birit, mengundang risau saya. Saya menjadi panik kerana esoknya keadaannya bertambah teruk, lesu tak bermaya. Sudahlah hanya kami dua beranak saja di rumah, ayahnya pula tiada.

Tanpa lengah saya membawanya ke Pusrawi berdekatan.

"Salah makan ke?" tanya Dr Hishamuddin yang biasa merawat Ammar Hadi.

"Entahlah, tak pasti. Saya pun makan makanan yang sama, tapi tak kena pun."

"Hmmm ... mungkin bekas makanan kot contaminated atau dia tak basuh tangan betul-betul," kata doktor membuat kesimpulan.

"Mungkinlah kot tangan tak bersih," kata saya. Selalu sangat saya perlu meninggi suara mengingatkannya supaya membasuh tangan betul-betul apabila hendak makan dan keluar tandas.

Kerana dehidrasi, Ammar nampak cengkung dan kurus. Empat hari terbaring lesu. Yang menguji sabar, ubat yang doktor preskripsikan tidak mahu dimakannya.

Hari ini saya bekerja dan Ammar saya tinggalkan bersama Atok dan kakak-kakak sepupunya. Namun, hari ini alhamdulillah dia nampak beransur sihat. Saya lega kerana esok sesi persekolahan akan bermula. Mudah-mudahan hari baru di tahun baru, di sekolah yang baru, muntah dan cirit-biritnya sembuh sepenuhnya. Amin.