Monday, December 23, 2013

CHECK UP TAHUNAN

Janji temu tahun-tahun sudah.
Ketika anak saya berusia lebih setahun, dia diserang penyakit Kawasaki. Sejak itu dia perlu membuat pemeriksaan tahunan (berjadual) untuk memantau jantung.

Esok janji temu dengan doktor di PPUM untuk ECHO (echocardiogram).
Minggu berikutnya janji temu dengan doktor kanak-kanak pula.
 
Lazimnya untuk janji temu ini mengambil masa separuh hari kerana perlu menunggu giliran.

Maka setiap kali untuk dua janji temu ini saya perlu mengambil cuti.

Ini pula janji temu untuk ECHO esok dan doktor kanak-kanak minggu depan.
Tahun lalu saya meminta janji temu dilakukan pada musim cuti sekolah. Maka pihak hospital menganjakkan dua bulan ke Disember. Jika tidak, Ammar perlu ponteng sekolah untuk tujuan tersebut.

Saya tidak mahu dia ketinggalan pelajaran, walaupun diberi surat pelepasan oleh doktor untuk pihak sekolah,




Mudah-mudahan Ammar sihat. Dan mudah-mudahan parking kereta pun mudahlah juga dapat esok! Aaameen.

Friday, December 20, 2013

LESU!

BANYAKNYA galei buku yang nak diprufkan.
Mata sudah strainful.
Esok mahu final, hari ini baru diserahkan untuk approval.
Sungguh impossible.
Untuk approve, setidak-tidaknya kena baca sekali lalu.
Sekali lalu itu ertinya tidaklah boleh dilakukan dalam tempoh sehari dua.
Apatah lagi buku berketebalan 200 halaman dan ke atas.

Selerak sana sini.
Buku itu, buku ini.
Perlu dilunaskan serentak.
Itu biasa!
Apa boleh buat, dah namanya kerja.

Fokus, perlu fokus.
Maka itu, saya tidak suka diganggu tatkala proofreading!


Cermin mata saya 1, 2, 3.
Sentiasa ada spare!
Untuk tujuan itu dan ini.

Mata saya bukan bionik.
Semakin tua serentak dengan usia.
Mata yang membaca pruf, perlu bergerak seiring dengan otak.
Otak yang merakam dalam memori supaya tidak perlu banyak merujuk kamus dan kitab tatabahasa.
Otak dan mata perlu bekerjasama.



Editor-editor saya perlu melatih mata dan otak mereka segera, kerana saya ini bukan muda lagi.
Saya tidak selamanya di sini untuk membantu.
Anda masih muda.
Waktu muda inilah otak masih cergas, mata masih cerah.

Huruf besar atau huruf kecil?
Ada sempang atau tidak?
Perlu sendeng atau tidak?
Jarak atau rapat?
Satu atau dua perkataan?
Ia perkara asas, perlu terus rakam dalam memori.

Mesti usaha gigih, mesti usaha keras.
Insya-Allah, anda semua mampu asalkan mahu berusaha lebih, serius dan fokus pada kerja.


Pulang ke rumah ... saya lesu selesunya!
Tanda usia semakin banyak.
Ajal pula semakin hampir.

Allahu Akbar! 

Thursday, December 19, 2013

APABILA TIBA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN DIUMUMKAN

Hari ini keputusan PMR 2013 diumumkan. Bagi anak-anak dan ibu bapa yang terlibat. pasti berdebar-debar.

Saya teringat suatu ketika dulu seorang ustaz berpesan, "Kita jangan sibuk dok tanya keputusan periksa anak orang, anak engkau dapat berapa, anak awak dapat berapa ..."

Tapi itulah yang berlaku. Kita sibuk bertanya keputusan peperiksaan anak orang.

Pesan ustaz itu lagi, kalau anak kita dapat keputusan cemerlang, tidak perlulah kita heboh umum sana sini. Umum di laman sosial sana sini.

Kata ustaz ini, keadaan seperti ini jelas diterangkan oleh Imam Ghazali tentang riyak dan aib. Akan timbul riyak. Riyak di hati ibu bapa kerana bangga dengan kecemerlangan anaknya. Seolah-olah anaknyalah yang paling bijak, paling pandai. Malah anak itu sendiri akan jadi riyak dan ujub. Ini juga akan menyebabkan ibu bapa dan anak yang kurang cemerlang keputusannya berasa rendah diri dan malu melihat kejayaan orang lain.

Kita yang tiada anak-anak yang menduduki peperiksaan pula tidak usahlah sibuk bertanya keputusan anak-anak orang lain. Hentikan tabiat ini. Kata ustaz itu, ini juga dijelaskan oleh Imam Ghazali. Takut-takut keputusan anak itu tidak bagus, bukankah ia aib orang yang tak sepatutnya kita ambil tahu. Ibu bapanya juga tentu berasa malu untuk menceritakannya kepada orang lain. Pasti mereka tidak mahu orang tahu.

Bagi saya, ia amat benar sekali. Untuk umumkan kecemerlangan, biarlah ia diserahkan kepada pihak sekolah dan guru-guru yang mengajar sahaja.Mereka lebih berhak. Jika anak kita dapat keputusan cemerlang, panjatkan kesyukuran kepada Allah. Tidak perlu heboh dan umum sana sini. Raikan bersama ahli keluarga terdekat saja.

