Showing posts with label Pelbagai Majlis. Show all posts
Showing posts with label Pelbagai Majlis. Show all posts

Wednesday, July 17, 2013

TEPUNG PELITA

Kuih ini boleh dikatakan muncul setahun sekali pada bulan Ramadhan.

Kenapa dinamakan tepung pelita pun saya tak pasti. Yang pasti juadah ini menjadi favourite ramai orang pada bulan puasa termasuklah saya dan anak. Wajib beli dua tiga kali sepanjang Ramadhan.

Bagaimanapun, tahun ini agak sukar mencari tepung pelita yang benar-benar asli. Tahun ini belumlah lagi saya bertemu dengan tepung pelita asli. Maksud saya, lapisan bawah yang hijau itu menggunakan pewarna asli daun pandan dan aromanya mengujakan.

Maka setelah dua kali membelinya, saya sudah malas untuk membeli lagi kerana saya agak anti dengan pewarna tiruan. Orang sekarang semuanya hendak mudah, tidak suka bersusah payah dan mahu segalanya pantas siap.

Bak kata Chef Adu di dalam bukunya  'IKAN DI LAUT ASAM DI DARAT' terbitan Galeri Ilmu:

"... Bumi Allah ini penuh dengan warna asli. Memang agak remeh sedikit, tetapi bagi saya untuk meraih sesuatu yang istimewa kita perlulah bekerja dengan lebih kuat sedikit. Tiada jalan pintas untuk mengejar sesuatu yang istimewa. Memang senang sekadar membuka botol pewarna hijau daripada memotong, mengisar lumat dan memerah daun pandan untuk mendapatkan warna hijaunya. Cara mana pun tidak salah, pisau dan mentimun di tangan sendiri. Jadi, pandai-pandailah mengukirnya."

Mungkin jika berhajat dengan tepung pelita lagi saya perlu bertanya penjual dahulu, bahagian bawah guna pandan atau pewarna?

Sampan tepung pelita yang menggunakan lidi juga sudah pupus ditelan zaman kira-kira lebih dua dekad lalu. 
Lidi digantikan dengan dawai kokot untuk kemasan sampan tepung pelita. 

Tuesday, November 20, 2012

MEMANDU KE PERLIS

Hujung minggu lalu saya ke Perlis. Itulah pemanduan terjauh saya sejak berbelas tahun dahulu. Kali terakhir memandu jauh sewaktu pulang ke Kelantan. Waktu itu saya belum berkahwin.

Kali ini memandu jauh ke Perlis untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara di sana. Dalam usia yang sudah masuk '40 karat' ni terasa sangat cepat letih. Itu pun bergilir memandu dengan adik.

Dari segi jalannya, tidaklah mencabar sebagaimana memandu balik ke Kelantan kerana ada lebuh raya. R&R pula ada di sepanjang jalan. Jika memandu ke Kelantan, saya angkat tangan surrender awal-awal lagi, takkan memandu balik.

Bagaimanapun dek kerana musim hujan dan hujannya juga lebat, terasa juga tercabar memandu ke utara tanah air. Apabila hujan mencurah turun dengan lebat, berserahlah kepada Tuhan agar perjalanan selamat. Hendaknya pula apabila sudah malam. Mata pun semakinlah kurang nampak.

Lega sungguh sebaik tiba di hotel di Kangar. Enak sungguh menikmati bekalan yang Emak sediakan. Dan tidak sangka pula rupa-rupanya ramai juga saudara-mara yang turut menginap di hotel yang sama untuk menghadiri majlis perkahwinan berkenaan keesokan hari.

Sudah lama saya tidak ke Perlis. Agak saya sudah 10 tahun. Itu pun kerana mengikut rombongan kahwin abang yang berkahwin dengan empat pupu, (waris sebelah Perlis). Selepas itu saya tidak pernah ke utara lagi hinggalah hujung minggu lalu.

Esoknya, kami ke majlis kahwin itu di Kampung Santan. Oh, sungguh enak masakannya terutama gulai lemak ikan kering ... memang berbaloi memandu jauh!

Sayangnya tidak banyak gambar dirakam kerana tidak bersedia dengan kamera.

Ini saja foto yang terakam bersama anak saudara. Puas hati makanan ala kampung yang sungguh sedap.

Datang ke Perlis tergesa-gesa. Pakaian pun tidak ada spare, sekadar cukup-cukup untuk hadir kenduri dan terus pulang ke KL.

Teringin benar merakam gambar berlatarbelakangkan sawah padi, apa boleh buat hujan!