Teringat kepada seorang jiran, jiran-jiran sekeliling dan kawan-kawannya tidak tahu anak-anaknya semua cemerlang dalam peperiksaan. Mereka diamkan saja tidak bangga sana sini. Orang cuma mengetahuinya daripada pihak sekolah.

Renung-renungkan!

Tuesday, December 10, 2013

CERITA BERSUNAT!

ALHAMDULILLAH, Ahad lalu (8/12/13) anak saya selamat berkhatan pada usia lapan tahun. Hari sebelumnya kami sekeluarga melakukan solat hajat untuknya agar Allah beri semangat dan keberanian. Atoknya pula siap buat pulut kuning lagi.

"Puas hati buat pulut kuning untuk Ammar, sepinggan penuh dia makan," komen emak saya.

Esoknya, janji temu dengan doktor jam sembilan pagi di Pusrawi berhampiran dengan rumah. Jam 8.50 pagi kami sudah sampai. Masih lengang tidak ada pesakit lain. Kami orang pertama tiba.

Seperti biasa anak saya ini tidak reti duduk diam, ke sana ke mari. Dan memang tidak takut pun untuk 'anu'nya disunatkan.

Apabila dipanggil ke bilik doktor, kami terus masuk.

"Hahh, baring sini," kata doktor. "Hari ini kita main game sikit. Game ni ada empat level. Mula-mula level pertama awak kira satu hingga enam puluh. Faham?"

Anak saya mengangguk, tersengih-sengih (pantang dengar orang sebut 'game'... suka!).

"Level kedua, saya sapu ubat, level ketiga kita pasang 'kunci'," kata doktor sambil menghulurkan 'clamp' kepada anak saya untuk dibelek-belek.

"Level keempat, boleh balik. Faham?"

"Faham," jawab Ammar, masih tersengih-sengih.

"Cuba ulang. Level pertama apa?"

"Kira sampai enam puluh."

"Level dua?"

"Letak ubat."

"Level tiga?"

"Pasang kunci."

"Level empat?"

"Balik."

"Bagus. Dah baca Fatihah?"

Ammar menggeleng.

"Hah, baca sekarang. Lepas tu. Kita mula level pertama."

"Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillah ........... aaameeeen."

"Okey, kira sekarang ... . "

"Satu, dua, tiga ...."

"Adoiiii .... sakit, sakitttttttt... waaaaa...waaaa...."

Saya dan suami tergelak!

"Kira, kira, kan saya suruh kira sampai enam puluh, tu baru sampai tiga," kata doktor.

"Adoiii ... sakit ... sakit ... mak ... sakit ... " makin kuat tangisnya.

"Bang, tolong pegang tangan dia," kata doktor kepada suami saya. Saya pula di kepala Ammar, memujuk dan mengajak kira sama-sama. Pembantu doktor pula memegang kaki.

"Huih, kuat betul budak ni," komen doktor. "Kira, sambung kira ... "

Akhirnya Ammar berjaya disuntik sepenuhnya. Tapi jarum di picagari telah menjadi bengkok membentuk huruf 'V', akibat meronta.

"Haah, dah tak sakit kan? Cuba picit, tengok ni saya picit ... rasa tak? Cuba picit sendiri," kata doktor.

Ammar menghulur tangan dan memicit 'anu'nya.

"Picit kuat-kuat, kuat lagi, tak apa ..." doktor memberi semangat. "Rasa apa-apa?"

"Tak ..." jawabnya, sambil menyeka air mata.

Mendengar taklimat 'level game' daripada doktor sambil membelek-belek 'kunci'.
"Okey, sekarang level dua. Saya sapu ubat." "Ambil clamp," arah doktor kepada pembantunya.

"Sekarang level tiga. Level tiga apa?"

"Pasang kunci," jawab Ammar. Perlahan saja nadanya.

"Sekarang dah level empat. Level empat apa?"

"Balik." Kain pelekat disarung.

"Fuhh, letih saya. Habis akak ni awak tendang ya," kata doktor. Memang pembantunya terkena tendangan Ammar.

"Eleh, sekejap je sakit. Sekarang sakit tak?" saya menyoal.

"Tak."

"Mak dah kata dah, sakit kejap je. Kena sabarlah sikit," tambah saya.


Dah selesai pun, menunggu bekal ubat!
"Esok dah boleh pakai seluar, tapi jangan lari sana lari sini, lompat sana sini. Ahad depan datang balik kita buka kunci," pesan doktor.

"Semua macam ni ke?" suami saya menyoal doktor.

"Biasalah. Ada yang okey, ada yang tak berapa okey. Tapi yang mula-mula tu kalau menangis tu biasa. Bila dah rasa bius senang saja," jawab doktor.

"Kena pantang macam orang dulu-dulu ke doktor?" Khuatir juga saya apabila mendengar macam-macam cerita daripada macam-macam orang.

"Boleh makan apa saja, ayam, daging, telur."

"Udang, sotong ... kena tunggu dulu kot, takut gatal?" suami saya minta penjelasan.

"Ya, seafood, tunggu dululah, tapi ikan boleh."

"Terima kasih, doktor," ujar suami saya sambil berjabat tangan dengan doktor.

Ya terima kasih Dr. Hishamuddin. Memang tangkas menyunatkan kanak-kanak. Dalam perkiraan saya, operasi keseluruhan lebih kurang 10 minit saja, segalanya selesai.  Mudahnya berkhatan zaman ini. Alhamdulillah. Dengan dibekalkan ubat tahan sakit dan antibiotik, kami pun pulang.

Dr. Hishamuddin telah merawat anak saya ini sejak bayi lagi. Lapan tahun berlalu, uban sudah mula memenuhi kepalanya. Entah sudah berapa 'anu' berjaya dikhatannya.

Petangnya di rumah Emak, saya mengorek lubang di bawah pokok pisang untuk menanam 'kulup' si Ammar.

Selesai sudah satu fasa penting dalam kehidupan seorang anak lelaki Islam yang wajib dilunaskan.


Tuesday, November 26, 2013

RX-WATER PILIHAN SAYA!

Alhamdulillah, di pejabat sudah ada dispenser air Coway. Tidak lagi kami minum air RO yang perlu diangkut tong-tongnya. Tong-tongnya pula disusun di tangga pejabat hingga menyemakkan pemandangan dan agak menjejaskan imej syarikat.

Air dari dispenser ini tentunya lebih baik berbanding air RO yang selama ini kami teguk. Bagaimanapun, setelah bertahun-tahun minum air dari penapis RX-Water, nyata air dari penapis Coway belum dapat menandingi rasa air dari penapis RX-Water keluaran Dato' Dr. Nordin Darus.

Saya bukan mahu berkempen bagi pihak RX-Water, tetapi terbukti rasanya cukup sedap. Manisnya lain dan ia jauh lebih lembut! Justeru, saya sering membawa bekal air RX ke mana-mana. Maka tidak hairan kalau harga penapis air RX agak mahal berbanding penapis lain kerana kualiti air yang terhasil memang tinggi dan ia dihasilkan untuk tujuan kesihatan.

Kerap kali apabila berjalan-jalan di kompleks membeli-belah, promoter penapis dari pelbagai jenama termasuk Coway cuba menawarkan penapis mereka. Saya menjawab, "Terima kasih. Saya tak mahu, di rumah sudah ada RX-Water." Mendengar saja jenama RX-Water, mereka tidak lagi cuba memujuk.

Pada suatu ketika di Giant Kelana Jaya, saya dihadang daripada berjalan oleh promoter Coway (pemuda Melayu), "Kak, hari ni kita bagi harga promosi ... ."

"Tak apa dik, terima kasih ya. Kat rumah dah RX-Water."

"Ooo! Kak, sebenarnya air Dr Nordin tu memang yang terbaik. Akak jangan tukar jenama lain ... ."

Dalam hati saya, 'Biar benar budak ni, orang Coway tapi menyokong jenama lain.'

Apa pun, RX-Water dengan motonya "Terapi Penyembuhan Melalui Air" nyata keluaran Muslim bumiputera. Saya amat bangga dengan Dr. Nordin Darus. Dan bagi saya, biar apa pun jenama penapis air, ia wajib ada di setiap rumah melainkan di rumah kita ada perigi yang airnya sesuci air zamzam!

Thursday, November 7, 2013

RM30.00 JADI RM50.00

Suatu pagi di sebuah Shell Kelana Jaya:

"Pam lima, tiga puluh ringgit," ujar seorang wanita berbaju kurung batik kuning melalui tetingkap kecil kepada juruwang India.

"Pam lima, ya," kata juruwang itu.

"Ya, tiga puluh ringgit," kata wanita itu sambil mengangkat jari tiga batang sebagai tanda RM30.00.

Baki RM20.00 di hulurkan bersama resitnya.

Lalu wanita berbaju kurung batik itu berlalu ke pam No.5 untuk mengisi petrol keretanya.

Penutup tangki dibuka.Muncung pam diangkat lalu dimasukkan ke lubang tangki kereta. Sambil menunggu petrol siap diisi, matanya memandang persekitaran stesen petrol itu. Ini pertama kali dia singgah di stesen Shell tersebut.

Kedengaran 'klik' tanda petrol selesai diisi. Pantas tangannya mengambil tudung tangki dan memutarkannya kemas di bukaan tangki.
Ketika hendak meletakkan kembali muncung pam ke tempat asal. Matanya melirik ke meter pam.

Terpaku sejenak. Matanya terkebil-kebil memandang meter. "Betul ke ni?" dia bercakap sendiri. Matanya dirapatkan lagi ke meter pam. "Haisy!"

Langkah diatur pantas menuju semula ke juruwang.

"Tadi saya minta tiga puluh ringgitkan?" soalnya.

"Ya la. Tadi saya sudah pulangkan dua puluh ringgit," jawab juruwang India itu terpinga-pinga. Barangkali dia menyangka baki wang belum dipulangkan.

"Betul. Saya mahu isi tiga puluh ringgit. Kenapa sekarang sudah masuk lima puluh ringgit dalam tank saya?"

Dia memberi senyum kelat dengan sedikit panik. Tangannya memetik-metik skrin komputer untuk menyemak semula urusniaga. "Betullah, saya sudah 'terbuat' lima puluh ringgit."

"Habis, saya kena tambah dua puluh ringgit lagilah ni?"

Dia mengangguk tanpa rasa bersalah dan langsung tidak memohon maaf.

Lalu wanita itu menghulurkan kembali baki dua puluh ringgit tadi. Malas bertengkar. Namun dalam hati ada rasa tidak puas hati.

Apa pun, sekurang-kurangnya dia jujur memberitahu kesalahan juruwang itu. Dia tidak mahu mengambil petrol berharga RM20.00 secara percuma. Barangkali bagi orang lain, tentu gembira dapat petrol percuma dan berlalu dari situ secara diam-diam. Apatah lagi petrol sekarang bukannya murah. Dan mujur juga tangki tidak melimpah kerana terlalu penuh.

"Dah angkat tiga jari pun boleh buat perangai lagu ni. Mujur aku bawa duit lebih sikit hari," gerutu wanita itu.
"First and last, aku datang sini. Tak boleh harap," ikrarnya dan berlalu pergi.

p/s: Watak utama itu adalah SAYA!


Wednesday, October 30, 2013

HURUF 'B' YANG HILANG

SAYA tidak pasti berapa ramai yang perasan orang menyebut 'sembilan' menjadi 'semilan'. 'Sembahyang' menjadi 'semayang'. Ikan 'sembilang' menjadi ikan 'semilang'.

Agaknya huruf 'b' hilang kerana perkataan seumpama itu lebih mudah disebut tanpa menyebutkan huruf 'b'. Saya juga begitu.

Demikian juga kalau mendengar pengacara atau pembaca berita di media elektronik. Mereka juga tidak menyebutnya dengan betul.

Bagaimanapun, saya tabik spring kepada Zakiah Anas, beliau satu-satunya pengacara mahupun pembaca berita yang menyebut 'sembilan' dengan tepat dan amat jelas. Paling ketara apabila suatu ketika dulu beliau mengendalikan rancangan '999'. Tahniah untuk Zakiah Anas (senior Mass Comm ITM saya beberapa tahun).

Friday, October 25, 2013

JANGAN UNGKIT, JANGAN BERKIRA

"Dulu kedai akak depan Shell sana," kata Kak Nita sambil memuncungkan bibirnya ke suatu arah, menunjukkan arah kedai lamanya. Dia membahasakan dirinya 'akak' walhal saya tahu dia lebih muda daripada saya.

Ramah orangnya. Pendek kata, penduduk di Beserah yang kami temui di sepanjang jalan semuanya ramah dan mesra. Kerana bersempadan dengan Terengganu, dialek mereka lebih kepada Terengganu dan Kelantan.

Kami bercuti di Beserah sempena cuti umum Hari Malaysia, 16 September lalu. Hari terakhir, singgah-singgah di kedai-kedai tepi jalan membeli keropok lekor dan satar. Ternyata satar di kedai Kak Nitalah yang paling sedap berbanding satar yang kami beli di kedai lain.

"Kalau bagitau awal, bolehlah akak siapkan dulu," jelas Kak Nita. sewaktu kami menunggu satar RM30 siap dibungkus dan dibakar. Kami menyengih melayan Kak Nita. Dalam sibuk melayan pelanggan yang ramai dia masih ramah melayan kami.
Kak Nita sibuk merapi barang jualan di hadapan kedai.  (Sudut gambar kurang menarik kerana saya malas hendak bangun dari bangku yang berdepan dengan kipas. Cuaca cukup panas).

Pelanggan memang tidak putus berkunjung ke kedainya.

Apabila pelanggan reda, dia menyambung cerita.

"Kedai lama dulu sewa beli. Lebih kurang lapan ribu akak habiskan untuk ubah suai kedai, sudahlah kemudahan air dan api tak ada, semua kena buat sendiri. Bila tengok perniagaan akak maju, alih-alih tuan punya kata dia nak ambil semula kedai, nak duduk sendiri.

Pelanggan memborong di kedai Kak Nita. 
 "Terkedu akak. Kat mana akak nak duduk? Barang-barang kedai nak letak di mana? Tempoh pindah sudahlah pendek."

Ada kisah menarik rupanya di sebalik kedai Kak Nita ini. Saya mendengar penuh minat.

"Kos ubah suai lapan ribu ringgit, hangus macam tu aje. Yalah, mana ada hitam putih pun. Atas dasar percaya," ceritanya.

Ada di kalangan pelanggan tetap Kak Nita merupakan peguam. Dia menyarankan kes Kak Nita yang dianiayai begitu diselesaikan melalui proses undang-undang.

"Tapi tak apalah. Akak tak nak gaduh-gaduh. Dah tak ada rezeki akak di situ. Akak tak nak ungkit-ungkit, tak nak terlalu berkira dengan hidup ni."

Nak dijadikan cerita, tidak lama selepas itu, datang seorang tuan haji. Tuan haji ini memiliki banyak tanah dan rumah serta rumah kedai di sepanjang jalan itu. Tuan haji ini dikenali juga dengan sifat yang sangat payah untuk membenarkan premis dan tanahnya diduduki orang mahupun disewa.

Anehnya dalam kes Kak Nita, tuan haji ini dengan rela hati menawarkan satu kedai yang tidak jauh dari kedai lama Kak Nita.

"Alhamdulillah. Malam itu juga akak dan suami pindahkan barang-barang. Kedai baru ini jauh lebih baik. Api, air semua ada. Kalau kedai dulu, api air tak ada. Semua kita kena usahakan sendiri. Tapi kedai sekarang ni, jauh lebih baik, lebih luas. Sewa pun tidak semahal kedai lama," cerita Kak Nita.

Satar Kak Nita memang sedap.
Saya membuat kesimpulan, andainya kita tidak terlalu berkira, sabar dan redha, insya-Allah rezeki dan bantuan daripada Allah datang dengan tidak disangka-sangka. Keredhaan Kak Nita menerima takdir hangus lapan ribu ringgit, Allah gantikan dengan yang lebih baik lagi.

"Akak syukur sangat. Pelanggan-pelanggan lama semua dah datang. Malah rezeki akak di sini lebih banyak lagi. Pelanggan datang tak putus-putus."

Memang benar, sewaktu kami menungga pekerja Kak Nita siap membungkus dan membakar satar, pelanggan sentiasa datang. Sesekali ada yang datang dalam kumpulan. Sibuklah Kak Nita melayan mereka.

Jika anda ke Beserah, jangan terlepas membeli satar KakNita. Resipinya dibuat sendiri. Dalam banyak-banyak kedai menjual satar di sekitar jalan itu, kami rasa satar Kak Nitalah yang paling sedap.

Thursday, October 3, 2013

KE MANA HILANGNYA EMBUN? SAYA RINDU YANG DAHULU

Letih mata, stres, rimas, lesu dan lemas. Itulah perasaan yang berkumpul dalam diri saya hampir setiap hari tiga kali sehari apabila ulang alik ke pejabat (hantar dan ambil anak di sekolah) kerana hampir sepanjang jalan perlu melalui pelbagai jenis pembinaan mega di kiri kanan jalan. Jalan yang sedia sesak bertambah sesak dan bertambah buruk jika ada polis trafik atau JPJ melakukan operasi mereka.


Jengkaut, jentolak, kren, gerudi gergasi dan segala macam jentera berwarna kuning besar lagi raksasa, rakus bekerja. Sakit mata melihatnya. Bagi seorang yang menghargai masa, saya berasa cukup stres jika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Lewat tiba di pejabat amat menyeksakan kerana banyak kerja yang tak luak perlu dilunaskan.

Di pejabat pula, apabila memandang ke luar tingkap di kanan meja saya, terus dapat dilihat lebuh raya dan projek pembinaan yang sedang rancak berjalan. Bunyi jentera yang digunakan juga menembusi dinding dan tingkap. Terkadang, terasa meja bergegar barangkali disebabkan kerja menggerudi atau menanam tiang.

Panorama di luar tingkap pejabat. Di kejauhan dapat dilihat jentera berceracak  di tapak pembinaan di seberang lebuh raya.
Alasan pembangunan untuk kesenangan masa depan  amat payah untuk saya hadam. Saya rindukan kehijauan, pepohonan merimbun, saya rindukan embun pagi yang sudah pupus ditelan urbanisasi. Saya sayang alam semula jadi yang Tuhan ciptakan.

Menyentuh soal embun, anak saya baru-baru ini bertanya, "Mak, embun itu apa?"
Allah, sukar untuk saya terangkan padanya. Zaman saya kanak-kanak dulu, embun masih wujud di waktu pagi. Barangkali untuk kanak-kanak zaman ini mengenali embun, kita perlu membawanya masuk hutan atau masuk ke hulu kampung.

Akhirnya, khidmat Google Images terpaksa digunakan. Di celah-celah imej itu terselit juga gambar minuman 'Mountain Dew' ... alahai! Inilah 'embun' yang dikenali generasi hari ini!

Malang sungguh anak-anak kita, banyak keindahan alam ciptaan Tuhan hanya dapat dikenali melalui gambar-gambar kaku.

Sungguh! Saya rindu damai alam yang dahulu! Udaranya nyaman, suasananya harmoni bak embun suci yang berkilau di hening pagi.
                                                  

Tuesday, October 1, 2013

UNTUK RENUNGAN BERSAMA: MENGHASILKAN KARYA BERKUALITI



Di Galeri Ilmu, kami menerima banyak manuskrip dan proposal dalam tiga kategori utama iaitu pengetahuan Islam (agama), motivasi dan kreatif. Editor perolehan motivasi kadangkala menerima juga penulisan karya umum/panduan (setakat ini buku resipi).

Baik kategori motivasi mahupun kreatif, penulisan hendaklah berasaskan ajaran Islam. Ertinya, bukan sahaja teks yang perlu diteliti, tetapi juga ilustrasi atau foto yang dimuatkan mestilah patuh syariat (shariah compliant) khasnya dari segi penjagaan aurat. Malah dari segi pegangan akidah pula, tulisan hendaklah berpegang kepada Ahlusunnah wal Jamaah. Penerbit seperti Galeri Ilmu tiada kompromi dalam hal ini.

Bagaimanapun, kebanyakan proposal ataupun manuskrip yang telah lengkap ditulis, akan ditolak oleh editor kerana tulisannya bersifat ‘syok sendiri’. Hambar, pengisian yang tidak mantap, penguasaan bahasa yang lemah dan nilai tarbiah yang lemah.

Meminjam moto penulis skrip mantan majistret, Zabidi Mohamed, ‘Show, don’t tell’. Inilah yang lompong dalam kebanyakan manuskrip yang kami terima. Kebanyakannya ‘berleter’, ‘bercakap, bercakap dan bercakap’ tanpa ada unsur ‘mengajak’ serta tanpa ‘ditunjukkan’ caranya untuk seseorang mengamalkan ajaran yang baik.

Suka saya pesan dan nasihat di sini, jika anda mahu menghantar manuskrip motivasi, pastikan ia padat dengan TIP/PANDUAN dan disulami CERITA/KISAH teladan yang berkaitan. Juga elok dimuatkan kisah study case. Inilah yang mudah dicerna pembaca. Untuk menarik perhatian pembaca, tiga perenggan pertama mestilah ‘catchy’ dan tidak membosankan.

Ketika meneliti tulisan semasa bacaan pruf, nama orang/tokoh mahupun nama tempat juga perlu diteliti. Jika tidak pasti ejaan tepat, rayaulah di Internet. ‘Google’lah, semuanya ada di hujung jari dan di hadapan mata. Jika tidak pasti akan tatabahasa Melayu, telefon dan rujuklah Dewan Bahasa untuk khidmat runding bahasa. Mereka sentiasa bersedia dan memberi khidmat mesra dan percuma.

Sebelum menghantar karya kepada editor/penerbit. Terlebih dahulu lakukan ‘self-editing’. Buat semakan sendiri. Periksa ejaan, tatabahasa, ‘flow’/aliran keterbacaan, jika masih tersangkut dan kurang sedap, baikilah ia. Akhir sekali serahkan dulu karya anda itu kepada beberapa teman, rakan, kawan untuk atau sesiapa untuk membacanya. Pilihlah orang yang pandai menilai karya. Dia bukan sahaja boleh menilai tetapi boleh menganalisis dengan baik. Terimalah komennya dengan lapang dada dan fikiran terbuka.
 
Ini sekali gus meringankan kerja editor kerana seorang editor mempunyai banyak manuskrip orang lain untuk dinilai, bukan karya anda seorang!

Bagi penulis novel pula, suka saya ingatkan, akhirilah setiap bab dengan unsur debar ‘cliffhanger’Teknik inilah yang akan mengikat pembaca dari awal hingga akhir. 

Selain itu, kurangkan penggunaan ayat bahasa Inggeris (lazimnya dalam dialog). Lebih elok lagi jika tidak menggunakan langsung. Jika anda bukan pakar bahasa Inggeris, jangan cuba-cuba menulis dalam bahasa Inggeris. Jika anda fasih berbahasa Inggeris, belum tentu anda boleh menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris. Bahkan jika anda seorang guru bahasa Inggeris sekalipun, didapati penulisan bahasa Inggeris belum lagi mencapai standard yang sepatutnya. Tidak menggunakan bahasa Inggeris tidak bererti karya anda tidak menarik, malah mungkin ia terjadi sebaliknya jika bahasa Inggeris diaplikasikan.

Telah berlaku dalam karya-karya sebelum ini, bahasa Inggeris yang digunakan masih di tahap ‘Oh My English!’ Jika buku yang ditulis itu menggunakan bahasa Malaysia standard/baku/tinggi, maka bahasa Inggeris semestinya juga dalam tahap seperti itu. 

Kebanyakan penulis yang menulis dalam bahasa Inggeris, ketika menulisnya dia berfikir dalam bahasa Melayu. Maka berlakulah ‘Manglish’ atau ‘Oh My English!’ Ada juga manuskrip yang kami terima, ditulis bahasa Inggeris dalam kaedah harfiah yang sangat janggal bunyinya. Jika dibaca oleh mereka yang faham, pasti mereka akan menggeleng kepala.

Bagi seorang editor dan penyunting naskhah/copy editor pula, tidak kiralah buku apa yang diuruskan, banyakkanlah juga membaca buku bahasa Inggeris. Anda tidak perlu menjadi pakar bahasa Inggeris, tetapi dengan banyak membaca buku bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya anda akan faham lenggok bahasa Inggeris yang baik dan sesuai, justeru dapat mengesan bahasa Inggeris ‘kurang sedap’ di dalam karya bahasa Melayu. Setelah dikenal pasti bahasa yang tidak sedap itu, serahkan kepada editor yang pakar bahasa Inggeris untuk membaiki apa-apa yang perlu.

Monday, September 23, 2013

80% ... I LIKE!

Sebaik pulang daripada kenduri kahwin dua pasangan anak En.Mail dan Kak Yati, saya terus berkejar ke Citta Mall, tidak mahu melepaskan peluang hari terakhir JUALAN GUDANG BORDERS, Beyond Books. Diskaun hingga 75%. Bagi pemegang kad Maybank seperti saya ditambah lagi 5% menjadi keseluruhan diskaun 80%.

Woohooooo ... buku-buku import yang beratus-ratus ringgit boleh diborong dengan harga yang sangat murah. Bagaimanapun, disebabkan berkejar dengan masa kerana ada urusan lain nak diselesaikan, saya tidak lama di situ. Cuma sempat memilih tiga buku sahaja. Kalau ikutkan hati mahu saja berlama-lamaan memilih buku.

Tidak jauh dari Borders, kedai buku Times juga menawarkan diskaun menarik 90%, namun pilihan judul buku agak terhad. Buku kanak-kanak memang menarik, tetapi saya tidak berminat!

Teringat zaman remaja, Ayah sering membawa kami adik-beradik ke jualan gudang buku di Menara MPPJ (sekarang MBPJ) dan kami dibiarkan memilih buku sendiri dan Ayah akan membayarnya. Satu lagi, Ayah suka bawa kami ke jualan gudang kasut berjenama di Seksyen 17, PJ.

Jalan-jalan cari buku, memang mengujakan!

Tiga judul pilihan saya dengan 80% diskaun.










Friday, September 13, 2013

PEN MERAH BUKAN UNTUK CIKGU AJE!

"Cikgu ke?"

"Tak. Saya editor."

"Oh, tapi gaya nampak macam cikgu. Selalunya cikgu-cikgu je beli pen merah ni," komen juruwang.

Saya pernah sekali dua ditegur begitu semasa membeli beberapa batang pen merah. Begitu tanggapan orang. Pen merah sinonim dengan kerjaya cikgu. Almaklum, kerjaya seorang guru memang popular. Kalau sebut 'editor' jarang yang tau. Kalau 'auditor' mereka lebih tahu.

Suatu ketika pula, saya membawa galei untuk disemak. Saya mengeleknya ke sana ke mari sewaktu singgah di kedai. Galei itu kekadang saya semak (baca pruf) ketika di dalam kereta menunggu anak tamat waktu belajar di sekolah. Sepuluh minit berbaki sebelum loceng sekolah berbunyi, saya gunakan untuk proof reading.

Soalan sama dilontarkan orang yang tidak dikenali. Lurus lagi telus soalannya, "Mengajar di mana?"

Saya terpinga-pinga, "Ha!"

"Cikgu kan?"

"Tak."

"Oh, sorry, ingatkan cikgu. Nampak macam cikgu."

Alahai. Sesungguhnya kerjaya cikgu amat saya tidak minat! Pernah juga saya diajukan soalan oleh sahabat lama, mengapa saya tidak jadi pensyarah saja, "Lebih daripada layak," katanya.

Ohhh ...tidak sama sekali. Saya sama sekali tidak berminat menjadikan 'bidang pengajaran' sebagai profesion saya biarpun sebahagian besar ahli keluarga saya bergelar pensyarah termasuk suami sendiri.

Kalau tak minat, jangan dipaksa biarpun gajinya agak 'steady'.

Biarlah saya dengan kerjaya saya yang kadangkala menjadikan kita amat stres bergelut dengan deadline saban hari, dan wajib menjadi semakin 'nazak' keadaannya setiap kali menjelang pesta buku tahunan iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Namun begitu, dek kerana kerjaya sebagai editor inilah Tuhan rezekikan saya bertemu dengan orang-orang hebat, mengurus terbit karya-karya mereka yang sarat dengan ilmu (Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Hasrizal, Prof Muhd Kamil, Chef Adu dll ... .) Syukur alhamdulillah.



Ini galei buku resipi membuat ban. Bakal terbit tahun ini. Buku kedua Chef Faizal Ng. Selain buku hukum-hakam agama, buku resipi juga mencabar untuk disiapkan kerana ia memerlukan penelitian yang tinggi (saya sedang pening dengannya, moga Allah permudahkan prosesnya). It's a painstaking job! That's why using a red pen is necessary if not mandatory!

Tuesday, September 10, 2013

CENDAWAN TUMBUH SELEPAS HUJAN

Kita sering mendengar ungkapan 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan'. Tetapi di luar pagar rumah saya, cendawan benar-benar tumbuh selepas hujan. Cantik sungguh ciptaan Tuhan ini, subhanallah.

Lewat petang itu ia masih kuncup. Pagi esoknya ia telah kembang umpama payung. Alhamdulillah, sebelum hujan turun dengan lebatnya, sempat saya rakamkan gambar cendawan ini semasa kuncup dan selepas mengembang. Ia untuk kenangan peribadi kerana belum tentu ia akan muncul lagi pada masa akan datang.

Sayangnya, hayat cendawan ini tidak lama. Esoknyanya ia mula mengecut dan mereput. Gambarnya tidak saya rakamkan kerana tidak sampai hati, terlalu buruk rupanya.

Pun demikian ada pengajaran di sebalik kejadian dan ciptaan Allah ini untuk kita sama-sama renungkan. Hayat kita pun demikian. Bila-bila sahaja maut akan menjemput. Asalnya kulit kita gebu dan tegang, kemudian akan mengecut dan berkedut, akhirnya nyawa akan dicabut Malaikat Maut. Itu kitarannya jika kita mati dalam keadaan normal (mati tua tidak mati muda, mati mengejut).

Berdoalah agar hujung nyawa kita berakhir dalam husnul khatimah. Aamiin!





 
 

















Wednesday, September 4, 2013

MURAH 15 SEN

Semalam saya berasa agak pelik. Dalam kekecohan harga petrol dan gas naik, ada juga harga barangan yang turun. Seingat saya, harga barang makanan ini tidak pernah diturunkan atau ada harga promosi seperti mana barang makanan lain.

Yang saya maksudkan ialah roti sandwic putih paling popular dan digemari seluruh rakyat Malaysia iaitu Gardenia. Harganya RM2.40. Di mana pun kedai saya beli roti ini harganya tetap RM2.40. Namun semalam, saya singgah di salah sebuah Speedmart 99 di KD, untuk membeli roti ini.

"Dua ringgit dua puluh lima sen, kak," kata cashier.

Aneh!

RM2.25! Tidak pula saya bertanya, "Mengapa lebih murah pula?" atau "Aik, bukan selalunya dua ringgit empat puluh sen?" atau "Ada diskaun ke hari ni?" Saya tidak bertanya lanjut kerana hari hujan, mahu cepat.

Ketika masuk ke kereta, saya teliti 'tag' harga pada roti yang dibeli, harganya tidak berubah. Tetap RM2.40. Saya lihat pula resit, ya betul seperti yang disebut oleh cashier, harganya hanya RM2.25. Atau adakah saya sahaja yang tidak menyedari harga roti di Speedmart selama ini RM2.25? Atau adakah ia harga hanya untuk hari itu sahaja?

Rotinya masih segar dan lembut. Agak saya, ia stok yang baru tiba dan rotinya siap sehari sebelum dihantar ke pasaran kerana tarikh luputnya masih lama lagi dan warna tag yang tersepit pada pembungkus berwarna biru (biru bermakna ia dikeluarkan dari kilang pada hari Isnin).

Apa pun Gardenia tetap menjadi pilihan saya berbanding roti jenama lain kerana beberapa sebab.

Pertama, syarikatnya milik orang Islam.

Kedua, rotinya lebih segar. Di kawasan saya, lori Gardenia selalunya lori roti pertama tiba di kedai-kedai, malah kadang-kadang sebelum tuan punya kedai tiba lagi! Di sesetengah pasar raya mega pula, Gardenia membuat penghantaran dua kali sehari, sebab itu, rotinya sentiasa penuh di rak, membolehkan kita pilih tarikh luput yang paling terkini!

Ketiga, kerana ia sememangnya '... sungguh enak dimakan begitu saja. Oh Gardenia ... !"

Wednesday, August 28, 2013

PARASIT: MERDEKAKAH KITA?



Setiap hari memandu ulang-alik ke pejabat-rumah, dan juga ulang-alik menjemput anak di sekolah saya suka memerhati suasana persekitaran tatkala berhenti di lampu merah trafik. 

Alahai, betapa banyaknya iklan yang diletakkan di sana sini. Kebanyakannya iklan adalah berupa parasit iaitu iklan yang tidak sah (dinaikkan tanpa mendapat kebenaran Majlis Perbandaran). Jika ia iklan yang sah, pasti ada 'cap mohor' Majlis Perbandaran terpampang di setiap iklan.

Beginilah mentaliti orang Malaysia. Segala-galanya hendak mudah, percuma hingga mencemarkan pemandangan persekitaran. Ada yang dinaikkan di tiang-tiang lampu, di dinding-dinding premis dan tiang-tiang papan tanda. Malah batang pokok juga turut menjadi mangsa.

Iklan di bahagian atas itu iklan yang sah kerana ada tanda MBPJ. Bunting iklan merah di bawahnya itu iklan 'haram'.






Sudah jadi sampah. Tunggang terbalik tersorok di celah semak-samun yang tumbuh di sekelilingnya.


Pokok juga jadi mangsa.


Ia sikap yang sangat buruk dan tidak dapat diampunkan. Sakit mata kita memandang. Iklan-iklan ini akhirnya lunyai, pudar, hancur dan menjadi sampah kerana setiap hari terkena matahari dan hujan. Setelah menjadi sedemikian rupa, tidak pula mereka menurunkannya. Dibiarkan sahaja menjadi sampah. Menambahkan buruknya lagi pemandangan.

Pengiklan yang paling rakus dan paling tiada hati perut menampal sticker iklannya tentulah ‘ah long’ ... jerung pemiutang. Menjelang musim-musim perayaan, giatlah mereka menampalkan iklan.

Allahu Akbar ... tiada langsungkah tindakan daripada pihak berkuasa untuk menghalangnya? Masyarakat juga perlu berperanan untuk sama-sama menanggalkan iklan-iklan ini. Sesekali, ada juga saya ternampak pihak perbandaran menurunkan iklan-iklan ini, tapi amat jarang sekali.

Tanpa sedar, setiap inci bumi Malaysia ini dijajah bukan sahaja oleh iklan tetapi dalam pelbagai bentuk!
Oh tanah airku ... adakah kita benar-benar merdeka? Jawapan saya: TIDAK!

Bunting iklan ini ada 'cap mohor' MBPJ.
Yang ini juga iklan yang dibenarkan.